Program RIMUP Diperkasa, Kubu Perpaduan Dibina
Labuan – Perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina telah disambut dengan meriah oleh seluruh warga sekolah di Dewan Muhibah, SM St.Anne baru-baru ini.
Majlis ini telah dirasmikan oleh En Damian Marcus, YDP PIBG SM St.Anne. Amalan menyambut perayaan bersama-sama ini salah satu mekanisme yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam memperkasakan program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP).
Kemeriahan sambutan perayaan ini turut dirasai oleh beberapa orang ibu bapa, AJK PIBG, dan ahli Lembaga Sekolah.
Puan Mary Anita, dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kerana walaupun guru-guru dan murid-muridnya sibuk menyempurnakan tugas hakiki sebagai pengajar dan pelajar tetapi masih sanggup bertungkus lumus menjayakan majlis sebegini dengan jayanya.
Selain itu, katanya kekangan dari segi bilangan guru yang tidak mencukupi juga bukan penghalang kepada pihak sekolah untuk memastikan perancangan majlis ini direalisasikan.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian pula Encik Damian telah menyatakan bahawa secara peribadi beliau sangat menyokong amalan menyambut perayaan bersama-sama ini. Menurutnya, galakan menyambut perayaan bersama-sama ini sememangnya patut diterapkan sejak di bangku sekolah lagi.
Katanya lagi, guru dan murid sama-sama dapat melihat sendiri perbezaan kepelbagaian budaya yang akhirnya melengkapkan diri kita menjadi warganegara Malaysia yang bertuah. Oleh itu, sewajarnya hasrat KPM untuk memperkasa program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) di semua sekolah perlu disokong dan dijayakan bersama-sama.
“Tanpa kita sedar kejayaan negara kita dalam mengekalkan keamanan sebenarnya sedikit sebanyak bergantung kepada keupayaan rakyatnya menyambut perayaan dengan penuh kegembiraan” katanya sebelum menamatkan ucapan.
Berita Oleh : Puan Siti Aisyah Asis, SM ST Anne