Program Transisi Tahun Satu Bimbing Murid SK Pekan Satu Berkaitan Amalan, Budaya dan Adab

Encik Yassin menyampaikan hadiah kepada murid cemerlang keseluruhan Sepanjang transisi sambil diperhatikan oleh Puan Ellina (kiri), Puan Anita (4 kiri) dan Puan Asbaidah (5 kiri).

Labuan, 17 Jan –Sekolah Kebangsaan Pekan Satu, WP Labuan telah mengadakan Majlis Perasmian Penutupan Program Transisi Tahun Satu bersama ibu bapa murid bagi tahun 2020 di Dewan C.U.N.

Sebelum itu, murid-murid Tahun Satu telah mengikuti program Transisi selama 2 minggu yang mana objektif utama program adalah untuk  mengenalpasti potensi dan minat murid dari awal sesi persekolahan dalam sesuatu bidang atau mata pelajaran.

Majlis Perasmian penutupan  disempurnakan oleh Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPNWL Puan Zailiana Binti Zainol, PK HEM SKPS Puan Normah Binti Rahimi, AJK Biro Kewangan PIBG Encik Yassin bin Tawih, Pegawai Pergigian Doktor Nur Afiqah Hassan, Doktor Elnee Melson  berserta 31 orang guru Tahun Satu, 185 orang ibubapa dan 183  murid Tahun Satu.

Dalam ucapannya, Puan Anita Syamini menjelaskan bahawa Program Transisi merupakan satu program untuk membantu murid-murid menghadapi perubahan diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal sama ada di rumah ataupun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu.

“Dalam pada masa yang sama program ini juga dapat memastikan agar semua murid Tahun Satu yang datangnya dari latar belakang, pengalaman dan sosio ekonomi yang berbeza akan dapat memulakan proses pembelajaran di Tahun Satu pada tahap pencapaian yang hampir sama.Ianya juga mampu membimbing murid Tahun Satu berkaitan amalan, budaya dan adab ketika berada di sekolah dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan dengan para guru supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan” tambahnya lagi.

Murid-murid yang lahir pada bulan Januari diraikan bagi memeriahkan lagi majlis

Beberapa taklimat telah diadakan dalam program ini bertujuan memberi pendedahan kepada ibubapa yang hadir. Antaranya taklimat Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) disampaikan oleh Puan Zailiana yang memberi penjelasan tentang kaedah pelaksanaan PBD yang mana pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid Tahap I di semua sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai tahun 2019.

Taklimat dari  Unit HEM mengenai peraturan sekolah dan skim bantuan murid pula telah disampaikan oleh Puan Normah. Seterusnya taklimat dari Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah berkenaan peranan mereka dalam sekolah disampaikan oleh Puan Hjh Jamayah,  taklimat  Imfree disampaikan oleh Doktor Elnee Melson dan taklimat kesihatan pergigian telah disampaikan oleh Doktor Nur Afiqah Hassan.

Majlis perasmian penutupan dimeriahkan lagi dengan sambutan Hari Lahir murid yang lahir pada bulan Januari dan persembahan nyanyian berkumpulan murid-murid Tahun Satu. Suasana dewan meriah apabila ibubapa memberikan semangat kepada anak-anak mereka melakukan persembahan.

Penyelaras program, Puan Asbaidah Tahir melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua kerana majlis ini dapat dilangsungkan dengan jayanya.

Tambahnya lagi, program ini mampu menyediakan dan membantu murid-murid menyesuaikan diri dengan situasi persekitaran, guru-guru dan kawan-kawan baharu dalam masa yang singkat. Beliau juga berharap agar program ini dapat menarik minat murid dan menimbulkan  seronok untuk datang ke sekolah bagi menimba ilmu.

Berita Oleh : SK Pekan Satu

Puan Zailiana Binti Zainol memberikan taklimat PBD kepada semua hadirin yang berada di dewan
Suasana ibu bapa serta guru-guru di dewan semasa Majlis Penutupan Program Transisi Tahun Satu

Loading

image_pdfimage_print