Kalam Wahyu Semarakkan Sambutan Hari Guru Tahun 2020 Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan, 15 Mei – Majlis Kalam Wahyu sempena Sambutan Hari Guru 2020 Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara dalam talian dengan disertai lebih daripada 100 orang warga pendidik di pejabat dan kediaman masing-masing pagi tadi.
Majlis
Kalam Wahyu Sempena Hari Guru ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam
(SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula jam 8.00 pagi.
Majlis Bacaan surah Yassin telah diketuai oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan manakala
bacaan doa selamat pula diketuai oleh Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Encik Raisin Bin Saidin yang merupakan mantan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir ialah Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah , pegawai-pegawai JPWPL, para pengetua, guru besar juga guru-guru di sekitar wilayah ini.
Dalam ucapan selepas bacaan doa selamat, Encik Raisin Saidin berkata guru yang hebat dan ingin memajukan diri dan anak-anak murid ialah guru yang bersedia menerima amanah dan tanggungjawab.
“Cabaran dan halangan sepanjang menunaikan amanah dan tanggungjawab bukanlah suatu penderaan, meyusahkan apalagi sia-sia. Hasil selepas melalui cabaran dan halangan di dalam tanggungjawab akan menjadikan kita berilmu dan meningkatkan kualiti dan jati diri sebagai guru yang murabbi” katanya di dalam telesidang dalam majlis tersebut.
Katanya lagi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, secara tidak langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.
PKP adalah inisiatif untuk membantu mendidik anak-anak dirumah terutama dari aspek pembelajaran, kebersihan dan keselamatan diri.
“Segala yang terjadi pasti ada hikmahnya. Mungkin apa yang terjadi ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran muafakat bersama keluarga dengan meluangkan masa bersama seperti bertadarus, solat jemaah, solat terawih dan sebagainya di bulan Ramadan ini”.
“Ia memang satu perubahan drastik, namun kita perlu berlapang dada dan menerima situasi ini kerana ia bukan sahaja membabitkan nyawa seseorang malah kita bertanggungjawab memutuskan semua rantaian Covid-19 dalam semua komuniti,” Encik Raisin Saidin.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di wilayah ini.
“Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu”, tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam telesidang tersebut, turut diadakan gimik penyampaian infaq Kasih Ramadan oleh Kelab Pendidikan. Tabung Infaq Kasih Ramadan telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin pada 24 April 2020 yang lalu.
Menurut Pengerusi Kelab Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma, tabung infaq Kasih Ramadan merupakan idea yang dicetuskan oleh Encik Raisin Saidin untuk menyantuni rakan-rakan anggota kumpulan pelaksana (AKP) gred N19 ke bawah di samping mengeratkan lagi kemesraan di antara ahli.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam