Program Jom Diet Jom Sihat SMK Pantai IB World School, Ke Arah Budaya Sihat Warga Sekolah
Labuan, 14 Nov – SMK Pantai iB World School, W.P Labuan melalui Kelab Guru dan Staf Sokongan mengadakan Program JDJS melibatkan 27 orang yang sudah masuk Musim ke-4. Program ini yang telah bermula sejak tahun lalu bertujuan untuk menggalakkan budaya hidup sihat bagi meningkatkan produktiviti kerja dan melonjakkan mutu kerja dalam kalangan warga sekolah.
Setiap peserta menyumbang RM30.00 seorang untuk tempoh tiga bulan dan penalti RM5.00 dalam tempoh sebulan sekiranya gagal mengekalkan berat badan atau berat badan meningkat. Kelab Guru dan Staf Sokongan SMK Pantai iB World School juga menerima sumbangan ikhlas pelbagai pihak dan individu prihatin untuk hadiah yang akan disampaikan pada akhir setiap tiga bulan.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga sekolah. Antaranya permainan badminton, bola jaring, bola sepak, bola tampar dan juga aktiviti mendaki Bukit Kubong serta aktiviti berbasikal keliling Pulau Labuan.
Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang diadakan di Bilik Gerakan SMK Pantai iB World School baru-baru ini.
Pemenang JDJS Siri 4/2017.
Johan : Sairin bt Linggah ( -10.8 kg)
N.Johan : Julianah bt Jainuddin ( -10.7 kg)
Ketiga : Norlizawati Ag Tahir & Zaleha Pumb(-5.3 kg)
Sagu hati:
1. Jeffreson a/l Sanmogram
2. Claudius Upin Lonsiong Junior
3. Ramlae bin Rashid
27 orang peserta seramai 22 orang berjaya menurunkan berat badan sehingga ada yg mencapai melebihi 10 kilogram.
Penyelaras Program Zaleha bt Pump@Pumb optimis program ini akan diteruskan pada Musim ke-5 pada tahun hadapan dan dijangka ada pertambahan. peserta memandangkan impak yang positif.
DISEDIAKAN
SAHAR BIN MISRON
PENGETUA
SMKP IBWS
14.11.17
Perkhemahan Unit Beruniform di Kampung Survival No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan
LABUAN, 8 Nov : Sekolah Kebangsaan Membedai dengan kerjasama No 5 Skuadron, Tentera Udara Diraja Malaysia telah menganjurkan Perkhemahan Unit Beruniform bertempat di Kampung Survival No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan.
Seramai 114 orang murid terlibat dalam aktiviti perkhemahan ini yang terdiri daripada 5 buah sekolah di sekitar Labuan iaitu SK Membedai, SK Bedaun, SK Pantai dan SK Layang Layangan termasuk satu penyertaan dari luar (Sabah) SK Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.
Taklimat dan perjalanan aktiviti diberi oleh Sjn U Hairul Hafis bin Jaudin, pegawai bertugas sebelum memasuki Survival Village. Setiap kumpulan diberi seorang petugas tetap bagi mengiringi kumpulan masing-masing.
Aktiviti dijalankan serentak di enam stesen iaitu Stesen Isyarat Bantuan Udara, Stesen Mengenali Khemah, Stesen Pertolongan Cemas di Medan, Stesen Mengenali Peta Kompas dan GPS, Stesen Orieentering (Marching Kompas) dan Stesen Mengenali Perangkap. Semua peserta berpeluang melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dijalankan.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Pertandingan Kawad Kaki, Kelas Pertolongan Kecemasan di medan, Kelas Isyarat Bantuan Udara dan Kelas Mengenali Khemah Dan Perangkap.
Majlis perasmian penutupan dirasmikan oleh Leftenan Kolonel KRS Encik Aminuddin bin Hj. Abdul Malek, Ketua Unit Beruniform, Jabatan Pendidikan WP Labuan mewakili Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Turut hadir Mejar Mohd Husaini bin Kamaruddin TUDM, YDP PIBG SK Membedai; Leftenan Kolonel Zulhilmi bin Hj. Ahmad TUDM, Pegawai Laksana Pangkalan Udara Labuan; Leftenan Kolonel Juma’ain bin Saadon TUDM, Pegawai Memerintah 5 Skuadron; Kapt Mandeep Singh a/l Kuldip Singh, Pegawai Pendidikan Pangkalan Udara Labuan; Ustaz Mohd Farihi bin Ab Halim, Guru Besar SK Membedai dan Pn. Dalilah binti Desa, Penolong Kanan Kokurikulum SK Membedai.
Leftenan Kolonel KRS Encik Aminuddin ( tengah ) bersama peserta perkhemahan Unit Beruniform
Sumber Berita : SK Membedai
Majlis Anugerah Kecemerlangan SM St Anthony Lantik Bapa Angkat Korporat
LABUAN : Sekolah Menengah St. Anthony W.P.Labuan telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan 2017 kali ke-19 pada 3 November 2017 di Dewan Serbaguna Blessed Sacrament W.P.Labuan. Majlis ini telah dirasmikan oleh Dato’ Hj. Harris bin Hj. Annuar Tan selaku Bapa Angkat Korporat SAS. Dalam ucapan perasmian sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan SM St. Anthony, Dato’ menyeru agar para pelajar menghargai kemudahan sekolah yang telah disediakan. Beliau juga menegaskan para pelajar agar tidak mengejar “ Straight A “ semata-mata tetapi mengasah bakat dan potensi yang ada melalui kegiatan kokurikulum seperti mengikuti Persatuan Pengakap, Kelab Interact dan sebagainya . Dalam era globalisasi abad ke-21 aspek potensi, bakat, ketrampilan diri, kepimpinan dan kemahiran berkominikasi dalam dwi bahasa ( Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ) amat diutamakan, terutamanya dalam sektor swasta.
Dato’ Hj. Harris turut merakamkan ucapan terima kasih di atas pemilihan beliau sebagai Bapa Angkat Korporat sekolah. Beliau menerima tanggungjawab ini dengan sedaya upaya dan akan memberikan bantuan dalam mencari dana bagi projek pembangunan sekolah seperti kemudahan Makmal Komputer dan juga penambahan bilik darjah . Pada majlis tersebut, beliau telah menandatangani MOU dengan pihak sekolah secara rasminya dan menjadi Bapa Angkat Korporat SM St. Anthony WP. Labuan.
DATO’ HARRIS menyampaikan ucapan perasmian.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon Matnoh, beliau menasihatkan para pelajar untuk belajar lebih awal dan bukannya pada waktu-waktu terakhir menjelang hari peperiksaan. Hal ini bagi memastikan pelajar bersedia dan lebih yakin apabila menjawab kertas soalan. Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah di atas pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun 2017. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli lembaga sekolah dan persatuan ibu bapa guru di atas komitmen yang diberikan kepada SM St. Anthony. Beliau berharap sokongan seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Pengetua SM St. Anthony, Puan Dona Undoh dalam ucapan beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian Dato’ Hj. Harris Hj. Annuar Tan CEO ASB untuk menjadi Bapa Angkat Korporat SAS. Dato’ juga merupakan bekas pelajar SAS yang semestinya menjadi ikon dan contoh kepada murid-murid SAS untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Dato’ Hj. Harris juga telah menaja semua hadiah kategori kurikulum pada tahun ini. Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada PIBG 2016 kerana telah memberi sumbangan peralatan sekolah seperti menaja hadiah untuk Merentas Desa Peringkat Sekolah dan menganjurkan Charity Dinner untuk mengutip dana bagi membina dewan terbuka sekolah.
Ucapan terima kasih juga diberikan kepada ahli Lembaga Pengurusan Sekolah yang telah banyak membantu dalam pembangunan sekolah. Antara sumbangan mereka ialah mengecat pagar sekolah, menceriakan laluan utama sekolah dan penyelenggaran gutter sekolah. Beliau juga berterima kasih kepada semua guru dan warga sekolah yang sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dan bekerja dengan semangat “Team Work “ yang dedikasi. Begitu juga kepada ibu bapa dan individu –individu yang menghulurkan sumbangan kepada pihak sekolah, seterusnya kepada pihak Jabatan Pendidikan WP Labuan yang sentiasa memberikan bantuan kepada sekolah .
Pada majlis tersebut, Nur Anis Sofea binti Fathi yang memperoleh 4A, 3A- dan 1B+ telah dipilih menjadi pelajar cemerlang SPM bagi tahun 2016. Pencapaian SM St. Anthony dalam SPM 2016 ialah 82.14 peratus. Terdapat 3 matapelajaran yang mencatatkan keputusan 100% lulus iaitu Kesusasteraan Melayu, Pendidikan Seni Visual dan Fizik. Manakala, mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Kimia, Biologi, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Perdagangan mencatatkan peningkatan peratus lulus dan GPMP.
Bagi anugerah pelajar cemerlang PT3 2016 pula terdapat seramai 10 orang penerima yang mendapat 7A dan 6A.
Puan Dona bersama Puan Maimoon dan penerima anugerah khas.
Selain itu, bidang kokurikulum turut mencatatkan kecemerlangan pada tahun 2017. Pencapaian peringkat antarabangsa ialah dalam Brunei Open & Masters Swimming Championships 2017 oleh adik Bryan Chin Bao Yang . Bryan telah memperolehi pingat emas dalam freestyle relay, pingat perak dalam 100M breaststroke, 50M breaststroke dan 50M freestyle serta pingat gangsa dalam 50M butterfly. Bryan turut dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Lelaki.
Manakala Tokoh Sukan Perempuan dinobatkan kepada adik Nazeera Anak Jerah yang telah dianugerahkan sebagai olahragawati P15 MSSWPL, perak lempar cakera P15, emas merejam lembing P15 dan telah memecahkan rekod pada kejohanan sukan MSSWPL yang lalu. Selain itu, pelbagai kejayaan telah diraih dalam bidang kokurikulum baik di peringkat negeri dan kebangsaan. Antaranya dalam Perkhemahan Kadet Bomba Zon Borneo, Kejohanan Taekwando Jemputan Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan, Kejohanan Tae Kwon Do Remaja Kebangsaan, Pertandingan Video Pendek Sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Kebangsaanfsn Kanggaroo Maths Peringkat Kebangsaan.
Manakala, dalam bidang hal ehwal murid, sekolah berusaha mencapai kehadiran murid 95 peratus dan ke atas mengikut ketetapan KPI KPM. Pihak sekolah telah menerima sijil penghargaan bagi kehadiran murid 95% dan ke atas bagi bulan Januari, Mac, April, Julai dan September. Seramai 46 orang pelajar telah menerima anugerah kehadiran penuh 100 peratus.
DATO’ HARRIS TAN(tengah) menerima cenderamata daripada Puan Dona sambil diperhatikan oleh Puan Maimoon, Encik Friddy dan Encik Jefry Philimon.
Sebagai menghargai sumbangan yang diberikan kepada pihak-pihak yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan anak-anak di sekolah itu, sekolah telah memberikan penghargaan melalui penyampaian anugerah khas. Antara penerimanya ialah Datuk Francis Tee( Pengerusi Projek Mencari Dana Pembinaan Bangunan Sekolah pada tahun 1991-1998), En. Francis Wong (Pembinaan penyediaan keperluan asas sekolah, pembinaan dewan terbuka dan gelanggang permainan pada tahun 1991), En. Shim Kon Yin(keperluan asas peralatan sekolah dan perkhidmatan pengangkutan semasa pindah ke bangunan baru pada tahun 1997), Dr. Baby Ching Vui Hiong(penglibatan aktif dalam Program HIP sekolah dan sumbangan hadiah kuiz HIP 2017 dan Pengerusi Majlis Makan Malam Amal SAS 2005, 2013 dan 2017), En. Chia Sia Theng(Penajaan 100% kos kejohanan merentas Desa sekolah dan sebahagian kos MAKSAS 2017), En. Antoh b Jagang(sumbangan peralatan elektrik), En. Tan Teck Soo(Perkhidmatan Lukisan Pelan Dewan Terbuka secara percuma kepada sekolah), En. Ten Yok Seng(Menyumbang 5 unit meja bulat kepada sekolah) dan Dr. Shaik Dawood Mohideen(sumbangan tunai untuk MAKSAS 2017).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Peter Mak ( Mantan YDP PIBG ), Encik IR Friddy Fu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Encik Jeffry Philimon, Timbalan Pengerusi PIBG, Dr. Baby Chong Vui Hiong ( Bendahari PIBG ) , Sarjan Jusman Bin Toba ( Wakil Pegawai Perhubungan Polis Sekolah )
Sumber Berita : SM St Anthony
Pertandingan Bacaan Puisi Bahasa Inggeris
Labuan, 8 Nov : SMK Labuan dan SKK St Anne masing-masing telah mendapat johan pertandingan Bacaan Puisi Bahasa Inggeris kategori menengah dan rendah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang telah di adakan di SK Sungai Lada.
Lim Chee Yong dan Kizzer Poh, pelajar tingkatan dua yang dibimbing oleh Pn Norul Syamila Aziz telah muncul johan melalui bacaan puisi ‘Love’.
Sementara Ruthneta Jeffry Majuneh dan Nur Alysha Qistina Mohd Ali dari SKK St Anne membaca puisi bertajuk ‘Success is mine’.
SK Kerupang pula dinobatkan sebagai pemenang Skrip Terbaik dengan tajuk I’m sorry.
Pertandingan itu dianjurkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan telah disempurnakan oleh Encik Subari Dwar, Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Lawatan EKSA Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan
Labuan, 7 Nov : Seramai sepuluh orang warga Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan telah membuat lawatan Penanda Aras EKSA ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).
Semasa sesi taklimat, Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Raisin Saidin mengucapkan terima kasih kepada Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan di atas kunjungan ke jabatan ini.
Beliau berbesar hati agar Jawatankuasa Induk EKSA JPWPL berkongsi pengalaman sama semasa audit sebenar EKSA yang telah dijalankan oleh pihak MAMPU pada bulan Mei yang lalu.
Warga EKSA Kastam Diraja Malaysia WP Labuan telah melawat ibu pejabat JPWPL di Ujana Kewangan dan juga Pusat Kokurikulum di Ganggarak.
Untuk rekod, Jabatan Pendidikan Labuan telah mendapat pengiktirafan Sijil EKSA Cemerlang pada 1 Jun 2017 sehingga 31 Mei 2019 oleh Pihak MAMPU.
Amni Naeelah Ahmad Saifuddin dan Nur Izziani Mohd Idzam Johan Pertandingan Bercerita 2017
LABUAN: Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR) Amni Naeelah Ahmad Saifuddin dan murid Tahun Lima SK Pantai Nur Izziani Mohd Idzam muncul johan Pertandingan Bercerita 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Amni Naeelah yang menyampaikan cerita bertajuk Suria Yang Insaf muncul johan Tahap 1 menewaskan 12 peserta lain.
Naib johan disandang murid SK Pantai Balqis Insyirah Abd Liyusli dan ketiga Muhammad Iman Muallim Mohd Ilyas dari SK Membedai.
Tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing dimenangi Nurfatin Erdanie Mohd Rezal (SK Tanjung Aru), Syazrayllyn Sulie (SKK SK St Anne) dan Felenda Claudia Feridlee (SJKC Chi Wen).
Manakala Nur Izziani yang menyampaikan cerita bertajuk Bawang Putih Bawang Merah menewaskan 14 peserta lain bagi kategori Tahap 2.
Naib johan Hana Maisarah Roslan yang mewakili SK Rancha-Rancha dan ketiga murid SJKC Chung Hwa, Alyaa Nourelle.
Tempat keempat dimenangi Nur Atahsia John Charlie dari SK Pekan Dua, kelima Nurkhalilah Dania Sahat (SK Tanjung Aru) dan keenam murid SK Lubok Temiang, Shafiyyah Shopian.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Labuan Subari Dwar dan Guru Besar SK Tanjung Aru Murni Jaafar.
Encik Subari menyampaikan hadiah kepada adik Amni Naeelah
Dalam ucapannya, Subari berharap menerusi pertandingan seperti itu, bakat terpendam murid akan dapat dicungkil sekaligus melahirkan insan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Katanya, kebolehan murid berbicara dan menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) adalah antara objektif penganjuran pertandingan bercerita sekolah rendah diadakan.
“Inilah masanya untuk guru dan ibu bapa melihat kebijaksanaan murid mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran serta latihan kokurikulum selama ini di sekolah,” katanya.
Sementara, Murni berkata ramai murid yang mempunyai bakat dan potensi untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Justeru, beliau yakin menerusi bimbingan berterusan guru-guru dan sokongan ibu bapa, murid terbabit mampu memperolehi kejayaan yang lebih membanggakan di peringkat yang lebih tinggi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua guru SK Tanjung Aru yang komited yang menjayakan Pertandingan Bercerita pada kali ini. Nampaknya kita mampu melahirkan lebih ramai murid berkebolehan jika diberikan bimbingan berterusan,” katanya.
Turut hadir, Penolong-penolong Kanan SK Tanjung Aru, Hajah Aini Salleh (Pentadbiran) dan Normah Rahimi (Hal Ehwal Murid) serta Penyelaras Program Bustamih Haji Ungki.
Pertandingan Bercerita 2017 diadakan di SK Tanjung Aru selaku penganjur bersama Jabatan Pendidikan Labuan pada Sabtu.
Encik Subari (belakang, empat kanan), Puan Murni (tiga kiri ) dan adik Amni Naeelah (depan, tiga kiri), Johan Pertandingan Bercerita Tahap 1 bersama Pemenang lain
Sumber Berita : Utusan Borneo, 8 November 2017
Hari Keluarga dan Anugerah Aprisiasi SMK Pantai IB World School Meriah
Labuan, 6 Nov – Kelab Guru dan Staf Sokongan SMK Pantai iB World School, W.P Labuan telah mengadakan Hari Keluarga dan Anugerah Aprisiasi di sebuah hotel terkenal (Palm Beach Resort and SPA) di Pulau ini pada 4 November 2017. Kehadiran guru dan staf sokongan bersama-sama keluarga masing-masing memeriahkan lagi majlis yang berlangsung. Turut hadir ialah Sahar Misron, Pengetua SMK Pantai iB World School, bersama-sama isteri beliau Samsiah Taib.
Pelbagai acara menarik turut diadakan termasuk acara mewarna untuk kategori kanak-kanak, dan acara mencari gula-gula dalam tepung. Pelbagai acara sukaneka lain diadakan termasuk acara Menendang Bola dengan Mata Bertutup, acara Larian Cinta Sayang, juga acara Bola Tampar Pantai yang disertai oleh 4 pasukan terdiri daripada kalangan guru dan staf sokongan.
Encik Sahar menyampaikan hadiah kepada anak-anak warga SMK Pantai IBWS
Guru dan staf sokongan juga berrpeluang menunjukkan bakat dalam persembahan Nyanyian Karaoke. Acara Cabutan Bertuah turut diadakan dengan hadiah sumbangan pelbagai organisasi termasuk PIBG dan individu.
Sesungguhnya Program tersebut dapat menjalin hubungan akrab dan mesra sesama warga sekolah. Secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti kerja selain meredakan tekanan ketja di sekolah. Dalam majlis ini Pengetua sekolah juga menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Guru/Staf Sokongan Tanpa Cuti Sakit dan guru/staf sokongan Tanpa Cuti Rehat Khas. Begitu juga pilihan murid untuk kategori Guru Paling Ceria, Guru Paling Prihatin, Guru Paling Garang, Guru Paling Lucu, Guru Paling Popular dan banyak lagi.
Sumber Berita : SMK Pantai IBWS
Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Terpilih Tahun 1, 2017 Peringkat W.P. Labuan
Labuan, 5 Nov – S.K. Layang-Layangan telah menjadi tuan rumah Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Terpilih Tahun 1, 2017 Peringkat W.P. Labuan. Majlis ini telah disempurnakan oleh
Y.B. Datuk Rozman b. Datuk Haji Isli (Ahli Parlimen P166 Labuan merangkap Exco Pendidikan Negeri) yang bertempat di Dewan Surapit, S.K. Layang-Layangan.
Majlis adalah anjuran Yayasan Pembangunan Labuan dengan Usahasama pihak PTPTN. Seramai 207 orang murid Tahun 1 yang terlibat dan merupakan warganegara Malaysia. Majlis sumbangan ini melibatkan tiga buah sekolah iaitu;
1. S.K. Layang-Layangan
2. S.K. Kerupang
3. S.K. Bebuloh
Objektif utama majlis ini diadakan adalah bertujuan membudayakan sikap suka menabung di kalangan pelajar-pelajar. Setiap orang murid Tahun 1 dari tiga buah sekolah terbabit menerima RM 50.00 (sumbangan daripada Datuk Rozman) dan RM 50.00 lagi sumbangan daripada Kerajaan melalui PTPTN. Kesemuanya berjumlah RM 100. Keseluruhan jumlah sumbangan deposit adalah berjumlah RM 10,350.
Turut diadakan majlis simbolik ‘Surat Perlantikan Sahabat kepada S.K. Layang-Layangan, S.K. Kerupang, S.K. Bebuloh.
Pelajar Tingkatan 5 SMK Labuan Mendapat Anugerah Top Scorer Kuiz Kimia Kebangsaan Malaysia 2017
Labuan, 3 Nov – Pelajar Tingkatan 5, adik Kok Hui Taou dari SMK Labuan telah berjaya mengharumkan nama sekolah dan Labuan melalui anugerah Top Scorer Kuiz Kimia Kebangsaan Malaysia (K3M) 2017.
Majlis penyampaian anugerah akan diadakan dalam majlis “Presentation of Top Scorer Awards 2017, IKM 50th Anniversary Gala Dinner , Malam Kimia 2017 pada 8 Disember 2017 bertempat di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
K3M diadakan setiap tahun iaitu pada bulan Julai, oleh Institut Kimia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ianya terbahagi kepada dua aras iaitu kimia asas untuk tingkatan empat dan lima, serta kimia lanjutan untuk pelajar Pra-U dan Matirkulasi. Soalan merangkumi sukatan pelajaran SPM dan sukatan STPM.
Objektif utama K3M ini adalah untuk menguji pemahaman pelajar dalam subjek Kimia, meningkatkan minat pelajar terhadap subjek Kimia, meningkatkan subjek itu sendiri di sekolah dan memilih pelajar terbaik untuk menyertai Olimpik Kimia Antarabangsa (ICho).
Kok Hui Taou telah mendapat sijil cemerlang dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2016 nilai skor diperolehi adalah 92.5 peratus dan meningkat pada tahun ini dengan medapat 97.5 peratus.
Ini membolehkan Kok Hui Taou mendapat anugerah Top Scorer Kuiz Kimia Kebangsaan 2017, seterusnya akan membawa pulang sijil dan wang tunai sebanyak RM500 sebagai ganjaran kemenangan.
Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berharap penyertaan SMK Labuan dalam K3M akan terus menghasilkan kejayaan dan akan berusaha lagi agar sentiasa ada murid yang mencapai tahap Cemerlang pada tahun-tahun akan datang.
Untuk rekod, SMK Labuan telah menyertai kuiz ini sejak tahun 2000 dan tahun 2017 merupakan kejayaan yang paling membanggakan dengan satu orang pelajar mendapat sijil tahap cemerlang, satu kepujian (adik Calvin Au Ka Wai) dan empat orang mendapat sijil merit (adik Nigel LLaneta Goh, Calmen Chia Kai Fong, Billy Tan Cheah Ming dan Yap Joewin).
Encik Ismail (3 dari kiri) bersama para pemenang dan guru-guru yang terlibat menguruskan dan membimbing penyertaan murid-murid SMK Labuan dalam Kuiz Kimia Kebangsaan Malaysia (K3M)
Kem Pemantapan Akidah 2017
LABUAN, 30 Okt – Seramai 36 pelajar dari sembilan sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Kem Pemantapan Akidah di Pusat Kokurikulum Wilayah Persekutuan Labuan.
Penyelaras program Ustaz Muhamad Salihan Hamzah dalam ucapannya berkata penganjuran bertujuan membentuk peribadi pelajar yang mempunyai asas keimanan yang kukuh bidang akidah, ibadah dan kepimpinan.
Katanya sepanjang program itu peserta diberi pendedahan berkenaan ancaman akidah dalam mengharungi cabaran masa kini.
“Sementara itu, pelbagai aktiviti lain telah diadakan seperti ice breaking, explorerace, bacaan yassin, solat dhuha dan riadah minda.Tujuan program adalah untuk memperbetulkan akidah peserta tentang Islam serta untuk mengetahui tentang fahaman ahli sunnah wal jamaah dan ajaran sesat,” katanya.
Majlis penutupan kem telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin, yang memberi sokongan serta galakan agar program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, peserta terbaik lelaki dan perempuan masing-masing telah disandang oleh pelajar tingkatan 3 SMK Lajau Mohd Syazwan Sabli dan pelajar tingkatan 3 SMK Rancha-Rancha Nur Afiah Hashim .
Turut hadir, Ketua Unit Pendidikan Islam Ustaz Syahir Yusoff dan Ketua Unit Kokurikulum Mohamed Al Ghaffar Mohamed Maidin.
Sumber Berita : Utusan Borneo