Pembudayaan Generasi Celik Al-Quran:SMK Mutiara Anjur Majlis Khatam Al Qur’an Peringkat Sekolah Siri 1 Bagi Program Al-Quran Dekat Dihatiku Tahun 2021
25 Februari 2021 – Sebagai satu usaha meningkatkan penghayatan Al- Quran, Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara, WP Labuan telah mengaktifkan pembudayaan amalan membaca Al-Quran di kalangan guru-guru dan para murid di SMK Mutiara dengan pengagihan setiap juzuk Al-Quran selama satu bulan. Program yang dinamakan sebagai Al-Quran Dekat Dihatiku ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dan menggalakkan daripada warga SMK Mutiara.
Agihan juzuk siri pertama ini telah diselaraskan oleh Ustaz Haji Zainal bin Abdul Wahab, pada 20 Januari 2021 melalui medium atas talian di media sosial sekolah yang telah disertai seramai 30 orang guru dan 30 orang pengawas SMK Mutiara. Justeru itu, pada 25 Februari yang lalu, Majlis Khatam Al-Quran Siri 1 ini yang buat julung kalinya telah diadakan di bawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam, yang diketuai oleh Ustazah Siti Sarah binti Abdul Majid selaku Ketua Panitia Pendidikan Islam di SMK Mutiara. Majlis Khatam Al Quran ini turut dihadiri oleh YDP PIBG SMK Mutiara iaitu Ustaz Ahmad Adha Ahmad Zohdi, sebagai tetamu jemputan dan seterusnya meraikan beliau yang akan berpindah ke semenanjung. Turut hadir dalam memeriahkan majlis ini ialah Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam WP Labuan, Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusuf.
“ Kepentingan warga pendidik SMK Mutiara yang saling bersatu hati dan terus istiqamah dalam memartabatkan Al-Quran, sentiasa membaca dan menghayatinya selalu agar menjadi benteng kekuatan untuk para pendidik supaya terus maju berjuang menyampaikan ilmu dalam landasan agama Islam, tidak kira mereka adalah guru akademik biasa atau guru pendidikan Islam. Inisiatif ini wajar dipuji dan terus diamalkan sebagai pembudayaan Al-Quran di sekolah”, ujar Ustaz Ahmad Adha Ahmad Zohdi dalam intipati ucapan khas amanat terakhir daripada YDP PIBG. Tambah beliau lagi, secara tidak langsung amalan ini akan menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak di SMK Mutiara dan paling utama ianya dapat memberi suntikan motivasi kepada mereka. Beliau juga sangat berharap, agar guru-guru yang dapat melantunkan bacaan Al-Quran dengan baik dan indah sekali, dapat bersama-sama memastikan anak-anak di SMK Mutiara kesemuanya berjaya menjadi anak-anak yang celik Al-Quran.
“Selain itu, Program Khatam Al-Quran seperti yang dianjurkan ini juga dapat memberikan suntikan rohani buat para pendidik. Semoga program sebegini dapat terus dilaksanakan oleh semua guru, disokong oleh pentadbir dan diamalkan oleh kesemua murid beragama Islam di SMK Mutiara pada masa akan datang secara berterusan. Saya akan terus memberi sokongan dan sentiasa bertanyakan khabar berita warga SMK Mutiara walaupun akan kembali bertugas di semenanjung”, tambah Ustaz Ahmad Adha Ahmad Zohdi selaku YDP PIBG SMK Mutiara yang telah menggalas amanah ini hampir 2 tahun.
Dalam Majlis Khatam Al-Quran Siri 1 kali ini, Ustaz Kamaruzzaman bin Mohd Razali telah menggalas tanggungjawab sebagai Khalifah. Manakala bingkisan doa khatam pula di baca oleh Ustaz Mohd Saifullizan bin Mat Yasin. Antara isi kandungan doa yang dibaca ialah memanjatkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana ramai pesakit yang dijangkiti virus COVID-19 di WP Labuan telah sembuh dan semakin berkurangan serta memohon doa juga agar Allah SWT sentiasa memelihara warga sekolah khususnya buat anak-anak di SMK Mutiara, titipan doa kejayaan buat murid Tingkatan 5 kohort 2020 yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemaslahatan masyarakat amnya. Menurut Ustazah Siti Sarah binti Abdul Majid, selain daripada membudayakan penghayatan Al-quran di bulan Rejab ini, secara tidak langsung pelaksanaan program ini dapat menyemarakkan rasa cinta dan menjunjung tinggi ajaran Islam yang disarankan oleh Al-Quran.
“Hubungan silaturrahim di antara warga SMK Mutiara dapat dieratkan khususnya sewaktu program dijalankan. Tahniah kepada Panitia Pendidikan Islam dan kesemua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ilmu dan rohani seperti ini”, kata Pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya bin Ahmad Puteh. Tambahnya lagi, kesepakatan yang ditonjolkan ini selari dengan matlamat sekolah dalam memacu kecemerlangan iaitu semangat berpasukan, bertekad cemerlang.
Di akhir Majlis Khatam Al-Quran Siri 1 ini, Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusuf turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan pentadbir dan barisan asatizah serta para qari dan qariah peserta khatam Al-Quran SMK Mutiara atas pelaksanaan program yang mulia ini. Beliau juga mengucapkan tahniah atas lantunan pembacaan Al-Quran yang baik. Harapan beliau agar semua yang terlibat dalam majlis yang penuh barokah ini mendapat keberkatan daripada Illahi dan ditulis nama oleh para malaikat sebagai ahli taman syurga yang hakiki kelak.