Hari Bertemu Pelanggan SMK Mutiara Medan Interaksi Ibubapa dan Guru
Labuan, 27 Nov – Seramai kira-kira 200 ibubapa dan penjaga hadir dalam Hari Bertemu Pelanggan SMK MUTIARA yang telah diadakan pada 21 November lalu. Program yang bermula seawal jam 9.00am itu melibatkan pelaporan pencapaian murid-murid Tingkatan 1, 2 dan 4 sahaja.
Secara keseluruhan program ini berjaya mencapai objektif penganjurannya. Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim berkata tujuan Hari Bertemu Pelanggan ialah untuk memberi peluang kepada ibubapa dan penjaga murid-murid mengetahui lebih lanjut berkaitan perkembangan pembelajaran anak-anak mereka.
Pihak sekolah menyediakan empat jenis pelaporan kepada ibubapa selaras dengan pembelajaran berasaskan perkembangan seperti saranan di dalam Naratif Baharu Amalan Pendidikan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Pencapaian dalam Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) adalah antara pentaksiran yang dilaporkan kepada ibubapa. Melalui pelaporan SEGAK, ibubapa dapat mengetahui tahap kecergasan fizikal dan Body Mass Index (BMI) anak masing-masing.
Melalui pelaporan kokurikulum yang dijana dari sistem PAJSK pula, ibubapa diberi maklumat berkaitan tahap pelibatan dan pencapaian anak masing-masing dalam aktiviti kokurikulum dan sukan secara kumulatif.
Selain itu, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) juga dapat memberi maklumat kepada para ibubapa tentang prestasi pembelajaran anak-anak yang dinilai secara komprehensif sepanjang tahun. Pelaporan ini menjadi pelengkap kepada markah ujian akhir tahun yang dibuat sebagai ‘assessment of learning’ atau pentaksiran tentang pembelajaran.
Selain itu, ibubapa juga diberi maklum balas berkaitan sahsiah, disiplin dan status kehadiran anak-anak mereka. Perkara ini sangat penting kerana peranan, sokongan dan galakan ibubapa amat menyumbang kepada kemenjadian murid di sekolah.
Pengetua juga turut beramah mesra dengan ibubapa yang hadir. Selain berbincang hal-hal pendidikan anak-anak, pengetua turut memaklumkan halatuju sekolah tahun 2020 secara tidak langsung dan meminta kerjasama ibubapa bersama-sama untuk meningkatkan kualiti sekolah secara keseluruhan.
Salah seorang ibubapa yang ditemui, Encik Kalong Yusup berkata pihaknya mengucapkan terima kasih atas sumbangan guru-guru yang mengajar anaknya dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak sekolah jika diperlukan.
Majlis tamat kira-kira jam 12 tengahari.
Berita Oleh : SMK Mutiara