Kalau YoueIFOwwh Datang Labuan

12 Ogos – SMK Pantai IB World School melalui Unit Pendidikan Seni Visual membuat pameran Seni Ucir “Kalau YoueIFOwwh Datang Labuan ” di Street Arts Showcase Merdeka Day” di Taman Muhibbah, Labuan.

Berkisarkan tentang mainan imaginatif anak-anak yang divisualkan dalam Seni Ucir atau dikenali sebagai ‘DoodleArt’, program ini mampu mendidik pelajar berfikiran kreatif dan kritis. Ianya juga memberikan satu ruang dan pendedahan kepada pelajar-pelajar untuk berkomunikasi bersama masyarakat dalam mempromosikan karya seni visual.

Menurut Pengetua SMK Pantai, Encik Sahar Misron :

Karya-karya ini telah mula dihasilkan sejak bulan april yang melibatkan lebih daripada 150 orang pelajar. Menjadi satu harapan agar pameran ini dapat menanamkan semangat cintakan seni di kalangan pelajar dan juga masyarakat.

Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah hadir meluangkan masa bersama-sama warga SMK Pantai bagi memberi sokongan dan galakan dalam aktiviti sekolah yang berfokuskan kepada kemenjadian murid . YB Datuk Rozman Ahli Parlimen P166 Labuan juga sempat berkunjung dan menandatangani buku lawatan.

Sumber Berita : Sahar bin Misron

Encik Raisin memberi sokongan dan galakan hasil karya seni pelajar




Cungkil Bakat Pelajar Melalui Bidang Kulinari

Labuan- Tema masakan 2017 iaitu MENU SIHAT “ SAJIAN SIHAT KLASIK MALAYSIA”

Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Negeri W.P. Labuan 2017 dengan kerjasama KPM Dan Tajaan Nestle Products Sdn Bhd telah diadakan pada 12 Ogos 2017 yang bertempat di Pusat Ko Kurikulum Negeri.

Program ini telah dirasmikan oleh Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapan tersebut Encik Raisin Saidin menyatakan bahawa :

Matlamat utama pertandingan ini diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang berbakat di dalam bidang kulinari.  Program ini  juga adalah program tahunan kementerian di mana satu usaha dalam mencungkil bakat pelajar dalam bidang masakan di samping membantu meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang berkenaan. Pada masa kini, mempunyai kemahiran memasak memberi keuntungan yang lumayan kepada individu maka sebaiknya pada usia remaja ini, kemahiran memasak perlulah didedahkan dengan menggunakan kreativiti sedia ada.

Encik Raisin Saidin bersama kumpulan pelajar yang bertanding

Pencapaian anak-anak murid kita di Peringkat Kebangsaan juga amat membanggakan di mana pada tahun 2002 SM St Anne telah mendapat Johan, Tahun 2006 SMK Labuan mendapat tempat ke tiga, 2010 SMK Pantai Naib Johan dan 2012 sekali lagi SMK Pantai menjadi Johan.

Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi, yang disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri, telah memberi peluang kepada beribu-ribu murid  sekolah untuk menyertai pertandingan memasak di negeri dan kebangsaan, diharap akan terus berbuat demikian pada masa mendatang. Sepertimana yang diuar-uarkan dalam Anjakan ke-10 Memaksimumkan Keberhasilan Murid Bagi Setiap Ringgit 

Johan memasak – SMK Pantai

KEPUTUSAN RASMI PERTANDINGAN MEMASAK SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT NEGERI 2017

JOHAN             : SMK PANTAI
NAIB JOHAN       : SMK LABUAN
KETIGA            : SMK MUTIARA

Sumber berita : Encik Asmawi bin Ahmad

 




Pendidikan Luar – Flying Fox & Abseiling PPKI SK Pekan Satu

Labuan- Program Pendidikan Luar – Flying Fox & Abseiling PPKI SK Pekan Satu telah diadakan pada 12 Ogos 2017 yang bertempat di Kompleks Sukan Air Labuan. Program ini adalah anjuran dari Kinabalu Training Resouces & Kelab Sukan NOC Labuan.

Seramai 46 orang murid, 20 orang guru telah hadir memeriahkan program tersebut.

Objektif utama program ini dianjurkan adalah sebagai landasan kepada murid-murid Pendidikan Khas untuk membina keyakinan diri melalui aktiviti sukan dan rekreasi melalui pengalaman yg sebenar.




Pertandingan Kawad Kaki Unit Beruniform SMK Rancha-Rancha 2017

9 Ogos –  Bertempat di dataran terbuka SMK Rancha-Rancha (SMKRR) telah berlangsung pertandingan kawad kaki Unit Beruniform SMKRR bagi tahun 2017. Pertandingan ini disertai oleh 8 unit beruniform iaitu Kadet Bomba, Kadet Remaja Sekolah, Kadet JPJ, Kadet Pertahanan Awam, Pengakap, Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (Darat), kadet Polis dan Persatuan Puteri Islam.

Program ini turut menjemput, barisan hakim daripada wakil Polis Diraja Malaysia, Bomba Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, serta wakil daripada Pegawai Kadet Remaja Sekolah. Inspektor Azman bin Hussin merangkap pegawai perhubungan SMKRR diberi tanggungjawab sebagai ketua hakim bagi pertandingan ini.

Kadet Bomba dalam formasi barisan

Inspektor Azman selaku Ketua hakim diiringi oleh Cikgu Yahya Penolong Kanan HEM

Persatuan Kadet bomba telah muncul sebagai juara keseluruhan dengan markah 416 diikuti dengan Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (Darat) dengan markah sebanyak 411 dan tempat ketiga dirangkul oleh Kadet Polis dengan kutipan markah sebanyak 402. Kejuaraan Kadet Bomba diserikan lagi apabila dua ahli mereka mendapat anugerah Komander terbaik (Sulimin Bin Suliman) dan Peserta lelaki terbaik (Muhammad ariffin Bin Elias). Manakala bagi kategori kadet perempuan terbaik pula dirangkul oleh adik Yashirah Yusri daripada Kadet Polis.

Sumber Berita : Mohd Hafiz bin Mohamad

Tempat Kedua PKBM (Darat)

Tempat Ketiga Kadet Polis

Adik Sulimin Menerima Anugerah Komader terbaik

 




PSS SMK Pantai IB World School Memupuk Budaya Membaca dan Celik Maklumat

4 Ogos – Pusat Sumber SMK Pantai IB World School telah mengadakan Pameran Pembelajaran bertemakan perayaan megikut kaum di sekolah berkenaan.  Ia memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dan menghayati pelbagai perayaan pelbagai kaum di Malaysia.

Pusat Sumber Sekolah adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran.Sejajar dengan itu, PSS SMKPIBWS mengadakan aktiviti literasi maklumat melalui program pameran bertema untuk memupuk semangat literasi maklumat bukan sahaja melalui pembacaan melalui buku semata-mata. Pengawas PSS bertindak sebagai pemangkin kepada penyediaan bahan literasi maklumat dan juga persiapan pameran bertema. Ini sekaligus dapat memupuk sikap berdaya saing, semangat berpasukan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Antara objektif program ini ialah untuk memperkenalkan sikap membaca dan mencari maklumat, memupuk pembelajaran sepanjang hayat, mewujudkan suasana pembelajaran di luar kelas, menanamkan sikap bekerjasama dan bertanggungjawab dalam diri pelajar, mewujudkan sebuah pusat sumber sekolah yang selari dengan status IB World School serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih hidup melalui pameran bertema.

Pelajar SMK Pantai santai membaca bahan bacaan di Pusat Sumber

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Pengetua SMK Pantai IB World School, Sahar bin Misron. Beliau inginkan warga SMK Pantai yang celik maklumat dan dapat menghayati budaya perayaan pelbagai kaum di Malaysia. Pada pameran susulan disarankan dikembangkan kepada perayaan pelbagai kaum di seluruh dunia.

Sumber Berita : Sahar bin Misron




Sijil Pengiktirafan International Baccalaureatte (IB) World School-Middle Years Programme (MYPIB)

Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan sembilan sekolah menengah di negara ini berjaya memperoleh sijil pengiktirafan International Baccalaureatte (IB) World School-middle Years Programme (MYPIB). Labuan harus berbangga kerana salah sebuah sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis berlangsung pada 19 Julai 2017 bersempena program Cultivating A Thinking Culture – A Show Case betempat di Jabatan Perdana Menteri.

Di bawah pensijilan IB World School sembilan sekolah berkenaan menjadi sebahagian daripada 1,424 sekolah di seluruh dunia yang berpeluang mengikuti model pembelajaran dengan pendekatan MYPIB ke arah menjadikan mereka berfikiran kreatif dan kritis.

Setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga SMK Pantai IBWS dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sumber Berita : Sahar bin Misron

 




Program Perbengkelan Peningkatan Prestasi UPSR 2017

Labuan – Program ini merupakan anjuran Majlis Guru Besar Labuan dengan kerjasama Penolong Kanan Kurikulum dan guru-guru pakar di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini telah dijalankan pada 5 Ogos 2017 yang bertempat di Dewan Cun SK Pekan Satu.

Rasional program ini dijalankan adalah kerana sumber di setiap negeri adalah lebih kurang sama. Labuan secara fizikalnya tidak menghalang sebarang proses pemajuan pendidikan. Kekuataan guru pun tidak berbeza dengan negeri-negeri lain, malahan kekuatan Labuan lebih baik kerana terdiri dari guru dari pelbagai negeri. Sehubungan dengan itu , jika ada program-program terancang dan kita bersama-sama komited dengan perancangan tersebut, tidak mustahil prestasi UPSR labuan dapat ditingkatkan.

Bilangan peserta Program :

ZON 1
SK PEKAN SATU: 35 org
SK PEKAN DUA: 30 org
SKK ST ANNE: 15 org
SK MEMBEDAI: 6 org

ZON 2
SK PANTAI: 20 org
SK PATAU2: 15 org
SKK SK RANCHA2: 12 org

ZON 3
SK LAYANGAN: 20 org
SK KERUPANG: 25 org
SK TANJUNG ARU: 12 org
SK LUBOK TEMIANG: 15 org

ZON 4
SK SG LADA: 20 org
SK SG BEDAUN: 25 org
SK BUKIT KALAM: 35 org
SK BEBULOH: 17 org

ZON 5
SJK C WEN: 20 org
SJK C HWA: 12 org⁠⁠⁠⁠




Pertandingan Kalam Jamaie Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Negeri W.P. Labuan 2017

Labuan – Pertandingan Kalam Jamaie Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Negeri W.P. Labuan 2017 telah diadakan pada 3 Ogos 2017 dan bertempat di Dewan Sri Kedayan, SK Sungai Lada. Kalam Jamaie dituturkan dalam Bahasa Arab yang menitikberatkan aspek sebutan arab yang tepat, jelas dan faseh disamping melihat aspek persembahan dari segi keharmonian gaya peserta.

Keputusan :

Johan : SK Sungai Bedaun
Naib Johan : SK Pantai
Ketiga : SK Bebuloh.

Tema “Al Quran Asas Pembinaan Ilmu Dan Penyempurnaan Akhlak”

Objektif:
1. Memartabatkan Bahasa Arab & kesenian Islam
2. Memupuk minat pelajar dalam Bahasa Arab.
3. Memperkembangkan bakat murid melalui penglibatan mereka dlm setiap pertandingan




SAS Berjaya Anjur Majlis Makan Malam Amal, Bina Dewan Terbuka Sekolah

Seramai 730 orang tetamu telah menghadiri Majlis Makan Amal Sekolah Menengah St. Anthony W.P.Labuan pada malam 29 Julai 2017 bertempat di Dewan Serbaguna Blessed Sacrament W.P.Labuan. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Rozman Bin Datuk Hj. Isli Ahli Parlimen P166 W.P.Labuan. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah YB Senator Datuk Hj. Bashir Bin Hj. Alias serta Tuan Raisin Bin Saidin Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P.Labuan.

Puan Dona Undoh selaku Pengetua sekolah SM St. Anthony mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Rozman Bin Datuk Hj. Isli yang telah menyumbangkan RM20,000.00 bagi projek pembinaan Dewan Terbuka ( Open Hall ) sekolah. Manakala YB Senator Datuk Hj. Bashir Bin Hj. Alias telah menyumbangkan RM5,000.00.
Pengerusi penganjur iaitu Dr. Baby Chong Vui Hiong telah menyumbangkan derma sebanyak 8888.88 dan berjaya mendapatkan penaja dan penyumbang terbanyak dalam projek ini.
Begitu juga kepada YDP Mr Chia Sia Theng yang telah menyumbangkan 6000.00 diikuti dengan
Dato Sri Goh Sin Han, Mr Goh Chan, Dato Robert Seah Kiat Cheong, Mr Paul Ipoh, Mr Wong Tack Peng dan Dato Celestine Kong ( from Singapore ), mereka ini menyumbangkan 5000.00 setiap seorang. Manakala penyumbang RM3000.00 ialah Mr. Teo Chee Wah, Utama Jaya/Milimewah/Labuan Supermarket dan Harison Sabah Sdn. Bhd.

YB Datuk Rozman Bin Datuk Hj. Isli mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000.00 bagi projek pembinaan Dewan Terbuka SAS.

Sumbangan RM8888.88 dari Dr Baby Chong Vui Hiong kepada YDP PIBG En Chia Sia Theng

Sumbangan peribadi RM6,000.00 dari Encik Chia Sia Theng

Pengetua sekolah juga mengucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada PIBG di bawah pimpinan YDP En Chia Sia Theng atas penganjuran projek Fund Raising ini.Setinggi-tinggi penghargaan atas usaha dan komitmen yang tinggi Pengerusi Penganjur Charity Dinner SAS pada tahun 2017 iaitu Dr . Chong Vui Hiong. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua murid yang terlibat dalam menyampaikan persembahan seperti tarian dan nyanyian . Bakat murid-murid juga amat terserlah dalam bermain alat muzik seperti gitar dan piano.

Tuan Raisin Menyampaikan Anugerah Fund Raiser Terbanyak kepada Dr Baby Chong Vui Hiong.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua EXSAS yang datang dari jauh dan dekat semata-mata untuk menyokong Charity Dinner SAS. “ Anda semua tetap di hati kami dan anggaplah malam ini juga adalah malam reunion bagi anda semua dan teruslah menyokong kami warga SAS”.

Tuan Raisin bersama warga SAS dan EXSAS

Pn Dona berharap dengan sumbangan yang terkumpul sebanyak 170, 900.00 ( Pendapatan kasar )akan dapat merealisasikan impian seluruh warga sekolah untuk membina sebuah dewan terbuka bagi kemudahan murid-murid di SM St. Anthony. Dewan ini bukan sahaja digunakan sebagai tempat perhimpunan murid pada setiap hari malahan boleh digunakan untuk mengadakan aktiviti kokurikulum dan juga program akademik yang lain. Beliau mengucapkan terima kasih atas komitmen guru-guru yang bekerja dalam semangat sepasukan yang tinggi bersama-sama dengan AJK PIBG.

Sumber Berita : Puan Dona Undoh

Persembahan tarian sambut tamu yang diketuai oleh adik Aiman Afiq Bin Ismail