Amanat Akhir Tahun Pengarah Pendidikan dan Malam Penghargaan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan

Labuan, 18 Nov – “Jadilah guru yang keberadaannya amat dirasai, ketiadaannya amat dirindui”, demikian amanat akhir tahun Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin yang berlangsung di salah sebuah hotel di Labuan, semalam.

Peningkatan Kualiti Sekolah dan Kemenjadian Murid akan terus menjadi fokus Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan tahun 2020 selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Justeru, Encik Raisin Saidin berkata tugas yang diberikan adalah amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dihayati oleh semua pemimpin di pelbagai peringkat terutama guru-guru kerana guru inilah sebenarnya yang berada di barisan paling hadapan bersama murid di bilik darjah, dalam merealisasikan PPPM 2013-2025.

Menyentuh pelibatan dan pencapaian anak-anak murid di Labuan yang terlibat dalam sukan, kokurikulum dan ko akademik sepanjang tahun 2019, Encik Raisin Saidin menyatakan sejumlah 4272 murid mengambil bahagian dalam peringkat negeri, 554 murid di peringkat kebangsaan dan 160 murid di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata lagi, 10 Sektor di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah melaksanakan 572 aktiviti seperti dalam perancangan tahunan 2019.

Catatan sebanyak 1758 bilangan pengunjung yang datang ke Labuan bagi tujuan pelancongan dalam pendidikan sedikit sebanyak membantu industri pelancongan di pulau ini.

Encik Raisin Saidin menyantuni Pengetua dan Guru Besar Labuan

Penstrukturan semula Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah dilaksanakan termasuk di Labuan bagi memenuhi keperluan  Transformasi Sekolah 2025 (TS25) iaitu untuk memperkasakan kepimpinan dan pengurusan di setiap peringkat.

Sementara itu, mantan Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Omar Baki Matusin yang mewakili pesara pendidikan melahirkan rasa syukur, terima kasih di atas penghargaan yang diberikan dan berharap agar Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan terus maju di masa mendatang.

Di Majlis yang sama, guru SM St Anne, Cikgu Lim Swee Hong dianugerahkan Guru Sepanjang Zaman bagi menghargai pengorbanan beliau selama 35 tahun dalam dunia pendidikan.

Encik Raisin Saidin turut memberi Anugerah Khas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kepada Pengetua SM St Anthony, Puan Dona Undoh, Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Lajau, Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip, Guru Besar SK Pekan Dua, Puan Hjh Dayang Damit @ Saidah bt Mohd Yassin, Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah bt A.Mahmod dan Puan Pan Yii Ying, Guru Besar SJK(C) Chi Wen.

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidikan yang telah bersara dan berpindah jabatan tahun ini di atas sumbangan dan bakti yang dicurahkan sepanjang berkhidmat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Begitu juga peranan media di Labuan yang banyak membantu dalam mempromosi dan membuat hebahan mengenai pendidikan di Labuan.

Majlis Amanat Akhir Tahun diserikan dengan kehadiran 150 orang terdiri daripada Pengarah Pendidikan, Timbalan-Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Penolong Pengarah, Kaunselor Negeri, para Pengetua dan Guru Besar, guru-guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), warga pendidikan yang telah bersara dan berpindah jabatan, para jemputan media serta murid-murid yang membuat persembahan.

Puan Cornelea Grace Gordon, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Infrastruktur dan Pembangunan, merangkap Pengurus Majlis tersebut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat menjayakan program ini.

“Labuan Superb! Guru Sayang Muridnya”

Fotografi Oleh : Mr. Jeevareani A/L Samikanu

Encik Raisin Saidin bersama warga pendidikan yang menyambut hari lahir pada bulan November
Encik Raisin Saidin bersama staf Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan



Pengakap SMK MUTIARA Harungi Ekspedisi Mencabar : Berjalan Kaki 42km Dalam Tempoh 24 Jam

Labuan, 18 Nov – Seramai 7 ahli pengakap SMK Mutiara telah berjaya mengharungi ekspedisi sejauh 42km berjalan kaki mengelilingi Pulau Labuan yang berakhir semalam.

Menurut pemimpin Pengakap , Puan Angela Joseph, ekspedisi ini adalah sebahagian daripada Ujian Lencana tertinggi Pengakap Remaja untuk mendapatkan Rambu Kuning dan seterusnya  mendapatkan pengiktirafan sebagai Pengakap Raja.

Seramai 6 murid pengakap laut dan seorang pengakap  telah menyertai ekspedisi kali ini yang melibat pelaksanaan beberapa aktiviti sepanjang perjalanan 42 km tersebut.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah berjalan kaki pada waktu siang dan malam, merekodkan tempat dan bangunan ikon di Labuan, membuat aktiviti orientaring di setiap perhentian, aktiviti khidmat masyarakat dengan mengutip sampah di sekitar kawasan yang dilalui. Semasa perhentian rehat di Pantai Damai, semua peserta perlu memasak untuk makan malam secara “backwoods living skills”.

Khidmat Masyarakat, Pengakap SMK Mutiara turut mengutip sampah disetiap kawasan yang dilalui
Berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan

Perjalanan bermula di bahagian selatan Pulau Labuan iaitu di  War Memorial  pada jam 7. 40 pagi sehinggalah ke Chimney melalui beberapa check point  termasuklah Kompleks Sukan Laut, Dataran Labuan, tugu United Nation Beach, Taman Damai Layang-Layangan, Kem TUDM Ganggarak dan berakhir di Chimney Trail.

Sebagai langkah keselamatan, peserta ekspedisi diwajibkan melaporkan diri di setiap Balai Polis yang dilalui.

Semua ahli pengakap yang menyertai ujian ini telah berjaya mengharungi cabaran dengan cemerlang sehingga ke check point terakhir iaitu di Chimney, salah satu mercu tanda terkenal di Labuan. Mereka ialah Darryl Karllen, Megawati binti Sulaiman, Latipa binti Basik, Norikmah binti Karim, Rosanne Hazel Anak Robert, Nurfathirah Suriana dan  Melvin Chew Seng Feng.

Ketua Patrol ekspedisi, Adik Darryl Karllen ketika ditemui berkata beliau dan rakan-rakan tetap tabah dan bersemangat walaupun cuaca tidak menentu ketika ekspedisi. Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana pasukannya selamat dan berjaya menamatkan perjalanan tanpa sebarang musibah.

Beliau turut memuji ahli pasukan kerana dapat mengekalkan disiplin, mematuhi peraturan dan semangat sepasukan yang tinggi dan saling menggalakkan sesama ahli pasukan sepanjang ujian ekspedisi ini.

Melapor diri di Balai Polis yang dilalui

Sebagai seorang ahli pengakap perlu sentiasa mengekalkan semangat setiakawan, kerjasama dan tolong-menolong di antara satu sama lain.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim turut meraikan para peserta di check point Kg. Patau-Patau untuk memberi semangat dan motivasi kepada mereka.

Beliau turut memuji sikap bersungguh-sungguh mereka untuk menamatkan ujian ini. Pasukan ekspedisi ini turut diiringi oleh 6 orang guru SMK Mutiara  serta 2 orang sukarela dari Pengakap Kelana bagi memastikan peserta ekspedisi selamat sampai ke check point terakhir.

Para peserta berjaya menamatkan ekpedisi pada jam 7:37 pagi di  bahagian paling utara Pulau Labuan di pantai Chimney yang indah.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Encik Mohd Nizam memberi semangat kepada Pengakap SMK Mutiara



Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid SK Sungai Bedaun Tingkatkan Motivasi Murid

Labuan, 17 Nov – Majlis Apresiasi Kemenjadian Murid 2019 Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) yang diadakan di Dewan Permata di sini, 16 Nov lalu berlangsung dengan cukup meriah.

Majlis Apresiasi
Kemenjadian Murid merupakan acara tahunan sekolah. Program seumpama ini
diadakan bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada murid-murid yang
telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah, dan
kokurikulum, sekaligus mengharumkan nama sekolah samada di peringkat negeri,
kebangsaan dan antarabangsa.

Antara anugerah yang ditampilkan ialah anugerah murid proaktif, anugerah murid inovatif, anugerah murid aktif, murid bersahsiah unggul, murid berketerampilan dan murid prihatin. Anugerah khas pula ialah anugerah adiwira cilik, ikon STEM, tokoh sukan dan anugerah mekar terbilang.

Adik Muhammad Shazydhani bin Mohd Suffian diiringi ibunya Puan Rosilawati menerima Anugerah Khas Mekar Terbilang tahun 2019 daripada En Yusup

Guru Besar SKSB, Puan Dg.
Sarifah Binti A.Mahmod berkata, majlis itu juga diharap mampu mengukir kenangan
manis dan mencatat nostalgia penuh makna dalam lipatan sejarah hidup mereka di
sekolah rendah. Ianya
diadakan bagi meraikan, mengiktiraf dan juga sebagai perangsang kepada murid
untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang diceburi.

“Tahniah diucapkan kepada Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis pagi ini berjalan dengan  lancar dan teratur. Gandingan mantap daripada Ibu bapa, masyarakat sekeliling dan pihak swasta seperti Maybank, Bank Rakyat, Bank Islam dan lain-lain telah meletakkan SK Sungai Bedaun berada di tempat yang selayaknya. Ianya menjadi sebutan malah digeruni oleh sekolah-sekolah di sekitarnya”. Katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Menurutnya lagi, pemilihan murid yang menerima anugerah pada kali ini bukan berorentasikan peperiksaan semata-mata tetapi merangkumi semua aspek agar dapat melahirkan “Modal Potensi Insan Cemerlang”.

Adik Mohd Haikal Ifzan Bin Mat Jaya dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Tokoh Sukan 2019 menerima sijil dan trofi daripada Encik Yusup.

Sepanjang tahun 2019, SKSB telah menunjukkan kecemerlangan yang sangat membanggakan di mana sebanyak 33  pengikirafan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa berjaya di capai.

Majlis perasmian telah
disempurnakan oleh Encik Yusup Bin Hj Muhamad, wakil rasmi Pengarah Pendidikan,
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau merakamkan ucapan
tahniah kepada warga SK Sungai Bedaun di atas kecemerlangan yang dikecapi
sepanjang tahun 2019. SKSB kini menjadi destinasi pelancongan pendidikan yang
sering dilawati oleh pihak luar sama ada di dalam negara mahupun
antarabangsa. 

“Saya tertarik dengan anugerah yang diperkenalkan pada hari ini iaitu Anugerah Potensi Cemerlang, Anugerah Kemenjadian Murid dan Anugerah Potensi Modal Insan. Anugerah ini dilihat selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025 yang memfokuskan  enam ciri murid yang menjadi aspirasi negara, iaitu murid berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika dan berkerohanian, serta mempunyai identiti nasional”. Katanya ketika berucap merasmikan majlis.

Menurutnya lagi, kemenjadian murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan secara holistik. Justeru peranan guru sebagai penggerak generasi yang intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang gemilang dengan memperkukuh amalan terbaik dalam pendidikan.

Majlis penyampaian sijil tamat pra sekolah telah disempurnakan oleh Encik Yusup Bin Mohamad. Turut kelihatan Puan Dg. Sarifah (kiri)

Pada majlis itu, seramai 330 orang murid menerima hadiah dan sijil penghargaan yang turut
disampaikan oleh  Puan Wiwik Iswandari
Binti Sudirman, Yang Dipertua PIBG SKSB, Puan Kamariah Salim, mantan Penolong
Kanan HEM SKSB dan Puan Rina Farrina Dakim, mantan penolong kanan pentadbiran
SKSB.

Anugerah Adiwira Cilik dan
anugerah Ikon Stem dianugerahkan kepada adik Muhammad Amir Muadz bin
Kamarulzaman dari kelas 5 Baiduri. Adik Hannan ‘Aqilah Binti Kamarulzaman tahun
2 Baiduri turut dianugerahkan Ikon Stem bagi tahap 1.

Penerima Anugerah Tokoh
Sukan dianugerahkan kepada adik Mohd Haikal Ifzan Bin Mat Jaya tahun 6 Mutiara.
Antara pencapaian terbaik adik Haikal ialah tempat ke-11 Kejohanan Merentas
Desa Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Perlis. Adik Haikal juga menjadi
johan dalam pertandingan merentas desa peringkat negeri dalam kejohanan
merentas desa Majlis Sukan, Sekolah-sekolah W.P.Labuan tahun 2019. Beliau
merupakan atlet olahraga sekolah dan peserta pasukan sepak takraw sekolah yang
berjaya mendapat tempat ke tiga dalam pertandingan peringkat negeri.

Anugerah Khas Mekar
Terbilang tahun 2019 telah dianugerahkan kepada adik Muhammad Shazydhani bin
Mohd Suffian. Beliau merupakan seorang murid yang berketrampilan dan
menunjukkan potensi dan pencapaian yan memberangsangkan dalam bidang kurikulum
dan kokurikulum.

Majlis Apresiasi
Kemenjadian Murid dimeriahkan dengan persembahan Keyboard , Nyanyian solo oleh murid pra sekolah, persembahan nasyid
dan persembahan bicara berirama.

Acara cabutan bertuah mengakhiri majlis tersebut.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Encik Yusup (tujuh dari kiri), Puan Dg. Sarifah (enam dari kiri), merakamkan gambar bersama semua guru SKSB seusai majlis Apresiasi Kemenjadian Murid.
Puan Kamariah (kiri), Puan Siti Rahimah (dua dari kiri), Encik Shahrom (dua dari kanan) antara pegawai di Jabatan Pendidikan Labuan yang hadir dalam majlis tersebut.



Slogan “BERJARIH, BERKARIH, BERLURIH” Menjadi Kekuatan Guru Dalam Meningkatkan Kemenjadian Murid SK Kerupang

Labuan, 17 Nov – Majlis Apresiasi Sekolah Kebangsaan Kerupang  2019 yang diadakan di Pusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan (JPWPL), Ahad lalu berlangsung dengan cukup meriah. Dianggarkan seramai 250 orang ibubapa dan murid hadir pada majlis ini.

Majlis itu diadakan bagi meraikan, mengiktiraf
dan juga sebagai perangsang kepada murid yang cemerlang dalam akademik,
Kokurikulum, dan sahsiah sepanjang tahun 2019. Selain itu juga anugerah ibu
bapa prihatin juga diberikan atas kerjasama dan keprihatinan ibu bapa dalam
membantu pihak sekolah .

Guru Besar SK Kerupang, Pn. Hjh Aini Hj Salleh
berharap, majlis itu dapat membuatkan murid-murid tidak melupakan jasa dan
pengorbanan yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik SK Kerupang serta lebih
berusaha pada tahun hadapan.

“Tahniah diucapkan kepada para guru yang telah bertungkus-lumus mendidik dan memberikan tunjuk ajar. Kemenjadian murid bermula di SK Kerupang. Slogan “Berjarih, Berkarih, Berlurih” diharap akan meningkatkan kemenjadian murid”. Puan Hjh Aini

Gambar Kenangan : Barisan guru-guru SK Kerupang

Majlis dirasmikan oleh Yang Berusaha En. Asmawi bin Hj Ahmad, Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPWPL.

Menurut beliau, kehadiran ibu bapa mencerminkan komitmen dan hubungan silaturahim yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah. Permuafakatan sangat penting antara ibu bapa dan guru menerusi PIBG. Hubungan yang erat dan mesra, diiringi kerjasama yang padu antara ibu bapa dan guru diibaratkan seperti aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain. Kerjasama ini sudah pasti menjadi pendorong dan pemudah cara dalam setiap usaha ke arah kemajuan anak-anak kita sebagai tonggak masa hadapan.

“Kejayaan anak-anak adalah simbol kerjasama, permuafakatan dan interaksi yang dijalinkan antara kita semua. Mudah-mudahan semangat dan komitmen yang tinggi akan dapat ditingkatkan lagi supaya sekolah akan mencapai kejayaan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang”. Katanya dalam ucapan perasmian.

Antara hadiah dan penghargaan yang diberikan
ialah Terbaik Keseluruhan Tahap 1, Kedudukan Terbaik Dalam Kelas Tahap 2,
Terbaik Mata Pelajaran Tahap 2, Sahsiah Terbaik, Anugerah Akademik, Anugerah
Kokurikulum, Anugerah SUMUR dan Anugerah Ibu Bapa Prihatin. Seramai 120 murid
menerima sijil yang disampaikan oleh Yang Berusaha En. Asmawi bin Hj Ahmad dan
Yang Dipertua PIBG SK Kerupang, Nik Hisyam Ubaidillah bin Nik Hishamuddin.

Anugerah Akademik dianugerahkan kepada Nur Fariha Dania binti Usamah, Anugerah Ko Kurikulum pula dianugerahkan kepada Abdullah Azfar bin Mohammad Hafez manakala Muhammad Irfan bin Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Sahsiah Unggul Murid (SUMUR). Anugerah Tokoh SUMUR merupakan anugerah utama yang diberikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang secara seimbang dalam akademik dan sahsiah.

Berita Oleh : Puan Siti Khadijah Din, SK Kerupang

Sebahagian ibubapa dan murid yang hadir dalam majlis ini



Majlis Apresiasi Kecemerlangan SK Pekan Satu “SKPS TRULY NUMBER ONE”

Labuan, 17 November– Majlis Apresiasi
Kecemerlangan SK Pekan Satu “SKPS TRULY NUMBER ONE” telah diadakan di Dewan C.U.N
SK Pekan Satu W.P Labuan pada jam 8:00 pagi sehingga 11:30 pagi. Majlis ini
merupakan pengiktirafan pihak sekolah kepada murid-murid serta bukti
kemenjadian murid SKPS dari segi akademik, sahsiah, sukan dan ko-akademik
meliputi unit Prasekolah, PPKI dan Aliran Perdana.

Turut hadir ialah Puan Amiah binti Bua (Ketua Penolong
Pengarah Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran JPWPL) perasmi majlis merangkap wakil
Pengarah JPWPL Tuan Raisin Saidin, Tuan Haji Yunus bin Haji Yussof (Penolong
Pengarah Unit Sekolah Rendah, JPWPL) merangkap pengawai Angkat SKPS, Puan
Zaliha binti Mohd Salleh (Penolong
Pengarah Unit Pendidikan Swasta Sektor Pengurusan Sekolah JPWPL merangkap NYDP
PIBG SKPS), Puan Anita Shyamini A/P S. Azman (Guru Besar SK Pekan Satu), Encik
Azrul bin Izhan (YDP PIBG SKPS), dan Encik Isyamuddin Bin Noordin (Pengerusi Permuafakatan
Waris Prasekolah SKPS).

Hadir sama Puan Zailiana Binti Zainol (PK Pentadbiran
SKPS), Puan Normah Binti Rahimi (PK Hem SKPS), Encik Esmit bin Amat (PK
Kokurikulum SKPS), Puan Hafizah bt Ag Kanak (Penyelaras PPKI SKPS), AJK PIBG
SKPS, 70 orang guru dan 200 orang ibu bapa turut hadir memeriahkan majlis ini.

Seramai 179 orang murid iaitu 6 murid PraSekolah, 36 murid PPKI dan 137 murid aliran perdana menerima anugerah masing-masing pada majlis ini. Turut disampaikan dalam majlis ini adalah Anugerah Pra Sekolah, Anugerah PPKI, Anugerah Kurikulum Anugerah Akademik Terbaik (Tahap 1 dan Tahap 2), Anugerah Mata Pelajaran Terbaik (Tahap 2) Anugerah HEM (Khas Kepimpinan, Sahsiah Terpuji, Gigi Tercantik dan Kelas Kehadiran Terbaik), Cabutan Bertuah Ponteng Sifar, Anugerah Kokurikulum dan Anugerah Keseluruhan (Tokoh Kurikulum, Tokoh Kokurikulum, Ikon Murid dan Tokoh Gemilang).

Sesi fotografi Puan Amiah binti Bua (4 dari kanan) bersama penerima anugerah kecemerlangan SKPS bagi tahun 2019.

Dalam
ucapannya, Anita Shyamini memberitahu bahawa penganugerahan bagi Tahap 1
melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) manakala Tahap 2 masih dinilai melalui Penilaian
Kemajuan Berasaskan Sekolah (PKBS). “Sebagai menambah pengetahuan para hadirin,
SKPS telah berjaya sekurang-kurangnya 61 kejayaan pada tahun ini antaranya Johan
Lompat Jauh MSSWPL, Johan Lontar Peluru, Johan Kalam Jamaie (KDS), Johan
Pertandingan Khat (KDS), Johan Pertandingan The Makers, Johan Karnival Bahasa
Inggeris-Scrabble, 8 pingat emas Kejohanan Akuatik MSSWPL 2019 dan banyak lagi”
tambah beliau lagi.      

Puan Amiah
pula berkata, kejayaan murid-murid bukan hanya terletak pada usaha dan
kesungguhan para guru semata-mata bahkan ibu bapa juga memainkan peranan dalam
mencorak masa depan murid-murid. “Saya menyeru agar murid-murid berusahalah
dengan lebih gigih berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru untuk
memperoleh kejayaan dan mengharumkan nama sekolah serta negara Malaysia yang
tercinta” tambah beliau lagi sekaligus merasmikan Majlis Apresiasi
Kecemerlangan “SKPS Truly Number One”.

Anugerah Tokoh Kurikulum Nursyakirah binti Madani, Anugerah Tokoh Kokurikulum kategori lelaki Muhammad Aqeel Naufal bin Irwan Hanafiz manakala kategori perempuan Nur Insyirah Dania Binti Saifullah, Anugerah Ikon Murid Fatin Nadirah binti Jusman dan Anugerah Tokoh Gemilang 2019 Hidayatul Mustaqim bin Hamka. Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan daripada murid-murid SKPS antaranya Tarian Sambut Tamu, Persembahan Keyboard dan Persembahan Kalam Jamaie.

Persembahan Tarian Sambut Tamu memeriahkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan SKPS.

Akhir
sekali, Cik Suriana Binti Kadir selaku penyelaras program melahirkan rasa
kesyukuran dan terima kasih kepada semua kerana majlis ini dapat dilangsungkan
dengan jayanya. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua
pihak, maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana
yang diharapkan. Beliau juga berharap agar majlis ini selari dengan matlamat
memberi dorongan dan memotivasikan murid-murid agar terus berusaha mencapai
kecemerlangan dalam semua bidang.




Pemimpin Sekolah Di Labuan Hadiri Kursus Pengurusan Siri II Anjuran Institut Aminuddin Baki

Labuan – Seramai 48 School Leader Team (SLT) yang terdiri daripada Pengetua, Guru Besar dan guru-guru penolong kanan sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan menghadiri Kursus Pengurusan Perubahan Siri 11 pada 14 hingga 16 November di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP).

Kursus tiga hari ini dikelolakan oleh Unit  Pengurusan Bakat, Sektor Sumber Manusia dengan kerjasama Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL). Dua orang penceramah daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) Bandar Instek iaitu Encik Shamsuri Bin Jamil, Ketua Jabatan, Pusat Konsultasi dan Pembangunan Organisasi Pendidikan  dan encik Ahmad Termizi, Pensyarah Kanan di jabatan yang sama mengendalikan sesi kursus tersebut .

Dalam  kursus tersebut peserta telah didedahkan tentang Pengurusan Altruistik, penyelesaian masalah dan membuat keputusan, penambahbaikan sekolah dan mengurus perubahan. Sesi ceramah yang santai dan penuh ilmiah menarik perhatian peserta yang sentiasa fokus dan aktif merespon setiap pertanyaan. Malah para peserta turut berkongsi ide dalam suasana penuh ceria.

Peserta begitu tekun mendengar penerangan daripada Encik Ahmad Tarmizi untuk aktiviti berkumpulan.
Sesi “Pecah Ais” yang di kendalikan oleh Encik Shamsuri menarik perhatian peserta

Kursus Pengurusan Perubahan bertujuan membangunkan kapasiti pemimpin secara holistik meliputi Kompetensi diri, komitmen dan perwatakan pemimpin dalam menyediakan pemimpin sekolah yang mampu menangani perubahan.

Menurut Encik Shamsuri, pembangunan kapasiti pemimpin pendidikan yang bercirikan keperluan pendidikan watan amat penting dalam usaha memastikan kemenjadian murid berdasarkan acuan sendiri yang mampu bersaing pada peringkat global. Justeru, pemimpin sekolah perlu sedar mengenai cabaran yang dihadapi termasuk meningkatkan kualiti kepimpinan masing-masing.

“Setiap pemimpin pendidikan perlu memiliki kefahaman mendalam dan pandangan jauh terhadap apa-apa perubahan dalam sistem pendidikan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus globalisasi,” katanya semasa sesi ceramah.

Dalam Kursus ini, peserta turut didedahkan dengan perancangan strategik iaitu cara mengenalpasti isu yang terdapat di sekolah berdasarkan laporan SKPMg2, merancang pelan strategik dan proses pembangunan strategik yang telah disampaikan oleh encik Ahmad Tarmizi.  Diharapkan kursus ini memberi impak positif kepada semua pemimpin pendidikan dan menjadi wadah ke arah memperkasakan kepimpinan berkualiti dan futuristik bagi mencapai aspirasi murid secara global.

Berita Oleh : Puan Kamariah, Sektor Perancangan

Puan Kamariah menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Shamsuri semasa majlis penutupan kursus.



Program Interaksi Akademik SMK Taman Perumahan Bedaun Dapat Sambutan Ibubapa

Labuan 16 Nov Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Program Interaksi Akademik antara ibu bapa murid tingkatan empat bersama guru-guru sekolah.

Objektif utama program ini adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa tentang pencapaian anak-anak mereka dalam Peperiksaan Akhir Tahun baru-baru ini.

Rata-rata daripada ibu bapa yang hadir amat berpuas hati dengan program yang diadakan oleh pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan murid-murid dalam pencapaian akademik memandangkan murid-murid ini merupakan calon SPM pada tahun 2020.

Dalam ucapan Encik Ag. Rozlan Hj. Manan (PK Pentadbiran), beliau menyeru agar ibu bapa terus memberikan komitmen yang tinggi kepada pihak sekolah untuk sama-sama berusaha meningkatkan pencapaian anak-anak.

Beliau berharap agar murid-murid tingkatan empat yang akan menduduki SPM 2020 akan memperoleh sekurang-kurangnya ‘C’ dalam semua mata pelajaran, di samping mendapat peningkatan ‘A’ dalam setiap mata pelajaran.

“Mudah-mudahan keputusan Peperiksaan Akhir Tahun akan dijadikan sebagai motivasi dan juga batu loncatan kepada murid-murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam SPM 2020”. Encik Ag. Rozlan

Pihak sekolah amat yakin bahawa kerjasama yang padu daripada ibu bapa pasti dapat melahirkan murid-murid yang mampu berdaya saing sama ada dari aspek pencapaian akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Semoga SMKTPB terus melangkah ke hadapan demi kemenjadian muridnya. Turut hadir Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Puan. Chai Yee San dan mantan pengetua Puan Hajah Jijah binti Mohamad Suhai.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Kaunter Hal Ehwal Murid turut dibuka untuk membincangkan isu sahsiah murid



Majlis Konvekesyen Anugerah Kecemerlangan SMK Lajau 2019 : Hargai dan Gilap Potensi Murid

SMK LAJAU, berazam untuk terus menghasilkan peningkatan prestasi dalam bidang akademik dengan menjunjung slogan 1 SEMELA: PENGGERAK PEMBELAJARAN BERMAKNA yang menghargai dan menggilap potensi murid yang mempunyai latar belakang dan kebolehan yang berbeza-beza. Demikian ucapan Pengetua SMK Lajau dalam Majlis Konvokesyen Anugerah Kecemerlangan Sekolah 2019 (Mkaks 2019) yang telah diadakan pada 02 November 2019 (Sabtu) di Dewan Serbaguna Jabatan Kastam WP. Labuan.

Majlis Konvokasyen Anugerah Kecemerlangan Sekolah ini merupakan program tahunan SMK Lajau. Majlis ini bertujuan untuk menyampaikan sijil penghargaan dan kecemerlangan kepada semua murid aliran perdana dan pendidikan khas yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik pada tahun 2019 sekali gus memberi sijil tamat sekolah kepada graduan yang akan menduduki SPM pada tahun 2019.

Majlis ini juga memberikan penghargaan dan pengiktirafan terhadap komitmen para guru dan panitia yang berjaya meningkatkan keputusan dalam peperiksaan awam.

YB Datuk Rozman di iringi para pentadbir SMK Lajau, berarak masuk Dewan untuk upacara Konvokesyen.

Majlis dimulai dengan ucapan aluan Pengetua SMK Lajau, Encik Mohd
Jamatin bin Abd Latip, dalam ucapan beliau, menekankan perlunya kerjasama erat
dalam kalangan warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling untuk membantu
pihak sekolah perlu dikekalkan. Di pihak sekolah telah berusaha sedaya upaya
untuk meningkatkan prestasi akademik dan kemenjadian anak-anak dalam semua
bidang sama ada akademik, sahsiah, koakademik dan kokurikulum. Beliau mengajak
semua ibu bapa bersama-sama sekolah dalam apa juga perkara ke arah kemenjadian
anak-anak sekolah ini. Antara obejktif majlis ini ialah memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada
murid-murid Tingkatan 5 tahun 2019,

Memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada
murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum serta
memberikan penghargaan kepada guru-guru yang memberikan komitmen yang tinggi
terhadap tugas dan menyumbangkan sepenuh tenaga kepada sekolah.

Majlis meraikan pelajar dan guru ini telah dirasmikan oleh YB Datuk
Rozman bin Isli Ahli Parlimen P166, Labuan.

Dalam ucapannya beliau berkata, bahawa tiada kejayaan semanis madu tanpa
usaha sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para
pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar sebagai penerima ilmu
semata-mata demi menyediakan mereka untuk menempuh arus kehidupan pada abad
ke-21 yang amat mencabar ini.

Menurut beliau lagi, penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku tanpa memerlukan sebarang rencana. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui kaedah tertentu perlu dilakukan oleh semua lapiran masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak. Seharusnya ibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran anak-anak secara berterusan bukan sahaja di sekolah bahkan di rumah.

Beliau berkata, sebagai anak-anak yang cemerlang, kita hendaklah
bersyukur kepada Allah SWT ke atas apa jua pencapaian kita. Anda tidak akan
berada di pentas tanpa bantuan daripadaNya. Sentiasalah berdoa dan berusaha
untuk terus cemerlang duniawi dan ukhrawi. Berterima kasihlah kepada ibu bapa
kerana memberi anda pendidikan yang sempurna dengan bersulam kasih sayang, wang
ringgit, perlindungan rohani dan jasmani. Keringat dan usaha mereka perlu
dibayar dengan sebuah kejayaan. Kejayaan juga tidak bermakna jika anak-anak
hanya berjaya dari segi akademik tetapi gagal dalam urusan membina sahsiah dan
budi pekerti yang mulia. Hal ini sudah pasti menjadi satu kerugian kepada
negara kerana para pelajar merupakan aset dan menjadi bakal pemimpin pada masa
hadapan yang menjadi pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Sementara itu, majlis ini juga turut dihadiri oleh wakil Pengarah Pendidikan Labuan, pegawai angkat sekolah dan AJK PIBG SMK Lajau.

Berita Oleh : SMK Lajau

YB Datuk Rozman dan Encik Mohd Jamatin bersama Pentadbir Sekolah
Encik Sabdin Japaruddin, wakil rasmi Pengarah Pendidikan Labuan ( Tengah ), Encik Mohd Jamatin(Kiri), Puan Nor Ain,  Encik Jasmi (kanan), Encik Subari, Puan Noraini bersama pelajar yang menerima anugerah  



SKSB Mengungguli Kejuaraan Pertandingan Keyboard Music Time 2019

Labuan 13 Nov –  Pertandingan Keyboard Music Time  Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur tahun 2019 yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Labuan berakhir pagi tadi dalam suasana yang sungguh meriah.

Pertandingan
Keyboard Music Time  Zon Malaysia Timur (Sabah, Sarawak dan
W.P.Labuan) dianjurkan oleh Yamaha Music
Malaysia
Sdn. Bhd. dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan
Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun ini , Jabatan Pendidikan
W.P.Labuan telah diberi kepercayaan untuk mengelolakan pertandingan tersebut
bagi Zon Malaysia Timur dengan kerjasama Financial Park (Labuan) Sdn.Bhd.

Pertandingan
keyboard yang berlangsung pagi tadi dibahagikan kepada dua kategori iaitu tahap
1(murid tahun 1 hingga 3) dan tahap 2 (murid tahun 4 hingga 6).  Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) yang
mewakili W.P.Labuan telah dinobatkan sebagai Johan kategori tahap 2. Pasukan ini
membawakan dua buah lagu iaitu Nenek Si
Bongkok Tiga dan Troika
.  

Naib johan disandang oleh negeri Sarawak manakala tempat ketiga disandang oleh negeri Sabah.

Pasukan keyboard SK Sungai Bedaun ceria bersama piala dan sijil kejuaraan kategori tahap 2

Manakala
kategori tahap 1, Johan disandang oleh Sekolah Kebangsaan Pekan Dua (SKPD) yang
mewakili W.P.Labuan. Naib johan disandang oleh negeri Sabah manakala tempat
ketiga disandang oleh negeri Sarawak.

Guru
Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod melahirkan rasa kesyukuran dan
bangga atas kejayaan SKSB menggondol piala kejuaraan. Beliau mengucapkan
tahniah kepada semua pihak khususnya jurulatih, guru-guru, ibu bapa yang
bersama-sama berganding bahu dalam memastikan pengurusan peserta pada peringkat
latihan, pakaian, prob, keselamatan
hinggalah saat persembahan berjalan lancar.

“Kejayaan pada hari ini adalah tanda kesepakatan dan dedikasi seluruh warga SKSB. Sokongan ibu bapa yang tidak berbelah bahagi terhadap apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah sangat membantu dalam  kejayaan ini. Sesungguhnya kejayaan ini adalah usaha kita bersama dan ia hadiah yang amat berharga bagi menutup tirai persekolahan tahun 2019.” Katanya penuh bangga.

Menurut
jurulatih pasukan Keyboard SKSB, Puan Wong Lee Choo, murid-murid yang menyertai
pertandingan ini rata-ratanya  tiada
keyboard sendiri di rumah. Mereka perlu berlatih menggunakan keyboard di
sekolah setiap hari sehingga jam 2 petang.

“Mujur ibu bapa murid yang saya pilih sangat memahami. Mereka beri kepercayaan penuh kepada saya untuk mengadakan latihan pada bila-bila masa malah turut hadir memberi semangat ketika sesi latihan dan hari pertandingan. Hari ini saya sangat bangga dan begitu teruja melihat ‘anak-anak keyboard’ berada di atas pentas dan cekap bermain keyboard. Harapan untuk mencipta kejuaraan menjadi realiti”. Katanya lagi.

Majlis
Perasmian Penutupan Pertandingan  Keyboard Music Time  Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur tahun
2019 telah disempurnakan oleh Tuan Raisin Bin Saidin, Pengarah Pendidikan,
Jabatan pendidikan W.P.Labuan.

Turut hadir dalam majlis tersebut Encik Asbola @ Hasbollah  Bin Amit, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, pegawai daripada Jabatan Pendidikan Sabah, Sarawak, W.P.Labuan dan Yamaha Music Malaysia.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Guru-guru dan penyokong-penyokong pasukan SKSB merakamkan gambar kenangan sambil meraikan kegembiraan bersama kumpulan Keyboard.



Pertandingan Keyboard Music Time Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur Tahun 2019 : Julung Kali Diadakan Di Labuan

Labuan, 14 Nov – Jabatan Pendidikan W.P Labuan buat julung kalinya telah diberikan kepercayaan untuk mengelolakan Pertandingan Keyboard Music Time Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur Tahun 2019 melibatkan negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Financial Park (Labuan) Sdn. Bhd.

Program yang dianjurkan oleh Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan WP Labuan, kelmarin.

Matlamat program ini bertujuan untuk menanam minat murid dari pelbagai latar belakang dan kaum untuk menguasai kemahiran muzik, di samping sebagai aktiviti menyokong dalam melaksanakan perpaduan di dalam kesenian muzik.

Pertandingan dibahagikan kepada murid sekolah rendah, kategori tahap 1 dan tahap 2, di mana setiap pasukan mestilah berjumlah antara 8 hingga 10 orang bagi setiap kategori.

Majlis telah disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin berkata, kedatangan para peserta, guru, ibu bapa memberi ruang dan peluang kepada murid-murid di sini menyaksikan satu pertandingan muzik yang bukan sahaja berprestij malah pastinya akan menghiburkan sidang hadirin yang hadir menyaksikan pertandingan ini.

Beliau berkata lagi, sistem pendidikan muzik yang komprehensif dalam membangunkan kemahiran dan kecenderungan terhadap muzik melalui aktiviti seperti nyanyian, bermain alat muzik dan mencipta melodi indah yang boleh dibawa ke pentas yang lebih besar seperti bermain dalam orkestra di peringkat antarabangsa.

Encik Raisin Saidin juga menyarankan agar pihak Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd mengembangkan lagi penganjuran ini dengan mengadakan Karnival Keyboard Music Time melibatkan negara-negara ASEAN seperti Indonesia dan Vietnam.

Pasukan keyboard SK Sungai Bedaun ceria bersama piala dan sijil kejuaraan kategori tahap 2

Sementara itu, Pengarah Pengurusan, Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd, Mr Satohiro Kondo berkata matlamat utama Yamaha Music ialah menanam kecintaan terhadap muzik dalam jiwa setiap insan. Di Yamaha Music School, pelbagai variasi pembelaran muzik disediakan untuk semua peringkat umur, bermula seawal dua tahun lagi.

Pertandingan Keyboard Music Time ini telah dimenangi oleh pasukan Wilayah Persekutuan Labuan diwakili SK Pekan Dua dan SK Sungai Bedaun dengan masing masing menjuarai kategori tahap 1 dan 2.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Penolong Pengarah Unit Pembangunan dan Kecemerlangan Seni, BSKK KPM, Puan Nor Hapipah nt Hj Md Shah, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Encik Asbola @ Hasbollah bin Amit dan Eksekutif Pemasaran, Financial Park (Labuan) Sdn Bhd, Encik Mohd Siaful bin Jaafar.

Pasukan Keyboard dari negeri Sabah
Pasukan Keyboard dari negeri Sarawak
Dari kiri : Encik Saiful, Mr Satohiro Kondo, Encik Raisin Saidin, Encik Asbolla, Puan Nor Hapipah bersama para juri

Fotografi oleh : Jeevareani A/L Samikanu dan Guru SK Sungai Bedaun