( Gambar hiasan : Encik Raisin Saidin ketika melawat murid-murid di sekolah Labuan awal Januari 2020 )
Labuan, 26 Mac 2020 – Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan menyeru guru-guru agar menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dalam mengajar murid dari rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, pada minggu ini guru tidak lagi bercuti, sebaliknya mengajar dari rumah dan perlu menyediakan bahan pembelajaran untuk anak-anak murid sepanjang PKP ini berjalan.
Tugasan dan arahan kerja rumah boleh dilaksanakan oleh guru daripada semudah-mudah bentuk komunikasi iaitu SMS, WhatsApp sehinggalah menggunakan Facebook Live, Zoom Meeting, IG, dan bentuk komunikasi lain yang ada dari rumah.
Guru boleh menggunakan apa-apa sahaja sumber pembelajaran yang ada di rumah atau boleh diakses.
“Guru dan murid boleh menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan lain-lain yang dimiliki oleh murid-murid yang ada di rumah.”
Katanya lagi, warga pendidik harus berlaku adil kepada murid dan ibu bapa. Jika ada ibu bapa atau murid mahu mengemukakan pertanyaan berkaitan latihan/tugasan/kerja rumah yang diberikan, guru hendaklah menjawab panggilan atau mesej media sosial atau SMS yang dihantar oleh ibu bapa.
Salah satu sifat ‘Guru Mengajar Dari Rumah’ ialah guru tidak perlu terikat dengan jadual waktu mengajar. Ia bergantung kepada kesesuaian media perhubungan yang digunakan dan juga keupayaan serta bentuk komunikasi yang digunakan.
Sudah tentu murid ini berasa seronok untuk menghantar kepada guru latihan-latihan yang telah mereka siapkan . Jika murid menghantar latihan dan kerja rumah melalui aplikasi whatsapp atau emel, guru boleh memeriksa atau menyemak pada masa itu ataupun menunggu pada masa yang sesuai.
Saya juga ingin mengingatkan agar guru mengelakkan penggunaan bahan bercetak yang perlu diambil dan dihantar ke sekolah.
Guru juga hendaklah mengelakkan murid menghantar kepada guru secara bercetak skrip jawapan atau tugasan yg mereka siapkan ketika ini.
Pendekatan ‘Guru mengajar dari rumah’ adalah terikat kepada PKP yang sedang berkuatkuasa.
“Harapan saya ialah guru-guru sudah mula mengajar murid-murid dari rumah dengan menggunakan pelbagai kaedah sesuai dengan keadaan setempat.” Encik Raisin Saidin
Libatkan ibu bapa murid dalam sesi PdP di rumah. Peranan dan pemahaman ibu bapa amat penting kerana kemungkinan kita terpaksa menggunakan smart phone, laptop atau emel mereka untuk menyalurkan arahan atau latihan/tugasan/kerja rumah kepada murid-murid.
Rancanglah dengan baik dan bersungguh-sungguh pelaksanaan murid belajar di rumah ini.
“Saya memahami dan mengambil maklum bahawa bukan semua ibu bapa mempunyai kemampuan untuk menyediakan kemudahan pembelajaran secara maya kepada anak-anak mereka. Tidak ada paksaan kepada ibu bapa untuk terpaksa berbelanja lebih bagi tujuan tersebut.
Saya sedar ada lagi keperluan yang lebih mendesak iaitu membeli barang-barang keperluan seharian iaitu makanan dan perubatan.
Oleh itu, saya meminta pihak sekolah supaya mengenal pasti kumpulan berkenaan dan memastikan mereka diberikan perhatian yang istimewa bila mereka kembali ke sekolah dengan memberikan mereka latihan yang cukup”. Encik Raisin Saidin – Pengarah Pendidikan WP Labuan
‘GURU SAYANG MURIDNYA’
#Just Stay At Home, #Mengajar Dari Rumah