Pendaftaran Kemasukan Tahun Satu dan Tingkatan Satu di Labuan Berjalan Lancar
Labuan, 31 Disember : Pendaftaran kemasukan pelajar ke tahun satu dan tingkatan satu di Wilayah Persekutuan Labuan telah berjalan dengan lancar dan teratur, bermula pada 29 hingga 30 Disember 2018.
seramai 1669 orang murid akan melangkah ke tahun satu, manakala 1271 orang pelajar mendaftar ke tingkatan satu di 27 buah sekolah rendah dan menengah di sini.
Untuk rekod, seramai 15080 orang pelajar akan memulakan sesi persekolahan tahun 2019 melibatkan 9345 orang murid sekolah rendah dan 5735 orang pelajar sekolah rendah.
Manakala, prasekolah pula mencatatkan 807 orang murid yang akan bersekolah pada tahun hadapan.
Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah dan ibu bapa kerana telah berjaya melaksanakan pendaftaran tahun satu dan tingkatan satu dengan jayanya.
Semoga hari pertama persekolahan pada 2hb Januari 2019 juga berlangsung dengan teratur dan lancar.
Perhimpunan Bulanan JPWPL Disember 2018 : Kemampuan Berdepan dan Menangani Perubahan
Labuan, 13 Dis – Perhimpunan bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan Disember merupakan pelengkap bagi kejayaan Tahun 2018, yang telah diadakan hari ini di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.
Selepas montaj Deklarasi 1Borneo ditayangkan, para Pengetua Guru Besar sekolah telah menyerahkan dokumentasi kejayaan sekolah kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin sebagai simbolik bagi pelaksanaan kerja buat sekolah sepanjang tahun 2018.
Selaras dengan 19 Deklarasi 1Borneo 2018 yang telah dibuat pada penghujung tahun 2017, Encik Raisin Saidin memohon Pengetua Guru Besar agar sentiasa membuat refleksi kendiri terhadap pelaksanaan program sekolah demi kemenjadian anak-anak murid Labuan.
Penyerahan dokumentasi Deklarasi 1Borneo 2018 oleh Pengetua kepada Pengarah, Encik Raisin Saidin
Sepanjang tahun 2018, pelbagai lonjakan kejayaan telah dikecapi oleh Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan terutama kejayaan dan kemenjadian anak-anak murid di Labuan.
Tema Perhimpunan Bulanan bagi bulan Disember ialah Kemampuan Berdepan dan Menangani Perubahan.
Encik Raisin Saidin menyeru agar pihak sekolah memberi fokus kepada pelaporan dan pemantauan kemenjadian anak murid secara menyeluruh di tahap Sekolah Rendah melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang meliputi Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK), Penilaian Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Psikometrik.
Pentaksiran psikometrik digunakan untuk mendapatkan lebih maklumat tentang kemampuan, kekuatan, kelemahan, bakat, sikap, potensi, minat dan personaliti seseorang murid bagi tujuan membantu dalam memperkembangkan potensi dan pertumbuhan seseorang murid.
Penyampaian Anugerah Pertandingan Inovasi EKSA 2018
Majlis diserikan lagi dengan taklimat zakat, pelancaran aplikasi E-Kalendar JPWPL, Anugerah Khas Pengarah, Anugerah Pertandingan Inovasi EKSA 2018, Penyerahan Surat kenaikan pangkat, meraikan persaraan, sijil staff of the month, sambutan hari lahir dan Imbasan Perhimpunan Bulanan 2018.
Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Puan Norismah Ab Moin akan bersara pilihan pada bulan hadapan dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan, Puan Caroline Boni akan berpindah ke Kementerian Pendidikan Malaysia di atas urusan kenaikan pangkat.
Pihak Jabatan mengucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah atas sumbangan yang diberikan selama berkhidmat di jabatan ini dengan meninggalkan legasi yang cemerlang di sektor masing-masing.
Berita Oleh : Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yussof ( Ketua Sektor Pendidikan Islam )
Hari Keluarga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2018
Labuan – Hari Keluarga anjuran Kelab Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berlangsung sederhana tetapi meriah.
Program ini telah diadakan pada 8hb Disember 2018, bertempat di Taman Damai, Layang-Layangan dihadiri kira-kira 200 orang warga dan ahli keluarga Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Program bermula seawal jam 7.30 pagi itu didahului dengan aktiviti riadah dan senamrobik diketuai sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin.
Pelbagai aktviti menarik diadakan seperti acara sukaneka, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak, pertandingan memancing, futsal pantai karaoke santai dan cabutan tiket bertuah.
Encik Raisin Saidin merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur Kelab Pendidikan yang berjaya melaksanakan program ini dengan baik.
Saya mengucapkan terima kasih kepada warga Jabatan Pendidikan yang hadir bersama keluarga masing-masing dan turut serta dalam acara yang telah disusun atur. katanya.
Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sesi gotong-royong membersihkan kawasan aktiviti sehingga selesai pada pukul 1.30 petang.