Rangkuman JPWPL Sana Sini Oktober-Disember 2023: BENGKEL KEPIMPINAN DAN HIGH PERFORMANCE TEAM 2023

Sektor Sumber Manusia dan Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL telah mengadakan dengan jayanya Bengkel Kepimpinan & High Performance Team pada 6-8 November 2023 yang melibatkan para Pengetua dan Guru Besar di sekolah-sekolah Labuan.

Program yang memberi penekanan kepada aspek pengukuhan kapasiti kepimpinan tersebut turut disertai kepimpinan tertinggi JPWPL termasuk Pengarah serta Timbalan-Timbalan Pengarah JPWPL serta KPP SSM.Turut terlibat dalam program kali ini adalah penceramah dari IAB serta KKPN JPN Sabah. Disamping didedahkan dengan kemahiran-kemahiran teori, peserta jua turut dimantapkan lagi dengan aktiviti-aktiviti outdoor dan fizikal yang telah diadakan di Pulau Manukan Kota Kinabalu.

Program tersebut turut mendapat maklumbalas positif dari peserta dan rata-rata berharap kesinambungan program ini akan dapat diadakan pada masa akan datang.




Rangkuman JPWPL Sana Sini Oktober-Disember 2023: KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN CUTI, ELAUN DAN KENAIKAN PANGKAT

Sektor Sumber Manusia JPWPL telah mengadakan dengan jayanya Kursus Pemantapan Pengurusan Cuti,Elaun dan Kenaikan Pangkat kepada AKP – AKP yang terlibat dalam mengendalikan urusan tersebut di Sekolah dan Jabatan. Kursus yang telah diadakan pada 6-8 Oktober 2023 di Miri Sarawak tersebut telah dihadiri hampir 40 peserta dari pelbagai sektor dan sekolah-sekolah di Labuan.

Disamping memberi panduan dan pendedahan terkini berkenaan dengan Pengurusan Cuti,Elaun dan Kenaikan Pangkat, sebagai tambah nilai kursus ini juga berjaya merapatkan lagi jalinan yang lebih erat antara SSM serta semua AKP sebagai sebuah pasukan yang padu dan mantap demi kecemerlangan JPWPL.

Semoga kerjasama yang erat ini akan dapat diteruskan utk program akan datang.




Anugerah DUTA 2023

Labuan, 6 Disember 2023 – Anugerah DUTA 2023 ( Digital Utilisation and Technology Awards ) Peringkat negeri telah diadakan di Auditorium Institut Latihan Perindustrian Labuan. Majlis yang diadakan secara tahunan ini telah disertai oleh 11 buah sekolah menengah dan 17 buah sekolah rendah. Majlis pada tahun ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W.P Labuan Encik Yahya bin Ahmad Puteh

Dalam ucapannya perasmiannya, Encik Yahya bin Ahmad Puteh berkata, budaya inovasi hendaklah diberi keutamaan untuk membawa perubahan dan pembaharuan dalam sesuatu organisasi. Hal ini memberi nilai tambah positif kepada usaha ke arah pengajaran dan pemudahcaraan berkesan dan dinamik ke arah transformasi yang berterusan. Guru mestilah memainkan peranan dan bertanggungjawab yang amat penting dalam tonggak kemajuan murid-murid. Dalam bidang ICT pula, fokus adalah kepada inisiatif pembestarian sekolah dan pengukuhan pembelajaran DIGITAL atau DIGITAL LEARNING. Tambah beliau :

Aktiviti Asas Literasi Maklumat merupakan proses pembelajaran sepanjang hayat melalui kaedah pembelajaran. Program Nilam khususnya perlu dilestarikan dan dilaksanakan secara berterusan. Pusat Sumber Sekolah mestilah dilibatkan secara langsung dalam aktiviti penghasilan bahan pembelajaran digital. Pelancaran TVPSS yang akan menjadi pemangkin digitalisasi di peringkat sekolah dan bakat-bakat pelajar terserlah contohnya dalam bidang pengacaraan, bidang kewartawanan, merakam video dan sebagainya.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W.P Labuan   Encik Yahya bin Ahmad Puteh

Majlis Anugerah Digital Utilisation and Technology Award (DUTA) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2023 merupakan salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh pihak sekolah, para guru dan murid-murid yang cemerlang dalam usaha untuk melestarikan pembudayaan pendigitalan sekolah yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara seterusnya melahirkan anak-anak yang baik lagi cerdik.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan , Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP)  Encik Mohammad bin Pindut berkata bahawa pendidikan digital memainkan peranan penting dalam pembangunan modal Insan negara. Hasrat negara terletak di bahu kita untuk membantu melahirkan murid-murid celik dan fasih digital yang berupaya menggunakan teknologi digital secara kreatif dan inovatif untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan keberkesanan komunikasi dan menghasilkan inovasi.

Bacaan ikrar oleh barisan pentadbir sekolah dan penerima anugerah Majlis Anugerah DUTA 2023

Pada tahun ini sebanyak 179 hadiah untuk anugerah telah disampaikan dalam majlis ini merangkumi kluster Anugerah Anugerah NILAM , Pertandingan Bicara Buku, Pertandingan Pengkarya Muda, Pertandingan Video Kreatif, Pertandingan Digital Story Telling, Pemerkasaan Pendidikan Digital, Pembudayaan DELIMA, TVPSS , Pengurusan Sumber & Teknologi Pendidikan dan Anugerah Khas & Ikon.

Anugerah Emas merupakan hadiah utama Digital Utilisation and Technology Awards peringkat negeri W.P Labuan 2023. Pada tahun ini kategori Sekolah Menengah dan PPKI telah dimenangi oleh SSN Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dan Sekolah Rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Pekan 2. Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah ketua-ketua sektor , pegawai jabatan dan  semua pengetua serta guru besar sekolah menengah dan rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Oleh : Cikgu Sapri, SMK Rancha-Rancha

Nasrullah bin Hanudin Naib Johan Ikon Pengawas Pusat Sumber Peringkat Kebangsaan 2023



LAPORAN TAKLIMAT PENGURUSAN PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU (PIBG) BIL 2/2023

JABATAN PENDIDIKAN WP.LABUAN

09 DISEMBER 2023

BILIK MESYUARAT BUNGA RAYA, TINGKAT 8, KOMPLEKS UJANA KEWANGAN.

Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan WP.Labuan telah mengadakan sesi Taklimat Pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Perkongsian Amalan Terbaik kepada YDP PIBG sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di WP.Labuan. Taklimat ini juga turut dihadiri oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di setiap sekolah, bertempat di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Kompleks Ujana Kewangan pada 09 Disember 2023.Taklimat ini bertujuan memperkasakan lagi pengurusan PIBG disemua sekolah khususnya sekolah-sekolah di WP.Labuan.

Selain itu, YDP PIBG dari sekolah Kebangsaan Bebuloh, En.Asmadi bin Hj.Ahmad telah  berkongsi Amalan Terbaik “1K1R” iaitu 1 Keluarga 1 Rumah Sukan, yang telah berjaya dilaksanakan di peringkat sekolah. Manakala YDP PIBG sekolah Kebangsaan Kerupang, En.Madzan bin Md.Yunus juga turut berkongsi Amalan Terbaik bertajuk D’Voice 2.0 ( Suara Dangsanak).Program ini juga telah berjaya dilaksanakan di peringkatsekolah.

Taklimat  diteruskan oleh Pn.Zaliha binti Mohd.Salleh, penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah mengenai peranan YDP PIBG dan Focal Person, diikuti peranan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) serta peranan Sukarelawan Dalam Kelas (SDK). Peruntukan Kewangan untuk aktiviti gotong royong dan taklimat terakhir mengenai  Pelaksanaa Pentaksiran Sekolah Khusus (PKSK) yang telah disampaikan oleh Pn.Zaleha binti Hassan, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah.

Hadir bersama-sama dalam taklimat ini ialah Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah Tn.Hj.Sawal bin Hj.Salleh merangkap pengerusi ,Tn.Louren @ Laurence bin Abon, SIPartner dan urus setia dari Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan WP.Labuan.




Kejohanan Badminton, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Piala Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Kejohanan Badminton, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Piala Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berlangsung pada 2 Disember 2023 bertempat di Dewan Cun Sekolah Kebangsaan Pekan 1 W.P Labuan.

Tujuan Kejohanan ini dilaksanakan adalah membudayakan amalan hidup sihat dengan aktiviti bersukan disamping merapatkan silaturahim dikalangan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Seramai 4 pasukan telah bertanding dalam kejohanan ini. Peserta kumpulan adalah terdiri dari  AKP sekolah rendah, Sekolah menengah, SM Sains, Kolej Vokasional dan juga AKP yang berada di Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Pertandingan dijalankan adalah secara berpasukan iaitu 2 Regu Lelaki, 2 Regu Wanita dan 1 Regu Campuran bagi setiap pasukan. Johan bagi pertandingan ini adalah kumpulan 2, Naib Johan Kumpulan 1 dan Tempat Ketiga bersama ialah kumpulan 3 dan 4. Pengadil Kejohanan sepanjang kejohanan ini berlangsung ialah Mohamad Farris bin Ramli dan Arif Hasnan bin Abdul Aziz dari SK Patau-Patau W.P Labuan.

Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Ag Marten bin Datuk Hj Abdul Rahman, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPWP Labuan mewakili Pengarah Pendidikan.

Tahniah kepada Penyelaras Sukan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Encik Laidin bin Saipin dari (SK Patau-Patau) serta Penganjur Kejohanan bagi Kejohanan iaitu Encik Hamiedy bin Haruna (SM Sains) dan Encik Jcalso Brynn Joseph (Jabatan Pendidikan W.P Labuan)

Johan: Kumpulan 2

Naib Johan: Kumpulan 1

Ketiga: Kumpulan 3 & Kumpulan 4

Penyampaian Sijil kepada Pengadil Kejohanan




Kejohanan Bola Tampar, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Piala Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Kejohanan Bola Tampar, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Piala Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berlangsung pada 18 November 2023 bertempat di Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung (GSTB) SK Bukit Kallam W.P Labuan.

Tujuan Kejohanan ini dilaksanakan adalah membudayakan amalan hidup sihat dengan aktiviti bersukan disamping merapatkan silaturahim dikalangan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

Seramai 6 pasukan telah bertanding dalam kejohanan ini iaitu D Alpha VT, Sapurata VT, Barkoba, Chickadees, Raduu VC dan Gorgon. Peserta disetiap kumpulan adalah terdiri dari  AKP sekolah rendah, Sekolah menengah, SM Sains, Kolej Vokasional dan juga AKP yang berada di Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Johan bagi Pertandingan ini adalah kumpulan Sapurata VT, Naib Johan kumpulan D Alpha VT dan Tempat Ketiga adalah kumpulan Gorgon, Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Ag Marten bin Datuk Hj Abdul Rahman, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPWP Labuan mewakili Pengarah Pendidikan. Turut hadir di Kejohanan ini adalah Encik Ismail bin Mohd Yaakub, Pegawai Akauntan, Sektor Pengurusan JPWP Labuan.

Tahniah kepada Penyelaras Karnival Sukan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Encik Laidin bin Saipin dari SK Patau-Patau W.P Labuan dan Penganjur Kejohanan bagi Kejohanan bola tampar iaitu Encik Rizwan bin Sumon (SK Bebuloh) dan Cik Chin Jin Hung (SK Patau-Patau)

Sebagai makluman kejohanan seterusnya adalah Kejohanan Badminton Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), Piala Pengarah Pendidikan yang akan diadakan pada 02 Disember 2023.

 

Antara Warga Anggota Khidmat Pelaksana yang menyertai Kejohanan Bola Tampar pada kali ini.

Penyampaian Cenderhati daripada Pengelola Kejohanan

Johan : Kumpulan Sapurata VT

Naib Johan Kumpulan D Alpha VT

Ketiga: Kumpulan Gorgon

Kumpulan Raduu VC

Kumpulan Chickadees

Kumpulan Barkoba




BENGKEL PENGUKUHAN PENGURUSAN PEROLEHAN KERAJAAN, PENGURUSAN KONTRAK, ASET, STOR DAN KEWANGAN, JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN DAN PUSAT TANGGUNGJAWAB (PTJ) SEKOLAH-SEKOLAH WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2023

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah melaksanakan Bengkel Pengukuhan Pengurusan Perolehan Kerajaan, Pengurusan Kontrak, Aset, Stor dan Kewangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2023 yang telah berlangsung pada 29 Oktober sehingga 31 Oktober 2023 bertempat di Sky Hotel, Kota Kinabalu.

Tujuan bengkel ini adalah untuk memastikan semua prosedur dan peraturan yang berkuatkuasa dan telah ditetapkan oleh kerajaan hendaklah sentiasa dipatuhi oleh Jabatan dan sekolah-sekolah WP Labuan dan mengelakkan teguran Audit Negara Malaysia (ANM), Audit Dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Naziran Audit, Jabatan Akautan Negara Malaysia (JANM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Seramai 40 peserta telah menghadiri bengkel ini. Penceramah bagi bengkel ini ialah encik Kasim bin Muhd, Perunding Latihan Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara telah dipilih bagi memberikan input berkaitan topik yang dibincangkan kerana beliau berpengelaman dalam bidang Pengurusan Perolehan Kerajaan, Pengurusan Aset dan Stor serta Pengurusan Kewangan Kerajaan. Sesi bengkel ini berlangsung dengan pelbagai kajian kes yang dikongsikan bersama peserta, latihan dalam kumpulan (LDK), soal jawab berserta kuiz dan pembentangan daripada peserta bengkel yang menguji kefahaman peserta bengkel.




SMK Rancha-Rancha Raih 2  Anugerah TVPSS Peringkat Kebangsaan 2023

Anuegerah TV Pusat Sumber Sekolah peringkat kebangsaan tahun 2023 merupakan satu bentuk penghargaan kepada sekolah dan pelajar yang bergerak aktif dalam media khususnya dalam pengurusan media pusat sumber. Pada tahun ini, SMK Rancha-Rancha telah berjaya masuk ke peringkat akhir untuk 2 kategori iaitu  Studio TV PSS dan Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Pertandingan TV PSS menjadi idaman pusat sumber sekolah seluruh negara lantaran mempertaruhkan kemenjadian pelajar dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang kewartawanan.

Saudara Nasrullah bin Hanudin telah berjaya menjadi naib johan peringkat kebangsaan untuk kategori Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Kejayaan ini membolehkan ia membawa pulang piala kemenangan dan sijil pengiktirafan. Cikgu Sapri Idris menjelaskan kejayaan yang dirangkul oleh pelajar SMK Rancha-Rancha tersebut menjadi kebanggaan warga sekolah dan pelajar di W.P Labuan kerana kejayaan ini merupakan kejayaan julung kalinya dicapai oleh pelajar di W.P Labuan dalam kepimpinan pengurusan dan sahsiah serta akademik. Dalam masa yang sama ketika diajukan soalan oleh wartawan TVPSS tentang kunci kejayaan yang dicapainya pada hari tersebut , Nasrullah menzahirkan kesyukuran atas kejayaannya berkat sokongan kuat ibu-bapanya, bimbingan berterusan daripada cikgu Sapri Idris dan kerjasama daripada rakan-rakannya khususnya pengawas pusat sumber sekolah.

Selain memenangi anugerah Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah, SMK Rancha-Rancha juga telah berjaya meraih tempat ketiga untuk Kategori Studio TV Pusat Sumber. Pengasas studio Ranchas TV iaitu Cikgu Sapri Idris berharap pada tahun-tahun seterusnya SMK Rancha-Rancha akan menjadi Johan di peringkat kebangsaan untuk kategori tersebut. SMK Rancha-Rancha telah memiliki 2 studio TV iaitu Studio Ranchas TV dan Studio TV Green Screen.  

Mohd Diniy Kamil, Mohd Adzharul Afiq Hairul Afizul , Abdullah Mohd Nor dan Shamrez Shaukat Ali Balquch memenangi tempat Ketiga Studio TVPSS Peringkat Kebangsaan 2023

Tuan pengetua Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berasa sungguh bersyukur atas kemenangan yang diraih oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha pada tahun ini di peringkat kebangsaan. Beliau berkata kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat kepada guru-guru dan pelajar di sekolahnya dan juga di W.P Labuan untuk mencipta kejayaan khususnya dalam bidang kepimpinan dan ketrampilan . Harapan beliau agar guru-guru di SMK Rancha-Rancha akan lebih banyak melahirkan pelajar yang berpotensi dan berkarisma.

Pada tahun ini majlis Anugerah TV PSS Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 10 Oktober 2023 bertempat di Pusat Sains Kreativiti Terengganu. Pelbagai aktiviti telah dirancang sebelum majlis penyampaian dijalankan antaranya perkongsian Bersama Dato Seri Wan Muhd Ali bin Wan Ahmad ( Content Creator Youtube ) , Jelajah ke Pusat Sains Kreativiti Terengganu, Lawatan ke Tapak Konten TV PSS Zon Timur. Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Penolong Pengarah  Malaysia Ybrs Dr Ahmad Rafee bin Che Kassim  Sektor Operasi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Turut mengiringi rombongan penerima anugerah Majlis Pengiktirafan TV PSS Peringkat Kebangsaan 2023 ini ialah Puan Norsiah binti Sulaiman dan Puan Malai Hasnah binti Malai Ahmad, Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Tuan Awang Marten Datuk Haji Abd Rahman , Ustaz Wan Azman bin Wan Awang, pegawai SSTP Labuan serta barisan guru SMK Rancha-Rancha menyambut kepulangan untuk meraikan Cikgu Sapri Idris dan Nasrullah Hanudin di Lapangan Terbang W.P Labuan.



NICOLE JUARA PIDATO LABUAN

Labuan, 25 Sept – Adik Nicole Grace Wong, murid tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan, telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pidato 2023 peringkat negeri bagi kategori menengah atas yang telah diadakan Dewan Sekolah Menengah Sains Labuan pada Khamis lalu.

Pertandingan bertemakan Sukan, Pendidikan dan Teknologi ini adalah anjuran Jabatan Pendidikan W. P Labuan telah disertai oleh 11 buah sekolah menengah di Labuan.

Dengan tajuk pidato ‘Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang’, adik Nicole telah mempamerkan keyakinan yang tinggi dengan hujah-hujah mantap telah berjaya menewaskan 10 peserta lain.

“Saya bersyukur kerana usaha dan persiapan yang saya lakukan selama ini terbalas. Terima kasih juga diucapkan kepada Cikgu Hastiah dan Cikgu Suzana yang telah berusaha membimbing saya hingga mencapai kejayaan bermakna ini” kata Adik Nicole yang juga seorang pengawas sekolah.

Dengan kejayaan ini, adik Nicole membawa pulang sebuah trofi dan sijil kemenangan. Selain itu adik Nicole juga akan mewakili W. P Labuan ke pertandingan peringkat kebangsaan di Selangor pada November depan.

Selain itu, seorang lagi peserta SMK Labuan, adik Annisa binti Mohd Jamali berjaya mendapat tempat ketiga kategori Menengah Rendah.

Hadiah-hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, SM Sains Labuan, Ustaz Nik Afandi bin Nik Mahmud yang mewakili Pengarah Pendidikan W.P Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan




PERSIDANGAN PENGURUSAN PENDIDIKAN PENGETUA –PENGETUA SEKOLAH MENENGAH SABAH DAN WP LABUAN KALI KE 47 TAHUN 2023

Labuan – Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua –Pengetua Sekolah Menengah Sabah Dan WP Labuan Kali Ke 47 Tahun 2023 telah diadakan pada 13-15 Jun 2023 di Palm Beach Resort WP Labuan. Seramai 221 orang pengetua dari seluruh Sabah dan 11 orang pengetua dari WP Labuan telah menyertai persidangan tersebut yang membawa tema  “Kepimpinan Berkualiti Merealisasikan Pendidikan Insaniah”

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) WP Labuan.

Persidangan tahunan yang dikelolakan secara bergilir antara zon PPSMS Sabah, kali ini dianjurkan oleh PPSMS Zon Ranau, Tuaran dan Kota Belud yang dipengerusikan oleh Pengerusi PPSMS Ranau iaitu Encik Marcus Shapi serta dibantu oleh MPSM WP Labuan.

Persidangan selama 3 hari tersebut padat dengan pengisian yang sangat penting dan bertepatan dengan tema persidangan iaitu “Kepimpinan Berkualiti Merealisasikan Pendidikan Insaniah”

Ucap Utama Persidangan bertajuk “Karamah Insaniah Dalam Pendidikan” disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr Amin bin Senin, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, mengupas konsep Karamah Insaniah atau Kemuliaan Insan yang merangkumi Keadilan Peluang, Pembangunan Potensi, Pendidikan Holistik, Kebebasan Berfikir dan Kreativiti serta Pembelajaran Sepanjang Hayat. Juga ditekankan tentang kepimpinan pengetua sebagai pemimpin pendidikan untuk memastikan konsep Karamah Insaniah ini difahami dan dibudayakan.

Dr Amin Senin (3 dari kiri) bersama tetamu kehormat

Majlis Perasmian Persidangan disempurnakan oleh Tuan Haji Abidin Marjan, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang mewakili Tuan Raisin Saidin Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Antara intipati ucapan beliau ialah KPI Gred Purata Negeri (GPN) SPM boleh dicapai dengan amalan kepimpinan kolaboratif, penerapan nilai ABC dalam kalangan pelajar, pembudayaan STEM dalam melahirkan generasi cemerlang abad ke 21, kejayaan pemimpin pendidikan Sabah menjadi teladan untuk pengetua, serta dorongan kepada guru yang berpotensi menjadi pemimpin pendidikan.

Dalam majlis yang sama Tuan Haji Abidin juga menyampaikan Anugerah Tokoh Pengetua Sabah yang dianugerahkan kepada YBhg. Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hajah Nuinda binti Haji Alias yang juga merupakan Tokoh Guru Kebangsaan 2023.

Sesi Bicara Profesional disampaikan oleh Puan Jennifer Asing, Pengetua Cemerlang JUSA C SMK St Michael, Penampang. Beliau menyampaikan perkongsian bertajuk “My Odyssey From Ordinary Teacher To JUSA C”. Beliau menjelaskan perkara-perkara dan proses yang perlu sebagai persediaan seseorang pengetua dalam permohonan sebagai Pengetua Cemerlang JUSA C.

Majlis Makan Malam “Mirumoh-Rumoh” tajaan Kerajaan Negeri Sabah disempurnakan oleh YBhg. Prof Madya Datuk Ts Dr. Ramzah Dambul, Pegawai Eksekutif Institute For Development Studies (IDS) yang mewakili YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kewangan Negeri Sabah. Beliau juga menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pengetua Bersara, Pengetua Yang Bertukar Jawatan serta hadiah Pertandingan Golf sempena persidangan yang dimenangi oleh Encik Mike Eping Pengetua SMK Gunsanad II Keningau.

Majlis Penutupan Persidangan disempurnakan oleh Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan, mewakili Encik Yusup bin Hj Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Beliau menekankan tentang pengetua sebagai pemimpin perlu mempunyai dinamika kepimpinan iaitu mempunyai kekuatan rohani, jasmani, jiwa, adab, idealisme, komited dan mempunyai daya juang yang kental dan berpandangan jauh agar dapat mendepani pelbagai cabaran yang mendatang.

Encik Yahya (tengah) menerima cenderahati daripada Encik Ismail

Sepanjang persidangan juga 4 pameran pendidikan telah disediakan untuk kunjungan peserta-peserta persidangan iaitu Pameran Intervensi Komik Nilai (Kolaborasi Panitia Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual SMK Pantai), Pameran Intervensi Emotion Expression (Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Pantai), Pameran Kajian Tindakan Junior (SM St Anne) dan Pameran Rancha’s Radio (SMK Rancha-Rancha).

Antara kepimpinan PPSMS dan MPSM WP Labuan yang hadir sepanjang persidangan ialah Encik Ajmal Hj Jumah, Presiden PPSMS, Encik Ismail Abdullah Yang DiPertua MPSM WP Labuan, Dr Rabe Johari Timbalan Presiden PPSMS serta Encik Marcus Shapi Pengerusi PPSMS Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Persidangan.

Persidangan ini telah memberi ilmu pengetahuan berguna kepada semua peserta dari pelbagai sudut kepimpinan dan diharap akan memberi impak kepada peningkatan kualiti kepimpinan mereka di sekolah masing-masing.

Persidangan kali ke 48 tahun 2024 akan dikelolakan oleh Zon Selatan iaitu PPSMS Papar, Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.

Berita Oleh : MPSM WP Labuan

Barisan Pengetua Sekolah W.P Labuan
Cenderhati kepada Ts Dr Ramzah