“Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” Semarakkan Sambutan Maal Hijrah 1443H Warga Pendidikan di WP Labuan
Labuan– Sambutan Maal Hijrah 1443H terus dihayati dan disemarakkan oleh warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Bebuloh (SKB) dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL telah diadakan secara dalam talian baru-baru ini dimeriahkan dengan kehadiran dua selebriti terkenal Hafiz Hamidun dan Hazamin Inteam.
Tema Sambutan Maal Hijrah tahun ini “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” amat bertepatan dengan realiti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.
Sikap saling hormat menghormati, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah ini, negara memerlukan kesatuan fikrah dan hala tuju dalam menghadapi kekalutan dunia yang sedang bergelut dengan pendemik COVID-19 serta isu yang menghimpit masyarakat. Namun dalam apa jua cabaran yang dihadapi kebajikan, kemanusiaan, nilai kasih sayang dan bakti kepada ummah merentasi agama dan bangsa.
Majlis Maal Hijrah dimulai dengan bacaan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Haji Sahrum bin Samlan bermula jam 6.00 petang. Diikuti dengan bacaan doa awal tahun dibawah pimpinan saudara Hafiz Hamidun dan bacaan surah Yaasin yang dipimpin oleh saudara Hazamin Inteam .
Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusop bin Haji Mohamad dalam ucapannya mengajak warga pendidikan agar bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi negara tercinta disamping sentiasa berjiwa besar dalam mendepani apa jua cabaran selain mempunyai keyakinan dan emosi yang kukuh ketika berdepan pandemik COVID-19.
“Saya menyeru kepada diri saya dan saudara saudari sekalian, marilah bersama-sama kita menjiwai peristiwa hijrah. Kita memasang azam dan iltizam untuk berusaha lebih kuat di tahun baru hijrah ini agar kejayaan yang lebih tinggi dan impian yang mahu direalisasikan dapat dizahirkan dengan sempurna. Mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kehidupan masing-masing serta meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
“Kesukaran hidup kesan wabak telah dirasai dan memerlukan motivasi dan semangat juang yang tinggi. Paling penting adalah bagaimana semangat persaudaraan Muhajirin dan Ansar wajar dipraktikkan oleh kita semua dalam usaha membantu mereka yang hilang mata pencarian mereka akibat wabak yang telah melanda,” katanya lagi.
Sementara itu, Guru Besar SK Bebuloh, Encik Abdul Rahman bin Salim turut terima kasih kepada ibu bapa murid-murid SK Bebuloh atas yang diberikan dan pengorbanan dalam memastikan anak-anak mengikuti pembelajaran di rumah.
Majlis yang disertai seramai 250 peserta melalui aplikasi ‘Google meet’ dan turutdisiarkan melalui ‘facebook live SK Bebuloh’ turut dihadiri oleh Timbalan- timbalanPengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua, Guru Besar, pegawai-pegawai di JPWPL, ustaz ustazah, guru-guru di WP Labuan dan seluruh Malaysiadari kediaman masing-masing.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam