Seramai 385 Warga SK Sungai Bedaun Diraikan Dalam Sambutan Hari Jadi Sekolah
Sekolah
Kebangsaan Sungai Bedaun telah mengadakan Sambutan Hari Jadi Warga Sekolah pada
7hb.November 2019 bertempat di Dewan
Permata. Program Sambutan Hari jadi Warga Sekolah merupakan salah satu program
di bawah Program Sekolah Penyayang , Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dilaksanakan sebagai usaha warga
sekolah menghargai setiap individu yang menjadi warganya dengan meraikan
sambutan hari lahir mereka.
Seramai 370 orang murid dari pra sekolah hingga Tahun Enam diraikan dalam majlis yang sungguh meriah. Seramai 25 orang guru dan anggota kumpulan pelaksana sekolah yang terdiri daripada pegawai pekeranian, pembantu ict dan pembantu pra, turut diraikan dalam majlis ini. Ibu bapa murid yang menyambut hari jadi juga diraikan bersama dalam acara memotong kek.
Sambutan hari jadi pada kali ini merupakan sambutan kali kedua bagi tahun ini. Sambutan hari jadi kali pertama diadakan pada bulan Jun lepas manakala sambutan pada kali ini ialah bagi meraikan warga sekolah yang lahir dari bulan Julai hingga Disember.
Sambutan bertambah meriah dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat S.K.Sungai Bedaun juga turut diadakan. Pelbagai acara diadakan iaitu persembahan maskot jemputan Marrybrown, persembahan kumpulan keybord S.K.Sungai Bedaun dan persembahan nyanyian dan tarian berkumpulan.
Dalam ucapan perasmiannya, Guru Besar S.K.Sungai Bedaun , Puan Dg.sarifah Bt. A. Mahmod berharap agar program Sambutan Hari Jadi ini akan dapat memupuk nilai kasih sayang dan nilai menghargai di kalangan warga sekolah serta dapat mewujudkan kerjasama di kalangan ibu bapa murid dalam menjayakan program sekolah. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang komited dalam menjayakan program ini.
Sebanyak 250 biji kek hari jadi telah disumbangkan oleh ibu bapa murid S.K.Sungai Bedaun untuk anak-anak mereka yang menyambut hari jadi .
Dalam majlis ini , murid yang menyambut hari jadi juga mendapat hadiah daripada pihak sekolah, manakala guru-guru serta anggota kumpulan pelaksana mendapat hadiah sumbangan daripada Kelab Guru S.K.Sungai Bedaun. Program sambutan hari jadi ini adalah kelolaan Unit Hal Ehwal Murid , S.K.Sungai Bedaun dan dilaksanakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
SMK Labuan Johan Video Promosi Karnival Kelab Program Pelancongan Pelajar Kebangsaan 2019
Labuan, 11 Nov – Video Promosi Pelancongan Malaysia telah membawa tuah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan setelah dinobatkan sebagai Johan pertandingan Video Promosi sempena Karnival Kelab Program Pelancongan Pelajar (K3P) peringkat Kebangsaan yang diadakan di Melaka Raya Grand Ballroom, Hotel Novotel, Melaka pada 7-10 November lalu.
Pasukan SMK Labuan bagi acara Video Promosi yang diwakili lima pelajar Tingkatan Empat iaitu Muhammad Haziq Afdlin Roziman, Kizzer Poh Wee Shen, Nur Hazareyna Eyzanie Abd Rashid, Nurul Zakyrah Jafry dan Siti Zahara Sulaiman membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, medal dan sijil penghargaan.
SMK Labuan turut menyertai acara Explorace Tourism yang diwakili Dean Williams Rabain, Irlyn Nabilah Mohamed Irwansyah, Syura Sudirman, Amaneina Syahirah Abd Rahman dan Radina Hamir yang kesemuanya pelajar Tingkatan Empat.
Nama SMK Labuan terus menjadi sebutan apabila pesertanya Irlyn Nabilah Mohamed Irwansyah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Perempuan
Acara Video Promosi SMK Labuan dibimbing Cikgu Rafidah Md Pee manakala Cikgu Alicia Pinsom membimbing acara Explorasi Tourism.
Sementara itu, naib johan bagi acara Video Promosi disandang SMK Bukit Rangin Kuantan, Pahang dan ketiga, SMK Sultan Sulaiman, Terengganu.
Program K3P anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) itu disertai 160 orang murid daripada 16 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang diwakili oleh SMK Labuan (10 murid dan 2 guru).
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Warisan dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Isham Ishak.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Haji Jamsari Mariman dan Pengarah Jabatan Pelancongan, Warisan dan BudayaMalaysia, WP Labuan (MOTAC Labuan) Md Firdaus Zakaria.
Cikgu Rafidah Md Pee mengucapkan terima kasih atas sokongan padu Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah sehingga membolehkan peserta acara Projek Video Promosi meraih kejayaan yang cemerlang di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Ismail berkata kemenangan manis itu merupakan penutup kegemilangan SMK Labuan pada tahun 2019.
Katanya, ia juga merupakan sumbangan kecil SMK Labuan untuk meletakkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di persada kebangsaan supaya masyarakat luar lebih mengenali Labuan yang secara kebetulan penganjur program itu ialah Kementerian Pelancongan, Warisan dan Budaya Malaysia.
“Tahniah dan terima kasih kepada Cikgu Rafidah dan Cikgu Alicia Pinsom, Pengarah MOTAC Labuan Encik Md Firdaus, pegawai MOTAC Labuan, PIBG dan ibu bapa yang banyak membantu merealisasikan kejayaan murid-murid SMK Labuan di peringkat kebangsaan pada tahun ini,” katanya ditemui selepas menyambut kepulangan pasukan SMK Labuan di Lapangan Terbang Labuan, malam kelmarin.
Tambah Encik Ismail, kejayaan SMK Labuan itu selari dengan slogan ‘SMK Labuan Juara: Setiap Murid Bernilai’ yang membuktikan pelajar sekolah itu juga bukan sahaja mampu memberikan saingan kepada pasukan lain di peringkat kebangsaan malah mampu bergelar juara.
Turut menyambut kepulangan pasukan juara itu ialah Penolong-penolong Kanan Zalina Zunkepely (PK Pentadbiran), Marziawati Mardan (PK HEM), Cheah Teong Aik (PK Kokurikulum) dan Kitli Beka (PK Petang) serta Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid Asmawi Haji Ahmad.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin turut mengucapkan tahniah kepada pasukan SMK Labuan di atas kejayaan yang membanggakan Labuan di peringkat kebangsaan.
Berita Oleh : SMK Labuan
SMK MUTIARA Tempat Ke-3 Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat W.P. Labuan Tahun 1441H.
Labuan, 9 November – Dengan kontinjen seramai 80 orang, berpakaian tradisi melayu warna biru dan bertanjak, SMK Mutiara berjaya memperoleh tempat ke-3 dalam kategori perarakan Sekolah Menengah, IPTA dan IPTS pagi tadi.
Perarakan ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan sempena sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1441H. Perarakan telah dimulai pada jam 7.00 pagi dan berakhir pada jam 9.00 pagi dengan jarak laluan melebihi 3 kilometer mengelilingi bandar Labuan. Sebanyak 78 kontinjen menyertai perarakan tahun ini mewakili 6 kategori termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, surau/masjid, IPTA/IPTS, NGO, pihak swasta, jabatan kerajaan dan pasukan beruniform.
Kontinjen SMK Mutiara telah diketuai oleh Pengetuanya sendiri, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Ketika ditemui, Encik Mohd Nizam melahirkan rasa syukur atas kejayaan ini walaupun hanya memperoleh tempat ketiga. Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan dalam perarakan bukan semata-mata pertandingan tetapi keutamaannya adalah kepada memperingati kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang telah membawa sinar kebenaran ke seluruh alam.
Beliau turut menghargai kerjasama semua dalam perarakan kali ini yang telah diselaraskan oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara, Ustaz Zainal bin Abdul Wahab. Menurut beliau, persediaan untuk menyertai perarakan kali ini telah dimulakan sejak sebulan yang lalu dengan menyiapkan sepanduk perarakan secara kerjasama dalam kalangan guru.
Seramai 40 murid dan 40 guru SMK Mutiara telah menyertai perarakan yang diadakan pada setiap tahun ini. Anak-anak guru juga turut serta memeriahkan perarakan yang disertai dengan laungan selawat memuji kebesaran nabi Muhammad s.a.w serta diselang seli dengan lagu-lagu dakwah.
Kontinjen SMK Mutiara berjaya menamatkan perarakan dengan selamat. Sebaik sahaja semua kontinjen selesai berarak, hujan rahmat telah membasahi bumi Labuan. Namun hujan lebat tidak menghalang semua kontinjen untuk terus berada di Dataran Labuan sehingga majlis selesai kira-kira jam 10 pagi.
Berita Oleh : SMK Mutiara
Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun Menjayakan Perkhemahan Perpaduan Unit Beruinform 2019
Pada 1-3 November 2019 (Jumaat hingga Ahad)
telah berlangsung perkhemahan unit beruniform di Sk Sg Bedaun, WP Labuan.
Perkhemahan ini melibatkan 133 orang murid dari Tahun 4, 5 dan 6 terdiri dari pelbagai Unit Beruniform, iaitu
Pengakap, PBSM, PPIM, dan TKRS.
Pendaftaran Perkhemahan Unit Beruniform bermula pada jam 2 petang (Jumaat) di Sk Sg Bedaun, WP Labuan. Setelah selesai pendaftaran murid diberikan taklimat keselamatan dan pembahagian kumpulan. Sesi ‘ice breaking”pada sebelah malam telah dikendalikan oleh Puan Norsidah Matyassin Guru Bimbingan dan Kaunseling (SKSB) dan dibantu oleh fasilitator setiap kumpulan yang terdiri daripada 10 orang guru Sk Sg Bedaun.
Sepanjang perkhemahan ini, guru-guru telah menyediakan makanan 6 kali sehari untuk memastikan murid sentiasa bertenaga untuk mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan. Kumpulan memasak SK Sungai Bedaun diketuai oleh Puan Saudah dan dibantu oleh guru-guru dan AKP perempuan dalam menyediakan makanan.
Pada hari kedua, murid-murid telah dibahagikan kepada 10 kumpulan, bagi aktiviti membina Gajet Stem, Ikhtiar hidup “masaklah kamu”,latihan malam kebudayaan dan pertandingan perbarisan kawad kaki. Semua murid terlibat dengan setiap aktiviti yang telah disediakan mengikut jadual penggiliran. Guru-guru yang telah dilantik untuk menjadi fasilitator membantu dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut kumpulan. Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan lagi dengan latihan malam kebudayaan dan latihan kawad kaki.
Pada sebelah malam, berlangsung pertandingan malam kebudayaan yang melibatkan 10 kumpulan.Tema bagi malam kebudayaan adalah mempersembahkan tarian dari pelbagai jenis kaum yang terdapat di Malaysia.
Malam Kebudayaan ini bertambah meriah apabila warga SK Sungai Bedaun juga turut menerima kunjungan daripada peserta-peserta LICER iaitu Prof. Yuko Uchiyama (Pengarah Toyo Universiti, Jepun), Dr Fumiko Nakamura, Ms Iyama Tomomi, Mr Takahashi Tony Tatsuya dari (Jepun), Dr Zulkifli Bin Haji Zakaria (Brunei), Ms Makhfadzah Abu Bakar, Ms Hanita Abdul Aziz (Singapura) dan pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia yang diiringi oleh Pengarah Jabatan Labuan Encik Raisin bin Saidin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan JPWP Labuan Cik Khaziyati Osman dan pegawai-pegawai JPNWPL yang lain.
Tetamu dan peserta-peserta perkhemahan dihiburkan dengan alunan muzik dari peserta kulintangan SK Sungai Bedaun, Persembahan Team Keyboard SK Sungai Bedaun dan pelbagai persembahan kebudayaan daripada 10 kumpulan peserta-peserta perkhemahan.Tuan Pengarah,Encik Raisin bin Saidin juga telah menyampaikan hadiah kepada 10 kumpulan yang telah membuat persembahan.
Pada hari Ahad, aktiviti dimulakan dengan Khidmat Masyarakat iaitu membersihkan sekitar kawasan Sk Sg Bedaun. Kemudian pertandingan kawad kaki telah dijalankan. Pertandingan ini telah diadili oleh Encik Mohd Azwan Bin Saad, Puan Mylsa Musah dan Puan Zubaidah Yusuf. Antara unit uniform yang menyertai pertandingan ini adalah PBSM,TKRS,PPIM dan Pengakap Malaysia. Kemudian raptai untuk majlis penutupan.
Perasmian Majlis Penutupan Perkhemahan telah disempurnakan oleh Puan Dg.Sarifah Binti A.Mahmod (Guru Besar,Sk Sg Bedaun).Dalam majlis penutupan, murid-murid telah mendapat hadiah dalam pertandingan-pertandingan yang dipertandingkan sepanjang perkhemahan unit beruniform Sk Sg Bedaun.
Hadiah telah disampaikan oleh Guru Besar kepada ketua kumpulan.Bagi penyampaian anugerah peserta perkhemahan terbaik 2019 telah dinobatkan kepada adik Awang Muhammad Aqil Fakhri Bin AG Jasri kategori peserta lelaki dan adik Nurfatinah Uzma Binti Maslin bagi kategori peserta perempuan.Selain itu penyampaian sumbangan kepada murid-murid yang berkelayakan juga telah diberikan.
Dalam ucapan perasmian penutupan, Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod (Guru Besar, SK Sungai Bedaun), mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Semua guru, dan AKP yang telah menjayakan Perkhemahan Unit Beruniform SK Sungai Bedaun 2019 pada kali ini.
Diharapkan, Objektif Perkhemahan untuk membentuk ketahanan fizikal dan mental ahli Unit Beruniform serta membentuk sikap berdaya saing dalam menempuh pelbagai cabaran dapat dicapai melalui aktiviti yang telah murid-murid lalui sepanjang perkhemahan ini.
Berita Oleh : SK Sungai Bedaun
Pasukan Inovasi Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Meriahkan Pameran Inovasi SK Sangkabok
Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah menerima
pelawaan dari SK Sangkubok, Kuala Penyu Sabah untuk menyertai pameran inovasi
sempena Program Perkongsian Komuniti Profesional (PLC) Melalui Penciptaan Alat Dan Bahan Inovatif anjuran sekolah tersebut.
Rombongan seramai enam guru dan tiga murid dari
Labuan telah diketuai oleh Puan Kamariah binti Haji Salim, Penolong Pengarah
Sektor Perancangan.
Menurut Puan Kamariah, penyertaan ini adalah
untuk memeriahkan aktiviti inovasi yang julung-julung kali dilaksanakan oleh
sekolah berkenaan. Di samping itu, sekolah-sekolah di W. P. Labuan dapat
mengeratkan jalinan dan jaringan dengan sekolah-sekolah di Sabah yang
sememangnya telah sedia terjalin.
“Melalui platform sebegini, guru-guru dan murid dapat bertukar-tukar idea inovasi dan mengeratkan hubungan profesional secara lebih efektif. Ia merupakan landasan bagi pembudayaan inovasi di peringkat sekolah.” Puan Kamariah
SMK Mutiara telah menghantar sepasukan pempamer terdiri dari 3 murid dan seorang guru pengiring. Mereka mempamerkan hasil inovasi bertajuk PERJANJIAN HUDAIBIYAH. Inovasi ini telah dihasilkan oleh Panitia Sejarah SMK Mutiara yang diketuai oleh Puan Nurul Sulreza Aida binti Zulkifli berbentuk nyanyian dengan lirik lagu berkaitan kisah perjanjian Hudaibiyah.
Inovasi ini turut tampil dengan Kata Kunci bagi memudahkan murid-murid mengingati fakta-fakta sejarah perjanjian tersebut.
Menurut Adik Amsyar yang merupakan penyanyi
dalam inovasi ini, beliau menyifatkan kaedah menyanyi dengan menggunakan irama
lagu kesukaan remaja dapat menarik minat murid kepada isi kandungan mata
pelajaran Sejarah. Selain Sejarah, inovasi ini juga sesuai untuk mata pelajaran
Pendidikan Islam.
Turut serta membuat pameran ialah dua wakil SK Pantai iaitu Ustaz Shahnon bin Othman dengan inovasi bertajuk Kit Doa Qunut dan Cikgu Norhidayah binti Omar dengan inovasi bertajuk My Magical Tree Teaching Strategy : Adjective Spinner & Fish Your Catch.
Selain itu, dua guru dari SKK Sk St. Anne tidak
ketinggalan mempertaruhkan inovasi bertajuk Reugo 2.0 dan Little Star. Inovasi
ini telah dihasilkan masing-masing oleh cikgu Noorshiela Aida binti Abdullah
dan cikgu Hamidah binti Abdullah.
Pameran inovasi ini telah dirasmikan oleh Tuan
Haji Muhid Bin Hj Misrin, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima
kasih kepada Jabatan Pendidikan W. P. Labuan kerana telah bersungguh-sungguh
memenuhi jemputan SK Sangkubok. Hal ini menunjukkan kerjasama antara agensi
dapat dijalinkan melalui pelbagai cara termasuk perkongsian inovasi. Beliau
berharap agar kerjasama sebegini dapat ditingkatkan pada masa-masa akan datang.
“Warga pendidik perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menghasilkan banyak inovasi berimpak tinggi dan bermanfaat kepada murid, sekolah serta dunia pendidikan”. Tuan Haji Muhid
Sementara itu, Guru Besar SK Sangkabok, Cikgu Fadliezan Bin Tingan mengucapkan terima kasih kepada PPD Kuala Penyu, semua pempamer bahan inovasi khususnya daripada JPN Labuan dan ibu bapa atas kesudian hadir dalam program ini.
“Di sebalik kemenjadian murid, warga pendidik memainkan peranan penting dalam menarik minat murid dalam bidang inovasi. Kualiti murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan secara holistik. Tahniah kepada SMK Mutiara dan SMK Pekan Menumbuk yang berjaya menampilkan murid sebagai innovator.” Beliau turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada pempamer-pempamer inovasi yang telah menyertai program kali ini. Cikgu Fadliezan, Guru Besar SK Sangkabok
Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara
Program Pengantarabangsaan NPO SAM Jepun dan TOYO University ke SMK Mutiara
Labuan, 6 November – Seramai dua pegawai
daripada Non- Profit Organization (NPO) Save the Asian Monument (SAM) Jepun dan
seorang pensyarah dari TOYO University telah mengadakan lawatan kerja ke
Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM) pada Isnin lalu.
Mereka terdiri daripada Takahashi
Tony Tatsuya dan Fumiko Nakamura dari NPO SAM dan Profesor Yuko Uchiyama dari
Toyo University di Tokyo, Jepun. Lawatan telah diketuai oleh Timbalan Pengarah
Pendidikan, Sektor Perancangan, Puan Khaziyati binti Osman.
Ketibaan rombongan tersebut
disambut oleh Pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam bin Yasim serta penolong-penolong
kanan di SMKM. Pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas
kesudian mereka membuat lawatan ke sekolah ini.
Menurut Ketua Rombongan , Puan Khaziyati binti Osman, lawatan ini merupakan usaha pengantarabangsaan Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan memantapkan program silang budaya antara Jepun dan Malaysia.
Selain itu, aktiviti sebegini mampu meningkatkan kesefahaman, rasa saling hormat-menghormati dan meningkatkan jaringan kerjasama di antara satu sama lain. Melalui lawatan ini juga diharap agar SMKM dapat mengadakan jalinan dan jaringan yang lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa. Jabatan Pendidikan W.P.Labuan bertindak sebagai penghubung bagi aktiviti-aktiviti seumpama ini di masa akan datang.
Seterusnya, rombongan tersebut dibawa meninjau kawasan sekolah dan melihat kemudahan-kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang ada di sekolah ini. Kemudahan ini termasuklah blok pentadbiran, blok akademik, bilik pembelajaran pendidikan khas, surau, padang dan dewan arena. Pengetua sekolah telah memberi taklimat secara hands on kepada rombongan semasa sesi lawatan tersebut.
Antara perkara yang menjadi tarikan mereka ialah pokok buah naga yang di tanam di kawasan sekitar sekolah yang melebihi 100 pokok.
Lawatan yang dilakukan secara
santai ini telah memberi peluang kedua-dua pihak mempelajari budaya
masing-masing dan bertukar-tukar pengalaman. Selain menjamu selera makanan
Malaysia, rombongan ini juga sempat mendengar laungan azan dan melihat
murid-murid SMK Mutiara menunaikan solat zuhur secara berjemaah.
Di akhir lawatan, pihak NPO-SAM menawarkan lawatan balas kepada pihak sekolah untuk meninjau keadaan persekolahan di negara Jepun pada April tahun hadapan.
Satu lagi jaringan kerjasama yang bakal berlaku pada tahun 2020 ialah penempatan dua penuntut Pendidikan Jasmani dari University TOYO di SMK Mutiara. Perkara ini akan dimuktamadkan kemudian. Sebelum lawatan berakhir, pihak sekolah dan NPO SAM telah merakam gambar bersama, menandatangani buku lawatan dan sempat bertukar-tukar cenderamata sebagai tanda kenangan.
Berita Oleh : SMK Mutiara
SESB ‘Menyalakan’ Kesedaran Perubahan Iklim dan Kecekapan Penggunaan Tenaga di SMK Mutiara
Labuan, 6 Nov – SMK Mutiara telah terpilih sebagai lokasi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada Selasa lalu.
Program yang dikelolakan sepenuhnya oleh seramai 16 kakitangan SESB Wilayah Sabah dan Labuan ini telah diadakan di surau Al-Marjan, SMK Mutiara. Seramai 120 murid Tingkatan 2,3 dan 4 terlibat dalam pelbagai aktiviti sepanjang program tersebut.
Antara program yang telah dilaksanakan ialah taklimat keselamatan elektrik , taklimat kecekapan tenaga, aktiviti extreme games & truth or lies dan sharing session dengan para peserta.
Menurut salah seorang penyelaras program, Puan Onnia Ahngol, para peserta telah didedahkan dengan cara pengiraan penggunaan tenaga elektrik, kaedah-kaedah terbaik dalam penggunaan elektrik secara berhemah dan aktiviti-aktiviti manusia yang mampu memberi impak kepada kelestarian alam sekitar.
Semua aktiviti dijalankan secara hands-on melibatkan aktiviti kumpulan yang dibimbing oleh fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada kakitangan SESB sendiri.
Ketika ditemui, Adik Nur Faiqah ketua kumpulan Captain America berkata aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini bukan sahaja bermanfaat tetapi juga menyeronokkan. Tambahnya lagi, aktiviti sebegini perlu diadakan lagi pada masa akan datang kerana mampu mendidik remaja tentang peri pentingnya menggunakan tenaga elektrik secara bijak.
Kumpulan Captain America telah berjaya menjadi johan keseluruhan dalam pertandingan yang telah dijalankan.
Ketua fasilitator SESB, Encik Cherry Gulimit (Wakil rasmi pengurus SESB Kota Kinabalu) berkata, selain memenuhi matlamat CSR, program yang bertemakan CLIMATE CHANGE and ENERGY EFISIENSI ini menumpukan kepada generasi muda dan pelajar agar dunia yang diwarisi pada masa akan datang lebih mesra penggunaan tenaga, lebih bersih dan lestari.
Program ini telah dirasmikan penutupannya oleh Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih atas kesungguhan SESB mengadakan program bersama pihak sekolah. Beliau turut memuji SESB kerana telah menyediakan fasilitator yang mencukupi, menyediakan makan minum, hadiah dan cenderahati untuk semua murid yang menyertai program ini.
Beliau turut berharap agar semua peserta program dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi untuk manfaat ke arah kelestarian alam.
Turut hadir dalam acara penutupan ialah Encik Mohd Zain bin Salleh, (Pengurus Zon SESB Labuan). Beliau turut menyampaikan sijil-sijil, cenderahati dan hadiah-hadiah kepada kumpulan-kumpulan yang berjaya dan kepada pihak sekolah.
Berita Oeh : SMK Mutiara
Lawatan Pelajar UMS Ke PPKI SK Pekan Satu
Labuan 6 November- Pelajar Fakulti Komputer dan Informatik Universiti
Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan lawatan kerja Lapangan ke Kelas
Pendidikan Khas Pembelajaran (KPKP) SK Pekan Satu untuk menjalankan aktiviti
kaji selidik kepada murid dan guru-guru pendidikan khas. Seramai 15 orang
pelajar dan seorang Pensyarah Dr Aslina binti Baharum terlibat dengan lawatan
ini.
Tujuan lawatan adalah salah satu
keperluan subjek Research Methodology dalam pengajian Sarjana Sains
Komputer Pembangunan Perisian (Software Development) dan kepintaran
komputer (Computing Intelligence). Kajian melibatkan 40 murid PPKI
pelbagai kategori dan 15 orang guru sebagai responden kaji selidik dengan
menggunakan mobile apps khas iaitu Autismo, jade Autisme, Otsimo atau MITA
untuk murid dan set soal selidik untuk guru berkenaan kefahaman guru-guru
tentang autisme.
Encik Esmit Bin Amat (PK
Kokurikulum SKPS) mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UMS kerana
memilih SKPS sebagai destinasi untuk mengadakan lawatan ini. Beliau juga berharap agar pengalaman yang perolehi
akan digunakan oleh siswa dan siswazah dalam menyiapkan kertas cadangan
masing-masing untuk subjek Research Methodology.
Akhir sekali, Puan Hafizah bt Hj Awang Kanak selaku penyelaras program melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua kerana lawatan ini dapat dilangsungkan dengan jayanya. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak, maka program seumpama ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sepertimana yang diharapkan. Beliau juga berharap agar guru-guru dan murid-murid PPKI khususnya menjadikan majlis ini sebagai pemangkin semangat untuk terus berjaya pada masa hadapan.
LICER 2019 : Pendidikan Untuk Kehidupan
Labuan, 4 Nov – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi telah berjaya menganjurkan Labuan International Conference on Educational Research (LICER) pada 1 hingga 2 November 2019 bertempat di Hotel Tiara Labuan.
Majlis Penutupan LICER 2019 yang diperkenalkan sejak tahun 2011 lagi telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli.
Datuk Rozman berkata dengan tema “Pendidikan untuk Kehidupan” yang telah dipilih untuk LICER tahun ini, mencerminkan kepentingan belajar dalam dunia dinamik hari ini dan sebagai persediaan untuk generasi masa hadapan.
Acara antarabangsa seperti LICER akan pasti menjadi pengalaman yang memperkayakan ilmu dan memberi penghargaan kepada semua pembentang dan peserta.
Seramai 6 orang Penceramah (Plenary Speakers) dari negara Australia, Oman, Jepun, Singapura, Brunei dan Malaysia telah dijemput dalam LICER pada kali ini.
Pro Vice-Chancelor dari Universiti Taylor’s, Malaysia, Prof, Dr Micheal James Keppel, yang berasal dari Australia telah membentangkan tentang Future Skills : The Future of Learning and Higher Education.
Lt. Col Abdullah Said Nasser, Al-Araimi dari Royal Army Muscat City, Oman membentangkan tajuk Education For Nation Growth, History of Oman.
Associate Prof. Dr Yuko Uchiyama dan Fumiko Nakamura dari Universiti Toyo, Jepun membentangkan Healthy Students Need Healthy School.
Puan Makhfadzah Abu Bakar dan Puan Hanita Abdul Aziz dari Kementerian Pendidikan Singapura membentangkan 21st Century Pedagogy in the Teaching and Learning of Malay Language : Singapore Experience.
Dr. Hj Zulkifli Haji Zakaria, Dekan Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan membentangkan tajuk Melestarikan Pendidikan Perguruan dalam Memantapkan Profesionalisme Guru Agama.
Sementara 60 orang pembentang terdiri dari Malaysia dan Negara Brunei Darul Salam telah membentangkan kajian tindakan masing-masing serta 13 orang peserta telah membentangkan kertas kerja melalui pembentangan dalam bengkel inovasi.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin berharap agar persidangan ini akan menyediakan platform yang kondusif dan penting untuk interaksi yang bermakna bagi semua yang hadir.
“Saya yakin bahawa suasana intelektual dan Pertukaran idea dan pandangan dalam suasana profesional akan memberi manfaat kepada pengamal, penyelidik dan peserta”. Encik Raisin Saidin.
Sementara itu, Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan merangkap Pengurus Program, Puan Khaziyati Osman mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan ahli jawatankuasa serta semua pihak yang terlibat di atas sokongan yang berterusan terhadap LICER 2019.
SK Sungai Bedaun Muncul Johan Pertandingan Pertandingan Keyboard Music Time Sekolah-Sekolah Rendah WP Labuan
Labuan – Pertandingan Keyboard Music Time Sekolah-sekolah Rendah Peringkat WP Labuan telah berlangsung di Anggerik Square, Kompleks Ujana Kewangan pada 31 Oktober 2019, lalu.
Pasukan keyboard SK Sungai Bedaun telah dipimpin dan dibimbing oleh Jurulatih utama pasukan ini iaitu Puan Wong Lee Choo dan dibantu oleh Puan Noorfarehin binti Md Yusof sebagai Pengurus Pasukan Keyboard. Selain itu, Para Pentadbir, guru-guru, dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan padu merupakan faktor kejayaan pasukan ini.
Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Tahap 1 dan Tahap 2. SK Sungai Bedaun telah menyertai satu kategori sahaja iaitu Tahap 2.Pasukan keyboard SK Sungai Bedauan telah memainkan dua buah lagu iaitu Nenek Si Bongkok Tiga dan Troika semasa pertandingan tersebut.
Pertandingan ini melibatkan 10 orang murid SK Sungai Bedaun yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6. Sebanyak 10 sekolah rendah telah menyertai pertandingan ini. Semua pasukan telah membuat persembahan yang menarik.. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua guru dan murid yang telah bersungguh-sungguh berlatih untuk membuat persembahan dalam Pertandingan Keyboard Music Time peringkat negeri pada tahun ini.
Keputusan Pertandingan Keyboard Music Time Sekolah-sekolah Rendah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019 bagi Tahap 2 adalah seperti berikut, SK Sungai Bedaun Johan, SK Bukit Kerupang Naib Johan, dan Tempat Ketiga adalah milik Sk Pekan Satu.
Manakala keputusan bagi Tahap 1 pula ialah SK Pekan Dua Johan, SK Lubok Temiang Naib Johan dan Tempat Ketiga dimiliki oleh SK Pekan Satu.
Pasukan keyboard SK Sungai Bedaun akan mewakili WP Labuan dalam Pertandingan Keyboard Music Time Sekolah-sekolah Rendah peringkat Malaysia Timur yang akan diadakan pada 13 November 2019 di Wilayah Pesesekutuan Labuan.
Majlis penyampaian hadiah Pertandingan Keyboard Music Time Sekolah Rendah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah disempurnakan oleh Encik Asbola bin Amit (Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid JPWPL) Turut hadir Encik Asmawi bin Haji Ahmad (Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, JPWPL), Guru Besar-Guru Besar Sekolah-sekolah di WP Labuan.