Shuib dipilih YDP PIBG SK Sungai Lada baharu

AHLI perniagaan Haji Shuib Nasir dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Lada (SKSL) yang baharu bagi sesi 2017-2019.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin dan Guru Besar SKSL Anita Shyamini A/P S Azman masing-masing dilantik sebagai penaung dan penasihat persatuan itu.

Yanti Bakir pula dipilih sebagai Naib Yang Dipertua, Bendahari Siti Aliza Ag Emran, Setiausaha Nurul Ain Adawiyah Bahari dan Timbalan Setiausaha Ruzanah Mohd Jais.

Lima ibu bapa dipilih sebagai ahli jawatankuasa (AJK) iaitu Ellyza Abu Kassim (Biro Kebajikan), Abdullah Hussin (Biro Sukan), Janney Sumil @Nursyafina (Biro Pembangunan/Keceriaan), Abdul Aziz Ismael (Biro Agama) dan Viancy Ng @ Norafiza (Biro Keraian).

Tiga penolong kanan adalah Sitti Rahimah Yusuppu (PK Pentadbiran), Norela Suhaimi (PK Hal Ehwal Murid) dan Mahmud Mumin (PK Kokurikulum) turut dilantik sebagai AJK.

Mesyuarat Agung PIBG SKSL ke-25 diadakan pada Ahad lalu di Dewan SKSL.

Sementara itu, sebanyak 12 aktiviti telah dirancang oleh PIBG sepanjang tahun 2017 iaitu Program Berkat Ibu pada 24 Februari, Program Family Day & Talent Show (Mac), Gala Night (April), Qiamulail (Ramadan), Sambutan Hari Raya Aidilfitri (Hari Raya) dan Motivasi Pelajar UPSR bersama IPTA.

Turut dirancang, lawatan ke Sekolah Contoh SK Lubai–Limbang, Qurban, Khatan & Majlis Kesyukuran, Pertandingan Memancing, Hari Keusahawanan, Program Lestari dan lawatan kerja amal ke rumah anak yatim di Jakarta Indonesia (3 hari 2 malam).

Shuib yang juga penyampai radio Labuan FM berkata mesyuarat itu mencatat sejarah kerana pada sebelah siang diadakan mesyuarat pemilihan manakala pada sebelah malam diadakan mesyuarat AJK.

“Belum ada lagi PIBG mengadakan mesyuarat agung dan mesyuarat AJK pada hari yang sama. Ini membuktikan komitmen guru dan ibu bapa untuk melihat SK Sungai Lada berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sekolah lain di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memerlukan kerjasama semua ibu bapa selain guru untuk memastikan semua perancangan PIBG itu berjalan lancar pada tahun ini.

Katanya jika semua ibu bapa dan guru berganding bahu, beliau yakin SK Sg Lada mampu melakar kejayaan di bidang akademik dan kokurikulum pada masa akan datang.

Sumber : Utusan Borneo, 23 Februari 2017




Kreatif dan Inovatif, Sistem Pencernaan Manusia

23 Februari – Kreatif dan inovatif selaras dengan pembelajaran abad 21, begitulah bahan PdPc yang telah dihasilkan oleh Cikgu Kalpana A/P Maniam, guru SMK Pantai. Beliau bukan sahaja kreatif tetapi juga telah menerapkan konsep 4C dalam pembelajaran abad 21 iaitu Creativity, Critical Thinking, Collaboration dan Communication.

Cikgu Kalpana telah berjaya menarik minat pelajar dengan membina bahan pengajaran dan pembelajaran bagi topik sains tingkatan 2 iaitu memahami sistem pencernaan manusia. Aktiviti melukis, mewarna, melabel organ dan aliran pemakanan dalam sistem pencernaan manusia secara berkumpulan  pada sehelai baju putih membolehkan pelajarnya dapat memahami konsep pencernaan manusia dengan lebih mudah.

Melalui kaedah ini pelajar dapat berkolaborasi dan berkomunikasi secara berkumpulan bagi membincangkan bagaimana proses pencernaan manusia berlaku termasuk fungsi setiap organ dalam aliran pencernaan. Proses perbincangan bermula dari mulut turun ke esofagus, perut, hempedu dan usus.

Sistem pencernaan manusia yang telah berjaya dilukis akan dipakai oleh salah seorang pelajar dari setiap kumpulan dan dibentang serta dibincangkan kepada semua pelajar. Tahniah diucapkan dan teruskan usaha anda Cikgu Kalpana A/P Maniam, Guru Cemerlang, SMK Pantai.

 

 

 

 




Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) SMK Rancha-Rancha dan SMK Labuan

22 Februari – Majlis Pelancaran Program Membaca SMK Rancha-Rancha oleh Dato Sri Mohd Alias Bin Haji Abdul Rahman. Turut hadir Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Omar Baki Matusin, KPP BTPN Encik Ag Marten bin Hj Abdul Rahman, Penolong-Penolong Kanan, Guru-Guru dan Murid-Murid SMK Rancha-Rancha. Semoga pelancaran program membaca ini dapat  memupuk dan menggalakkan lagi minat membaca dalam kalangan  warga SMK Rancha-Rancha.

 

22 Februari – Membaca merupakan jambatan ilmu. Pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dapat kita pelajari melalui amalan membaca. Semakin banyak yang kita baca dan pelajari, maka semakin tinggilah ilmu yang akan kita perolehi.  Mudah-mudahan inisiatif SMK Labuan membina Sudut Nilam di pejabat pentadbiran dapat dimanfaatkan oleh semua pihak termasuk pentadbir sendiri, guru-guru dan juga PKP. Semua guru dan PKP digalakkan membawa sendiri pelbagai jenis buku untuk disumbangkan kepada sudut Nilam SMK Labuan.

 




Bantuan Awal Persekolahan

Seramai 172 murid Tahap Dua Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM100.

Majlis penyerahan wang berkenaan disempurnakan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Farid Marcus kepada ibu bapa di kelas murid masing-masing pada Jumaat lalu.

Beliau yang mewakili Guru Besar Cally Awat Moguring berharap bantuan itu dapat meringankan beban kewangan ibu bapa untuk

membeli peralatan persekolahan.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat berpendapatan rendah di negara ini termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kerajaan akan terus menjaga kebajikan rakyat berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.

Farid berharap menerusi bantuan awal persekolahan itu, akan menyuntik semangat murid untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Penolong Kanan Pentadbiran Roslan Mohamad.




SJKC Chi Wen, Labuan International School Hebat Akuatik

13 Februari – Bertempat di Kolam Renang Labuan International School (LIS), pasukan renang dari sekolah SJKC Chi Wen dan Labuan International School (LIS) telah mengungguli Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Wilayah Persekutuan Labuan Kali Ke-16 2017.

SJKC Chi Wen berjaya menggondol 10 pingat emas, 2 perak dan 3 gangsa untuk muncul juara kategori Sekolah Rendah. Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne tidak kurang hebatnya dengan 8 emas diikuti tempat ketiga SK Pekan Dua 3 emas 12 perak 6 gangsa.

Tuan rumah iaitu LIS terlalu hebat untuk dicabar dengan Sekolah Menengah lain dengan menggondol 24 emas, 19 perak dan 15 gangsa. Naib johan SM St Anthony dengan 9 emas dan 1 gangsa, tempat ketiga SM St Anne 9 emas.

Atlet Harapan MSSWPL – murid SK Pekan Dua, Arhadin Prome,  8 emas 2 perak di 50th Sabah Age Groups.

Anugerah Atlet Cilik Terbaik – murid SK Pekan Dua, Joramli Soni, 8 tahun.

Adik Bryan Bao Yang dari SM St Anthony memenangi 4 pingat emas dan 1 rekod baharu kejohanan.

Anugerah Khas Keluarga Aktif Akuatik – Abdul Kahar Abd Rahim (Penolong Kanan Kokurikulum SK Pantai) dan Dalilah Desa (Penolong Kanan Kokurikulum SK Membedai).

Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Wilayah Persekutuan Labuan Kali Ke-16 2017 ini dianjurkan oleh LIS dan SK Pekan Dua.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.




SK Bebuloh dan SM Sains Juara Keseluruhan Merentas Desa MSSWPL 2017

Tahniah diucapkan kepada SK Bebuloh dan SM Sains Labuan yang telah menjadi juara keseluruhan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) 2017. Kejohanan berlangsung pada 11hb Februari bertempat di Padang Majal, Pohon Batu.

Kategori Lelaki 12 Tahun Ke Bawah

  1. SK Bebuloh
  2. Sk Lubok Temiang
  3. SK Pantai

Kategori Perempuan 12 Tahun Ke Bawah

  1. SK Bebuloh
  2. Sk Lubok Temiang
  3. SK Pantai

Kategori Lelaki 15 Tahun Ke Bawah

  1. SMK Labuan
  2. SM Sains Labuan
  3. SMK Taman Perumahan Bedaun

Kategori Perempuan 15 Tahun Ke Bawah

  1. SMK Mutiara
  2. SM Sains Labuan
  3. SM St Anne

Kategori Lelaki 18 Tahun Ke Bawah

  1. SM Sains Labuan
  2. Kolej Vokasional Labuan
  3. SMK Taman Perumahan Bedaun

Kategori Perempuan 18 Tahun Ke Bawah

  1. SM Sains Labuan
  2. SMK Labuan
  3. SM St Anne




Bengkel ADD BH bantu proses PDP. Guru di Labuan manfaatkan pendedahan format terkini UPSR

Panjangkan masa serta dianjurkan dua kali setahun. Demikian harapan warga pendidik dari pulau bebas cukai ini yang menyertai Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) 2017 anjuran akhbar BH dengan kerjasama Pasukan Guru Bahasa Melayu Sekolah Rendah Wilayah Persekutuan Labuan dan Jabatan Pendidikan Labuan, di sini, kelmarin.

Seramai 120 peserta terdiri daripada guru Bahasa Melayu dan Matematik di wilayah ini menyertai bengkel berkenaan yang dikendalikan penceramah berpengalaman merangkap penulis sisipan Didik BH.

Guru Bahasa Melayu Sekolah Kluster Kecemerlangan Rancharancha, Rositah Abd Rahman, berkata beliau sanggup mengikuti bengkel itu di Kota Kinabalu pada tahun lalu kerana pengisian diberikan penceramah mampu diaplikasikan kepada murid.

Katanya, apabila mengetahui bengkel berkenaan akan diadakan di wilayah ini, beliau tidak melepaskan peluang untuk menyertainya sekali lagi.

Beberapa guru lain yang ditemui juga sependapat, bengkel itu terbukti memberi ilmu tambahan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Guru Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Satu, Zainol Anuar, berpendapat bengkel itu memberi input mengenai format baharu bagi subjek berkenaan daripada penceramah berpengalaman.

“Pengkongsian mengenai cara pemarkahan boleh digunapakai oleh guru untuk diajar kepada murid,” katanya yang berharap masa penganjuran bengkel dapat dipanjangkan bagi membolehkan guru mendapat lebih banyak input dan ilmu tambahan membabitkan subjek yang diajar.

Penyelaras Program Cikgu Hasnan Saad.

Dipetik dari Media Berita Harian : 25 Januari 2017




Merentas desa ke 7 SK Pantai sukses

21 Jan 2016 – Seramai 450 murid mengikuti aktiviti merentas desa kali ke-7 sejauh empat kilometer yang bermula di Padang Majal Pancur Hitam, Kg Pohon Batu yang melibatkan murid tahun tiga hingga tahun enam.Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Guru Besar SK Pantai, Mahani Hj Hussin. MenurutMahani, aktiviti merentas desa merupakan acara tahunan yang diadakan sebagai acara pembukaan aktiviti unit kokurikulum sebelum kejohanan olahraga tahunan berlangsung.

“Antara objektif aktiviti dijalankan adalah untuk memupuk silaturahim di kalangan murid dan warga sekolah. Malah aktiviti seperti ini dapat membudayakan gaya hidup sihat dan dapat mencungkil bakat baharu di kalangan warga sekolah dalam olahraga”, katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Penolong Kanan Pentadbiran Faridah Amit, Penolong Kanan Kokurikulum Abdul Kahar Abdul Rahim, Penolong Kanan HEM Azlina Abdul Garip dan Penolong Pendidikan KHas Halifah Salim. Majlis Penutupan diakhiri dengan penyampaian pingat dan hamper kepada para pemenang.

Johan keseluruhan dimenangi oleh pasukan Rumah Merah, manakala naib johan dimenangi oleh Rumah Hijau dan tempat ketiga jatuh kepada pasukan Rumah Biru.

Dipetik dari Utusan Borneo




Program Transisi Tahun 1 SK Pekan Dua

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin telah menyempurnakan Majlis Penutupan Program Transisi Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Pekan Dua (SKPD) di Dewan Gemilang SK Pekan II, Selasa lalu.

Seramai 107 murid Tahun Satu terlibat dalam program itu yang bermula jam 8 pagi. Mereka mengikuti pelbagai aktiviti termasuk nyanyian, sukaneka, pertandingan membina akuarium, belajar abacus dan projek menanam taugeh pada 3- 13 Januari lalu.

Murid- murid bersama guru- guru dan tetamu menyanyikan tiga lagu patriotik iaitu Negaraku, Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera serta Gemilang disusuli bacaan doa oleh Ustaz Aska Achbar dan Bacaan Ikrar Murid oleh Mohamad Zakry Zaquan Shaiful Rizal.

Turut berucap pada majlis itu ialah Penolong Kanan Pentadbiran Hajah Tengku Yasmin Tengku Ibrahim yang mewakili Guru Besar Awgku Damit @Ak Chuchu Pengiran Mohd Yassin.

Selepas ucapan Raisin, majlis itu diserikan dengan persembahan Multimedia Minggu Transisi 2017, persembahan nyanyian solo murid dan penyampaian cenderahati transisi ( wakil ketua kelas dan penolong).

Turut diadakan, penyampaian hadiah pertandingan membina akuarium yang dimenangi Nur Soleha Delminda (1B), Mersa Elson (1B) dan Aedrey Reymil (1T).

Empat murid pula menerima hadiah Murid Contoh Mengikut Kelas iaitu Nur Syahirah Ramdhan Dzulfikar (1Z), Jimmy Jemsin (1T), Nur Nia Ramadhani Rhadmil (1B) dan Nur Felisyah Qedryna (1M).

Manakala Anugerah Murid Terbaik diberikan kepada Alexandra Hazel (1T) dan Mohamad Zakry Zaquan Shaiful Rizal (1Z).

Empatbelas murid Tahun Satu yang lahir pada bulan Januari turut teruja apabila pihak sekolah meraikan mereka dengan acara memotong kek sambil disaksikan ibu bapa dan guru-guru.

Mereka ialah Muhammad Aiyub Ismail ( 1Z), Nur Alissa Najira Abdul Taha ( 1Z), Nur Aqilah Damia Mohd Daud (1Z), Nur’ Alya Dania Syafiqah Muhammad Shah ( 1Z), Putri Alisya Abdullah ( 1Z), Mohamad Adizan Masrin (1T), Nurul Hazira Nasip (1T), Adi Putra Isma Khairuddin Augustine Abdullah ( 1B), Al-Fazeer Abdullah (1B), Muhammad Alif Mukhriz Abdul Mukim (1B), Nazrin Raja (1B), Nurul Syazwanie Abdullah ( 1B), Mohammad Firdaus Mat Sam (1M).

Majlis itu diakhiri dengan persembahan murid, Madley Pokok Mulberry dan 5 Buku serta sesi bergambar.

Selepas rehat, ibu bapa mendengar Taklimat KSSR Semakan 2017 oleh Penyelia Unit Sains dan Matematik Irham Hamid dan Program Bakti Linus Tahun 1 oleh Ketua Unit Linus Afandi Nasir.

Raisin berharap ibubapa akan terus memberikan kerjasama kepada pihak termasuk memastikan kehadiran penuh anak mereka ke sekolah selain hadir pada program anjuran sekolah dan PIBG.

“Sudah tentu pihak sekolah memerlukan kerjasama dan komitmen ibu bapa dalam menjayakan program anjuran sekolah dan PIBG”, Encik Raisin Saidin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas komitmen guru-guru yang menjayakan pelbagai program sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, Tengku Yasmin merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang memilih SK Pekan Dua sebagai pilihan mereka menghantar anak ke Tahun Satu sekaligus menjayakan slogan sekolah ‘Labuan Hebat, SK Pekan Dua Gemilang’.

“Program transisi adalah untuk memberikan pengalaman awal kepada murid agar mereka lebih yakin dan berdisiplin sepanjang tahun 2017,” katanya.

Turut hadir, Ketua Unit HEM Haji Jaafar Abu Bakar, Penolong Kanan HEM Sabar Dalimin dan Penolong Kanan Kokurikulum Rahman Jaafar.




SMK Labuan dan LIS anjur Perkongsian Amalan Pembelajaran Abad Ke-21..

14 Januari : SMK Labuan dengan kerjasama Labuan International School (LIS) dan PIBG SMK Labuan telah menganjurkan Perkongsian Amalan Pembelajaran Dan Pemudahcaraan (PDPC) Abad Ke- 21 yang berlangsung di Auditorium Labuan International School (LIS), pada Sabtu.

Seramai 500 orang yang terdiri daripada semua guru SMK Labuan dan LIS, Ketua-Ketua Sektor dan Ketua Penolong Pengarah BTPN Jabatan Pendidikan WP Labuan serta Pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan menghadiri program tersebut.

Perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Guru Cemerlang Sains SMK Jerlun Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib.

Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah berkata selain daripada menjadi sebahagian hasrat dalam PPPM 2013-2025 untuk mencapai pendidikan berkualiti, dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) juga jelas menyatakan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) merupakan perkara yang sangat penting yang menentukan standard kualiti pengurusan kurikulum sesebuah sekolah.

Katanya, Standard 4 SKPMg2 meletakkan standard ‘Guru berperanan sebagai pemudah cara dalam pembelajaran dan pengajaran yang berkesan untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan pencapaian murid pada tahap optimum yang berterusan’.

Ismail berkata terdapat enam aspek dalam Standard 4 ialah guru sebagai perancang, guru sebagai pengawal, guru sebagai pembimbing, guru sebagai pendorong, guru sebagai penilai dan murid sebagai pembelajar aktif.

“Program hari ini merupakan satu tindakan awal ke arah memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang amalan PdPc Abad Ke 21. Saya yakin kita semua teruja dengan hal ini. Program ini yang pada asalnya hanyalah satu program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) antara SMK Labuan dan LIS, telah mendapat sambutan di luar dugaan dalam kalangan guru- guru sekolah di WP Labuan,” katanya.

Menurut Ismail, penyertaan melebihi 500 orang hari ini sudah mencapai satu pertiga daripada jumlah guru di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tambahnya, namun ini bukanlah satu program lengkap yang dapat merangkumi semua keperluan pelaksanaan PdPc Abad Ke 21.

Tentunya memerlukan tindakan susulan di peringkat sekolah terutama peringkat panitia mata pelajaran untuk membincangkan lebih teliti dan berfokus strategi PdPc mata pelajaran masing-masing melalui pelbagai medium termasuklah Professional Learning Community (PLC).

Cikgu Hailmi menerima cenderahati dari Pengetua LIS

“Program ini hanya satu sumbangan kecil SMK Labuan dan LIS, tapi kami yakin tindakan susulan yang berterusanlah yang akan menentukan impak sebenar kepada prestasi sekolah dan WP Labuan secara keseluruhannya,” katanya.

Antara kejayaan /anugerah yang pernah dicapai oleh Norhailmi Abdul Mutalib ialah Blog Pendidikan Terbaik (Malaysia Social Media Awards 2014), Agent For National Transformation 2014 (MCMC), Blog Pendidikan Terbaik (UPSI), Peserta Program Pertukaran Guru Malaysia – Korea (KOMTEP) 2015 dan Blog Kandungan Pendidikan Terbaik (Malaysia Social Media Awards 2016).

Menurut Ismail, perkongsian tersebut antaranya tentang bagaimana guru-guru boleh melaksanakan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Abad Ke 21 dalam mata pelajaran masing-masing berpandukan contoh-contoh yang pernah dilaksanakan oleh Norhailmi di sekolahnya.

Banyak perkongsian tentang PdPc Abad Ke 21 boleh dirujuk dalam laman web www.cikguhailmi.com Turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Maimoon Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Norismah Abd Moin, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Khaziyati Osman, Ketua Penolong Pengarah BTPN Labuan, Ag Marten Abd Rahman, Ketua Sektor Pengurusan Maklumat, Samsudin Yala dan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Cawangan Labuan, Omar Baki Matusin.

Dipetik dari laman New Sabah Times

Gambar dari Blog CikguHailmi.com