Delegasi Guru SK. Pekan II Mencaknai Aspirasi Pendidikan

Labuan, 17 Feb 2020 – Seramai 14 orang delegasi guru dari SK. Pekan II, WP. Labuan telah menghadiri Majlis Amanat dan Aspirasi Tahun Baharu 2020 bertempat di Dewan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), 15 Februari lalu, yang telah dihadiri oleh 500 orang warga pendidikan Labuan.

Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Rozman Bin Datuk Hj. Isli, Ahli Parlimen Labuan.

Dalam amanat beliau, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Cikgu Raisin Bin Saidin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidikan, sekolah, ibu bapa dan komuniti telah berjaya memartabatkan pendidikan serta kemenjadian murid-murid dalam akademik dan kokurikulum sehingga mencapai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berharap momentum kecemerlangan ini diteruskan lagi pada tahun 2020 selaras dengan roh guru yang seharusnya mampu mengubah tingkahlaku murid dan menerima manfaat daripada tugas dan tanggungjawab guru tersebut.

Beliau seterusnya menerangkan tentang “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” yakni untuk melahirkan modal insan yang kalis masa depan. Antaranya adalah strategi transformasi modal insan yang fokus kepada penyediaan halatuju sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi. Bagi tahun 2020, fokus Jabatan akan lebih tertumpu ke arah ‘Merealisasikan Kemakmuran Bersama Melalui Pendidikan’. Ini bermakna semua murid mesti berupaya bersaing dengan jayanya dalam kehidupan mereka.

Duta Guru SK. Pekan II cikgu Nadia (depan sekali sebelah kiri) dan warga pendidik SK Pekan II

Persediaan dan kesedaran dalam kalangan murid-murid, guru dan komuniti melalui program Ziarah Cakna yang bertujuan  untuk mengeratkan hubungan murid-murid, sekolah dan ibubapa adalah merupakan platform terbaik demi merealisasikan dan membina rangka intervensi yang bersesuaian.

Sehubungan itu pelibatan komuniti hendaklah dipertingkatkan untuk faedah anak-anak. Selaras dengan itu penekanan terhadap penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu perlu diberi perhatian yang serius oleh semua guru memandangkan subjek ini wajib lulus termasuk Sejarah pada 2021.

Beliau juga mengingatkan kepada semua guru yakni “Jika sudah memilih profesyen guru sebagai kerjaya maka bekerjalah sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan dengan memastikan kemenjadian anak-anak murid dan sentiasa menyayangi mereka”.

Pada akhir ucapannya beliau mengucapkan selamat bertugas kepada semua guru dan menyeru supaya berusaha menjulang nama Labuan dalam bidang pendidikan.

Berita Oleh : SK Pekan Dua