Pasukan Inovasi Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Meriahkan Pameran Inovasi SK Sangkabok
Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah menerima
pelawaan dari SK Sangkubok, Kuala Penyu Sabah untuk menyertai pameran inovasi
sempena Program Perkongsian Komuniti Profesional (PLC) Melalui Penciptaan Alat Dan Bahan Inovatif anjuran sekolah tersebut.
Rombongan seramai enam guru dan tiga murid dari
Labuan telah diketuai oleh Puan Kamariah binti Haji Salim, Penolong Pengarah
Sektor Perancangan.
Menurut Puan Kamariah, penyertaan ini adalah
untuk memeriahkan aktiviti inovasi yang julung-julung kali dilaksanakan oleh
sekolah berkenaan. Di samping itu, sekolah-sekolah di W. P. Labuan dapat
mengeratkan jalinan dan jaringan dengan sekolah-sekolah di Sabah yang
sememangnya telah sedia terjalin.
“Melalui platform sebegini, guru-guru dan murid dapat bertukar-tukar idea inovasi dan mengeratkan hubungan profesional secara lebih efektif. Ia merupakan landasan bagi pembudayaan inovasi di peringkat sekolah.” Puan Kamariah
SMK Mutiara telah menghantar sepasukan pempamer terdiri dari 3 murid dan seorang guru pengiring. Mereka mempamerkan hasil inovasi bertajuk PERJANJIAN HUDAIBIYAH. Inovasi ini telah dihasilkan oleh Panitia Sejarah SMK Mutiara yang diketuai oleh Puan Nurul Sulreza Aida binti Zulkifli berbentuk nyanyian dengan lirik lagu berkaitan kisah perjanjian Hudaibiyah.
Inovasi ini turut tampil dengan Kata Kunci bagi memudahkan murid-murid mengingati fakta-fakta sejarah perjanjian tersebut.
Menurut Adik Amsyar yang merupakan penyanyi
dalam inovasi ini, beliau menyifatkan kaedah menyanyi dengan menggunakan irama
lagu kesukaan remaja dapat menarik minat murid kepada isi kandungan mata
pelajaran Sejarah. Selain Sejarah, inovasi ini juga sesuai untuk mata pelajaran
Pendidikan Islam.
Turut serta membuat pameran ialah dua wakil SK Pantai iaitu Ustaz Shahnon bin Othman dengan inovasi bertajuk Kit Doa Qunut dan Cikgu Norhidayah binti Omar dengan inovasi bertajuk My Magical Tree Teaching Strategy : Adjective Spinner & Fish Your Catch.
Selain itu, dua guru dari SKK Sk St. Anne tidak
ketinggalan mempertaruhkan inovasi bertajuk Reugo 2.0 dan Little Star. Inovasi
ini telah dihasilkan masing-masing oleh cikgu Noorshiela Aida binti Abdullah
dan cikgu Hamidah binti Abdullah.
Pameran inovasi ini telah dirasmikan oleh Tuan
Haji Muhid Bin Hj Misrin, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima
kasih kepada Jabatan Pendidikan W. P. Labuan kerana telah bersungguh-sungguh
memenuhi jemputan SK Sangkubok. Hal ini menunjukkan kerjasama antara agensi
dapat dijalinkan melalui pelbagai cara termasuk perkongsian inovasi. Beliau
berharap agar kerjasama sebegini dapat ditingkatkan pada masa-masa akan datang.
“Warga pendidik perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menghasilkan banyak inovasi berimpak tinggi dan bermanfaat kepada murid, sekolah serta dunia pendidikan”. Tuan Haji Muhid
Sementara itu, Guru Besar SK Sangkabok, Cikgu Fadliezan Bin Tingan mengucapkan terima kasih kepada PPD Kuala Penyu, semua pempamer bahan inovasi khususnya daripada JPN Labuan dan ibu bapa atas kesudian hadir dalam program ini.
“Di sebalik kemenjadian murid, warga pendidik memainkan peranan penting dalam menarik minat murid dalam bidang inovasi. Kualiti murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan secara holistik. Tahniah kepada SMK Mutiara dan SMK Pekan Menumbuk yang berjaya menampilkan murid sebagai innovator.” Beliau turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada pempamer-pempamer inovasi yang telah menyertai program kali ini. Cikgu Fadliezan, Guru Besar SK Sangkabok
Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara