Kejohanan Larian Merentas Desa 2018 Peringkat Sekolah SK Pekan Satu W.P Labuan

Labuan, 27 Januari 2018 – Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) telah mengadakan Kejohanan Larian Merentas Desa bertempatkan di Taman Botani W.P Labuan pada pukul 7.00 pagi sehingga pukul 10.30 petang . Larian merentas desa ini melibatkan semua pelajar tahap dua SKPS dan pelajar-pelajar PPKI .

Kejohanan Larian Merentas Desa ini merupakan program yang menyokong kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan murid yang berperibadi seimbang serta harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mencapai sasaran 1Murid 1Sukan di samping dapat mencungkil bakat-bakat baru serta memupuk minat murid sekolah untuk terus bersukan

Kejohanan Larian Merentas Desa ini dibahagikan kepada 3 kategori iaitu Lelaki, Perempuan dan PPKI. Kejohanan ini diadakan untuk menyiapkan diri murid-murid dan pasukan rumah sukan yang akan bertanding di kejohanan sukan tahunan serta mencari wakil sekolah dalam acara merentas desa ke peringkat daerah.

Selain itu , adik Mohd Saiful Ridwan (12 tahun)  telah berjaya menjadi peserta pertama yang tiba di garisan penamat dan berjaya mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke MSSM di Ipoh, Perak. Kemenangan ini menjadi suntikan semangat kepada semua murid di SK Pekan Satu  untuk terus bersaing secara sihat sesama mereka dalam acara sukan .

Puan Anita Shyamini iaitu Guru Besar SKPS telah menyatakan dalam ucapan beliau ‘Saya merasakan  kejohanan ini merupakan medan terbaik untuk guru-guru mencipta kreativiti memacu semangat pelajar, manakala para pelajar pula  berpeluang mengerah kudrat, melepaskan beban emosi dengan berlari sederas yang mungkin, maka akan terciptalah momentum yang dapat menjana tenaga dalaman seterusnya menjadi juara.’ katanya .

Harapan SKPS pada tahun ini adalah untuk mencungkil bakat atlet pelajar-pelajar SKPS dan mampu membawa nama SK Pekan Satu serta Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat yang lebih tinggi . Motto terbaharu SKPS ‘DARE TO WIN’ adalah salah satu batu loncatan untuk menyuntik semangat warga SKPS kearah budaya berdaya saing secara sihat terutamanya dalam ko-kurikulum .

SKPS truly number 1!

Labuan Hebat Guru Sayang Muridnya,

Kemenjadian dan kecemerlangan murid bermula disini.




Peranan Ibu Bapa Penting Bantu Murid

Labuan, 20 Jan – PERANAN ibu bapa dikenalpasti antara elemen penting untuk membantu mencemerlangkan pendidikan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Temiang, Labuan.

Guru Besar Encik Awat @Cally Moguring berkata sudah sampai masanya ibu bapa memainkan peranan utama mereka membantu guru-guru mendidik anak mereka sendiri.

Beliau berkata ibu bapa tidak seharusnya membiarkan guru bertindak sendirian sedangkan mereka sendiri tidak berbuat apa-apa untuk memastikan anak mereka seimbang dalam pelbagai bidang termasuk akademik dan sahsiah.

“Ibu bapa mesti bantu guru untuk memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam bidang akademik dan sahsiah. Mereka harus berganding bahu dengan pihak sekolah agar anak mereka mempunyai semangat mahu cemerlang sejak dari sekolah rendah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aku Janji Murid Tahun Enam SK Lubok Temiang 2018 di Dewan Terbuka sekolah.

Lafaz Aku Janji murid tahun enam SK Lubok Temiang di hadapan ibu bapa dan guru

Encik Cally menyampaikan sijil penghargaan kepada Ustaz Ahmad Sharizal

Pada majlis itu, seramai 40 murid daripada 87 calon yang akan menduduki UPSR 2018 melafazkan ikrar di hadapan ibu bapa dan guru-guru.

Selepas itu, ibu bapa menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai simbolik sokongan dan dorongan ibu bapa terhadap kecemerlangan anak-anak.

Turut hadir, Penolong Kanan Pentadbiran Encik Roslan Mohamad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Encik Farid Marcus, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 8 Tuan Haji Alias Husin, Yang Dipertua PIBG Encik Mohd Dzulfaizal Ab Manan dan Timbalannya Ustaz Syahmun Yahya.

Majlis dimulakan dengan ceramah motivasi oleh Pengurus Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Labuan Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian.

Sumber Berita : SK Lubok Temiang




Kunjungan Hormat Pentadbir SMK Labuan ke Pejabat Ketua Polis IPD Labuan

Labuan, 15 Januari – Pentadbir sekolah SMK Labuan yang diketuai oleh Pengetua Encik Ismail Abdullah, telah membuat kunjung hormat ke Pejabat Ketua Polis IPD Labuan.

Objektif utama kunjungan tersebut adalah menjalin hubungan erat dan kerjasama antara SMK Labuan dengan IPD Labuan, terutama berkaitan kes disiplin dan keselamatan murid, serta program-program anjuran bersama yang berbentuk pencegahan agar dapat mendidik murid-murid lebih waspada dan peka terhadap ancaman dan risiko persekitaran termasuk rakan-rakan.

SMK Labuan komitmen untuk menangani isu Sekolah Hot Spot dengan kerjasama Pegawai Polis Angkat SMK Labuan.

Warga SMK Labuan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan murid-murid dan warga sekolah dapat mengelakkan diri daripada risiko-risiko persekitaran terutama di luar waktu persekolahan.

Pihak sekolah juga telah menubuhkan Task Force Sekolah Hot Spot pada tahun lepas, melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta agensi bukan kerajaan.

Kunjungan itu disertai oleh semua Penolong Kanan SMK Labuan, iaitu Pn Zalina binti Zunkepely (Penolong Kanan Pentadbiran), Ustazah Marziawati binti Mardan (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid), En Cheah Teong Aik (Penolong Kanan Kokurikulum) dan En Saminan bin Sabtu (Penolong Kanan Tingkatan 6).

Ketua Polis IPD Labuan, Supt Muhamad Farid bin Ahmad menyambut baik usaha murni dan bersedia membantu warga SMK Labuan dalam menangani kes keselamatan serta disiplin murid.

Turut serta dalam perbincangan dua hala tersebut ialah DSP Mohd Ibrahim bin Md Ghani (Timbalan KP Daerah Labuan), DSP Boniface ak Bajai (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah) dan Inspektor Kannan (Pegawai Bahagian Narkotik).

Pihak sekolah berharap agar hubungan yang terjalin antara SMK Labuan dan IPD Labuan akan memberi banyak kebaikan kepada kedua-dua pihak dalam usaha bersama untuk mencegah risiko-risiko keselamatan dan disiplin murid, yang akhirnya akan membantu usaha untuk membentuk keperibadian murid dan menjadi modal insan yang berguna untuk Negara.

SMK Labuan kini mempunyai 1397 murid dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6, 56 buah kelas serta 133 orang guru.

Sepanjang tahun lepas SMK Labuan telah mencapai banyak kejayaan di peringkat kebangsaan seperti pertandingan koir, concert band, Kuiz Kimia Kebangsaan, dan yang terkini ialah kejayaan 8 orang murid mendapat semua A dalam PT3.

Sumber Berita : SMK Labuan




Sekolah Lestari Wujudkan Suasana Kondusif

LABUAN, 21 Nov – Pelancaran Program Sekolah Lestari di Sekolah Kebangsaan Pekan II Wilayah Persekutuan Labuan, diharapkan bukan sahaja dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di dalam kelas mahupun di luar kelas  bahkan pada masa yang sama juga mendidik pelajar untuk mencintai alam sekitar.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan II, Jaafar Matusin pada Majlis Pelancaran Program Sekolah Lestari Sekolah Kebangsaan Pekan II, di sini pagi tadi, setelah Program Sekolah Lestari dicetuskan semasa Simposium Pendidikan Alam Sekitar bagi Pengetua-Pengetua Sekolah Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Pendidikan pada 2001 telah mengalakkan sekolah-sekolah membudayakan pendidikan alam sekitar melalui penerapan nilai-nilai murni alam sekitar dalam pelbagai aspek.

Jaafar

Jaafar

“Sekolah ini merupakan sekolah keempat melaksanakan Program Sekolah Lestari di Labuan hasil kerjasama Strategi Lautan Biru antara Jabatan Pendidikan Labuan, Jabatan Alam Sekitar Labuan, Perbadanan Labuan bersama-sama dengan firma swasta Repsol Oil and Gas Malaysia Limited.

“Sumbangan sebanyak RM 10 ribu oleh Syarikat Repsol Oil and Gas Malaysia Limited kepada sekolah ini akan dimanfaatkan untuk mengadakan stesen-stesen pendidikan di kawasan sekolah untuk memberi pendidikan kepada para pelajar sekolah di samping mengadakan program bersama Jabatan Alam Sekitar Labuan bersama para ibu bapa pelajar bagi memupuk kesedaran untuk menjaga alam sekitar,” ujar Jaafar lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Labuan, Amir Hamzah Musa berkata pihaknya sentiasa menyokong sebarang inisiatif untuk memberi kesedaran alam sekitar.

“Pihak kami juga akan memperkenalkan Anugerah Sekolah Rakan Sekitar bagi memberi pengiktirafan kepada sekolah yang menunjukkan kecemerlangan dalam memberi kesedaran alam sekitar kepada warga sekolah.

“Anugerah seumpama ini sudah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak sejak 2003 lagi untuk memberi galakan kepada pihak sekolah dan pelajar untuk menyokong dan cinta akan alam sekitar,” jelasnya.

Dalam pada itu, wakil pengurusan Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Datuk Eddie Abdullah, walaupun syarikatnya memberi tumpuan kepada mengembangkan perniagaan, namun tanggungjawab kepada masyarakat dan komuniti setempat tetap diambil perhatian agar menjadi warga korporat yang prihatin.

“Kami bekerjasama dengan agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan atau NGO untuk menganjur dan menaja program-program kemasyarakatan dengan tujuan bagi menggalakkan perubahan, dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan.

“Tahun ini merupakan kali keempat syarikat tersebut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pendidikan di Labuan ini di dalam penajaan program yang bertujuan untuk mempromosi dan membimbing murid-murid sekolah rendah dan menengah ke arah kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar,” tambah Eddie lagi.

Sumber Berita : Penerangan Labuan




Gotong Royong Perdana SK Sungai Lada

LABUAN  – Pada 23 November yang lalu Sk Sungai Lada telah menganjurkan gotong royong perdana. Gotong royong ini melibatkan semua guru, pegawai kumpulan pelaksana, dan murid-murid tahap 2. Aktiviti gotong royong ini telah berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi. Aktiviti dimulai dengan taklimat daripada Guru Penolong Kanan HEM, En Esmit bin Amat kepada semua murid berkenaan pembahagian tugas yang diberikan. Seterusnya setiap murid bergerak ke bahagian masing-masing.

Gotong royong ini melibatkan pembersihan kawasan kelas untuk persiapan tahun 2018, stor dan bilik-bilik khas, kawasan dewan serta kawasan bilik guru. Aktiviti ini dijalankan bertujuan untuk mempersiapkan kawasan sekolah menjelang tahun 2018 serta mengemas kini bilik-bilik khas yang akan diguna semula pada Tahun 2018. Aktiviti ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dan tolong menolong di antara murid, guru dan warga SKSL. Murid-murid juga dapat dididik untuk bertanggungjawab terhadap kemudahan sekolah yang telah disediakan dan bersama-sama menjaga kemudahan yang diberikan.

Setelah selesai aktiviti gotong royong, murid Tahun 6 bersedia untuk mengambil keputusan UPSR pada jam 12.00 tengah hari bersama-sama ibu bapa masing-masing.




Program Kesedaran Terhadap Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan(KKP) Di Sekolah – OSHA In School

Labuan, 20 Nov – Satu Ceramah Program KKP di Sekolah untuk pelajar Pendidikan Asas Vokasional (PAV) Tingkatan 1, 2, dan 3 SMK Pantai iB World School, Labuan dan SMK Taman Perumahan Bedaun dan Pelajar Pendidikan Vokasional Menengah Atas SMK Lajau telah diadakan di Restoran PAV SMK Pantai iB World School hari ini 20 November 2017. Ceramah disampaikan oleh Tuan Omar bin Budin dari Unit Pembangunan dan Kejurulatihan, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya.

Program dirasmikan oleh Pegawai Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusof, Ketua Unit Pendidikan Islam, Pegawai Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Beliau memuji usaha SMK Pantai IBWS yang mengadakan program ini serta melibatkan SMKTP Bedaun dan SMK Lajau. Seramai 135 pelajar daripada tiga buah sekolah terlibat dalam program ini.

Perkongsian Tuan Omar Budin amat berguna sebagai asas menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sebagai persediaan apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

Disediakan oleh:
SAHAR BIN MISRON
PENGETUA SMKP IBWS




Special Olympics Labuan raih Naib Johan Pertandingan 10th Special Olympics Borneo Cup

Labuan : Seramai 5 pelajar Program Pendidikan Khas Integriti (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau WP. Labuan telah menyertai dan mewakili Special Olympics Labuan dalam pertandingan 10th Special Olympics Borneo Cup and 1st Unified 5 A-Side Football Tournament 2017 di negara Brunei Darussalam bermula 15hb dan berakhir 19hb November 2017.

Pelajar  tersebut ialah Mohd Abri Mohd Salleh, Mohd Al Shadie Mohd Salleh, Mohd Khairi Mohd Yamin, Shafiqe Abdul Rahim dan Razak Osman.

Pertandingan yang diadakan di Stadium  Hassanal Bolkiah  Berakas Brunei Darussalam itu menyaksikan Special Olympics Labuan telah mendapat naib johan setelah tewas kepada pasukan tuan rumah di perlawanan akhir.

Manakala pasukan senior yang  juga  juara bertahan edisi  ke 9 juga  mendapat  naib johan setelah tewas kepada tuan rumah dengan jaringan 1-0.

Special Olympics Labuan juga disertai oleh 9 orang lagi dari ahli PDK (Pusat Pemulihan Komuniti) Labuan yang juga majoriti merupakan bekas pelajar SMK Lajau.

Kedua-dua pasukan ini telah dilatih dan diringi oleh En Mohd Azhar Bin Kasiman (PPKI SMK.Lajau) dan En.Wong Foo Fook Nelson (Special Olympics Labuan)

Kejohanan kali ini disertai oleh tiga negara iaitu Brunei Darussalam dengan  menghantar 4 pasukan, Indonesia diwakili oleh Kalimantan Utara, 2 pasukan, Kalimantan Selatan 2 pasukan. Manakala pasukan Malaysia diwakili negeri Sarawak, 2 pasukan, Sabah 1 pasukan dan Labuan, 2 pasukan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh  Yang berhormat  Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman Menteri Pendidikan Negara Brunei Darussalam.

Negeri Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi edisi seterusnya.




50 Orang Murid diraikan Pada Majlis Konvokesyen Prasekolah Peringkat SK Patau-Patau

Labuan – Seramai 50 orang murid prasekolah diraikan pada majlis Konvokesyen Prasekolah Peringkat Sekolah Kebangsaan Patau-Patau yang diadakan di salah sebuah hotel di pulau ini, ahad lepas. Majlis gilang-gemilang itu dirasmikan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan,  Puan Maimoon binti Haji Matnoh mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Berucap merasmikan majlis tersebut, Puan Maimoon berkata program seumpama ini mampu menjadi asas untuk menjana modal insan yang berkualiti, berahlak mulia, kreatif, inovatif, dan  berdaya saing.  Menurutnya, ia sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang ingin melahirkan insan yang seimbang dari segenap aspek.

Pada majlis tersebut, adik Nur Zureen Zulaiqha binti Adzmy dari Prasekolah Cerdik dan Nur Syamimi Balqis binti M.Fakrorozi dari Prasekolah Pintar dinobatkan sebagai Murid Prasekolah Cemerlang Tahun 2017.  Anugerah disampaikan Ketua Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Prasekolah Jabatan Pendidikan Labuan, Puan Diah binti Md. Yussof

Sempena majlis itu, turut diadakan penyampaian Sijil Tahun 6 kepada 43 orang murid Tahun 6 yang bakal menamatkan sesi persekolahan di SK. Patau-Patau tahun ini.

Puan Diah menyampaikan hadiah kepada murid prasekolah SK Patau-Patau

Hadir sama pada majlis ini, Guru Besar SK. Patau-Patau, Encik Abd. Rahman bin Salim, Yang Di Pertua PIBG SK Patau-Patau, Encik Nizam bin Yasin, Pengerusi Waris Prasekolah, Mariani binti Alidin, guru-guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) serta ibu bapa murid.

 

 




Jamuan Gemilang (Lunch Gathering) PPKI SMK Lajau

LABUAN: Pelajar Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) SMK Lajau gembira apabila satu Majlis Jamuan Gemilang (Lunch Gathering) diadakan pada 11 November 2017 bertempat di Grand Dorsett Labuan. Majlis yang dianjurkan oleh BIRO (PIBG) PPKI SMK Lajau diadakan untuk menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar sepanjang tahun 2017.

Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip, Pengetua SMK Lajau, menyempurnakan majlis itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi BIRO , Puan Fatimah binti Haji Yahya beserta Timbalannya, Encik Norazmi bin Mat, Penolong Kanan PPKI SMK Lajau, Puan Noraini binti Haji Sabudin bersama Barisan Pentadbir SMK Lajau, ibu bapa, dan pelajar-pelajar PPKI SMK Lajau. Mohd Jamatin dalam ucapannya menyambut baik aktiviti dan program seperti itu kerana dapat memberi penghargaan kepada pelajar dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan juga dari segi kemahiran. Tambah beliau, pelajar ini sebenarnya mempunyai pelbagai kecerdasan yang boleh dicungkil, dipupuk dan dikembangkan ke arah kecemerlangan individu yang optimum.

Puan Fatimah, (empat, kiri) Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru PPKI SMK Lajau, bergambar bersama guru-guru PPKI SMK Lajau

Fatimah, Pengerusi BIRO PIBG dalam ucapannya turut menyanjung tinggi kesungguhan guru-guru kerana bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut. Beliau juga berterima kasih  kerana komitmen dan semangat yang ada dalam diri guru-guru dalam mendidik pelajar-pelajar berkeperluan khas dan berharap usaha murni itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Majlis itu dimulakan dengan penyampaian anugerah kecemerlangan pelajar dalam bidang Kurikulum, Hal Ehwal Murid, dan Ko-Kurikulum. Majlis tersebut juga turut dimeriahkan dengan sambutan hari lahir pelajar, persembahan nyanyian dari pelajar dan acara cabutan bertuah.

Majlis gilang gemilang itu turut mendapat sumbangan berbentuk hamper, baucer, dan juga wang ringgit. Antara penyumbang, Koperasi SMK Lajau, Petronas Methanol Labuan Sdn. Bhd, Hotel Grand Dorsett Labuan, Pemborong WCW, Kedai Cantik Murah House, Kedai Buku United Joncho, Pirana Jaya Enterprise, Kedai Nove Deep Enterprise, Kedai Emas Shun Yick, Kedai Runcit Tanjung Aru, dan  Kedai Soon V Trading, Kedai Hoi Peng Hardware,  Restoran JJ Nazar, Sabah Flour Labuan, dan Crystal Bright Stationery. Sumbangan daripada orang perseorangan , adalah Pn Jasmine Abdullah, , Datin Stacy Lee Laye Ying, Hajah Fauziah Datuk Mohd Din, Datin Emma Kilo, Madam Teo Chip Guan, Mr. Darius Hiew, Mr. Chan Kok Ung, , En. Johnny, dan Pn. Aisah.

Gembira. Pelajar PPKI SMK Lajau, bersama Mohd Jamatin, bergambar bersama beg dan alat tulis yang disumbangkan oleh Petronas Methanol Labuan Sdn. Bhd,

Sumber Berita : SMK Lajau

 

 




Program Jom Diet Jom Sihat SMK Pantai IB World School, Ke Arah Budaya Sihat Warga Sekolah

Labuan, 14 Nov – SMK Pantai iB World School, W.P Labuan melalui Kelab Guru dan Staf Sokongan mengadakan Program JDJS melibatkan 27 orang yang sudah masuk Musim ke-4. Program ini yang telah bermula sejak tahun lalu bertujuan untuk menggalakkan budaya hidup sihat bagi meningkatkan produktiviti kerja dan melonjakkan mutu kerja dalam kalangan warga sekolah.

Setiap peserta menyumbang RM30.00 seorang untuk tempoh tiga bulan dan penalti RM5.00 dalam tempoh sebulan sekiranya gagal mengekalkan berat badan atau berat badan meningkat. Kelab Guru dan Staf Sokongan SMK Pantai iB World School juga menerima sumbangan ikhlas pelbagai pihak dan individu prihatin untuk hadiah yang akan disampaikan pada akhir setiap tiga bulan.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga sekolah. Antaranya permainan badminton, bola jaring, bola sepak, bola tampar dan juga aktiviti mendaki Bukit Kubong serta aktiviti berbasikal keliling Pulau Labuan.

Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang diadakan di Bilik Gerakan SMK Pantai iB World School baru-baru ini.

Pemenang JDJS Siri 4/2017.

Johan : Sairin bt Linggah ( -10.8 kg)
N.Johan : Julianah bt Jainuddin ( -10.7 kg)
Ketiga : Norlizawati Ag Tahir & Zaleha Pumb(-5.3 kg)

Sagu hati:
1. Jeffreson a/l Sanmogram
2. Claudius Upin Lonsiong Junior
3. Ramlae bin Rashid

27 orang peserta seramai 22 orang berjaya menurunkan berat badan sehingga ada yg mencapai melebihi 10 kilogram.

Penyelaras Program Zaleha bt Pump@Pumb optimis program ini akan diteruskan pada Musim ke-5 pada tahun hadapan dan dijangka ada pertambahan. peserta memandangkan impak yang positif.

 

DISEDIAKAN

SAHAR BIN MISRON
PENGETUA
SMKP IBWS
14.11.17