Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SMK Rancha-Rancha Kali Ke-8 Tahun 2021

Labuan, 10 April 2021. Buat julung kalinya Mesyuarat Agung PIBG SMK Rancha-Rancha kali ke-8 dilaksanakan menggunakan kaedah atas talian iaitu Google Meet selaras dengan ketetapan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dengan kehadiran seramai 116 orang ahli.

Pengetua SMK Rancha-Rancha iaitu Encik Wan Azman bin Wan Awang selaku penasihat PIBG SMK Rancha-Rancha, telah menyatakan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua ibu bapa yang hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Rancha-Rancha kali ke-8. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan sumbangan PIBG sepanjang tahun 2020 serta berharap agar ibu bapa dan AJK PIBG akan terus memberikan sokongan, kerjasama dan sumbangan kepada program-program yang akan dilaksanakan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2021.

Dalam ucapan YDP PIBG SMK Rancha-Rancha, Encik Awang Adi bin Tuah menyatakan kesyukuran dan terima kasih dengan kehadiran ibu bapa yang sangat menggalakkan. Hal ini menunjukkan bahawa ibu bapa sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan dan perkembangan anak-anak di sekolah walaupun berdepan dengan situasi pandemik covid-19. Beliau turut menyatakan bahawa sepanjang pandemik covid-19 ini, pihak sekolah sentiasa berusaha memberikan pendidikan yang terbaik dan menjaga kesihatan murid-murid dengan melaksanakan SOP yang ditetapkan.

Antara usul dan cadangan yang dibincangkan semasa mesyuarat ini ialah pelaksanaan kelas tambahan bagi pelajar tingkatan 3 dan 5, pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara bersemuka, mewujudkan komunikasi yang efektif antara ibu bapa / penjaga dengan guru mata pelajaran dan program-program kebajikan bagi membantu murid yang kurang berkemampuan.

Melalui mesyuarat ini, ibu bapa sebulat suara bersetuju dengan cadangan dan sokongan untuk mengekalkan sumbangan PIBG sebanyak RM50 untuk setiap keluarga. 

Puan Norfeaizah binti Awang selaku setiausaha PIBG SMK Rancha-Rancha mengucapkan terima kasih atas kehadiran ibu bapa yang sangat menggalakkan dan kerjasama ibu bapa dengan memberikan usul serta cadangan yang sangat memberansangkan bagi pembangunan murid dan sekolah.

Turut hadir dalam mesyuarat ini, Naib Yang DiPertua PIBG SMK Rancha-Rancha, Puan Rosnani bin Daud, semua AJK PIBG dan guru-guru SMK Rancha-Rancha.

Kehadiran ibu bapa dan guru

Loading

image_pdfimage_print