Dialog Prestasi SMK Taman Perumahan Bedaun Terima Kunjungan Daripada Timbalan Pengarah JPWPL

Labuan, 22 September – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Dialog Prestasi Pra Percubaan SPM 2020 bersama Encik Yusuf bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P Labuan (JPWPL). Turut hadir bersama ialah Pegawai SISC+ Pn. Siti Zaharah Mohamad, Pn. Suriani Oxley dan Cik Juraidah Aman.

Dialog Prestasi pada kali ini memberikan tumpuan kepada isu atau permasalahan yang dikenal pasti daripada hasil keputusan Pra Percubaan SPM baru-baru ini. Selain itu, semua guru mata pelajaran juga telah membuat perkongsian intervensi bagi setiap panitia dalam meningkatkan pencapaian murid.

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Encik Ag Rozlan A. Manan dalam ucapannya mengharapkan agar semua guru dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan sasaran GPS (Gred Purata Sekolah) 5.00 tercapai untuk tahun ini.

Dalam pada masa yang sama, Encik Ag. Rozlan juga mengharapkan agar semua guru dapat mengenal pasti kelemahan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian bagi setiap murid.

Untuk rekod, seramai 94 orang murid SMKTPB akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. 

Dialog bersama guru- guru mata pelajaran pada kali ini lebih bermakna kerana guru-guru dapat mendengar amanat daripada Encik Yusuf.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua guru dan pihak sekolah kerana berjaya memperoleh sijil lulus 100% dalam peperiksaan SPM 2019. Beliau juga amat mengharapkan agar pencapaian ini dapat dikekalkan untuk tahun-tahun akan datang.

Encik Yusuf juga turut menyatakan keyakinannya kepada semua guru kerana percaya bahawa usaha yang berterusan pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan.

Guru-guru perlu yakin dan percaya bahawa setiap murid sememangnya mempunyai potensi diri yang tersendiri. Semoga SMKTPB terus mengorak langkah ke hadapan demi mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum dan juga sahsiah diri.

Encik Yusuf turut menyampaikan sijil pencapaian 100% lulus dalam Peperiksaan Pra Percubaan SPM kepada panitia Fizik dan Geografi. Turut hadir dalam program ini Pn. Chai Yee San Penolong Kanan Pentadbiran dan Pn. Lau Chin Ying Penolong Kanan Ko-kurikulum 

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Pertandingan Putera Puteri Merdeka dan Sambutan Hari Malaysia 2020 Peringkat SMK Rancha-Rancha

Labuan, 15 Sept – Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan Program sambutan hari Malaysia dengan pengisian utamanya Pertandingan Putera-Puteri Merdeka.

Program ini diadakan secara tertutup dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan. Pertandingan ini disertai  oleh 19 orang murid terpilih daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 4 sahaja. Program ini dianjurkan oleh unit Pusat sumber SMKRR dengan kerjasama Kelab Malaysia ku di bawah kelolaan Encik Sapri idris dan Puan Jasmini Daud dan dibantu oleh Puan Zaharah Bt Mat Jali.

Program ini berbentuk pertandingan yang menguji pelbagai kebolehan dan pengetahuan murid mengenai erti kemerdekaan dan rasa kecintaan terhadap negara.

Pertandingan terbahagi kepada 3 segmen iaitu memperagakan pakaian pelbagai kaum dan budaya Malaysia termasuk pakaian tradisi Sabah, Sarawak dan Labuan, murid bukan saja memperagakan pakaian, mereka juga harus tahu serba sedikit mengenai pakaian yang digayakan, segmen ke dua adalah persembahan bakat yang bertemakan cinta akan negara antaranya murid mempersembahkan deklamasi sajak, berpantun, menari, berpidato dan menyanyi. Murid bebas mempersembahkan bakat mereka dengan keupayaan masing-masing, namun mesti mengikut Tema yang ditetapkan iaitu berunsurkan semangat cinta negara. Manakala segmen ketiga pula, murid diminta menjawab kuiz kenegaraan serta diminta untuk memberi pandangan mengenai pelbagai topik yang dikemukankan kepada mereka.

Program ini merupakan program yang bertemakan sayangi Malaysia dan Malaysia perihatin bertepatan dengan tema hari Kemerdekaan Malaysia 2020. Antara objektif utama program ini antaranya memeriahkan perayaan sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia di peringkat sekolah, mendedahkan murid dalam pengetahuan mengenai  pelbagai jenis pakaian tradisi yang terdapat di Malaysia, mengetahuai sejarah kemerdekaan Negara dan menambah ilmu pengetahuan murid tentang kaum-kaum yang terdapat di Malaysia serta  menguji pengetahuan dan kemahiran komunikasi murid tentang budaya dan semangat cintakan negara.

Pertandingan ini telah di rasmikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMKRR Encik Sahnuddin Bin Arifin yang mewakili Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya Ahmad Puteh. Program ini merupakan program PDPC di luar kelas yang sangat bermanfaat di mana ianya dapat menguji pengetahuan murid tentang erti kemerdekaan, selain itu ianya juga dapat menambah pengetahuan murid terhadap sejarah pakaian tradisi yang diperagakan serta murid berpeluang menyambut  Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia di sekolah bersama rakan dan juga guru.

Pertandingan ini telah di rasmikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMKRR En. Sahnuddin Bin Arifin

Encik Yahya mengucapkan terima kasih dan tahniah atas usaha Pusat Sumber Datuk Sri Datin Norsiah Abdullah (PSSDSDN) dan Kelab Malaysiaku serta guru yang telah yang telah bertungkus lumus menganjurkan pertandingan yang sungguh menarik dan bermakna. Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Penerangan Malaysia Cawangan Labuan kerana telah menyalurkan dana kepada Kelab Malaysiaku untuk menjayakan program ini.

Beliau berharap agar pertandingan seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang dan program ini boleh dijadikan sebagai program tahunan. Selain dapat mencungkil bakat murid program ini sangat bermanfaat bagi proses pemupukan semangat cinta negara di kalangan murid.

“Usaha guru dan murid harus dipuji dan diberi sokongan kerana dengan usaha sebegini murid-murid lebih menghayati erti kemerdekaan dan sentiasa menginggati hari Malaysia demi menyuburkan lagi rasa cinta terhadap negara, agama , bangsa dan budaya. “

Beliau juga berharap agar PSSDSDN terus mempunyai idea-idea yang bernas dan kreatif untuk menarik hati murid dalam apa jua program yang dianjurkan. Syabas juga kepada Kelab Malaysiaku yang sentiasa aktif menyemarakan rasa cinta terhadap negara dihati murid SMKRR.

Pemenang puteri merdeka 2020 saudari Nur Iffah Nadiah menerima hadiah dan sijil penyertaan
Pemenang putera merdeka 2020 saudara Mohammad Zainulakram turut meneria wang tunai dah sijil penyertaan daripada En Sahnuddin

Semoga dengan program ini ianya akan dapat melahirkan lebih ramai murid SMKRR yang berketerampilan dan berwibawa untuk menjadi bakal pemimpin masa hadapan.

Pertandingan ini dihakimi oleh cikgu Jasmini Daud selaku guru Penasihat Kelab Malaysiaku, En Masri Ayong Penolong Kanan HEM dan Pn Fauziah Bt Idris Penolong Kanan Kokurikulum.

Pertandingan ini menyediakan hadiah berbentuk Wang tunai serta sijil penyertaan, Hadiah bernilai RM50 untuk Johan, RM40 naib Johan dan RM30 untuk tempat Ketiga mengikut kategori lelaki dan perempuan. Manakala setiap penyertaan diberikan RM20 sebagai hadiah saguhati beserta sijil penyertaan. Program ini berjalan dengan lancar dan objektif tercapai dengan jayanya.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Majlis penutupan berlangsung dengan semangat patriotik



PPKI SMK Mutiara sertai Program e-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Negeri WP Labuan Tahun 2020

Labuan – Seramai 15 orang murid PPKI SMK Mutiara telah menyertai Program e-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Negeri WP Labuan. Program anjuran Jabatan Pendidikan W.P. Labuan ini berlangsung selama 3 hari mulai 14 hingga 17 September 2020.

Puan Roslaniah Zainal, Penolong Kanan PPKI SMK Mutiara merangkap ketua kontingen menyifatkan penyertaan murid-murid PPKI dalam Program e-Mahabbah Pendidikan Khas ini mampu memberi pengalaman berguna kepada murid-murid.

“Program ini melibatkan murid-murid Islam dan bukan Islam khusus untuk murid-murid PPKI. Saya percaya aktiviti seperti ini dapat menanam sifat keberanian dan keyakinan diri murid terutamanya bila berhadapan dengan orang ramai” ujar beliau.

Murid-murid PPKI SMK Mutiara telah mengikuti 5 acara yang dipertandingkan. Adik Mohd. Syukrie Hafiz telah berjaya mendapat naib johan dalam acara e-Tarannum kategori lelaki menakala adik Sharif Izhar mendapat tempat ketiga dalam acara yang sama.

Dalam kategori perempuan pula, Adik Nur Fatirah Suriana juga berjaya menjadi naib johan dan adik Nurul Hidayah mendapat tempat ketiga.

Acara e-Hafazan kategori lelaki turut menyaksikan murid SMK Mutiara mendapat naib johan dan tempat ketiga melalui pencapaian adik Wan Ahmad Nabil dan adik Mohd. Taufiq Iqram. Sementara itu, kategori perempuan juga memperoleh pencapaian yang sama. Naib johan diraih adik Nuralyah dan tempat ketiga disandang oleh adik Hilda Nurul Ain.

Bagi acara e-Syarahan kategori lelaki, peserta SMK Mutiara iaitu Adik Muhamad Affiesz berjaya mendapat tempat ketiga. Kategori perempuan pula menyaksikan Adik Nuralyah mendapat naib johan dan adik Hilda Nurul Ain mendapat tempat ketiga.

Acara e-Sajak turut dipertandingkan untuk kategori lelaki dan perempuan. Adik Kelvinson Kho Chun Fatt telah berjaya membawa kegembiraan kepada kontingen SMK Mutiara dengan menjadi Johan manakala adik Adexrom merangkul tempat ketiga. Dalam kategori perempuan pula, Adik Jaclinda Arabella telah berjaya mendapat naib johan.

Acara terakhir yang dipertandingkan ialah acara e-Nyanyian Solo Terbuka di mana peserta SMK Mutiara iaitu adik Jamaluddin berjaya mendapat tempat ketiga.

Majlis Penutupan dan Penyampaian hadiah e-Mahabbah telah disempurnakan oleh Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan W. P Labuan pada 17 September 2020 jam 3.00 petang bertempat GSTB, SK Bukit Kalam.

Pn. Maimoon Bt Matnoh menyampaikan hadiah Naib Johan kepada Adik Nuralyah bagi acara e-Hafazan kategori perempuan Sekolah Menengah.



Semarak Merdeka Di SMK Mutiara

Labuan – Sambutan bulan kemerdekaan tahun ini disambut secara berbeza sesuai dengan amalan normal baharu sempena PKPP yang dilanjutkan sehingga hujung tahun. Namun begitu semangat dan keazaman untuk meraikan bulan keramat tetap bernyala-nyala dalam kalangan warga SMK Mutiara.

Menurut Pengetua SMK Mutiara Encik Mohd Nizam bin Yasim, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dalam skala kecil dan sederhana tetapi tetap meriah.

“Walau dalam tempoh PKPP, warga sekolah tetap tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyemarakkan bulan kemerdekaan. Acara tahunan ini perlu disambut dengan semangat kesedaran tentang peripentingnya erti kemerdekaan terutamanya kepada murid-murid sekolah” katanya lagi.

Antara aktiviti awal yang bermula pada 15 Ogos ialah pemasangan sebanyak 63 bendera kebangsaan di kawasan sekolah yang melambangkan tahun ke-63 kemerdekaan negara.

Pihak sekolah turut menyediakan sudut mini pameran berkaitan kemerdekaan negara di foyer B yang diusahakan oleh guru-guru Pusat Sumber SMK Mutiara. Persembahan dalam bentuk infografik di sudut ini telah memberi banyak maklumat berkaitan kemerdekaan kepada murid-murid.

Salah satu mercu utama sambutan kemerdekaan tahun ini ialah penghasilan replika jalur gemilang daripada bahan-bahan kitar semula sebesar 20 kaki panjang dan 10 kaki tinggi. Replika yang dihasilkan di foyer Blok B adalah menifestasi kerjasama guru-guru dan ibubapa SMK Mutiara dalam kebersamaan menyambut bulan kemerdekaan tahun ini.

Warga SMK Mutiara bertungkus lumus menyiapkan replika Jalur Gemilang
Encik Mohd Nizam bersama guru-guru SMK Mutiara
Sudut Mini Pameran Kemerdekaan

Majlis pelancaran sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah telah diadakan pada 28 Ogos 2020 disempurnakan oleh pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam satu majlis ringkas namun penuh semangat.

Dalam majlis tersebut, Encik Jostelen Lamibai, PK Kokurikulum sekolah telah memimpin laungan MERDEKA sebanyak 7 kali sebagai gimik perasmian. Guru-guru dan murid-murid pula telah memperagakan baju bertemakan kemerdekaan dan kebudayaan etnik masing-masing sebagai lambang semangat kecintaan kepada negara Malaysia yang pelbagai budaya dan bangsa.

Selain itu, pengetua sekolah turut menyerahkan bendera Malaysia kepada Pengerusi Kelab Keluarga SMK Mutiara sebagai sokongan kepada aktiviti MERDEKA RIDE.

Laungan Merdeka dipimpin oleh Encik Jostelen
Penyerahan Bendera

MERDEKA RIDE anjuran Kelab Keluarga SMK Mutiara adalah aktiviti santai yang telah diadakan pada 8 September dan disertai oleh 15 guru dan 8 murid. Menurut Pengerusi kelab, Puan Mizan Adlia binti Mohd Shoib, para peserta telah berjaya mengayuh sejauh 22 kilometer sekitar pulau Labuan dan telah menamatkan kayuhan dalam masa 1 jam.

Selain itu, guru-guru SMK Mutiara turut menyemarakkan sambutan merdeka dengan aktiviti rekreasi menyelam. Mereka telah berjaya mempamerkan bendera sekolah sambil menyelam sekaligus memberi pengertian bahawa tiada apa yang mustahil jika kita bersungguh-sungguh.

Pusat Sumber Sekolah turut menganjurkan beberapa pertandingan berkonsepkan kemerdekaan. Antaranya ialah pertandingan deklamasi sajak merdeka, nyanyian lagu-lagu patriotik, selfie kreatif merdeka dan pertandingan menulis esei berunsurkan kemerdekaan.

Menurut Penyelaras Pusat Sumber Sekolah, Puan Shamsiah Ambo, pameran ini diadakan selama sebulan di Foyer B. Murid-murid turut berpeluang mendapat maklumat kemerdekaan di luar bilik darjah.

Sambutan bulan kemerdekaan tahun ini disambut dalam suasana normal baharu namun tetap meriah di SMK Mutiara. Semangat kerjasama, kesatuan dalam kepelbagaian memancarkan slogan Malaysia Prihatin penuh makna.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Aktiviti rekreasi menyelam
MERDEKA RIDE anjuran Kelab Keluarga SMK Mutiara



Nur Allya – Juara Kebangsaan

Labuan, 17 September 2020 – Nur Allya Mardiana Jairin, pelajar Tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, dinobatkan johan Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu Patriotik Atas Talian Peringkat Kebangsaan 2020, Kategori Menengah Rendah sempena Sambutan Hari Kemerdekaan.

Mendendangkan lagu berjudul ‘Gemilang’, nyanyian asal Jacklyn Victor, Nur Allya berjaya mengenepikan 11 peserta akhir dari seluruh negara , sekaligus menerima hadiah RM 400.00

Sementara naib johan disandang Nesttra Luin, pelajar dari SMK Mat Salleh Ranau, Sabah.

Manakala Muhammad Hazim Ikhwan Mohd. Asri dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur ditempat ketiga.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah  berkata, kemenangan ini merupakan kejayaan besar kepada SMK Labuan dan  WP Labuan pada tahun ini.

Dalam suasana pandemik Covid 19 di mana tiada pertandingan kokurikulum secara bersemuka diadakan, pihak sekolah tetap memberi peluang murid untuk menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan secara dalam talian sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berbangga atas kejayaan itu dan berterima kasih atas usaha semua pihak yang terlibat terutama guru pembimbing yang juga Guru Muzik SMK Labuan, Cikgu Mary Teng Howe Hui yang telah melatih Nur Allya sehingga memperoleh kemenangan sesuai dengan slogan sekolah itu ‘SMK Labuan Juara : Setiap Murid Bernilai’.

Keputusan pertandingan diumumkan semalam dan ia dianjurkan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Berita Oleh : SMK Labuan

Nur Allya bersama Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah



Cikgu Noor Hasimah Guru Pertama Sempurnakan Kursus Induksi Kurikulum Bahasa Inggeris CEFR 2020

Labuan – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menyampaikan sijil penghargaan kepada Cikgu Noor Hasimah binti Mohd Ayub, guru Bahasa Inggeris di SMK Mutiara atas pencapaian cemerlang beliau menjadi guru pertama di wilayah ini menyempurnakan Online Curriculum Induction Training 2020 yang dianjurkan oleh Cambridge Assessment English (CE) dan KPM.

Kursus secara atas talian ini diadakan untuk melatih seramai 15,000 guru-guru Bahasa Inggeris seluruh Malaysia menggunakan kurikulum baru CEFR bagi subjek Bahasa Inggeris Tahun 5, Tahun 6 dan Tingkatan 5.

Kursus berkenaan sebelum ini dilaksanakan secara bersemuka tetapi telah diubah kepada kursus secara atas talian akibat pandemik Covid 19. Setiap peserta perlu melengkapkan 9 modul latihan yang mengambil masa 25 jam untuk dilengkapkan bermula 24 Ogos sehingga 11 September 2020.

Menurut Cikgu Noor Hasimah, beliau telah memperuntukkan lebih kurang 10-12 jam sehari selepas sesi persekolahan untuk menyiapkan sebahagian modul dan berjaya menyiapkan tugasan kursus dalam masa 2 hari daripada 2 minggu yang telah peruntukan oleh penganjur. Beliau menjadi guru pertama di Labuan yang menyempurnakan kursus tersebut daripada 40 peserta di peringkat negeri. Di peringkat nasional beliau adalah individu ke-47 daripada 15,000 guru yang berjaya menyiapkan kursus tersebut.

Pengetua SMK Mutiara turut berbangga atas pencapaian ini merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Hasimah atas semangat dan kesungguhan beliau dalam meningkatkan pengetahuan dan kompetensi sebagai seorang guru.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Puan Khaziyati Osman dalam majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan pada Selasa lalu.

Berita oleh : SMK Mutiara




SMK Mutiara Adakan Taklimat Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Ko Kurikulum Dalam Tempoh PKP

Labuan, 6 Sept – Langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020 telah memberi impak kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembelajaran murid-murid sekolah termasuklah aktiviti sukan dan Kokurikulum.

Walau bagaimanapun, mulai 1 September 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah untuk melaksanakan aktiviti sukan dan Kokurikulum dengan mematuhi SOP yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Terdahulu, pihak Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah membuat taklimat berkaitan perkara ini kepada Penolong-penolong Kanan Kokurikulum pada hari Isnin lalu.

Bagi memastikan perkara ini dilaksanakan dengan berkesan dan mematuhi garis panduan yang disediakan, SMK Mutiara telah melaksanakan penerangan dan kefahaman berkaitan prosedur pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum kepada semua guru pada Khamis lalu.

Taklimat di Dewan Semarak telah disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum SMK Mutiara, Encik Jostelen Lamibai. Beliau telah menekankan aspek penjarakan fizikal, kebersihan dan keselamatan dalam pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka.

“Kebenaran ibubapa diperlukan sebelum aktiviti-aktiviti tersebut dilaksanakan terutamanya murid-murid yang berisiko dan mempunyai imuniti badan yang rendah. Guru-guru juga perlu menyebarluas prosedur dan panduan pelaksanaan aktiviti supaya mudah dirujuk oleh murid, guru dan ibubapa” tambahnya lagi.

Encik Jostelen menyampaikan penerangan mengenai aktiviti sukan dan kokurikulum kepada guru-guru SMK Mutiara

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim menyifatkan kebenaran aktiviti amali luar bilik darjah secara bersemuka termasuk aktiviti Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) telah memberi ruang kepada murid-murid untuk mengembalikan tahap kecergasan setelah berehat selama 5 bulan.

“Pihak sekolah berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama padu bagi menjayakan agenda pendidikan nasional secara bersungguh-sungguh. Guru-guru perlu merancang aktiviti mengikut kesesuaian tempat dengan mengambilkira penjarakan fizikal” tegas beliau lagi.

Turut hadir dalam sesi taklimat ini ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Siti Aminah binti Zakaria, Penolong Kanan HEM, Encik Hisyam bin Abdul Aziz dan Penolong Kanan PPKI, Puan Roslaniah binti Zainal.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Guru-guru yang hadir sedang mendengar taklimat mengenai pelaksanaan sukan dan ko kurikulum dalam tempoh PKPP



81 LEPASAN STPM SMK LABUAN BERJAYA KE UNIVERSITI

Labuan, 25 Ogos – Seramai 81 orang daripada 136 calon STPM 2019 Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui keputusan yang diumumkan baru-baru ini.

Pencapaian ini merangkumi 59.6 peratus daripada jumlah calon STPM 2019 dan jauh lebih baik daripada pencapaian pada STPM 2018 iaitu 46.4 peratus (sebelum rayuan) dan 52.2 peratus (selepas rayuan).

Dijangka lebih ramai pelajar akan mendapat tempat selepas rayuan dan peratus akan melebihi 60 peratus.

Pelajar-pelajar ini telah ditawarkan kesembilan buah universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) (seorang), Universiti Malaysia Sabah (UMS): 50 orang, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS): lima orang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) : 13 orang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK): tiga orang, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI): empat orang, Universiti Malaysia Terengganu (UMT): seorang, Universiti Sains Malaysia (USM): tiga orang dan Universiti Malaya juga seorang.

Empat pelajar cemerlang STPM 2019 yang mendapat PNGK 3.92 juga telah mendapat tawaran masing-masing.

Mereka ialah Eleena Yeo Sui Mee, Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian, UMS; Aaron Lau Jiaxiang, Perniagaan Antarabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian, UMS; Irham Zulhilmi Mohd Johan, Teknologi Seni Visual dengan Kepujian, UMS; dan Siti Salbiah Mohd Yussof, Sejarah, Universiti Malaya.

CEMERLANG: Pelajar cemerlang STPM 2019 (dari kiri) Eleena Yeo Sui Mei, Aaron Lau Jiaxiang, Irham Zulhilmi Mohd Johan, Siti Salbiah Mohd Yussof.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah menyatakan rasa gembira dengan peningkatan ketara ini.

Katanya, peningkatan setiap tahun bermakna Wilayah Persekutuan Labuan akan mempunyai golongan professional yang semakin ramai setiap tahun.

“SMK Labuan sangat gembira kerana dapat menyumbang kepada perubahan struktur sosial di WP Labuan dengan melahirkan golongan intelek yang diharapkan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan pulau Labuan yang dicintai ini,” katanya.

Encik Ismail merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang bersungguh-sungguh mendidik dan membimbing pelajar-pelajar hingga berjaya.




Lapan Guru dan Seorang PKP SMK MUTIARA Terima APC 2019

Labuan, 17 Ogos – Seramai 8 guru dan seorang Pegawai Khidmat Pelaksana (PKP) SMK Mutiara menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun perkhidmatan 2019 pada Sabtu lalu. Mereka ada sebahagian daripada 120 penerima APC pada tahun ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah diadakan di sebuah hotel di pusat bandar. Seramai 170 hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada penerima APC , pegawai-pegawai jabatan pendidikan, para pengetua dan guru besar serta pihak media.

Encik Raisin bin Saidin, Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasi BPSH yang juga mantan Pengarah Pendidikan W.P. Labuan telah hadir merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin menyeru agar semua penerima APC meneruskan momentum kecemerlangan dan sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam era pendigitalan ini.

“Jadilah benih yang baik, walau tercampak di manapun kita tetap akan tumbuh. Berusaha bersungguh-sungguh mendidik anak bangsa kerana kemenjadian mereka bergantung kepada bimbingan guru. Jadikan diri kita sebagai orang yang tepat dan ditunggu-tunggu kehadirannya oleh mana-mana organisasi” tegas beliau lagi.

Lapan guru SMK Mutiara yang menerima APC 2019 ialah Puan Roslaniah Zainal, Cik Lim Shok Ing, Puan Norika binti Mohd Nor, Puan Maslinda binti Mat Jan, Puan Fadillah Awang, Cik Siti Khadijah binti Mohd Razali, Cik Zulrida binti Ismail, dan Encik Adrien Chew. Manakala seorang lagi ialah Puan Dayang Masnah binti Garasing yang bertugas sebagai pembantu makmal.

Pengetua bersama sebahagian daripada penerima APC 2019

Salah seorang penerima, Puan Norika binti Mohd Nor menyifatkan anugerah ini sebagai satu pengiktirafan dan pembakar semangat baginya untuk terus menyumbang khidmat bakti cemerlang pada masa-masa akan datang.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut hadir meraikan kejayaan guru-guru SMK Mutiara memperoleh APC pada tahun 2019.

Beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka dan berharap mereka terus cemerlang menggalas amanah, memikul tanggungjawab bersama-sama meletakkan SMK Mutiara sebaris dengan sekolah-sekolah yang lain.

Berita Oleh : SMK Mutiara




SMK Mutiara Terima Kunjung Bantu Sektor Pembelajaran

Labuan – Seramai 9 pegawai daripada Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah membuat sesi kunjung bantu dan konsultansi ke SMK Mutiara pada Jumaat lalu.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Teknologi dan Vokasional Encik Mohd Al-Ghaffar bin Mohamad Maidin telah memulakan sesi kunjung bantu secara kaunter terbuka bermula jam 8.30pagi.

Menurut Encik Al-Ghaffar, sesi kunjung bantu ini melibatkan beberapa aspek bimbingan iaitu susunan jadual waktu dalam tempoh PKPP, penjajaran semula Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan penjajaran semula kurikulum. Selain itu, bimbingan pedagogi dan pengurusan panitia turut menjadi fokus bimbingan.

“Kita bertanggungjawab memastikan pembelajaran di sekolah berjalan lancar walaupun dalam tempoh PKPP. Cabaran sudah pasti berbeza namun kurikulum pembelajaran mesti disampaikan kepada murid terutamanya calon-calon tingkatan 5 yang bakal menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi” katanya lagi.

Dr. Hyginus dan Puan Siti Zaharah, SISC+ bahasa sedang menjelaskan penjajaran semula kurikulum kepada Cikgu Siti Khadijah
Cikgu Mary Bong dibimbing oleh SISC+. Cik Juraidah Aman

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim mengalu-alukan kehadiran dan bimbingan yang dibuat oleh pegawai-pegawai daripada SPb.

“Semua guru perlu mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklumat, nasihat dan bimbingan berkaitan bidang tugas masing-masing. Semoga dengan bimbingan ini guru-guru SMK Mutiara dapat meningkatkan kualiti penyampaian terutamanya dari aspek pedagogi di dalam bilik darjah” tambah beliau lagi.

Pegawai-pegawai Sektor Pembelajaran turut dibawa untuk melawat ke bilik-bilik darjah. SISC+, Dr. Hyginus Junior Lee melahirkan rasa gembira kerana sepanjang pemerhatiannya semua guru dan murid menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang harmoni walaupun dalam tempoh PKPP.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Pengetua (tengah) sedang berbincang dengan Puan Siti Zahara