Meningkatkan Kompetensi Guru Pendidikan Islam
Bengkel Integrasi Digital Dalam PdP Pendidikan Islam

Labuan, 19 Julai Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) berjaya menganjurkan Bengkel Integrasi Digital Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam secara dalam talian yang diadakan pada Sabtu lalu.

Bengkel Integrasi Digital yang diadakan merupakan satu usaha untuk meningkatkan profesionalisme guru Pendidikan Islam ke arah melahirkan warga pendidik yang bermaklumat tentang kaedah pengajaran yang terkini melalui perkongsian kepakaran dalam dunia digital.

Turut hadir sama dalam program itu Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustazah Kamariah binti Salim dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha merangkap Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM ustaz Wan Azman bin Wan Awang.

Seramai 94 peserta yang terdiri daripada guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah menengah dan sekolah rendah di wilayah ini menyertainya.

Menurut Wan Azman, Integrasi digital dalam PdP memainkan peranan penting seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan terkini. Ini kerana penggunaan teknologi dalam pendidikan akan memberi kesan terhadap perubahan sistem dan kualiti pendidikan yang dilaksanakan oleh guru. Diharapkan juga agar bengkel ini dapat meningkatkan kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) GPI di wilayah ini.

PERKONGSIAN ILMU yang sangat menarik dan interaktif daripada Jurulatih Google Classroom negeri Johor, ustaz Yusri Yusoff

Bengkel ini telah dikendalikan oleh ustaz Yusri bin Yusoff, Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, Johor sebagai penceramah jemputan. Merupakan penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi juga merupakan admin digital classroom negeri Johor.

Antara perkongsian Ilmu yang telah disampaikan oleh penceramah ialah berkaitan keperluan Digital, aplikasi digital dalam PdP, Peranan Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Kepentingan Teknologi Pendidikan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

Menurut Yusri, Integrasi Digital menjadi kaedah terbaik untuk meneruskan pendidikan apabila pendemik COVID-19 melanda untuk memastikan bahawa sesi pembelajaran tidak terganggu.

“Teknologi menjadikan proses PdP akan menjadi lebih menarik dan berkesan di dalam kelas maya.  Melalui interaksi digital proses PdP dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana murid-murid akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk di fahami”.

Katanya lagi, guru akan lebih kreatif dan inovatif dalam PdP mereka  malah keberkesanan hasil dan objektif pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku dengan mudah dan terancang.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Kamariah binti Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan serta komitmen guru yang hadir pada petang Sabtu tersebut.

“Kita memahami atas kekangan masa rutin guru di sekolah yang padat, namun berupaya hadir memenuhi undangan ceramah. Alhamdulillah pada petang ini beliau berkesempatan bersama kita berkongsi ilmu pendigitalan yang sedang hangat diperkatakan oleh warga pendidik.” katanya dalam ucapan penutupan.

“Sesungguhnya Pendemik Covid-19, secara tidak langsung mengandungi hikmah yang amat luar biasa. Warga pendidik tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teknologi digital bagi kelangsungan proses PdP. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ini terutamanya untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

BERUCAP: Ustazah Kamariah menyampaikan ucapan penutupan di dalam bengkel tersebut.
KENANGAN: Peserta kursus sempat merakamkan gambar bersama penceramah selepas selesai bengkel integrasi digital.