Ceramah “Utusan Terakhir” Mewarnai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat JPWPL

Labuan, 30 Oktober – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara dalam talian dengan disertai lebih daripada 250 orang warga pendidik di pejabat dan kediaman masing-masing pagi tadi .

Sambutan Maulidur Rasul ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 diketuai oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam manakala bacaan Surah Yassin dan bacaan doa selamat pula diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, JPWPL.

Ceramah Maulidur Rasul bertajuk ‘Utusan Terakhir’ telah disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Haji Ahmad Sharizal bin Mohd Saffian daripada Puzat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Labuan secara santai namun penuh ilmiah. Penceritaan tentang kehidupan, keperibadian dan langkah perjuangan Rasulullah bersama para sahabat dalam menegakkan syiar Islam di kota Mekah dan Madinah amat terkesan di hati pendengar.

“Mencintai Rasulullah s.a.w. itu tidak ada tempoh masa tertentu, ia perlu disemarakkan setiap hari dalam kehidupan seharian kita termasuk dalam konteks rumah tangga, kemasyarakatan sehingga kepada Negara”. katanya .

Tuan Haji Ahmad Sharizal menyampaikan ceramah “Utusan Terakhir”.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 2020M/1442H diadakan secara telesidang menggunakan aplikasi google meet dan Facebook live berjalan lancar.

Majlis tersebut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Puan Khaziyati binti Osman, Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua dan Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL , ustaz ustazah dan juga guru-guru di sekitar wilayah ini.

Dalam ucapannya Puan Khaziyati  berkata Majlis Sambutan Maulidur Rasul diadakan secara atas talian sebagai langkah untuk menjaga kemaslahatan bersama dalam usaha menangani Covid-19.

“Saya berdoa semoga Allah Ya Alim Ya Hakeem memberkati kita semua. Semoga seluruh warga Pendidikan di W.P. Labuan ini dikurniakan dengan pertambahan ilmu dan kebijaksanaan serta merahmati  majlis ini sebagai medium untuk meningkatkan kefahaman dan ilmu agama kita dalam memantapkan kecintaan kita kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w”.

Katanya lagi, 12 Rabi’ul Awwal pada setiap tahun adalah sangat penting untuk diraikan, sebagai tanda syukur dan bahagia dengan kelahiran dan perutusan Baginda Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam.

“Sesuai dengan tema Ummah Rabbani Negara Harmoni. Apabila ummah kembali kepada nilai-nilai agama Islam atau agama Rabb maka pastinya Negara berada dalam suasana harmoni. Maka bersama kita mengambil iktibar dari Pendekatan Nabi dalam menghadapi wabak covid-19 yang telah dikongsikan oleh Ustaz Ahmad Salehuddin bin Shafie, BPI KPM iaitu akronim PKP yang dirujuk sebagai Pencegahan, Kelebihan Berdoa Dan Pengamalan”. Katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Puan Khaziyati menyampaikan ucapan semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Beliau turut berdoa agar ceramah yang disampaikan tadi dapat meneguhkan jati diri dan akhlak kita sebagai seorang muslim yang bersama-sama membina Ummah Rabbani agar kita dapat hidup harmoni dalam Negara Malaysia tumpah darah kita ini.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan di akhiri dengan bacaan selawat yang dipimpin oleh Ustaz Haji Ahmad Sharizal.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Tuan Hj Abdul Rahman memimpin bacaan surah Yassin dan doa selamat semasa Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Loading

image_pdfimage_print