PPKI SMK Mutiara sertai Program e-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Negeri WP Labuan Tahun 2020

Labuan – Seramai 15 orang murid PPKI SMK Mutiara telah menyertai Program e-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Negeri WP Labuan. Program anjuran Jabatan Pendidikan W.P. Labuan ini berlangsung selama 3 hari mulai 14 hingga 17 September 2020.

Puan Roslaniah Zainal, Penolong Kanan PPKI SMK Mutiara merangkap ketua kontingen menyifatkan penyertaan murid-murid PPKI dalam Program e-Mahabbah Pendidikan Khas ini mampu memberi pengalaman berguna kepada murid-murid.

“Program ini melibatkan murid-murid Islam dan bukan Islam khusus untuk murid-murid PPKI. Saya percaya aktiviti seperti ini dapat menanam sifat keberanian dan keyakinan diri murid terutamanya bila berhadapan dengan orang ramai” ujar beliau.

Murid-murid PPKI SMK Mutiara telah mengikuti 5 acara yang dipertandingkan. Adik Mohd. Syukrie Hafiz telah berjaya mendapat naib johan dalam acara e-Tarannum kategori lelaki menakala adik Sharif Izhar mendapat tempat ketiga dalam acara yang sama.

Dalam kategori perempuan pula, Adik Nur Fatirah Suriana juga berjaya menjadi naib johan dan adik Nurul Hidayah mendapat tempat ketiga.

Acara e-Hafazan kategori lelaki turut menyaksikan murid SMK Mutiara mendapat naib johan dan tempat ketiga melalui pencapaian adik Wan Ahmad Nabil dan adik Mohd. Taufiq Iqram. Sementara itu, kategori perempuan juga memperoleh pencapaian yang sama. Naib johan diraih adik Nuralyah dan tempat ketiga disandang oleh adik Hilda Nurul Ain.

Bagi acara e-Syarahan kategori lelaki, peserta SMK Mutiara iaitu Adik Muhamad Affiesz berjaya mendapat tempat ketiga. Kategori perempuan pula menyaksikan Adik Nuralyah mendapat naib johan dan adik Hilda Nurul Ain mendapat tempat ketiga.

Acara e-Sajak turut dipertandingkan untuk kategori lelaki dan perempuan. Adik Kelvinson Kho Chun Fatt telah berjaya membawa kegembiraan kepada kontingen SMK Mutiara dengan menjadi Johan manakala adik Adexrom merangkul tempat ketiga. Dalam kategori perempuan pula, Adik Jaclinda Arabella telah berjaya mendapat naib johan.

Acara terakhir yang dipertandingkan ialah acara e-Nyanyian Solo Terbuka di mana peserta SMK Mutiara iaitu adik Jamaluddin berjaya mendapat tempat ketiga.

Majlis Penutupan dan Penyampaian hadiah e-Mahabbah telah disempurnakan oleh Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan W. P Labuan pada 17 September 2020 jam 3.00 petang bertempat GSTB, SK Bukit Kalam.

Pn. Maimoon Bt Matnoh menyampaikan hadiah Naib Johan kepada Adik Nuralyah bagi acara e-Hafazan kategori perempuan Sekolah Menengah.