Kursus Kepimpinan Kokurikulum Memantapkan Keyakinan Murid SMKTPB

Labuan, 26 Feb – Unit Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Kokurikulum kali ke-5 bagi tahun 2021. Program ini berlangsung secara dalam talian melalui “Google Meet” bersama-sama dengan Pengetua, Penolong Kanan Kokurikulum, Jawatankuasa Induk Kokurikulum serta murid-murid yang telah dilantik menjadi Ahli Jawatan kuasa Induk bagi Kelab Persatuan, Pasukan Badan Beruniform dan Sukan Permainan.

Objektif program ini adalah untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada pelajar yang memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan dalam mengurus sesuatu organisasi yang mereka ceburi di sekolah. Seramai 98 murid dan 5 orang guru terlibat dalam program ini.

Program yang bermula pada jam 2.00 petang, dimulakan   dengan ucapan alu-aluan tuan Pengetua SMKTPB, Encik Ag. Rozlan bin Manan yang dalam ucapannya mengharapkan agar murid-murid yang telah dilantik menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan agar dapat memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin khususnya di dalam Kelab dan Persatuan.

Menurutnya, kecemerlangan diri seseorang murid dapat dilihat menerusi penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dari aspek pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan aktiviti akademik. Tegasnya, pemimpin perlu memimpin dan juga dipimpin. Kepimpinan ialah tenaga penting di sebalik kejayaan organisasi dan organisasi tidak boleh mencapai kejayaan tanpa kepimpinan yang berkesan. Tuan Pengetua turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan murid-murid yang diberi kepercayaan untuk menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan.

Ucapan oleh Pengetua Encik Awang Rozlan bin Manan

Program diteruskan dengan ucapan daripada Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Lau Chin Ying yang mengharapkan agar program yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SMKTPB ini dapat memberi manfaat kepada murid-murid khususnya yang dilantik menjadi AJK Induk bagi Kelab dan Persatuan.

Program dibahagikan kepada dua slot iaitu Slot 1 : Tugas-tugas dan Tanggungjawab AJK Induk dan Slot 2 : Pengurusan Fail Kelab dan Persatuan. Kedua-dua slot ini disampaikan oleh Puan Rosenani Farera Michael selaku Setiausaha Kokurikulum SMKTPB. Kursus ini bertujuan memantapkan kepimpinan murid,  dan membina keyakinan murid dalam menguruskan aktiviti kokurikulum, dan dengan harapan melahirkan generasi yang berkepimpinan bukan sahaja semasa berada di sekolah, bahkan diharap dapat dipraktikkan setelah tamat persekolahan.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Peserta-peserta kursus kepimpinan Ko-kurikulum

Loading

image_pdfimage_print