Murid PPKI SMK Lajau Terima Sumbangan Daripada Industrial And Commercial Bank Of China (Malaysia) Bhd

Bank Perdagangan dan Perindustrian China (ICBC) Cawangan Labuan terus menunaikan tanggung jawab sosial kepada murid sekolah, khususnya murid berkeperluan khas di PPKI SMK Lajau dengan memberikan sumbangan sebuah kitchen mixer berjenama Electrolux.

PPKI SMK Lajau bertuah menerima sumbangan tersebut memandangkan sekolah menawarkan Kursus Pembuatan Roti dan Pembuatan Pastri yang sememangnya memerlukan penggunaan mixer bagi menjalankan serta memudahcara aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdPc) di dalam bengkel, khususnya aktiviti amali.

Dengan adanya sumbangan tersebut, PPKI SMK Lajau secara tidak langsung dapat mendedahkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan murid berkeperluan khas dengan penggunaan sepenuhnya sumbangan mixer tersebut bagi menghasilkan produk jualan roti dan jualan pastri.

Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung pada 31 Januari 2019 dan telah disampaikan sendiri oleh rombongan daripada Bank Perdagangan dan Perindustrian China (ICBC) ke SMK Lajau yang diketuai oleh CEO, Mr. Wang Qiang kepada Tuan Pengetua SMK Lajau, Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip diiringi oleh Penolong Kanan PPKI SMK Lajau, Puan Noraini Hj Sabuddin.

Turut hadir bersama-sama ialah Mr. Lim Kok Fuat selaku Deputy CEO dan Assistant CEO iaitu Mr. Xiao Jing.

Pengetua dan Penolong Kanan PK PPKI menyambut ketibaan CEO ICBC Mr Wang Qiang dan rombongan

Encik Mohd Jamatin amat mengalu-alukan dan berbesar hati menerima sumbangan seperti ini bagi melengkapkan keperluan murid-murid di sekolah khususnya murid berkeperluan khas bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Selain penyampaian sumbangan berkenaan, majlis penyerahan ini turut diselitkan dengan persembahan angklung daripada 27 orang murid PPKI SMK Lajau kepada tetamu yang hadir dan sedikit cenderahati daripada PPKI SMK Lajau berupa homemade biscuits daripada murid-murid PPKI kepada pihak ICBC.

Berita Oleh : SMK Lajau




Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun Jayakan Program 3 Dalam 1

Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun telah menjayakan Program Bacaan Ikrar, Pemimpin Muda SK Sungai Bedaun, Pelancaran Program Jom Hadir Ke Sekolah dan Penyampaian Sumbangan Beg Sekolah pada 21 Januari lepas.

Tiga program ini telah digabungkan dalam majlis perhimpunan rasmi yang dihadiri oleh Guru Besar SK Sungai Bedaun Puan Dg. Sarifah A.Mahmod bersama barisan pentadbir SK Sungai Bedaun, Yang Dipertua PIBG SK Sungai Bedaun, Puan Wiwik Iswandari Sudirman dan Pegawai Perhubungan Sekolah, Sarjan Fam Siat Ling dari PDRM WP Labuan.

Dalam majlis ini, para pemimipin muda yang terdiri daripada barisan Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya, serta Ketua dan Penolong Ketua Kelas telah melafazkan ikrar untuk menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Lafaz ikrar tersebut telah diketuai oleh adik Nazihah Mardhiyah.

Seterusnya , Pelancaran Program Jom Hadir Ke Sekolah telah disempurnakan oleh Guru Besar, Puan Dg. Sarifah A.Mahmod.

Majlis Pelancaran Jom Hadir ke Sekolah. Dari Kiri Encik Mohd Aizam, Puan Wiwik, Puan Dg. Sarifah,Sarjan Fam Siat Ling, Puan Kamariah dan Puan Rina

Program ini merupakan program Unit Bimbingan dan Kaunseling di bawah Pengurusan Hal Ehwal Murid (HEM).

Majlis penyampaian sumbangan beg sekolah kepada murid-murid juga diadakan dalam perhimpunan ini.

Beg sekolah tersebut telah disumbangkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan kepada 79 orang murid yang layak menerima bantuan.

Dalam ucapan Puan Dg. Sarifah, beliau mengucapkan tahniah kepada barisan pemimpin muda yang telah dilantik di SK Sungai Bedaun iaitu seramai 65 orang, yang terdiri dari Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya, serta Ketua dan Penolong Ketua Kelas.

Selain itu beliau juga menasihatkan murid-murid agar rajin ke sekolah dan SK Sungai Bedaun dapat mencapai peratus kehadiran 95% bagi tahun 2019.

Guru Besar menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada murid-murid, Sumbangan dari Yayasan Wilayah Persekutuan.
Pengawas Sekolah bergambar bersama Guru Besar, dan Pentadbir sekolah serta Pegawai Perhubungan Sekolah Sarjan Fam Siat Ling.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun




Hari Pembudayaan Keusahawanan SMK Labuan 2019 Cetus Minat Pelajar Berniaga

Program Hari Pembudayaan Keusahawanan (HPK) 2019 merupakan aktiviti tahunan Unit Pengajian Perniagaan, Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang telah dilaksanakan sejak 2017.

Berlangsung pada 30 Januari lalu, di Galeri Kristal SMK Labuan, HPK berjaya mencetuskan minat pelajar untuk berniaga selaras dengan objektifnya iaitu mewujudkan interaksi dan perkongsian idea dalam kalangan pelajar mengenai ilmu perniagaan dan keusahawanan.

Sebanyak 29 kumpulan pengusaha gerai HPK 2019 telah berjaya menjana jualan keseluruhan sebanyak RM10,188.70

Pelajar-pelajar telah berjaya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam dan Perniagaan Tingkatan 4 dan 5 untuk menjayakan HPK ini.

Sebahagian pelajar berjaya berurusan dengan perniagaan Francais seperti “The Ais Sedap”

Sememangnya HPK berjaya mencetuskan minat pelajar untuk berniaga dan memberi kesedaran bahawa tidak perlu mencari kerja semata-mata tetapi berusaha mencipta peluang pekerjaan mereka sendiri.

Pelbagai aktiviti berunsurkan perniagaan diadakan termasuk jualan makanan, minuman, buku-buku terpakai dan pakaian terpakai.

Jualan pakaian dan tudung, alat-alat tulis serta produk kesihatan juga turut diadakan.

Encik Ismail bersama pelajar-pelajar yang berpeluang berniaga di HPK

Program telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah. Beliau berharap HPK dapat mencetuskan minat dan keinginan pelajar untuk mendalami ilmu keusahawanan serta menjadikannya sebagai alternatif terbaik bidang kerjaya selepas menamatkan pengajian sekiranya tidak mendapat peluang masuk ke pasaran pekerjaan.

Pelajar mesti menjadikan beberapa contoh usahawan berjaya sebagai inspirasi untuk mengikuti jejak mereka pada masa depan,” katanya.

HPK 2019 dikendalikan oleh Penyelaras Program Puan Noritah @Noriani Madina, selaku ketua Unit Pengajian Perniagaan bersama Pembantu Penyelaras Puan Iespary a/p Subeh (Pensyarah Pengajian Perniagaan) dan Puan Fazlinah Razali (Pensyarah Pengajian Perniagaan).

Pengarah Projek pula ialah Nur Nabilla Hartono yang juga pelajar Pengajian Perniagaan Tingkatan 6 Atas.

Puan Noritah juga mengambil inisiatif memotivasikan pelajar-pelajar dengan menghasilkan sendiri produk cokelat “Nouri’s Home Made Chocolate” dan dijual semasa HPK tersebut.

Beliau berharap agar aktiviti program itu akan diteruskan sebagai acara tahunan untuk mencetus minat para pelajar melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, dan dapat memberi gambaran betapa bidang keusahawanan sangat berpotensi serta boleh menjadi kerjaya pilihan oleh pelajar selepas tamat pengajian.

Puan Noritah di gerai Nouri’s Home Made Chocolate

Turut hadir memeriahkan program itu ialah Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan Encik Saminan Sabtu.

Berita Oleh : SMK Labuan




SK Sungai Bedaun dan SM Sains Labuan Johan Keseluruhan Merentas Desa MSSWPL 2019

LABUAN: Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun dinobatkan sebagai johan keseluruhan kategori sekolah rendah pada Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) yang telah berlangsung di Padang Majal, Kampung Pohon Batu, pada 26 Januari lalu.

Kejayaan itu diperolehi selepas SK Sungai Bedaun muncul johan berpasukan perempuan dan naib johan berpasukan lelaki.

Sekolah itu telah menghantar seramai 12 orang murid bagi menyertai larian tersebut, iaitu 6 orang murid perempuan dan 6 orang murid lelaki.

Pingat diberikan kepada 10 peserta terawal yang tiba di garisan penamat mengikut kategori masing-masing.

Peserta dari SK Sungai Bedaun telah mendapat 3 pingat bagi kategori lelaki bawah 12 tahun dan 1 pingat bagi kategori perempuan bawah 12 tahun.

Mohd Haikal Ifzan Mat Jaya mencatat nama sebagai pemenang kategori lelaki bawah 12 tahun sekaligus membawa pulang pingat emas.

Mohd Haikal Ifzan Mat Jaya

Dua lagi pingat diperolehi menerusi Pengiran Muhammad Shahrizal Pengiran Masri dan Muhammad Syihabuddin Rody yang masing-masing menduduki tempat ke-5 dan tempat ke-6.

Bagi kategori perempuan bawah 12 tahun pula, Nurul Ayuni Shaharrizal berjaya merangkul pingat perak.

Pasukan Merentas Desa SK Sungai Bedaun dikendalikan Pengurus Pasukan Mohd Aizam Abdul Rahim yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SK Sungai Bedaun bersama Ketua Jurulatih Ustaz Mohd Azwan Saad serta jurulatih lelaki dan perempuan iaitu Ustaz Sahrum Samlan, Ustaz Muhd Satalmizi Ismail, Frederic Singan dan Puan Mariam Basir.

Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Bedaun, Dg Sarifah A Mahmod merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua atlet yang berjaya memberikan saingan sengit kepada atlet sekolah lain di kejohanan tersebut.

Katanya, kesungguhan atlet lelaki dan perempuan terbukti apabila mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 yang terbaik bagi setiap kategori.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras jurulatih dan kerjasama ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka. Semoga kejayaan ini akan menyuntik semangat warga SK Sungai Bedaun untuk melakar lebih banyak kejayaan pada tahun ini,”katanya.

Sementara itu Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) muncul juara keseluruhan untuk kali ke-9 berturut-turut Kejohanan Merentas Desa 2019 ini.

Gambar Kenangan : Kontinjen SM Sains Labuan, Johan Keseluruhan Merentas Desa 2019

Pasukan merentas desa SMSL telah dibimbing oleh jurulatih yang komited dan tegas iaitu Avila Sanis dan Azizan Ibrahim.

Menurut Avila, antara faktor SMSL dapat mengekalkan kejayaan mereka adalah kerana latihan yang konsisten dan semangat kerjasama yang tinggi antara guru dan murid yang terlibat serta kesungguhan atlet bagi mencapai kejayaan.

Tambahnya, para atlet begitu tekun menjalani latihan seawal jam 4.30 pagi sebelum sesi persekolahan dan pada jam 4.00 petang selepas waktu persekolahan setiap hari bermula 19 Januari yang lalu.

Pasukan SMSL, Johan Kategori Lelaki 15 tahun

Sementara itu, Pengetua SMSL, Haji Mahamad Shukri Said merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua atlet yang berjaya mengharumkan nama SM Sains Labuan.

Kejohanan dikelolakan oleh SMK Rancha-Rancha dan SK Pekan Dua.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin menyampaikan hadiah kepada kepada pemenang.

Turut hadir Pengetua SMK Rancha-Rancha, Omar Baki Matusin dan Guru Besar SKPD, Jaafar Matusin.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun dan SM Sains Labuan

Pasukan SMSL, Johan Kategori Perempuan 18 tahun