Pengarah BPI KPM melancarkan Ziarah Cakna 2020 Peringkat Kebangsaan WP Labuan
Labuan, 10 Feb 2020 – Ziarah Cakna, sebuah program ziarah guru ke rumah murid terpilih bersifat menyantuni golongan ibu bapa dan penjaga merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menerapkan nilai budaya kasih sayang, saling menghormati dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan kedua belah pihak.
Di peringkat Wilayah Persekutuan, Program Ziarah Cakna telah dilancarkan pada hari ini bertempat di SMK Rancha-Rancha dan dirasmikan oleh Tuan Haji Hassan Nudin bin A.Hamid, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Tuan Haji Hassan Nudin dalam ucapannya berkata Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai peneraju utama dalam mendidik dan melahirkan modal insan negara komited untuk menyesuaikan dasar serta hala tuju selaras dengan Agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam 7 teras strategik terutama teras yang berkaitan Strategi Transformasi Modal Insan.
Program ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara ibu bapa, guru dan masyarakat dalam menwujudkan budaya baharu yang lebih positif demi kemenjadian murid- murid.
Kita perlu mendidik anak-anak bahawa mereka perlu belajar bersungguh-sungguh, terus berdaya saing dan bertekad untuk keluar dari kemiskinan.
Selain itu juga ianya memperluas konsep sekolah penyayang. Program ini akan menjadi platform buat ibu bapa dan guru berkongsi perkembangan menyeluruh para pelajar.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berkata berdasarkan data Ziarah Cakna Kebangsaan tahun 2019 bagi WP Labuan, seramai 168 murid sekolah rendah dan sekolah menengah daripada 167 keluarga telah diziarahi oleh para guru di Labuan.
Beliau menzahirkan rasa terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, Pegawai Perhubungan Sekolah ( PDRM ), Persatuan Ibu Bapa Guru ( PIBG ), Ketua Kampung, Agensi kerajaan , Agensi Bukan Kerajaan ( NGO ), dan Persatuan Pesara Guru WP. Labuan atas sokongan dan kerjasama padu dengan KPM bagi merealisasikan majlis ini.
Besarlah harapan saya agar kesepakatan begini bukan sahaja dapat memastikan kejayaan program, bahkan turut memberi impak kepada kemenjadian murid. Encik Raisin Saidin
Tuan Haji Hassan Nudin dan Encik Raisin Saidin bersama rombongan turut menyertai ke rumah salah seorang murid SMK Rancha-Rancha iaitu adik Ukail Syamil Najmuddin bin Mohammadde, pelajar tingkatan 5 An Nasawi. Beliau terpaksa mengulang kembali pengajian di tingkatan 5 pada tahun ini kerana tidak sempat menduduki peperiksaan SPM 2019 disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Semasa menziarahi adik Ukail Syamil, Tuan Haji Hassan Nudin telah meminta agar Ukail belajar bersungguh-sungguh dan menerima apa yang berlaku itu mempunyai hikmahnya kerana Allah mempunyai perancanganNya.
Pengarah BPI KPM juga melahirkan ucapan terima kasih kepada keluarga Ukail yang menerima kunjungan tersebut.