Sambutan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Raya SKK Rancha Rancha

LABUAN, Sabtu 29 Jun 2019- Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha (SKRR) telah mengadakan Sambutan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Raya Peringkat Sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Majlis sambutan ini disertai oleh semua guru dan kakitangan SK Rancha-Rancha, murid-murid dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran para ibu bapa dan jemputan.

Majlis ini bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi. Semua warga SK Rancha-Rancha dan pengunjung kelihatan sangat gembira dan hari raya disambut dengan meriah sekali. Pelbagai juadah yang disediakan oleh pihak sekolah dan sumbangan daripada ibubapa untuk dijamu kepada warga sekolah dan para jemputan.

Turut hadir, Yang Dipertua sekolah, Dr. Mohamad Hamim bin Mohamad Hanifah dan Pegawai Polis Perhubungan Sekolah, Sjn Hafizudin Augustine Abdullah. Majlis di akhiri dengan penyampaian hadiah Anugerah Glamour Raya dan bergambar beramai-ramai.




SKK Rancha-Rancha Muncul Johan Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Negeri W.P Labuan

LABUAN, Jumaat – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) SK Rancha-Rancha muncul johan Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Negeri W.P Labuan telah diadakan pada 28 Jun 2019 bertempat di SK Sg Lada

Sempena Festival Nasyid & Kompang Selawat peringkat negeri hari ini.
Kumpulan kompang, Iman Kidz yang dianggotai oleh 12 orang murid di bawah bimbingan ustazah Maziah binti Moen dan Ustaz Muhd Nor Azwan bin Yunus juga memenangi anugerah persembahan terbaik. Lagu Solawatullah dan Berzikir Mengingati Allah berjaya mendapat anugerah lagu terbaik merupakan lagu ciptaan ustazah Maziah binti Moen.

Dengan kejayaan itu, SKK SK Rancha-Rancha membawa pulang piala dan sijil pertandingan dan akan mewakili W.P Labuan ke peringkat kebangsaan di negeri Perak pada bulan Julai ini. Penutupan dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan, Ustaz Syahir bin Mohd Yusof.




SK Sungai Bedaun Perkasa Pembudayaan PLC dan STEM Dalam Pendidikan

Labuan- Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun  (SKSB) berjaya melaksanakan Program Profesional Learning Communities (PLC) dan Program Memantapkan Pengintegrasian STEM dalam pendidikan di kalangan warga sekolah, rakan-rakan sekolah TS25 sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dan rakan sekolah kolaboratif iaitu Sekolah Kebangsaan Samparita, Kota Marudu pada 20 Jun yang lalu di Dewan Permata sekolah berkenaan.

Menurut Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A.Mahmod, PLC merupakan satu platform yang berkesan dalam membantu pemimpin sekolah dan guru-guru melakukan satu perubahan dalam Pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Guru-guru akan sentiasa bekerjasama membuat kajian tindakan dalam mencari kaedah terbaik untuk kecemerlangan anak murid.

“Sebenarnya idea untuk melaksanakan program pada hari ini datangnya daripada En George Elang, Guru Besar SK Samparita untuk melakukan lawatan sambil belajar yang disertai oleh 15 orang guru dan 30 orang murid. Namun, pihak sekolah melangkah kehadapan dengan mempromosikan program PLC dan STEM  pada hari ini” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan.

Noralliza (tengah), Evelyn (dua dari kanan) sedang menerangkan inovasi yang dihasilkan sambil diperhatikan oleh Rina Farrina, Noor Farehin dan Mylsa.
Murid-murid SK Samparita, Kota Marudu begitu teruja dapat mengikuti simulasi Kelas Pembelajaran Abad Ke-21 .

Antara aktiviti yang menarik perhatian dalam program ini ialah aktiviti pengintegrasian STEM dalam Matematik, perkongsian ini di usahakan oleh Panitia Matematik dengan kerjasama komuniti iaitu di kalangan bekas pelajar Asasi Kejuruteraan UiTM, Dengkil dan juga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam Jurusan Sains Bioteknologi.

Ujarnya lagi, PLC  akan dijadikan sebagai satu budaya di SKSB. Kerjasama dan semangat kesukarelaan setiap guru dalam mewujudkan budaya pembelajaran ini sudah pasti dapat meningkatkan kualiti profesionalisme keguruan dan melahirkan kecemerlangan kepada anak didik sekalian.

Beliau mengucapkan syabas kepada Puan Rina Farrina Binti Dakim, Penolong Kanan Pentadbiran selaku peneraju utama program, Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) serta warga SKSB yang sentiasa komited dalam melaksanakan apa jua program yang dirancang di sekolah ini. Juga kepada SISC+, Alumni SKSB dan lima buah sekolah yang terlibat sebagai pempamer dan pembentang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh, SK Bukit Kallam, SK Sungai Lada, SK Tanjung Aru dan SK Pantai.

Dalam program berkenaan, turut diadakan simulasi Kelas Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK) subjek  Bahasa Inggeris Tahun 5 yang dikendalikan oleh Puan Noraliza Binti Allbi. Manakala subjek Matematik Tahun 5 pula dikendalikan oleh Puan Yuhana Binti Yusof.

Khaziyati (enam dari kanan) bergambar bersama barisan pempamer daripada SK Sungai Bedaun

Tetamu jemputan turut dibawa meninjau Galeri Permata dan mendengar Perkongsian Amalan Baik Teknologi Dalam Pendidikan yang berkaitan dengan aplikasi low-tech yang boleh digunakan dala PdP seperti Plickers, Puzzle Tarsia, Hot Potatoes yang disampaikan oleh Puan Rina Farrina Binti Dakim. Perkongsian ini dihadiri oleh guru-guru SK.Samparita, Kota Marudu, penolong-penolong kanan pentadbiran, pegawai SIC+, dan guru besar sekolah TS25.

Majlis menandatangai memorandum Persefahaman (MoC) di antara SKSB dan SK Samparita, Kota Marudu turut diadakan di akhir majlis berkenaan.   Semoga dengan adanya jalinan ini kedua-dua pihak akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan Sekolah dan Pembudayaan PLC dan pemantapan Program STEM.

Dg.Sarifah (kiri) dan George Elang (dua dari kanan) bertukar MoU sambil disaksikan oleh Khaziyati dan Jaafar.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Guru
besar-guru besar dan penolong kanan 
sekolah TS25, 30 orang murid dan 15 orang guru daripada SK Samparita
serta 120 orang murid daripada sekolah-sekolah TS25 di wilayah ini beserta guru
pengiring.

Encik George Elang dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SKSB kerana merancang program yang sangat baik dan berjaya menyusun aktiviti lawatan yang bermanfaat kepada murid-murid dan guru-guru SK Samparita.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Puan Khaziyati binti Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL). Turut hadir Puan Zaleha Binti Salleh, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah. 

Dalam ucapannya Puan Khaziyati mengucapkan tahniah kepada SKSB di atas kejayaan menganjurkan program yang sangat bermanfaat dan berimpak tinggi. Semoga usaha ini dapat diteruskan di masa hadapan dan pengintegrasian STEM yang dipelopori oleh SKSB berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Rombongan daripada SK Samparita merakamkan gambar kenangan di tugu SKSB Mekar Terbilang bersama Dg. Sarifah dan Khaziyati.



Majlis Sarana Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa SMK Labuan 2019

Labuan – SMK Labuan telah mengadakan Majlis Sarana Interaksi Akademik Bersama Ibu Bapa pada 22 Jun lalu, bertempat di Dewan Mutiara SMK Labuan.

Semasa memberi taklimat kepada ibu bapa pelajar Tingkatan 5, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dalam ucapannya, SMK Labuan menyasarkan 100 peratus lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sasaran Gred Purata Sekolah (GPS), 4.55.

Untuk rekod, calon SPM SMK Labuan tahun ini ialah seramai 250 orang, SMK Pantai IBWS 165, SMK Mutiara 137, SMK Taman Perumahan Bedaun 82, SM St Anthony 72, SMK Lajau 69, SMK Rancha-Rancha 65, SM St Anne 64 dan SM Sains Labuan seramai 61 orang.

Bagi merealisasikan kejayaan ini, Encik Ismail berkata pelbagai program dirancang dan sedang dilaksanakan oleh pihak sekolah antaranya ialah “JOM LULUS SPM KITA” , “1A1M : MINIMA 1A KITA” dan “JOM 6A MARI KITA NAIK PENTAS”.

Strategi yang dirancang dalam program itu seperti menyediakan jadual anjal kelas, bimbingan bersama guru, bengkel teknik menjawab, kelas bimbingan mata pelajaran elektif dan modul latih tubi.

Interaksi Cikgu Sufian bersama ibu pelajar mengenai prestasi anak beliau

Encik Ismail juga menekankan betapa pentingnya peranan ibu bapa seperti sentiasa memastikan kehadiran anak ke sekolah, memastikan keperluan persekolahan, sokongan psikologi dan motivasi kepada anak serta mendoakan anak-anak setiap hari.

Selepas taklimat pengetua, ibu bapa berinteraksi dengan guru kelas tentang prestasi Peperiksaan Pertengahan Tahun, sasaran peningkatan prestasi  dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Turut hadir, Yang Dipertua PIBG SMK Labuan, Tuan Hj Md Yusof Hj Chuchu, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Zalina Zunkepely, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Marziawati Mardan dan Penolong Kanan Petang Encik Kitli Beka.

Berita Oleh : SMK Labuan

Interaksi Cikgu Cheah bersama ibu bapa dan murid



Sambutan Hari Raya Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan

Labuan – Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan telah mengadakan Sambutan Hari Raya yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum dan berkongsi kegembiraan merayakan Hari Raya antara pelajar dan guru di sekolah ini pada 21 Jun lalu.

Sambutan yang bermula seawal 7.45 pagi itu telah dihadiri oleh Dato’ Sri Hj Amir bin Hussien, Pengerusi Perbadanan Labuan, merangkap Bapa Angkat Korporat SMK Labuan dan Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah, barisan penolong kanan, guru-guru dan pelajar-pelajar tingkatan enam di sekolah tersebut.

Sebanyak 15 buah gerai dibuka dengan menghidangkan pelbagai juadah yang diusahakan sendiri oleh pelajar-pelajar 14 kelas dan sebuah gerai gabungan guru-guru Pusat Tingatan Enam.

Turut diadakan pertandingan Pakaian Raya, Pertandingan Sate Beast, Pertandingan Gerai Terbaik dan Persembahan Lagu Raya.




RIMUP Raya dan Program DWEN Mengeratkan Perpaduan Warga SK Sungai Bedaun

Labuan- Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Sambutan Aidilfitri dan Program Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) 14 jun lalu, menyaksikan keakraban antara murid, guru, ibu bapa, pekerja am, PIBG dan masyarakat sekitar tanpa mengira latar belakang dalam suasana yang sungguh meriah dan berwarna-warni.

Program RIMUP yang diperkenalkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan untuk mempertingkat dan menyuburkan semangat
kerjasama antara kaum sebagai pemangkin kepada perpaduan nasional.

Menurut Pn Dg. Sarifah Binti A. Mahmod Guru Besar SKSB, Program RIMUP Aidilfitri dan DWEN yang diadakan di SKSB  bertujuan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat setempat bersama warga sekolah dalam kegiatan-kegiatan khas secara bersama.

“Kita berharap melalui program sebegini dapat melahirkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibah di kalangan murid-murid dan masyarakat setempat secara sedar dan terancang. Suasana seperti ini sudah pasti dapat melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid yang pelbagai kaum di sekolah ini”. Katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Katanya lagi, “RIMUP khas sempena perayaan kali
pertama dianjurkan untuk tahun ini pada 11 Februari lalu bagi sambutan Tahun
Baru Cina manakala kali ini pula sempena Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini
memang sangat dinantikan oleh murid-murid malah guru-guru juga . Ia adalah
inisiatif yang baik bagi menanamkan semangat keakraban antara satu sama lain
tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama”.

“Tahniah kepada Unit Hal Ehwal Murid (HEM) kerana dapat merancang aktiviti ini  dalam jangka masa yang singkat. Majlis ini perlu dilaksanakan di sekolah supaya murid-murid dapat bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya dan merasai kepelbagaian budaya dalam masyarakat yang berbilang bangsa sebagaimana termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 iaitu ‘Membina Negara Bangsa”. Ujarnya lagi.

Puan Dg.Sarifah (Berdiri lapan dari kanan), Fam Siat Ling (berdiri lapan dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ibubapa, guru-guru dan murid-murid semasa majlis Rimup Aidilfitri diadakan.

Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran dua orang warga emas yang diundang bagi Program DWEN iaitu Pn Aishah dan Pn Rokiah. Mereka telah menunjukkan cara menganyam ketupat yang merupakan juadah istimewa di hari raya. Murid-murid dan guru-guru begitu teruja mempelajari cara menganyam ketupat.

Bagi mengaplikasikan sesi pembelajaran tersebut, pertandingan menyanyam ketupat telah diadakan dengan disertai seramai 20 orang murid tahun 4, 5  dan 6. Johan pertandingan ini adalah kumpulan 4 yang disertai murid tahun 5 Baiduri. Naib johan disandang oleh kumpulan 6 daripada kelas 6 Baiduri manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan 7 daripada murid tahun 6 Delima.

Pertandingan “Glamour Raya” yang disertai 44 orang murid turut diadakan. Murid-murid begitu bersemangat memperagakan pakaian mereka dengan dihiasi hiasan yang sangat menarik.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh tetamu jemputan iaitu Sarjan Fam Siat Ling, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Pn Wiwik Iswandari Binti Sudirman Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pasangan adik beradik Puan  Aisah  Hj Ibrahim dan Puan Rokiah Hj Ibrahim dan En Rosmani Bin Puteh, Ketua kg. Sg Bedaun.

Pelbagai juadah yang beraneka jenis dan lazat disediakan oleh ibu bapa dan guru-guru untuk dinikmati oleh anak-anak SKSB
“Booth” PIBK menjadi tumpuan oleh ibu bapa dan guru-guru untuk menikmati juadah yang sungguh lazat. Kelihatan KK Rosmani (tiga dari kanan) , Wiwik dan Sarifah bersama AJK Pibg.

Pihak sekolah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih  kepada semua pihak khususnya Penggerak IbuBapa dan Komuniti (PIBK)  yang diterajui oleh Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman yang turut sama menyediakan ‘booth’ juadah raya bagi memeriahkan suasana sambutan Rimup Raya di SKSB.

Begitu juga ibu bapa dan guru-guru yang telah menyumbangkan juadah untuk dinikmati oleh anak-anak dan warga SKSB. Semoga para dermawan sekalian diluaskan rezekinya serta dimudahkan urusan hariannya.

Selamat Hari Raya Minal Aidil Wal Faiizin, Maaf Zahir dan Batin.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

“Sedondon Raya”, Dg. Sarifah ceria bergambar bersama murid-murid yang mengenakan tema warna yang sama.



Perhimpunan Bulanan JPWPL, Jun 2019 : Contohi Teknik Rasulullah Mengajar

Labuan – Perhimpunan Bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah diadakan bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri pada 13 Jun lalu.

Berucap di majlis tersebut, Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi ilmu mengenai buku bertajuk 40 Teknik Rasulullah Mengajar, karangan Sheikh Abdul Al Fatah.

Beliau berkata, mengambil beberapa contoh teknik Rasulullah mengajar, seorang guru perlu menjadi ‘role model’ kepada murid, mengajar secara beransur-ansur disertai dengan kesabaran dan istiqamah, meraikan kesederhanaan dan mengelakkan kebosanan, meraikan perbezaan pelajar, berdialog dan sesi soal jawab serta teknik kiasan, perumpamaan.

Turut diadakan penyampaian sijil anugerah kecemerlangan kepada pihak sekolah, staff of the month , meraikan kakitangan yang bersara dan sambutan hari lahir kepada kakitangan jabatan serta sekolah yang lahir pada bulan Jun.

Majlis itu telah dihadiri oleh Ketua-ketua Sektor, para pegawai, Pengetua Guru Besar, guru-guru yang diraikan dan kakitangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menghargai dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sekolah Antarabangsa Labuan, Sekolah Kluster Kecemerlangan SK St Anne dan Adiwira Guru Cikgu Angeline Leong dari Sekolah Kebangsaan Kerupang di atas pengiktirafan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019, baru-baru ini.