36 Pelatih Dari 3 Buah Sekolah Program Vokasional Menengah Atas Kohort 2019 Terampil Dan Layak Menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 Di Labuan

Labuan, 29 Mei – Satu kejayaan yang membanggakan bagi Labuan apabila kesemua 36 calon pelatih PVMA yang menduduki Penilaian Khas Akhir pada 6 hingga 8 April 2021 telah di perakui terampil dengan tahap pencapaian Tahap 2.

Jawatankuasa Senat Persijilan Kemahiran Malaysia yang bermesyuarat pada 27 Mei 2021 telah menyemak dan meneliti maka dengan itu meluluskan keputusan penilaian tersebut. Kesemua 16 negeri terlibat dalam mesyuarat ini bersama Pengarah BPLTV Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia.

Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin, Ketua Penolong Pengarah, Unit TVET, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan yang merupakan pegawai meja bagi program ini berkata sekolah yang terlibat ialah SMK Taman Perumahan Bedaun, SMK Pantai dan SMK Lajau.

Sekolah ini menawarkan Program Vokasional Menengah Atas seperti Penyediaan dan Pembuatan Makanan di SMK Pantai, Pembuatan Pakaian Wanita di SMK Lajau dan Artis Multimedia-Visual di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Pengurusan induk untuk program ini adalah di peringkat Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia.

Di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri program ini di kawal selia oleh Unit TVET Sektor Pembelajaran dan di peringkat sekolah di urus oleh Pengetua sebagai PBC, guru – guru PVMA sebagai PP dan seorang penyelaras sebagai PPD. Untuk Penilaian Khas tahun ini ia tetap berjaya dilaksanakan walaupun dalam suasana yang terhad akibat pandemic Covid-19. Penilaian telah diadakan secara dalam talian dari 6 hingga 8 April dengan cemerlang.

Pembentangan Penilaian Akhir Labuan oleh Encik Mohamed Al Ghaffar bin Haji Mohamed Maidin KPP TVET SPb JPWPL

Program PVMA memberi nilai tambah kepada kemenjadian murid. Melalui program ini murid memperolehi dua persijilan, iaitu SPM serta pernyataan MPAK bagi mata pelajaran akademik yang tertentu dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Bagi memastikan kelancaran PVMA, 12 kursus telah dikenal pasti di seluruh negara. Apa yang menjadi kebanggaan ialah bagi seluruh Malaysia, hanya di SMK Taman Perumahan Bedaun, Labuan sahaja yang menawarkan subjek program Artis Multimedia-Visual.

Encik Mohamed Al- Ghaffar berharap agar semua pelajar PVMA yang mengikuti program ini mendapat ilmu dan kemahiran yang bermanfaat. Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada Pengetua, guru-guru PVMA, ibu bapa serta pelajar yang terlibat di dalam program PVMA ini. Secara tidak langsung, melalui program ini telah membuka peluang yang luas untuk pelajar-pelajar mendapat pekerjaan dibidang industri, perhotelan dan lain-lain yang berkaitan.

Berita Oleh : Unit TVET, Sektor Pembelajaran