Lawatan Sambil Belajar PPIM Ke Kilang Minuman Skyblue Labuan

Labuan, 12 Februari– Rombongan murid dari Unit Pergerakan Puteri
Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan aktiviti ko-kurikulum iaitu pembelajaran
luar kelas melalui lawatan sambil belajar ke kilang pemprosesan minuman Skyblue
Labuan. Seramai 78 murid PPIM  dan 10
orang guru penasihat yang terlibat. Ketua rombongan pula adalah Ketua Guru
Penasihat PPIM SK Pekan Satu Puan Dayang Faridah binti Besar.

Guru Besar SK Pekan Satu Puan Anita Shyamini A/P S. Azman telah memberi kata-kata aluan dan pesanan bahawa perkembangan minda seseorang murid berkait rapat dengan percambahan pengetahuan sama ada di perolehi secara formal atau tidak formal. Beliau juga mengingatkan agar murid PPIM fokus dan menimba ilmu pengetahuan sepenuhnya semasa lawatan dijalankan di kilang minuman Skyblue khususnya.

Puan Anita memberi sedikit taklimat ringkas kepada ahli PPIM agar menjaga tingkah laku dan menimba ilmu sebaik mungkin semasa lawatan.

Rombongan ini telah mendapat kerjasama dan
penerangan yang baik daripada pihak pengurusan kilang. Murid dibawa ke tempat
pemprosesan minuman dan diberi penerangan bagaimana sesuatu mesin itu
beroperasi serta produk minuman yang mereka hasilkan. Melalui lawatan ini juga
selaras dengan aspek kemenjadian murid iaitu murid mempunyai pengetahuan yang
mana bukan sahaja pengatahuan di sekolah bahkan pengetahuan di luar sekolah.

Pengurus Kilang Minuman Skyblue Labuan
Puan  Chau Choon Li meluahkan perasaan
teruja serta terima kasih kepada pihak SK Pekan Satu kerana memilih Skyblue
sebagai destinasi lawatan. Beliau berharap agar lawatan ini dapat memberi impak
yang positif kepada murid-murid khususnya ahli PPIM.

Penyelaras program Puan Dayang Faridah binti Besar melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana lawatan ini dapat dilangsungkan dengan jayanya. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak, maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan. Beliau juga berharap agar lawatan ini menjadi pemangkin kerjasama antara pihak SK Pekan Satu dengan Syarikat Skyblue dan diharapkan pada masa akan datang Syarikat Skyblue sudi datang ke sekolah bagi mengadakan program bersama murid-murid.

Ahli PPIM gembira menerima cenderahati berbentuk air minuman oleh Syarikat Skyblue