SMK RANCHA-RANCHA Cipta Sejarah Jom Baca Bersama 10 Minit Rentas Sempadan Melibatkan 50 Buah Sekolah Seluruh Negara
Labuan, 23 APRIL 2020 – Pusat Sumber Dato Seri Datin Hajjah Norsiah (PSS DSDN) SMK Rancha-Rancha(SMKRR) telah melaksanakan program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan’ yang telah merentas sempadan negeri-negeri di Malaysia secara atas talian.
Pada tahun ini, pihak pengurusan PSS DSDN telah mengambil inisiatif pintar dengan membuat penganjuran secara kolaboratif bersama SMK Taman Keramat, Gombak, Selangor.
Program yang dijalankan semasa negara berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan sempena pandemik Coronavirus-19 ini telah sepenuhnya menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara maya sepertimana yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Aplikasi Google Meet menjadi media utama perkumpulan peserta yang terdiri dari pentadbir sekolah, guru, pelajar yang datang dari lebih 50 buah sekolah dan tidak ketinggalan ahli komuniti setempat.Peserta yang terdiri dari pelbagai kaum ini berjaya menyahut seruan kerajaan untuk mengintegrasikan kaum di Malaysia.
Di dalam ucapan alu-aluannya kepada para peserta, Encik Yahya bin Ahmad Puteh selaku Pengetua SMKRR telah memberikan pujian kepada pihak pengurusan PSS DSDN SMKRR dibawah pengurusan Encik Sapri bin Idris selaku Guru Perpustakaan & Media. Beliau telah mengambil langkah proaktif dan berani untuk penganjuran secara atas talian ini, sekaligus berjaya mendapatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat pendidikan terutamanya, dari seluruh negara.
Pengetua SMKRR ini juga berharap agar kerjasama yang telah dijalin untuk berbagai program semenjak tahun 2018 lagi bersama SMK Taman Keramat, Gombak Selangor akan terus berkekalan dengan pelbagai program kolaborasi antara kedua-dua buah sekolah.
SMKRR yang terkenal sebagai sebuah Sekolah Komuniti, membuka luas dan mengalu-alukan penyertaan seumpama ini di kalangan komuniti dan masyarakat setempat untuk merealisasikan kemenjadian murid di SMKRR.
Majlis turut member ruang kepada wakil Tuan Zainal bin Ismail, Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, Daerah Gombak , Selangor iaitu Puan Rohanah binti Abdul Rahim menyampaikan ucapan.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi rasa kagum dan tahniah kepada SMK Rancha-Rancha dan SMK Taman Keramat. Kedua-dua sekolah ini berjaya menjadi penganjur bersama di dalam program ilmu yang sangat member impak kepada para peserta program.
Beliau turut menegaskan bahawa budaya membaca perlu disuburkan agar Matlamat Pendidikan Negara dapat dicapai. Majunya sebuah negara itu bergantung kepada penduduknya yang cintakan kepada budaya membaca.
Pegawai Perasmi, Ustaz Abd Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan (JPWPL), wakil rasmi Pengarah Pendidikan (JPWPL),Tuan Raisin bin Saidin dalam ucapannya berkata, pihak JPWPL memberi sokongan penuh penganjuran berterusan di masa-masa akan datang untuk Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan ini.
Tegasnya, program ini berupaya menyumbang kepada pembangunan sahsiah masyarakat melalui nilai murni yang diterjemah melalui pembacaan. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada program penganjuran bersama rentas sempadan kedua-dua buah sekolah.
Selain dari dapat mewujudkan hubungan baik dengan lebih 50 buah sekolah di seluruh Negara, ia merupakan langkah inovatif dalam memberi nafas baharu kepada kempen pembacaan selaras dengan Program Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030.
Objektif penganjuran program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Rentas Sempadan secara atas talian ini untuk menggalakkan peserta memupuk budaya suka membaca berterusan sepanjang hayat, tercapai.
Disamping itu, program ini Berjaya menjadikan warga pendidikan dan komuniti yang bukan hanya membuat pembacaan yang berorientasikan peperiksaan sahaja lagi. Sesungguhnya tabiat membaca menggalakkan sesiapa sahaja dapat menyemai idea kreatif dan inovatif.
ANALISIS PESERTA PROGAM ‘JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT RENTAS SEMPADAN TAHUN 2020 IKUT KATEGORI
BIL | KATEGORI | BILANGAN PESERTA |
1 | Guru SMKRR | 35 orang |
2 | Murid SMKRR | 141 orang |
3 | Ibubapa SMKRR | 9 orang |
4 | Komuniti Labuan | 38 orang |
5 | Guru dan murid SMART | 99 orang |
6 | Komuniti luar (jemputan) | 415 orang |
JUMLAH KESELURUHAN | 737 orang |
PECAHAN KAUM PESERTA
KAUM | JUMLAH PESERTA |
Melayu | 559 |
Cina | 9 |
India | 169 |
JUMLAH KESELURUHAN |
737 |
Sungguh pun baru pertama kali program atas talian ini dianjurkan, ia telah mendapat penglibatan luar jangka. Seramai 737 orang peserta telah mendaftarkan kehadiran mereka semasa program berlangsung.
Antara peserta yang telah ikut serta program ini ialah Puan Norsiah Sulaiman, Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Dan Penddikan JPWPL danTuan Zainal bin Ismail selaku Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah dari Sektor Pembelajaran Daerah Gombak.
Majlis turut memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada adik Mohamad Hazfarizal Bin Ismail, pelajar Tingkatan 4 dari SMKRR. Antara pengisian program ini adalah ucapan alu-aluan daripada pentadbir sekolah dan pegawai pendidikan negeri.
Selain itu persembahan montaj perasmian juga turut ditayangkan kepada seluruh peserta. Acara kemuncak pada hari itu ialah bacaan secara serentak selama 10 minit dari jam 11.00 pagi hingga 11.10 minit pagi oleh semua peserta program.
Di akhir majlis, wakil peserta yang terdiri daripada 4 orang pelajar, wakil Pengetua dan Guru Besar serta Guru Perpustakaan dan Media telah diberi peluang untuk memberi ucapan penghargaan mengenai program ini.
Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha