Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

21 Julai – SMK Labuan dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung pada 18hb-20hb Julai 2017.

SMK Labuan yang diwakili oleh Marvin Hing Majin, Nigel Llaleta Goh, Louis Ker Wei Zhun dan Richard Ian Tanakinjal berjaya membawa pulang piala  dan sijil penyertaan.

Pada peringkat akhir, pasukan yang dibimbing oleh Puan Nasthashia Masiri @ Masrih dan Puan Norah Tan itu berjaya menewaskan SMK Mutiara dengan tajuk perbahasan ‘This house Prefers a world with a common and only one language’.

Melengkapkan kejayaan manis sekolah tersebut apabila pembahasnya, adik Nigel Llaleta Goh sebagai pembahas terbaik. Kejayaan itu membolehkan SMK Labuan mewakili WP Labuan dalam pertandingan bahas peringkat kebangsaan 2017.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Encik Mohd Al Ghaffar Maidin, Ketua Unit Pusat Kokurikulum JPWPL.

Hadir sama Encik Subari Dwar Ketua Unit Kokurikulum dan Encik Yusup Mohamad Pengetua SMK Lajau.

Pengetua SMK Labuan melahirkan perasaan sangat gembira dengan kegigihan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajarnya dan dibantu oleh semua guru Bahasa Inggeris sekolah  sehingga membuahkan hasil kejayaan yang cukup bermakna. Beliau mengharapkan agar pasukan muda ini mendapat pendedahan di peringkat kebangsaan dan berusaha membuat yang terbaik untuk mengharumkan nama SMK Labuan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen ini, memperkenalkan satu format perbahasan yang menarik dan mencabar kepada murid-murid sesuai dengan institusi persekolahan sebagai pusat kecemerlangan. Selain, melahirkan bakal  pemimpin yang berani, berfikiran tajam serta mempunyai kemahiran berhujah secara spontan dengan idea yang bernas dan teratur.




Program Zero to Hero Transformation Carnival 2017

Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau akan menganjurkan Program Zero to Hero Transformation Carnival 2017. Program ini merupakan salah satu program SMK Lajau dibawah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
Maklumat program adalah seperti berikut:

NAMA PROGRAM: PROGRAM ZERO TO HERO TRANSFORMATION CARNIVAL 2017

TARIKH : 22 JULAI 2017 (SABTU)

MASA : 08.00 PAGI – 12.30 TENGAHARI

TEMPAT : RUANG LEGAR, UJANA KEWANGAN

OBJEKTIF PROGRAM :
1. MENINGKATKAN PEMAHAMAN DAN PENGUASAAN NOVEL ‘CAPTAIN NOBODY’ KEPADA CALON SPM 2017

2. MENINGKATKAN KEYAKINAN PELAJAR UNTUK MENJAWAB SOALAN NOVEL

3. MENGGALAKKAN PERKONGSIAN ILMU DI KALANGAN PELAJAR

4. MENGGALAKKAN PENDEKATAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21

Orang ramai khususnya calon-calon SPM 2017 dari semua sekolah menengah di W.P Labuan dijemput memeriahkan karnival yang julung kali diadakan ini. Jumpa anda di sana…




SMK Lajau Menyinar pada Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Kebangsaan

SMK Lajau menyinar dengan meraih tempat ketiga bersama Johor di Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Antara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2017.

Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia itu diadakan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 13-16 Julai.

SMK Lajau yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dibimbing Muhd Hisyam Assim menewaskan Melaka di Pusingan Awal 1 dan Sabah di Pusingan Awal 2.

Di peringkat suku akhir, SMK Lajau mengatasi cabaran Kelantan dengan keputusan 5-0.

Bagaimanapun, hasrat pasukan itu untuk mara ke pentas akhir disekat oleh pasukan Selangor di pusingan separuh akhir.

Selangor yang muncul juara pertandingan itu turut memenangi anugerah Pembahas Terbaik. Naib johan dimenangi Sarawak.

Sekolah itu diwakili Nur safiah Lalim, Thasmawaty Aripin, Irham Zulhilmi Mohd Johan, Nur Alia Fathihah Ryzisyaini dan Nurul Fatin Nazeera Qaber yang kesemuanya pelajar Tingkatan Lima Amanah menerima RM250 dan trofi serta sijil.

Jabatan Pendidikan WP Labuan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pencapaian SMK Lajau. Labuan Hebat, Guru Sayang Muridnya.

Pautan Berita Kejayaan :

Gambar Kenangan : Pasukan SMK Lajau, Johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen 2017 Peringkat W.P Labuan




Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada 2017 Bersama Pelayar Antarabangsa

Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada 2017 Bersama Pelayar Antarabangsa telah diadakan pada 16 julai 2017 di Dewan Sri Kedayan Sekolah Kebangsaan Sungai Lada. Majlis sambutan meriah raya ini telah dianjurkan oleh warga Sekolah Kebangsaan Sungai Lada bersama PIBG SK. Sg. Lada.

Majlis yang bermula seawal 9.00 pagi dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Pn. Anita Shyamini S. Azman dan YDP PIBG, Hj Shuib Bin Nasir. Majlis tersebut seterusnya dimeriahkan lagi dengan tarian sambut tamu oleh penari-penari kebudayaan Perbadanan Labuan. Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan lagu-lagu raya daripada artis perbadanan Labuan yang diiringi oleh kumpulan pemuzik perbadanan Labuan.

Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada ini turut dihadiri oleh beberapa tetamu kehormat iaitu Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Datuk Haji Bashir Bin Hj Alias, Ahli Parlimen P166 Labuan, Datuk Rozman Datuk Hj Isli, Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Asian Supply Base Labuan, Ybhg. Dato’ Harris Tan dan Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management (LLPM) Dato’ Sri Haji Mohd Alias  Haji Abd Rahman, 20 orang Pelayar Antarabangsa serta Pegawai- pegawai dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara acara yang turut menyemarakkan lagi majlis ini ialah acara Karaoke Riang Raya, Pertandingan Gerai Tercantik Raya, Teka Biji Betik Raya, Glamour Raya 2017, Program Anak Angkat, pemasangan Padlock pada “Wall of Memories” oleh Para Pelayar Antarabangsa dan Penanaman Anak Pokok oleh tetamu kehormat bersama Para Pelayar Antarabangsa daripada warganegara Belanda, Australia, British, Jerman, New Zealand dan Columbia. Majlis ini telah diakhiri dengan sesi bergambar.




Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat W.P Labuan

Objektif :

  1. Menyampaikan mesej dakwah melalui aktiviti berunsur dakwah
  2. Memberi pendedahan kepada murid tentang hiburan Islam yang sebenar
  3. Memberi peluang kepada murid menunjukkan bakat dan kebolehan mereka

Keputusan Festival Nasyid Sekolah-Sekolah

Kategori Sekolah Rendah

Johan SK Bukit Kalam
Naib Johan SK Membedai
Ketiga SK Pekan Dua

Anugerah terbaik sekolah rendah:

1) Lirik tema: SK Bukit Kalam
2) Pdpc: SK Membedai
3) Lagu tema: SK Bukit Kalam
4) Lagu pdpc: SK Bukit Kalam
5) Persembahan :SK Bukit Kalam
6) Solo: SK Bukit Kalam

—————————————

Kategori Sekolah Menengah

Johan SMK Mutiara
Naib Johan SMA MAIWP
Ketiga SMK Pantai

Anugerah terbaik sekolah menengah:

1) Lirik: SMK Mutiara
2) Lirik pdpc: SMK Mutiara
3) Lagu: SMK Mutiara
4) Lagu PDPC: SMK Mutiara
5) Persembahan: SMA MAIWP
6) Solo: SMA MAIWP

Perasmian Penutupan:

Puan Norismah Moin
Ketua Sektor
Sektor Pengurusan Akademik
Jabatan Pendidikan W.P.Labuan
(Wakil rasmi Pengarah Pendidikan)

Turut hadir:
1) Pengetua SMK Pantai, En Sahar
2) Ketua Unit Pendidikan Islam, Ustaz Mohd Syahir Yussof
3) Pegawai Angkat Sekolah

Johan akan mewakili W.P.Labuan ke peringkat kebangsaan di Perak




SMK Labuan Raih Gangsa dalam National Wind Orchestra Festival 2017

17hb Julai –  SMK Labuan meraih pingat gangsa dalam pertandingan National Wind Ochestra Festival 2017  yang telah di adakan pada 12hb hingga 15hb Julai 2017 bertempat di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) . Pertandingan ini dianjurkan oleh Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI dengan kerjasama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia.

Matlamat utama kontinjen SMK Labuan menyertai pertandingan ini adalah bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman bermakna dalam mengembangkan bakat, minat dan kreativiti melalui aktiviti muzikal yang positif. Sebanyak 13 pasukan yang bertanding dan SMK Labuan diwakili oleh 27 orang pelajar dan 2 orang guru. Pasukan SMK Labuan diketuai sendiri oleh gurunya, Cikgu Mary Teng Howe Hui dan merupakan konduktor okestra SMK Labuan dalam pertandingan pada kali ini. Cikgu Lui Teck Huoy turut mengiringi pasukan okestra tersebut.

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail bin Abdullah melahirkan rasa syukur, gembira dengan komitmen yang diberikan oleh pelajar-pelajar dan guru-guru serta ibu bapa yg sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak mereka. Beliau berharap agar pasukan Concert Band SMK Labuan semakin mantap dan dapat mencapai tahap perak dan emas dalam tempoh 3 tahun dari sekarang.

 

 




SMK Taman Perumahan Bedaun Johan Pertandingan KIK

Kumpulan Sejiwa SMK Taman Perumahan Bedaun mengungguli Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2017.

Kumpulan Sejiwa diwakili Juraidah Aman, Suzaina Chee, Suridah Sabran, Suraya Abdul Rahman, Nur Ashikin Ismahun, Ahmad Fitry Ismail, Ivan Lai dan Gabriel Chin Vui Wen.

Pasukan itu membentangkan tajuk ‘Kesukaran mengumpal data disiplin bagi rujukan pentadbir dan unit disiplin untuk membuat tindakan’.

Dengan kejayaan itu, kumpulan itu membawa pulang sijil kemenangan seterusnya akan mewakili Labuan ke Konvensyen KIK Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat kebangsaan pada Oktober nanti.

Naib johan disandang Kumpulan The Green Synergy SMK Labuan dengan tajuk pembentangan ‘Borang Sibers 1.0 (Sijil Berhenti Sekolah)’.

Manakala tempat ketiga diraih Kumpulan Rainbow SK Pantai yang membentangkan ‘Rainbow Meramorphosis’.

Kumpulan 10 Star RG dari SKPekan Satu dan SMK Pantai IBWS menerima hadiah saguhati selepas masing-masing membentangkan ‘Menangani displin Pelajar pada Waktu Rehat’ dan ‘Masalah Pengurusan Masa Mesyuarat’.

Sebanyak lima kumpulan menyertai KIK pada tahun ini. Pertandingan itu diadili tiga orang juri iaitu Penolong Penguasa Bomba Labuan Pain Muzal selaku ketua juri, Pegawai Perbadanan Labuan Edzrina Tamin dan Pegawai Pendidikan (SISC+) Suriani Alland Rice Oxley.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan Encik Raisin Saidin di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan, Jalan Sungai Lada pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Khaziyati Osman, ketua-ketua sektor, pengetua dan guru besar.

En Raisin Saidin bersama para peserta KIK 2017




Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) Tahun 2016

Labuan – Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) Tahun 2016 telah berlangsung dengan penuh ceria pada 08 Julai 2017 (Sabtu) bertempat di Auditorium Labuan International School (LIS).

Majlis yang disempurnakan oleh YB Ahli Parlimen P166 W.P. Labuan, Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli ini dihadiri oleh Pengarah Pendidikan, En. Raisin bin Saidin, tetamu jemputan, ketua-ketua sektor,  para pengetua,  guru besar,  pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan, dan pelajar yang menerima anugerah pada majlis tersebut.

Ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, beliau berkata “Kejayaan yang para pelajar kecapi pada hari ini adalah hasil kesabaran, ketekunan dan kegigihan mereka tanpa mengenal rasa jemu. Oleh itu, anak-anak sekalian haruslah terus menjadikan kecemerlangan ini sebagai penggerak kepada kejayaan yang lebih besar kerana banyak lagi halangan dan cabaran yang harus ditempuhi dalam perjalanan yang masih jauh dan luas. Kita harus sentiasa ingat bahawa cemerlang ini bermaksud, anak-anak dapat mengamalkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran atau soft skill dalam kehidupan seharian. Natijah daripada kecemerlangan ialah keelokan atau keindahan yang tercerna dalam akal budi dan perilaku serta mewarnai watak keperibadian masing-masing . Kesemuanya menggambarkan kesempurnaan peribadi sepertimana yang diharapkan oleh negara kita, iaitu memiliki modal insan yang terbaik untuk kemajuan negara.

Saya amat berharap anak-anak cemerlang ini khususnya lepasan SPM dan STPM akan dapat menempatkan diri di institusi pengajian tinggi sama ada dalam atau luar negara. Anda adalah survival bangsa Malaysia dalam menghadapi arus globalisasi.  Saya selaku wakil rakyat di sini sentiasa memberikan sokongan kepada Jabatan Pendidikan Labuan dalam apa jua program sama ada program kurikulum atau kokurikulum demi melihat keberhasilan anak-anak di pulau ini berjaya di dunia dan akhirat. Yayasan Pembangunan Labuan juga turut sama memberikan sumbangan demi melihat kemenjadian anak-anak di pulau ini dalam pencapaian akademik mereka. Peningkatan ekonomi di pulau ini terletak dalam tangan generasi muda yang inovatif dan berdaya saing. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini supaya kita tidak ketinggalan dalam dunia hari ini”.