Program Jambatan Kasih 2020
Labuan, 15 Februari- Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) Wilayah
Persekutuan Labuan sekali lagi telah menerima rombongan lawatan dari pelajar Kolej
Matrikulasi Labuan (KML). Rombongan seramai 26 orang pelajar dan diketuai oleh pengarah
program iaitu Cik Harriet Willabelle Anak Wesley dan Pensyarah Kokurikulum KML
selaku penyelaras Program Jambatan Kasih KML Encik Zamri bin Palen. Program ini
bermula dari jam 7 pagi hingga 1.15 petang.
Menurut Cik Harriet, program ini merupakan
lawatan bersifat muhibah untuk memupuk semangat dan cara mengawal stres
murid-murid semasa menimba ilmu dan pada yang sama mampu membentuk sahsiah diri
ke arah yang lebih baik. “Program ini juga adalah projek akhir pelajar KML sesi 2019-2020 bagi Kelas
Tutoran DP3 T14” tambah beliau lagi.
Ketibaan rombongan ini disambut meriah oleh
Guru Besar SKPS, Anita Shyamini A/P S. Azman. Turut hadir PK HEM SKPS Puan Normah
binti Rahimi, PK Kokurikulum SKPS Encik Esmit bin Amat dan 10 orang guru tanda memberi
semangat yang tidak terhingga kepada rombongan pelawat.
Di samping itu, pelajar KML bukan sahaja berkesempatan beramah mesra dengan murid-murid SK Pekan Satu malah menyajikan motivasi kepada 120 murid-murid tahun 5 yang diadakan di SK Pekan Satu. Program Jambatan Kasih ini dapat membantu percambahan dan kolaborasi ilmu pengetahuan dalam kalangan murid-murid serta pelajar KML khususnya yang berteraskan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Puan Anita Shyamini berharap agar Program
Jambatan Kasih seperti ini dapat memupuk ikatan silaturrahim yang akan terus
terjalin dan berkesinambungan sebagai salah satu wadah kemenjadian murid pada
masa hadapan sesuai dengan kelestarian akademik yang lebih berkualiti. Beliau
juga berharap agar program ini sebagai batu loncatan kepada murid-murid untuk
memberikan kesedaran bahawa kecemerlangan dalam hidup dapat menjamin
kelangsungan hidup.
Akhir sekali, penyelaras program Puan Sanisah Zulkifle mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KML kerana sudi menjadikan SKPS sebagai destinasi Program Jambatan Kasih 2020. “Kami sebagai guru juga mengharapkan murid-murid lebih berdaya saing dalam menuntut ilmu dengan adanya program sebegini” tambah beliau lagi.