Kemenjadian Murid Perlu Seimbang, Sukan Olahraga SMK Lajau 2018

LABUAN:  Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau telah diadakan pada 03 dan 04 Mac 2018 bertempat di Kolej Matrikulasi Labuan.

Kejohanan Sukan  Olahraga ini telah dijayakan oleh 150 orang pelajar yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara balapan seperti lari pecut 100 meter dan 200 meter serta larian jarak jauh 800 meter dan 1500 meter.

Manakala peserta perbarisan pula terdiri daripada 185 orang pelajar. Selain itu, pada hari kemuncak kejohanan diadakan juga acara terbuka untuk warga PIBG yang hadir menyaksikan anak-anak mereka bertanding dan acara terbuka khas untuk murid-murid istimewa dari kelas Program Pendidikan Khas Integrasi   ( PPKI ).

Objektif  Kejohanan Sukan Olahraga ini diadakan bertujuan untuk memilih peserta dan pasukan sekolah bagi pertandingan ke peringkat negeri yang dijadualkan pada hujung bulan Mac ini.

Selain itu, kejohanan ini diadakan untuk memperkembangkan potensi murid dalam sukan olahraga dan sebagai pendedahan kepada murid situasi sebenar pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi.

Acara kejohanan yang dipertandingan menerusi lima buah rumah sukan ini iaitu Perdana, Satria, Wira, Inspira dan Waja mendapat   sambutan yang baik dari semua murid SMK Lajau. Bagi acara padang, telah dilaksanakan di padang sekolah SMK Lajau pada 02 Mac 2018.

Acara perbarisan lintas hormat rumah sukan

Kejohanan Sukan  Olahraga di SMK Lajau pada tahun ini dijayakan dengan kerjasama padu oleh 60 orang guru dan 12 orang kakitangan sokongan yang bergabung tenaga membentuk jawatankuasa yang mantap disamping kerjasama erat ahli jawatankuasa PIBG SMK Lajau.

Terdapat beberapa atlet yang telah berjaya memecahkan rekod terbaharu bagi beberapa acara.  Antaranya ialah acara lompat jauh yang berjaya dipecah rekod oleh adik Mohd Abri Mohd Salleh dari rumah sukan Inspira.  Rekod lama bagi acara tersebut ialah 5.36 meter manakala rekod terbaharu yang dicipta oleh murid ini ialah 5.65 meter.

Manakala adik Dayangku Nur Lailatul Fatihah pula berjaya mencipta rekod terbaharu bagi acara lari jarak jauh 1500 meter dengan catatan masa terbaharu 7 minit 26 saat berbanding rekod lama 7 minit 33 saat.

Rumah sukan Waja telah menyandang johan keseluruhan Kejohanan Sukan Olahraga pada tahun 2018  diikuti rumah sukan Satria tempat kedua, rumah sukan Wira tempat ketiga, rumah sukan Perdana tempat keempat dan rumah sukan Inspira tempat kelima.

Kemenangan ini menjadi suntikan semangat kepada semua murid di SMK Lajau untuk terus bersaing secara sihat sesama mereka dalam acara sukan.

Encik Dahlan Kassim (PK kokurikulum) menyampaikan hadiah kemenangan kepada peserta kejohanan sukan olahraga

Dalam ucapan aluan Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin Abd Latip menyentuh tentang kemenjadian murid bukan sahaja dalam akademik malah dalam sahsiah dan sukan juga perlu diseimabangkan.

Beliau sangat terharu dan berterima kasih kepada semua pelajar SMK Lajau yang menunjukkan disiplin yang sangat tinggi ketika berada di Kolej Matrikulasi Labuan dalam kejohanan sukan olahraga pada tahun ini. Beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau kali ke-21.

Pada hari kemuncak Kejohanan Olahraga SMK Lajau Kali Ke 21/2018, En. Assbollah bin Amit   Ketua Sektor , Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan  telah merasmikan kejohanan ini.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar semua pelajar  terus bergiat aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam acara olahraga terutamanya sebagai pengganti para atlet yang ada pada masa kini.

Berita Oleh : SMK Lajau




Pelancaran FROG VLE di SK Pekan Satu Merupakan Titik Permulaan Kearah Pembelajaran Abad ke21

Labuan – Pada 9 Mac 2018 Sekolah Kebangsaan Pekan Satu telah melancarkan Majlis Pelancaran FROG VLE yang diadakan di Dewan Cun SKPS. Majlis yang dirasmikan oleh Guru Besar SKPS Puan Anita Shyamini A/P S.Azman ini bertujuan untuk membugarkan dan memupuk pembudayaan FROG VLE sebagai platform PdPc dan aktiviti yang interaktif. Dengan tema ‘Learning Beyond Boundaries’ seharusnya PdPc menggunakan FROG VLE telah merentas kurikulum, bercirikan PdP abad ke-21 dan bersesuaian dengan aspirasi KPM untuk melahirkan warga guru dan murid yang mampan dan berkualiti tinggi.

Majlis pelancaran ini telah dipengacarakan oleh Cikgu Mohd Izuan Anuar sebagai penyelaras Unit ICT . Aturcara majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Guru Besar Puan Anita Shyamini. Dalam ucapan beliau ada mengalakkan murid agar menggunakan Frog VLE dan sentiasa berdampingan dengannya kerana di dalam Frog VLE terdapat kuiz dan maklumat ilmu yang boleh dimanfaatkan seperti kuiz daripada FrogPlay, melawati laman Pengajaran dan Pembelajaran yang disediakan guru, ruangan hiburan dan lain-lain lagi.

Seiring dengan abad ke 21 ini, para guru digalakkan agar dapat memanfaatkan Frog VLE sebaik mungkin. Frog VLE merupakan platform yang termudah dan terhampir untuk guru yang cuba untuk melakukan perubahan daripada guru tradisional kepada guru abad ke 21. Semuanya terletak di atas kehendak dan keinginan guru itu sendiri.

Majlis pelancaran telah mendapat sambutan yang baik daripada murid-murid SKPS terutamanya ketika pelancaran gimik yang kreatif daripada guru-guru PPKI .

Dalam ucapan Guru Besar Pn Anita , beliau menyatakan ,

Para guru dan pelajar boleh mengakses berita sekolah dan dokumen penting yang telah dikemaskinikan oleh pentadbir sekolah. Menerusi Frog VLE dan sambungan internet 4G, pendidikan boleh dilaksanakan di mana jua, pada bila-bila masa melalui Frog VLE yang berasaskan cloud. Dengan ini, pembelajaran boleh dilaksanakan di mana-mana: di sekolah ataupun di rumah, 24 jam sehari, 7 hari seminggu.’

Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) berharap bahawa dengan adanya Frog VLE, ia dapat mengalakkan innovasi dan kreativiti guru-guru dan murid-murid . Selain itu , dapat mengalakkan ibubapa mengakses kemudahan yang disediakan dalam Frog VLE .

Sumber berita : Erlia Febiana




Sukan SK Sungai Lada Kali Ke-44 Meriah

LABUAN, 4 Mac – SK Sungai Lada telah menganjurkan Kejohanan Sukan Tahunan kali Ke-44 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 28 Februari bagi acara padang dan 4 Mac bagi acara balapan yang dijalankan di padang sekolah SK Sungai Lada.

Sukan Tahunan ini dijalankan adalah bertujuan untuk menggalakkan murid bersukan serta memupuk semangat berpasukan selain bagi memilih murid untuk mewakili sekolah dalam acara sukan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain acara sukan, aktiviti lain anjuran PIBG turut dijalankan iaitu pertandingan mewarna Prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2, Pertandingan khemah rumah sukan tercantik, Tarik tali ibu bapa dan guru, serta pembukaan gerai jualan kepada orang ramai.

Kejohanan ini turut membabitkan penglibatan Bank Rakyat dalam menaja pertandingan mewarna.

Majlis perasmian kejohanan sukan tahunan kali ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Tuan Pengarah turut menyaksikan acara balapan serta lintas hormat daripada kontinjen-kontinjen perbarisan. Dalam ucapan perasmian penutupan beliau, Tuan Pengarah memuji semangat kerjasama antara guru dan ibu bapa dalam memeriahkan acara sukan pada tahun ini.

Menurut beliau hubungan antara sekolah dan komuniti Sungai Lada dapat dieratkan melalui program-program seperti ini.  Beliau turut menyatakan bahawa jalinan pihak sekolah dgn PIBG boleh dijadikan contoh kepada sekolah lain. Sukan ini dapat mengembalikan kemariahan pesta sukan di tahun 70an dan 80an.

Guru Besar SK Sungai Lada, Encik Maidan Dali @ Sumardi bin Yusoff pula menyatakan bahawa penganjuran kejohanan sukan tahunan ini menepati anjakan ke 9 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu menjalin kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta.

Yang Dipertua PIBG SK Sungai Lada, Haji Shuib Nasir berkata PIBG akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama setiap aktiviti dan program yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Turut menghadiri majlis ini ialahTuan Haji Yunus bin Yusof, pegawai angkat SK Sungai Lada, Hj Shuib Bin Nasir, YDP PIBG SK Sungai Lada, Encik Mazidi bin Rosli, Pegawai Bomba Layangan, serta Sarjan Zulkifle bin Mohd Said, Pegawai Perhubungan Sekolah dari IPD  Labuan.

Dalam kejohanan ini, Rumah Temenggung muncul johan keseluruhan dengan meraih 13 emas, 11 perak dan 13 gangsa. Naib johan dan ketiga masing-masing dimenangi Rumah Bendahara dan Rumah Laksamana. Sementara itu, Olahragawan dimenangi oleh atlet Rumah Laksamana, Abdullah Md Nor selepas meraih 2 emas dan 1 perak. Manakala gelaran Olahragawati dinobatkan kepada Nasitah Nor Ibnu yang mewakili Rumah Temenggung selepas meraih 3 emas.

Berita Oleh : SK Sungai Lada




Kejohanan Olahraga SAS Kali Ke-58 Tahun 2018

LABUAN, Sabtu – Sekolah Menengah St. Anthony telah mengadakan Kejohanan Olahraga selama dua hari berturut-turut iaitu  pada 23 hingga 24 Februari 2018 bersamaan pada hari Jumaat dan Sabtu . Acara diadakan di Kolej Matrikulasi Sukan, W.P Labuan. Manakala bagi  acara lompat jauh, lompat tinggi, lompat kijang, lempar cakera dan lontar peluru bagi semua kategori iaitu (L18,P18,L15 dan P15) telah diadakan pada  hari Rabu dan  Khamis iaitu  bersamaan dengan 21 hingga 22  Februari 2018 di padang sekolah SAS.

Kejohanan Olahraga kali ini dimeriahkan dengan persembahan tarian Singa sebagai penanda perasmian. Diikuti dengan  perbarisan  lintas hormat kontinjen rumah-rumah sukan iaitu  rumah Sukan Waja, rumah Sukan Wira dan rumah Sukan Satria.  Pertandingan perbarisan  menarik perhatian para hadirin dengan pelbagai maskot dari setiap rumah sukan.

Persembahan tarian Singa sebagai penanda perasmian kejohanan olahraga SAS

 

Sejurus saja acara perbarisan telah selesai dilaksanakan, acara seterusnya disambung dengan  acara  balapan  iaitu acara 4 X 100 meter  bagi semua kategori (L18, P18, L15 dan P15 tahun) dan acara 8 X 50 meter bagi acara  pelajar tingkatan satu untuk kategori pelajar perempuan dan Lelaki mengikut rumah sukan masing-masing. Persaingan antara rumah-rumah sukan amat sengit kerana masing-masing bersemangat mengejar mata bagi pingat emas.

Kejohanan Olahraga kali ke-58 ini telah dirasmikan  oleh  yang berbahagia Puan Amiah  Binti Bua selaku Penolong Pengarah  Unit Bahasa, SPA, JPN W.P Labuan . Pn Amiah yang juga merupakan Pegawai Angkat sekolah menyeru para pelajar agar bergiat aktif dalam bidang sukan kerana kokurikulum juga sama penting dengan bidang akademik dalam membentuk insan yang holistik seperti mana matlamat pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 – 2025 ). Majlis turut dihadiri oleh Encik Chia Sia Teng, Yang Dipertua PIBG SM St. Anthony, IR.Friddy Fu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SAS, Puan Nurul Hidayah Binti Raof, Ketua Unit Kokurikulum wakil rasmi Pengarah Kolej Matrikulasi, Sarjan Jusman Bin Toba wakil perhubungan sekolah dan barisan AJK PIBG, AJK BOG, guru-guru SAS dan para ibu bapa pelajar SAS .

Kejohanan Olahraga kali ini dijuarai oleh pasukan rumah sukan Waja yang telah memecah rekod  kejuaraan rumah sukan Wira buat kali kedua berturut-turut. Seterusnya naib johan pasukan rumah sukan  Wira dan tempat ketiga adalah pasukan rumah  sukan Satria.

Pungutan pingat pasukan rumah sukan Waja adalah  sebanyak emas 20 , perak 27 dan gangsa 24 iaitu menang tipis dengan rumah sukan Wira. Manakala rumah sukan Wira  telah mengumpul sebanyak emas 20, perak 9 dan gangsa 18. Kutipan pingat  untuk rumah sukan Satria adalah emas 17, perak 20 dan gangsa 13.

Bagi acara perbarisan pula, rumah Sukan Satria yang bertemakan naga telah dinobatkan sebagai Johan diikuti oleh  rumah Sukan Waja sebagai naib johan dan tempat ketiga adalah Rumah Sukan Wira.

Bagi anugerah olahragawan kategori lelaki 15 tahun kebawah telah  di anugerahkan kepada adik Mohd Halim Bin Jumat dari rumah sukan Waja yang memperolehi 4 pingat emas dan 1 perak melalui acara individu iaitu lompat jauh, 400m dan 800m, manakala melalui acara kumpulan ialah 4x400m dan pingat perak dalam acara 4x100m. Manakala olahragawan kategor lelaki 18 tahun ke bawah telah di anugerahkan kepada adik Alster De Caprio dari rumah Sukan Satria  yang telah memperoleh pungutan pingat 3 emas dan 1 perak melalui acara individu iaitu 100m  dan merejam lembing serta pingat perak dalam acara lompat tinggi, serta  melalui acara kumpulan 4X100m.

Bagi anugerah olahragawati kategori perempuan 15 tahun ke bawah  pula telah dianugerahkan kepada Mala Fazira Ak Jerah  dari riumah Sukan  Wira yang memperolehi 4 pingat emas  melalui acara individu iaitu 100m, 200m dan lompat jauh manakala serta acara kumpulan ialah 4x100m. Manakala Olahragawati  kategori perempuan 18 tahun ke bawah pula telah dianugerahkan kepada adik Stefiana Tai dari rumah Sukan Waja yang memperolehi 4 pingat emas melalui acara individu iaitu acara 800m,1500m dan bagi acara berkumpulan 4 X 100m dan 4X400m.

Acara yang menarik perhatian penonton ialah acara terbuka antara guru dan ibu bapa dalam acara 4 X 100M. Acara ini dijuarai oleh pasukan guru-guru muda yang diketuai oleh Pn. Kastini Kassim.

Mengakhiri kejohanan olehraga kali ini Pengetua sekolah Puan Dona Undoh mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlit yang berjaya dan akan mewakili sekolah ke kejohanan olahraga MSSWPL yang akan diadakan pada bulan Mac. Beliau   menyatakan kejohanan olahraga merupakan arena terbaik untuk guru-guru mencipta kreativiti memacu semangat pelajar, manakala para pelajar pula  berpeluang bergaul , mengerah tenaga melepaskan beban emosi dengan berlari, melompat sederas yang mungkin ,maka akan terciptalah  momentum yang dapat menjana tenaga dalaman seterusnya menjadi juara. Jika tewas dalam sebarang acara semangat bersukan itu pasti akan menjadikan pelajar seorang yang berfikiran terbuka dengan menyimpulkan bahawa hidup adalah perjuangan dan perlumbaan, hanya yang berusaha, berdoa pasti akan berjaya.

Berita Oleh : DK Suhana PG Tassip




SAS Juara Kejohanan Ping Pong MSSWPL 2018

Jabatan Pendidikan Labuan telah  menganjurkan pertandingan Kejohanan Ping Pong peringkat MSSWPL pada 24hb Februari 2018 bertempat di Dewan SJK (C) Chin Wen, Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2018.

Pertandingan tersebut telah melibatkan 10 buah sekolah menengah dan sekolah rendah  di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.

Pertandingan ini telah diadakan bagi mencari dan  mencungkil bakat para pelajar dalam  bidang sukan Ping Pong. Maka,  pertandingan ini telah mensasarkan kepada murid Sekolah Rendah dan Sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Kejohanan ini telah  mempertandingkan 2 jenis pertandingan iaitu  kategori Perseorangan dan  kategori Bergu yang  melibatkan  dua kategori  iaitu kategori umur 12 tahun dan ke bawah  bagi lelaki dan perempuan serta kategori 18 tahun dan ke bawah bagi lelaki dan perempuan.

Sekolah Menengah St. Anthony telah dinobatkan sebagai Johan keseluruhan bagi Sekolah Menengah  dalam pertandingan ini  dan mendapat 2 Pingat Emas, 2 Pingat Perak dan 1 Pingat Gangsa manakala Naib Johan telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan dan tempat Ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsan Mutiara.

Sekolah Menengah St. Anthony telah diwakili oleh lima orang murid iaitu Jeff Lim, Lester Lim, Abdul Shafiq dan Winnie Lim dari kelas  Empat Sirius dan seorang pelajar  dari kelas Empat Orion iaitu  Gloria Liew. Semua pelajar ini terdiri daripada  pelajar tingkatan 4.

Dalam kejohanan ini  Adik Jeff Lim dan Lester Lim telah memperolehi pingat emas dalam kategori bergu kategori LB18,  manakala adik Winnie dan Gloria Liew memperolehi pingat perak kategori PB18. Dalam kategori perseorangan pula adik Jeff Lim memperolehi pingat emas, Lester Lim pingat gangsa dan adik Winnie juga mendapat pingat gangsa.

Menurut Jerry Totih iaitu jurulatih sukan permainan  Ping Pong SAS, beliau berkata Pengetua SM St. Anthony, iaitu Puan Dona Undoh juga sentiasa memberikan galakan, sokongan dan dorongan kepada semua atlet sekolah ini. Galakan dan dorongan ini telah menaikan semangat para pelajar untuk mengikuti semua acara yang dipertandingkan.

Menurut pengetua SAS, Puan Dona Undoh telah menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha memberi penekanan terhadap peranan sukan dan aktiviti kokurikulum di sekolah bagi melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial iaitu selaras dengan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025 untuk melahirkan modal insan secara holistik yang tidak hanya tertumpu kepada kejayaan akademik semata-mata, tetapi juga penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum

Harapan pengetua agar lebih banyak lagi murid-murid SM St. Anthony menyertai pertandingan seumpama ini bagi mencungkil bakat terpendam dalam kalangan murid. Beliau juga amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh murid-murid ini. Majulah Sukan Untuk Negara.

Berita Oleh : DK Suhana PG Tassip




Lawatan Kerja Rasmi Menteri Pendidikan Malaysia ke Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 1 Mac – Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia telah membuat Lawatan Kerja Rasmi ke Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini.

Bermula 8 pagi, YB Dato’ Seri Mahdzir telah membuat lawatan pertama ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun bagi Program Transformasi Sekolah 2025, TS25  dan melihat sendiri suasana Pengajaran dan Pembelajaran di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam ucapannya, beliau menekankan semua guru perlu bersedia untuk melaksanakan PdP abad ke-21 menggunakan teknologi terkini seiring dengan perubahan pesat dunia digital.

Katanya lagi, sebanyak 1,000 buah sekolah akan menikmati Smart Classroom termasuk sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tidak semua bilik darjah akan diganti dengan Smart Classroom, sebagai permulaan mungkin dua buah bilik darjah akan digunakan.

Seterusnya, YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid telah berkunjung (walkabout) ke Kolej Matrikulasi Labuan bagi melihat aspek infra dan penyelenggaraan.

Lawatan Kerja YB Menteri Pendidikan Malaysia diakhiri dengan Majlis Titian Kasih bersama warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan yang melibatkan seramai 700 orang guru.

Gambar kenangan Dato’ Seri Mahdzir bersama Warga Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

YB Dato’ Seri Mahdzir dan Kementerian Pendidikan Malaysia amat prihatin terhadap keluh kesah guru duka lara yang memohon berpindah supaya dapat berdekatan dengan keluarga dan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan guru.

Beliau tidak lupa juga mengingatkan guru, khususnya yang terbabit membimbing murid-murid  yang mengambil bahagian dalam pentaksiran pendidikan antarabangsa Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) dan juga Programme for International Student Assessment (PISA) agar sentiasa bersungguh-sungguh dengan penilaian tersebut bagi menaikkan lagi ranking pendidikan Negara Malaysia di mata dunia.

Sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi Projek Pembangunan Khas untuk penyelenggaraan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

KPM merancang untuk pembaikan sebuah flat kediaman bagi dijadikan pusat untuk pelajar-pelajar tingkatan enam dengan kos anggaran RM15 juta.

YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk Ahli Parlimen Labuan khusus untuk pendidikan di Labuan.

Turut serta Lawatan Kerja Menteri Pendidikan kali ini, Ahli Parlimen Labuan ialah YB Datuk Rozman Haji Isli,  YB Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Alias Haji Ahmad,  Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPM, YBhg, Dato Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Operasi Pendidikan, Tuan Hj Aminudin Adam, Pengarah Bahagian Matrikulasi KPM, Dr. Baiduriah binti Yaakub dan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.