Kursus Tarbiyah Kepimpinan Pemimpin Kecil SK Lubok Temiang

Labuan, 27 feb 2020 – Seramai 140 orang murid yang terdiri daripada pengawas sekolah,  pengawas pusat sumber sekolah,  pengawas bestari dan pembimbing rakan sebaya Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang telah mengikuti Kursus Tarbiyah Kepimpinan Pemimpin Kecil 2020.  Kursus yang dilaksanakan sehari di Pusat Kokurikulum Negeri WP Labuan antara lain bertujuan melatih dan membimbing bakal pemimpin masa depan ini berkaitan kemahiran komunikasi berkesan terutama ketika mereka menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang berkeperibadian luhur.  

Selain itu, kursus ini juga memberi penekanan terhadap kepentingan membentuk dan mengamallan sifat terpuji yang boleh dijadikan contoh kepada murid yang lain. Menurut Haji Adam bin Abdul Rahim,  guru besar Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang mengharapkan agar kursus seumpama ini dijadikan sebagai program tahunan demi memastikan momentum gaya kepimpinan dalam kalangan pemimpin kecil ini tidak kendur dalam usaha melaksanakan hala tuju sekolah demi melahirkan generasi bertrampilan.  Dalam kursus ini, peserta telah menjalani pelbagai aktiviti yang mencabar keupayaan fizikal dan mental seperti latihan dalam kumpulan, merentas halangan dan permainan dinamika. 

Di samping itu, Puan Maizura Musliman,  kaunselor dari SMK Labuan turut dijemput  menyampaikan ceramah Tips Menjadi Pemimpin Terbaik.   Sijil watikah pelantikan kepada semua pengawas turut disampaikan oleh Haji Adam di akhir program kelolaan unit disiplin dan unit bimbingan dan kaunseling ini.  Kursus kali pertama ini juga telah mendapat khidmat kerjasama dari jurulatih Pusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan WP Labuan.