SJK (C) Chi Wen Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Tahun 2018

Labuan, 9 Oktober – Adik Nicole Grace Wong dari SJK(C) Chi Wen telah dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 Tahun 2018 bertempat di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2018.

Seramai 28 orang peserta daripada seluruh Malaysia kecuali Sarawak dan WP Putrajaya telah menyertai pertandingan syarahan pada tahun ini yang bertujuan untuk menggalakkan murid-murid SJK(Cina) dan SJK(Tamil) bertutur, menguasai dan mempertingkat tahap penggunaan bahasa Melayu selain menyuntik semangat perpaduan dan muhibah serta menanamkan semangat cintailah bahasa Melayu.

Kejayaan berganda terlakar apabila kedua-dua peserta syarahan WP Labuan yang diwakili oleh adik Nicole Grace Wong dan Mac Frederon Feridlee juga dari SJK(C) Chi Wen turut merangkul tempat ketiga syarahan berkumpulan yang ditentukan melalui kedudukan berdasarkan jumlah markah tertinggi bagi kedua-dua peserta setiap negeri.

Adik Nicole Grace Wong dari SJK(C) Chi Wen, Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri

Menurut jurulatih mereka, Cikgu Mohd. Farik bin Madun, “Kejayaan ini tercipta berkat kesungguhan dan disiplin latihan yang tidak mengenal erti putus asa. Saya amat bersyukur dengan pencapaian ini walaupun masih banyak perkara yang perlu saya pelajari, maklumlah saya baru sahaja berjinak-jinak untuk melatih murid dalam bidang syarahan sejak tiga tahun yang lalu.”.

Kenangan manis ini juga merupakan pencapaian tertinggi WP Labuan dalam Pertandingan Syarahan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan sejak 36 tahun penganjurannya. Pada tahun 2016 yang lalu, adik Michelle Chang Li Ping juga dari SJK(C) Chi Wen pernah meraih naib johan dalam Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu tetapi dalam Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan Tahun 2016.

YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia telah merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 Tahun 2018 bertempat di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Adik Nicole Grace Wong dan Mac Frederon Feridlee juga dari SJK(C) Chi Wen turut merangkul tempat ketiga syarahan berkumpulan

Turut hadir Puan Rozainum binti Ahmad K.M.N, Pengarah Bahagian Kokurilum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Tuan Haji Ismail bin Musa, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur.

Selain pertandingan syarahan, turut diadakan pertandingan ujian bertulis yang menyaksikan 70 orang peserta berentap dalam usaha menjawab 100 soalan tatabahasa selama sejam.

Lima orang murid dari SJK(C) Chi Wen turut mengambil bahagian dalam pertandingan ujian bertulis ini iaitu Derica Goh Jia Lin, Julieny Suzanty, Chan Kah Meng, Oscar Lim Shen Hui dan Chan Yen Wei; namun rezeki tidak berpihak kepada mereka pada tahun ini.

Gambar kenangan bersama YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia

Berita Oleh : Cikgu Farik Madun, SJK(C) Chi Wen




Program Memperkasa Kepimpinan Sekolah

Labuan, 9 Okt – Elemen kepimpinan merupakan faktor penentu kejayaan sesebuah sekolah. Ianya diukur melalui kemampuan pemimpin sekolah menterjemahkan keberhasilan murid dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Seiring dengan anjakan ke 5 PPPM 2013-2025, bagi memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah , Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah mengadakan Program Perkongsian Memperkasa Kepimpinan Sekolah bertempat di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan, Wilayah Persekutuan Labuan, Sungai Lada pada 8 Oktober 2018.

Secara umumnya, sesi perkongsian ini dapat membantu pemimpin sekolah menterjemahkan standard 1, Kepimpinan dalam SKPMg2 iaitu Pengetua/Guru Besar (PGB) berperanan sebagai pemimpin berimpak tinggi yang berupaya menggembleng dan menggerakkan warga sekolah secara bersepadu untuk memajukan sekolah dan meningkatkan kualiti PdP.

Antara Pengetua yang membentang dalam sesi perkongsian  Encik Sahar dan Encik Ismail

Program ini dikendalikan oleh Pegawai School Improvement Partners Plus (SIPartners+) Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Mohamad.

Manakala, Ketua Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Dayang Rositer bt Awang Ibrahim bertindak sebagai penilai program.

Sepuluh (10) orang pembentang terdiri daripada Pengetua dan Guru Besar sekolah di Labuan telah membentangkan perkongsian amalan terbaik bagi memperkasa kepimpinan sekolah.

Pembentang tersebut ialah Encik Mohd. Jamatin bin Abd Latif (Pengetua SMK Lajau), Datin Hjh Jijah bt Mohamad Suhai ( Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun), Encik Louren bin Abon (Pengetua SSN SMK Mutiara), Puan Dona bt Undoh (Pengetua SM St. Anthony), Encik Abd Rahman bin Salim ( Guru Besar SK Patau-Patau), Encik Ismail bin Abdullah (Pengetua SMK Labuan), Encik Rosli bin Mohd Ali (Guru Besar SK Bukit Kalam), Tuan Hj Adam bin Abd Rahim (Guru Besar SK Bebuloh), Encik Sahar bin Misron (Pengetua SMK Pantai IB World School) dan Puan Yong Kui Chen (Guru Besar SJKC Chung Hwa).

 Guru Besar Encik Rosli dan Encik Rahman membuat sesi perkongsian memperkasa kepimpinan sekolah

Ketua Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti W.P Labuan, Puan Dayang Rositer bt Awang Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua pembentang yang berjaya menterjemahkan melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran sebagai pemimpin di sekolah.

Pengetua dan Guru Besar bertindak sebagai Peneraju, Pembimbing dan Pendorong dalam organisasi sekolah.

Dalam rumusan penilaian, beliau menekankan betapa pentingnya aspek analisis dalam sebarang perkara dan isu yang difokuskan oleh sekolah masing-masing.

Beliau memuji beberapa pembentangan yang berjaya menunjukkan analisis yang baik hingga membawa kejayaan kepada program yang dijalankan atau yang bersifat jangka panjang untuk melihat impaknya kepada kemenjadian murid.

Manakala pembentangan yang bersifat perkongsian pengalaman dan kepakaran serta amalan oleh pengetua adalah sesuatu yang berguna untuk diteladani.

Encik Raisin Saidin dan Puan Dayang Rositer khusuk mendengar sesi perkongsian daripada Pengetua Guru Besar

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin pula mengucapkan tahniah kepada SIP+ Wilayah Persekutuan Labuan yang berjaya menganjurkan program yang baik dan mahu program ini diteruskan pada masa akan datang.

Beliau yang berkesempatan melihat pembentangan ini turut memuji para pembentang yang berkongsi pengalaman dan kepakaran menerajui sekolah masing-masing . Para pembentang berjaya membentang hala tuju organisasi yang dipimpin dengan jelas dan boleh dijadikan rujukan oleh Pengetua Guru Besar yang lain mahupun kumpulan pelapis yang terdiri daripada penolong-penolong kanan.

Turut hadir dalam program ini sebagai tanda sokongan dan komitmen Puan Maimoon bt Matnoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Norismah bt Abd Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik,  Encik Ag Marten bin Datuk Hj Abd Rahman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan W.P Labuan dan Encik Samsudin bin Yalla, Ketua Sektor Pengurusan Maklumat Jabatan Pendidikan Labuan serta penolong-penolong kanan sekolah.

Semoga pembudayaan perkongsian amalan terbaik ini dapat mengupayakan peneraju sekolah melaksanakan Standard 1 Kepimpinan SKPMg2 pada tahap cemerlang bagi penambahbaikan yang berterusan agar kualiti/prestasi sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan meningkat secara konsisten.

Berita oleh:

ENCIK SAHAR BIN MISRON
PENGETUA SMK PANTAI IBWS
9.10.2018




SK Patau-Patau dan SK Membedai Tandangani Persefahaman Program Jaringan Sekolah

Labuan,4 Okt – Sekolah Kebangsaan Patau-Patau dan Sekolah Kebangsaan Membedai menandatangani Persefahaman Program Jaringan Sekolah ke arah mewujudkan kerjasama dalam bidang sosial, sukan, kebudayaan dan etos sekolah.

Program persefahaman itu ditandatangani bersama Guru Besar SK. Patau-Patau, Encik Abd. Rahman Salim dan Guru Besar SK. Membedai, Ustaz Mohd Farihi Ab. Halim, di Bilik Mesyuarat SK. Patau-Patau.

Menurut Guru Besar SK. Membedai, Ustaz Mohd Farihi Ab. Halim, program itu bakal dilaksanakan oleh Jawatankuasa Perpaduan di bawah seliaan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).

Tambahnya lagi, program itu juga bertujuan mewujudkan hubungan erat antara murid dan guru, selain merupakan perkongsian pintar dalam Pengajaran Dan Pembelajaran antara dua buah sekolah.

Sempena menandatangani program persefahaman itu, Guru Besar Sk. Patau-Patau, Encik Abd. Rahman Salim turut menyampaikan taklimat berkenaan aktiviti perpaduan antara dua buah sekolah. Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran (PK1) dan Penolong Kanan HEM kedua-dua buah sekolah.




Bengkel Pecutan Akhir Geografi Memacu Prestasi SPM 2018

Labuan, 6 Okt – Seramai 55 murid dan 5 guru telah mengikuti bengkel pecutan akhir Geografi SPM pada 6 Oktober 2018 di Bilik Benua, BTPN Labuan.

Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah jemputan dari SMK Penghulu Saat, Johor Encik Mohd Khamsuldin bin Abdul Wahab.

Matlamat bengkel ini adalah untuk meningkatkan prestasi pencapaian mata pelajaran Geografi dalam SPM 2018 sekaligus mengekalkan peratus lulus tertinggi di peringkat kebangsaan sejak tahun 2015.

Para peserta sedang tekun menjawab soalan tugasan yang diberikan

Urusetia bengkel, Puan Adilla berkata komitmen murid dan guru telah memberi impak terbaik kepada kelancaran program dan berharap agar kesan berterusan sehingga saat murid menjawab soalan peperiksaan.

Program ini telah mendapat maklumbalas yang baik daripada guru dan murid dan berharap agar program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang.

Fasilitator sedang menyampaikan teknik menjawab Geografi SPM




Bengkel Pemantapan Pembangunan Organisasi Jabatan Pendidikan WP Labuan

Labuan, 6 Okt – Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengambil inisiatif bagi memantapkan pengurusan jabatan dengan mengadakan Bengkel Pemantapan Pembangunan Organisasi menggunakan Pelan Strategik JPWPL pada 4-6 Oktober 2018 di Kota Kinabalu.

Penceramah jemputan bengkel ini ialah Encik Muhamad Bustaman Abdul Manaf, Pensyarah Cemerlang daripada Institut Aminudin Baki yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam pengurusan strategik.

Bengkel ini bermatlamat untuk membina satu kerangka pelan strategik JPWPL 2019-2025  yang tersusun dan sistematik untuk menterjemahkan misi dan visi Kementerian Pendidikan Malaysia kepada tindakan dan proses kerja peringkat jabatan dan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam fasa pengenalan, beliau membuat pernyataan menyeluruh tentang tujuan dan faedah pembinaan perancangan strategik bagi meningkatkan tahap kesediaan dan keberkesanan dalam melaksanakan perancangan pelan strategik jabatan.

Seterusnya, beliau memfokuskan kepada kefahaman kaedah dan prosedur yang betul membina pelan strategik menggunakan ‘tools’ pengurusan yang sesuai seperti SWOC, PESTEL, Prinsip 7’s, ERRC dan Analisis Jurang bersandarkan kepada mandat, dasar dan data-data berkaitan pendidikan.

Perbengkelan diteruskan bagi membuat kerangka utama Pelan Strategik JPWPL 7 Tahun menfokuskan matlamat strategik dengan petunjuk-petunjuk prestasi utama, menyediakan kerangka kerja apa yang patut dilakukan untuk menentukan hala tuju masa depan organisasi agar lebih berfokus bagi mencapai misi dan visi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin menzahirkan rasa syukur kerana program dapat dilaksanakan dengan teratur dan berharap ianya dapat menghasilkan Pelan Strategik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang akhirnya dapat merealisasikan visi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Muhamad Bustaman




400 pelajar SPM Labuan ikuti Seminar Kecemerlangan SPM anjuran YWP

LABUAN: Seramai 400 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 menyertai Seminar Kecemerlangan SPM 2018 peringkat Labuan anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Labuan.

Seminar selama 4 hari itu bermula 1 hingga 4 Oktober ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Encik Zaizalnizam Zainun di Dewan Utama Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), dekat sini, kelmarin.

Encik Zaizalnizam ketika berucap berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan pada tahun 2018 telah memperuntuk sebanyak RM10 juta untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan untuk warga Wilayah Persekutuan membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Peruntukan itu termasuklah Seminar Kecemerlangan SPM, bantuan awal sekolah dan universiti serta program yang berasaskan pembangunan ekonomi, sosial, Agama dan Teknologi” kata- nya.

Encik Zaizalnizam menjelaskan, bagi Seminar Kecemerlangan SPM 2018, YPW telah diperuntukkan dana sebanyak RM200,000 untuk 1,200 pelajar membabitkan ketiga-tiga wilayah.

“Ketiga-tiga seminar ini diberikan secara percuma kerana semua murid yang terlibat adalah mereka yang dipilih daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah yang memerlukan perhatian pendidikan.

“Kami percaya setiap peluang untuk meningkatkan taraf hidup khususnya melalui pendidikan, jika tidak dibantu atau disokong, akan menyukarkan perjalanan sesorang itu untuk mencapai kejayaan” katanya.

Justeru itu, telah menjadi keutamaan YPW untuk terus memacu tenaga membantu serta menyokong seluruh sektor pendidikan yang memerlukan termasuklah merealisasikan objektif utama Seminar Kecemerlangan SPM.

Bagi menjayakan program itu katanya, YPW telah menyediakan Jurulatih-jurulatih Utama (JU) untuk memberi pendedahan teknik dan tips menjawab soalan peperiksaan sekaligus dapat membantu calon SPM memperolehi keputusan yang cemerlang.

Diakhir ucpannya, Encik Zaizalnizam menasihatkan para pelajar yang terpilih menyertai seminar itu supaya merebut peluang yang disediakan dengan sebaik-baiknya kerana ia menjadi penentu masa depan pelajar.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Hasbolah Amit yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Pengetua Sekolah Antarabangsa Labuan, Puan Zainab Batin serta Pengetua-Pengetua sekolah.




Pertandingan Gallery Walk (PAK21) Sejarah Menengah Atas 2018

Labuan, 5 Okt : Jabatan Pendididkan W.P.Labuan dengan kerjasama Panitia Sejarah SM Sains Labuan telah menganjurkan Pertandingan Gallery Walk Sejarah Menengah Atas pada 4 Oktober 2018 bertempat di Dewan Samudera, SM Sains Labuan.

Pertandingan ini bermatlamat untuk mengaplikasikan pendekatan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dalam kalangan murid dan guru terutamanya dalam merungkai kurikulum Sejarah Menengah Atas.

Urusetia pertandingan, Encik Samsuri Amin berkata pertandingan ini berjaya menarik penyertaan dari sembilan buah sekolah menengah di seluruh Labuan melibatkan 135 murid dan 27 guru.

Setiap sekolah disertai oleh 5 murid sebagai pembentang dan 10 orang penyokong dengan mempamerkan bahan-bahan pembelajaran berbentuk maujud berbantukan teknologi semasa di stesyen masing-masing.

Para peserta sedang menjawab kuiz sebagai aktiviti sampingan semasa pertandingan

Selain mempamerkan bahan inovasi pembelajaran yang berkaitan kurikulum Sejarah, setiap kumpulan perlu memberi penerangan kepada pengunjung stesyen dan para hakim pertandingan yang dilantik sebagai sebahagian kriteria penilaian.

Pertandingan ini dirasmikan oleh Pengetua SM Sains Labuan, Tuan Haji Mahamad Shukri bin Said.

Ketika ditemui, Haji Shukri berpendapat program ini amat baik dan sangat berguna sebagai medium mengetengahkan bakat murid sebagai peneroka dan penyampai ilmu Sejarah terutamanya dalam mencapai hasrat PAK21 mencakupi elemen komunikasi, kolaboratif, kreativiti, pemikiran kritis dan nilai murni.

Pembentang sedang menerangkan bahan-bahan pameran kepada hakim pertandingan

Namun begitu beliau berharap agar program ini dapat melibatkan lebih ramai murid pada masa akan datang kerana bahan-bahan inovasi yang dipamerkan oleh setiap sekolah sangat menarik dan membantu pembelajaran.

SMK Taman Perumahan Bedaun telah dinobatkan sebagai Johan dengan membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM500 sumbangan Koperasi Pelajaran W.P. Labuan. Tempat kedua dimenangi oleh SM St. Anne dan tempat ketiga diraih oleh SM Sains Labuan.

Selain itu, SMK Taman Perumahan juga memenangi kategori Bahan Inovatif Terbaik, Stesyen Terbaik dan Pembentang Terbaik.

Jabatan Pendidikan W.P. Labuan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung. Kemenjadian dan kecemerlangan murid bermula di sini.

Bahan pameran oleh SM St Anne

 

Hakim pertandingan bergambar kenangan bersama perasmi Tuan Haji Mahamad Shukri bin Said




Rezeki SMK Lajau mendapat bibit dan benih sayur serta pasu sumbangan Peladang dan Jabatan Pertanian Labuan

Labuan, 25 Sept – Pihak SMK Lajau mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan Peladang dan Jabatan Pertanian dalam bentuk bibit sayur dan pasu. Usaha gigih Jabatan Peladang dan Jabatan Pertanian dalam menggalakkan masyarakat bercucuk tanam terutamanya yang melibatkan murid dan warga SMK Lajau amatlah dihargai oleh pihak sekolah.

Berita lanjut dalam Laman Rasmi SMK Lajau