PROGRAM GALAKAN MEMBACA : JOM BACA 10 MINIT
LABUAN : Majlis Pelancaran Jom Baca 10 Minit peringkat SMK Mutiara telah diadakan pada 22 April 2021 bermula pada pukul 11.00 – 11.10 pagi. Aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah ini telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Mutiara , Encik Yahya bin Ahmad Puteh.
Dalam Majlis yang sama juga, Pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya bin Ahmad Puteh telah berbesar hati menyumbangkan hadiah wang tunai kepada murid-Murid Yang Membaca Paling Banyak serta Merekod Bahan Bacaan dengan matlamat memberikan motivasi kepada murid-murid. Bukan kepada murid-murid sahaja, bahkan hadiah wang tunai yang lumayan juga disediakan untuk guru-guru yang menyahut cabaran, Guru Yang Paling Banyak Mmbaca.
Program Membaca 10 minit merupakan satu program yang diadakan bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan murid. Antara matlamat yang ingin dicapai sepanjang program ini ialah mewujudkan budaya mementingkan ilmu. dan memupuk budaya membaca dalam diri pelajar. Walaupun tabiat membaca amat sukar disemai tetapi dengan adanya usaha-usaha sebegini,diharap dapat membuka mata murid-murid bahawa sebagai permulaan,, dalam sepuluh minit pun sudah mencukupi untuk membiasakan diri membaca.
Jom Baca 10 minit juga melibatkan peranan guru-guru yang masuk ke kelas untuk memastikan murid-murid melakukan kegiatan membaca. Kerjasama seperti ini sudah pasti dapat mengukuhkan tabiat membaca yang kurang dititikberatkan oleh murid-murid. Dalam masa 10 minit, semua warga sekolah diminta berhenti seketika daripada tugasan yang dilakukan untuk memberi laluan pada aktiviti membaca. Pelbagai aktiviti dan insentif diberikan bagi menggalakkan dan memotivasikan murid-murid mahupun guru supaya rajin membaca dan merekodkan bahan yang telah dibaca sebagai kesinambungan aktiviti NILAM.(Nadi Ilmu Amalan Membaca).
Tema Jom Baca 10 minit bagi tahun ini ialah “Baca itu Terapi”.Penggunaan bahan bacaan sebagai bentuk terapi dipanggil biblioterapi. Biblioterapi ialah satu bentuk terapi yang menggunakan buku sebagai bahan untuk membantu individu yang berdepan dengan isu psikologi, sosial dan emosi. Hal ini bermakna ,jika anda mengalami stres atau tidak tenang,cubalah membaca buku yang diminati untuk merawatnya.
Antara manfaat membaca adalah untuk menggalakkan kita berfikir. Satu aktiviti yang produktif dan sangat baik untuk kesihatan mental. Aktiviti membaca boleh meningkatkan empati, menajamkan fikiran dan memberi kesan positif kepada tingkah laku. Selain itu,membaca juga dapat meningkatkan jati diri, kreativiti dan keyakinan seseorang di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Kita juga boleh berkongsi bahan bacaan dengan rakan-rakan atau orang lain bagi mempelbagaikan genre bahan bacaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa konsep membaca bukan hanya terletak pada buku fizikal semata-mata. Dalam suasana pendemik Covid-19 masa ini, norma baharu budaya membaca pasti berubah. Oleh itu kegiatan membaca lebih banyak dilakukan secara maya iaitu dalam talian. Namun untuk mendapatkan kesan lebih efektif, buku fizikal lebih dominan kerana dapat dipegang dan boleh mengenali bau buku.serta penerangan yang terperinci.
Pendek kata, minat membaca harus dipupuk dari kecil kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa memainkan peranan penting mendidik anak-anak mencintai dan menyayangi buku yang memberikan pelbagai ilmu pengetahuan. Manakala pihak sekolah terutamanya unit pusat sumber sekolah akan melaksanakan pelbagai aktiviti galakan membaca selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan murid-murid sentiasa sedar akan tanggungjawab dan keperluan membaca.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Masri bin Ayong, Penolong Kanan Kokurikulum, En Jostelen bin Lamibai, Guru Kanan Bidang Bahasa, Puan Nah Mat dan dan Guru Penyelaras Media iaitu Puan Shamsiah Binti Ambo.
Berita Oleh : SMK Mutiara