Bengkel Pengkarya Muda Anjuran Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha Hasilkan Penulis Muda Di Peringkat Sekolah Lagi

Labuan, 25 Mei 2021 – Dalam dunia moden hari ini, semua orang adalah penulis.Tanpa kita sedari sebenarnya  tugasan harian kita sebagai contoh menyelesaikan tugasan rumah dan tugasan kolej, kertas penyelidikan, laporan makmal atau memberi maklum balas, menaip nota mesyuarat, memo, e-mel, dan menghantar kad ucapan semasa majlis-majlis khas merupakan hasil penulisan yang tidak kita komersilkan . Bukan itu sahaja, di media sosial sahaja terdapat banyak aktiviti menaip dan penggunaan hashtag. Jika kita mampu melakukan semua ini, kita juga boleh menjadikan penulisan professional sebagai kerjayakita.

Pusat sumber sekolah bukan sahaja berfungsi sebagai tempat rujukan untuk mendapatkan ilmu,  malahan lebih jauh dari itu ianya juga boleh dijadikan  sebagai  tempat untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan. Pelbagai buku rujukan dalam bidang penulisan telah tersedia di Pusat Sumber Sekolah. Pelajar perlu mengisi masa mereka  dengan aktiviti yang berfaedah misalnya membaca buku atau novel dan ini akan menjadikan mereka generasi yang berilmu serta tajam fikiran. Pengisian masa lapang akan lebih bermakna lagi sekiranya warga sekolah turut serta dalam program ilmu yang dirancang oleh Pusat Sumber ini iaitu Bengkel Pengkarya Muda.

Melihat kepada peri pentingnya bidang penulisan kepada generasi muda khususnya pelajar, maka Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Bengkel Pengkarya Muda. Program telah dijalankan pada 4 Mei 2021. Program ini merupakan program kolaboratif bersama dengan Sektor Sumber Teknologi dan Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Antara lain objektif program ini adalah melahirkan pelajar yang lebih cekap dalam pengurusan masa dengan aktiviti berfaedah seperti menulis serta pelajar dapat menambah ilmu dan pengalaman melalui kepelbagaian aktiviti yang di laksanakan  oleh pengurusan pusat sumber sekolah. Bengkel ini juga diharap dapat membolehkankan pelajar mengetahui  kepelbagaian aktiviti yang dirancang oleh Pusat Sumber Sekolah dalam masa yang sama dapat menggerakkan program aktiviti galakan membaca. Akhir sekali kem ini juga diharapkan dapat memupuk minat membaca dan menulis secara berterusan diperingkat awal dengan keterlibatan pelajar sekolah rendah.

Sasaran program anjuran Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha untuk program ini ialah guru-guru serta pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh Malaysia. Seramai 987 orang telah mendaftar menyertai program tersebut. Program yang dilaksanakan secara atas talian ini menggunakan platform google meet dan pelantar youtube di channel Ranchas Production . Antara sekolah yang telah menyertai program ini ialah Sekolah Kebangsaan Tangok Bachok Kelantan, SMK Tanjung Puteri Resort Pasir Gudang Johor, SMK Hang Kasturi  Melaka, SK Bandar Raub Pahang, SMK Sultanah Bahiyah Kedah, SK Kg. Kitingan Tawau Sabah, Sekolah Menengah Kebangsaan Maran Pahang, Kolej Vokasional Labuan, SMK Putrajaya Presint 9 ( 2 ) W.P Putrajaya, SMK Bintulu Sarawak, Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Indera Wangsa Ahmad Perak, Kolej Tingkatan Enam Desa Murni Pulau Pinang, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Razali Ismail Terangganu dan SMK Rancha-Rancha W.P Labuan.

Penolong Pengarah  Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Labuan , Puan Norsiah Binti Sulaiman  ketika ucapan alu-aluannya berkata “Tujuan Bengkel Pengkarya Muda ini ialah untuk menggalak dan melahirkan murid yang berbakat dalam penulisan pelbagai karya kreatif seiring dengan Program NILAM Kebangsaan. Bengkel ini juga bertujuan untuk melestarikan budaya pembacaan berkualiti dalam kalangan murid di samping membantu dalam proses pencarian ilmu pengetahuan dan penguasaan literasi maklumat”. Tambah beliau lagi , “Saya ingin lihat daripada penganjuran bengkel  bakat dan mahu peserta pergi jauh, jadikan bidang penulisan  sebagai satu kerjaya yang berjaya dan menjamin masa depan di samping guru serta pelajar dapat berkarya di peringkat sekolah dengan penghasilan laporan serta cerpen yang boleh dihantar ke blog serta surat khabar tempatan. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pusat sumber DSDN SMK Rancha-Rancha yang aktif menganjurkan program secara percuma untuk pelajar-pelajar di W.P Labuan serta di seluruh Malaysia.

Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Labuan , Puan Norsiah Binti Sulaiman

Penceramah jemputan iaitu Dr Zuridah Hanim binti Dato Md Akhir ,  Ikon GPM Kebangsaan 2021 ketika taklimatnya  berkata guru serta pelajar perlu berani menukar pengalaman mereka kepada bentuk penulisan yakni buku. Ujarnya lagi baik atau buruk pengalaman seseorang itu pasti akan akan menjadi ibrah kepada orang lain. Ketika memberi taklimat kepada peserta program, beliau juga memberi 10 perkara yang menjadi dosa besar sekiranya seseorang itu ingin menjadi penulis antarannya adalah penulis berharap karya mereka cepat siap dan sempurna di mata pembaca. Selain itu beliau juga menyatakan kesalahan yang sering dilakukan oleh seseorang yang ingin menjadi penulis adalah selalu memberikan alasan tidak mempunyai masa walhal kita diberi 24 jam sehari oleh Tuhan. Pendapat yang sering diberikan  oleh masyarakat adalah penulis mesti dari kalangan orang sastera walhal ujar beliau kita boleh menulis dalam pelbagai bidang ilmu yang kita kuasai misalnya guru sains boleh menulis buku tentang bidang sains.

Penceramah jemputan iaitu Dr Zuridah Hanim binti Dato Md Akhir , Ikon GPM Kebangsaan 2021

Cikgu sapri bin Idris selaku Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha bersyukur kerana program yang dirancang dapat berjalan dengan lancar hasil kerjasama semua pihak termasuk ahli jawatankuasa teknikal program yang terdiri daripada guru dan pelajar SMK Rancha-Rancha. Sokongan daripada rakan-rakan guru dari seluruh Malaysia telah membolehkan Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dapat berkongsi ilmu kepada komuniti guru dan pelajar. Selama 2 jam berlangsungnya program tersebut peserta program dapat menimba ilmu daripada penceramah jemputan. Cikgu Sapri bin Idris berharap program tersebut dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan.

Seorang peserta program iaitu saudara Muhammad Diniy bin Kamil daripada SMK Rancha-Rancha berkata “ saya sangat teruja menyertai program ini kerana saya merupakan setiausaha Kelab Pusat Sumber Sekolah dan ilmu yang saya perolehi pada hari ini akan membantu saya menjadi seorang penulis yang berdisplin. Selain itu,  seorang peserta program daripada SMK Maran Pahang iaitu  saudara Danish Haiqal bin Rosli berkata “ saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pusat sumber DSDN SMK Rancha-Rancha kerana menganjurkan program ilmu ini dengan melibatkan pelajar dari seluruh Malaysia. Sesunguhnya program ini memberi impak yang positif kepada pelajar khususnya yang berminat dalam bidang penulisan.

Muhammad Diniy bin Kamil