SMK Mutiara Ke Hadapan Dalam Usaha Melestarikan Alam Sekitar Dalam Sambutan “HARI BUMI”
Labuan, 22 April – Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara telah menyambut Hari Bumi dengan mengadakan Majlis Penutupan Kempen “Stop Pollution,Go-Lution” . Sambutan Hari Bumi dan kempen yang dijalankan bertujuan menjaga kelestarian alam sekitar di Wilayah Persekutuan amnya dan di SMK Mutiara khususnya. Kempen ini juga dapat meningkatkan kesedaran warga sekolah untuk membuang sisa e-waste secara bertanggungjawab.
Hari Bumi peringkat Wilayah Persekutuan Labuan disambut dengan jalinan kerjasama bersama Jabatan Alam Sekitar dan Perbadanan Labuan. Manakala kumpulan Eco-Alfa Go dengan kerjasama Kumpulan Pengakap ke 15, Kelab STEM +, Panitia Bahasa Inggeris, Panitia Sains dan Unit Bimbingan dan kaunseling telah menganjurkan Sambutan Hari Bumi di Peringkat SMK Mutiara.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Encik Yusup bin Haji Mohamad dalam ucapan alu-aluannya berasa amat berbangga dengan usaha SMK Mutiara kerana mereka telah berjaya menganjurkan kempen dan sambutan Hari Bumi melalui kumpulan murid Eco-Alfa Go yang telah menyertai pertandingan program Toyota Eco Youth 2020/2021 peringkat kebangsaan.
Sambutan Hari Bumi mengingatkan manusia agar mempunyai rasa tanggungjawab dan sayang akan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.
“Walaupun kempen hanya dilaksanakan dalam masa sebulan, saya berharap sikap sayang akan bumi sentiasa berterusan sampai bila-bila.” Encik Yusup Haji Mohamad
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti Jabatan alam Sekitar,Perbadanan Labuan, Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Tanah dan Galian, Pengakap Labuan , Majlis Belia Labuan, Syarikat Supply Base, Labuan United, Elora Apparel dan Skipper Corner dalam usaha membantu sekolah melahirkan individu yang mencintai bumi dan alam sekitar.
Manakala dalam ucapan perasmian Encik Amir Hamzah bin Hj Musa selaku Pengarah Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa kempen yang dilaksanakan sangat menarik dan kreatif. Kempen ini selari dengan usaha masyarakat dunia dalam menyambut Hari Bumi yang jatuh pada 22 April 2021 setiap tahun.
Menurutnya,Hari Bumi bermula pada tahun 1970 dan merupakan hari dedikasi untuk bumi dengan harapan akan menyedarkan penduduk bumi mengenai kepentingan menghargai bumi. Tema Hari Bumi pada tahun ini ialah “Pulihkan Bumi Kita“ (Restore Our Earth) . Tema ini memberi mesej kepada manusia bahawa bumi sedang sakit dan sedang mengalami kemusanahan.
“Salah satu contoh tanda bumi sedang sakit apabila suhu masa ini semakin meningkat. Malangnya, tidak ada doktor khas untuk memulihkan bumi seperti mana manusia yang sakit, boleh mendapatkan ubat dengan berjumpa doktor. Justeru, Stop pollution, Go – Lution merupakan satu contoh aktiviti yang bisa merawat dan memulihkan bumi“, Kata Encik Amir Hamzah yang berharap kempen ini menjadi satu budaya bagi mendidik manusia menghargai bumi.
Kempen yang menyokong Hari Bumi ini, berlangsung selama sebulan bermula 14 April hingga 30 April 2021. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Jom Kitar Semula, E-Waste Collection, Papan Info Alam Sekitar, Kuiz Alam Sekitar, HIP – Pertandingan Menulis Esei Bahasa Inggeris bertemakan alam sekitar, Ramadan dan kelestarian Alam dan Jom Hipicking di Sekolah.
Selain itu jalinan kerjasama antara pihak Jabatan Muzium Labuan juga telah dilaksanakan dalam kempen “ Jom Hipicking di Chimney Walking Trail” yang terdiri daripada adik Matthew Chew Kah Ming, Daniel Dean Jason, Muhammad Najmi bin Mohd Hasnizan, Nur Syafiqah binti Friddin dan Puan Angela Joseph selaku guru pembimbing juga telah membangunkan satu aplikasi Go-Lution yang bertujuan memberikan motivasi supaya sama-sama menjaga kelestarian alam sekitar melalui aktiviti HiPicking Go – Lution. Aplikasi ini boleh merekodkan jumlah sampah yang telah dikutip di samping menyimpan rekod laluan dan jarak yang dilalui. Individu yang aktif mengunakan aplikasi ini boleh mengumpul mata digital untuk mendapatkan lencana legend. Penglibatan komuniti dalam kempen ini juga tidak terkecuali.
Di samping itu diadakan juga pertandingan mewarna , melukis poster dan “Upcycle” yang dibuka penyertaannya kepada semua sekolah rendah dan menengah. Seramai 195 orang menyertai pertandingan ini dan nama pemenang petandingan telah diumumkan dalam majlis sambutan Hari Bumi tersebut.
Sambutan Hari Bumi diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertanggungjawab bagi menjaga kebersihan alam sekitar. Masyarakat perlu memelihara dan memulihara alam sekitar agar selamat untuk diduduki oleh generasi akan datang. Pelbagai alternatif boleh dilaksanakan oleh penghuni bumi agar bumi tidak terancam oleh kemusnahan yang dilakukan oleh manusis sendiri.
Berita Oleh : SMK Mutiara