Warga Pendidik Di Labuan Hadiri Kempen Kesedaran Kanser Oleh MAKNA

Labuan, 09 Dis – Seramai 90 guru besar, guru-guru dan pegawai kumpulan pelaksana  menghadiri kempen Kesedaran Kanser yang dianjurkan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  yang telah diadakan pada 03 Disember 2019.

Kempen Kesedaran Kanser ini bertujuan untuk memberi
penerangan secara terperinci mengenai kanser, perkhidmatan MAKNA, serta
cara-cara membantu pesakit kanser untuk mendapatkan rawatan. Kempen ini telah
diurusetiakan oleh Sektor Perancangan, JPWPL.

Menurut Cik Melen Anak Sana, Pegawai Pembangunan Dana
MAKNA,  kanser boleh dicegah dan dirawat
sekiranya dikesan pada peringkat awal. Namun, kesedaran kanser di kalangan
masyarakat Malaysia masih rendah di mana kebanyakan pesakit yang datang ke
hospital bagi mendapatkan rawatan kebiasaannya berada di peringkat akhir. Tambahan
pula, kos rawatan yag tinggi sering menjadi kekangan bagi pesakit yang kurang
berkemampuan.

Majlis Kanser Nasional atau lebih dikenali sebagai MAKNA
merupakan sebuah pertubuhan sosial ditugaskan untuk mengumpulkan dan
menggunakan setiap usaha, kepakaran dan kebajikan dari setiap lapisan
masyarakat untuk melawan kanser dan mengurangkan kesakitan, penderitaan dan
morbiditi yang pesakit kanser sering alami. ‘MAKNA’ dan slogannya bermaksud
“Mengingati Makna Kehidupan” (A Meaning to Life).

Sementara itu, Puan Kamariah Binti  Salim, Penolong Pengarah Sektor
Perancangan  berkata, kempen ini di
adakan untuk memberi kesedaran kepada seluruh warga pendidika di JPWPL akan bahayanya
penyakit kanser dan pentingnya pengesanan awal bagi mengelakkan keadaan menjadi
lebih parah. 

“Kesedaran semua pihak adalah penting bagi mencegah dan mengesan kanser lebih awal. Kanser boleh dicegah dan dielak melalui amalan gaya hidup sihat. Kita berharap agar info yang disampaikan oleh pihak MAKNA dapat dikongsi kepada ahli keluarga dan rakan-rakan” katanya ketika ditemui.

Puan Sarifah Binti Suip, guru dari Sekolah Kebangsaan Pantai
berkata, taklimat yang disampaikan amat menarik serta banyak info yang
diperolehi berkaitan tanda-tanda awal kanser serta makanan yang perlu dielakkan
untuk pengidap kanser. Selain itu peserta berpeluang menyalurkan sumbangan
kepada pihak MAKNA untuk membantu pesakit-pesakit kanser yang menerima rawatan.

Turut hadir dalam kempen ini Encik Azryn Bin  Hj Mamma, penolong pengarah Sektor Sumber manusia, JPWPL.

Berita Oleh : Puan Kamariah Salim

En Azryn menyampaikan sijil penghargaan kepada Cik Melen Anak Sana



Aktiviti Kembara Ilmu Tahun 6, SK Pekan Dua Labuan

LABUAN
– Seramai 11 orang murid dari SK. Pekan II, W.P Labuan telah berpeluang
mengikuti Aktiviti Kembara Ilmu Tahun 6 selama 4 hari, 3 malam di Sabah
pada  8 November 2019 hingga 11 November
2019 baru-baru ini. Rombongan murid-murid ini menaiki feri kenderaan dari W.P
Labuan ke Menumbok, Sabah.

Rombongan murid dan guru terus bergerak menaiki van Jabatan Pendidikan WP. Labuan  ke Kota Belud, Sabah. Mereka tiba di Nahandang , Melangkap Camp Site untuk menjalankan aktiviti seperti sukanneka, diikuti aktviti mengenal diri rakan melalui tulisan di atas kertas. Murid-murid juga berpeluang untuk mandi-manda di sana.

Seterusnya, rombongan dibawa untuk mencanting batik di Rothman Batik Sdn. Bhd, menjelajahi Borneo Ant House dan bersiar-siar di Centre Point, Kota Kinabalu Sabah.

Bukan itu sahaja, murid juga telah bersiar-siar sekitar Cowboy City, Tuaran, Crocodile Farm Tuaran serta Imago Mall.

Pengetahuan mengenai bidang-bidang kerja dan kemahiran juga didedahkan kepada murid-murid melalui lawatan di  Sabah Skill & Technology Centre,Sabah.

Berita Oleh : SK Pekan Dua

Comboy City, Tuaran



Edugolf Jabatan Pendidikan WP Labuan Mengambil Inisiatif Mempopularkan Sukan Golf Di Peringkat Akar Umbi

Labuan, 3 Disember 2019 : Edugolf Jabatan Pendidikan WP Labuan telah menganjurkan pertandingan golf bertempat di Labuan Golf Club.

Pertandingan musim cuti sekolah ini telah disertai oleh seramai 15 orang pemain golf, terdiri daripada murid-murid meliputi semua kategori.

Kategori yang dipertandingkan ialah bawah 12 tahun lelaki dan perempuan, bawah 15 tahun lelaki dan perempuan serta kategori bawah 18 tahun lelaki dan perempuan.

Penganjuran kali ini merupakan penutup tirai tahun 2019 dan terhad kepada mereka yang bersekolah di Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.

Kejohanan sebelum ini telah dbuka kepada penyertaan pemain golf dari negeri jiran iaitu Sabah. Klik sini : Edugolf Labuan Masters 2019 : Semarak Bulan Sukan Negara

Murid SK Membedai, Nurfatin Syamimi memenangi kategori 12 Tahun Perempuan dan naib johan disandang oleh Nurfarah Batrisha Ismail juga dari SK Membedai.

Bagi Kategori Lelaki 12 Tahun diungguli oleh Muhamad Afif Bin Aznan dari SK Bebuloh, manakala tempat kedua Raja Muhamad Aqil Rizal dari SK Membedai dan tempat ketiga Amirul Hishamudin Roslan dari SK St Anne.

Encik Raisin Saidin dan Encik Hasbollah Amit bersama pemenang pertandingan

Sementara itu bagi kategori 15 Tahun Perempuan, Tempat Pertama dimenangi oleh Aida Hazirah Abzillah dari SMK Pantai IBWS, manakala Pemain dari SM St Anne Lailatul Huda Munawarrah di tempat kedua dan Nafisah Amani Shahrin dari SM St Anne di tempat ketiga.

Pemain dari SM St Anthony, Muhamad Azim Muhamad Farid mengungguli kategori 15 tahun lelaki, manakala di tempat kedua dimenangi oleh Leoneil Laing Lawai dari Labuan International School dan tempat ketiga Muhamad Harith Ayman Azhari dari SM St Anthony.

Bagi Kategori Lelaki 18 dimenangi oleh Muhamad Syamil Hakimi Azhari dari SM St Anthony dan Perempuan 18 Tahun dimenangi oleh Nurul Haslinda Roslan dari SM St Anne.

Encik Raisin Saidin bersama ibubapa dan para pemain yang memenangi kejohanan Edugolf JPWPL

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Raisin Bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin dalam ucapannya berharap pendedahan di peringkat akar umbi ini suatu hari nanti akan dapat melahirkan pemain golf profesional dalam kalangan anak jati Labuan. Hal ini tidak mustahil kerana pulau ini mempunyai dua padang golf yang terbaik di rantau ini iaitu Labuan Golf Club yg terletak di kawasan bandar Labuan. Satu lagi ialah Labuan International Golf Club yang mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Kedua-dua padang golf ini telah mencatat sejarahnya sendiri apabila menjadi medan persaingan pemain-pemain golf peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan April 2019.

Menurut Encik Raisin Saidin lagi pertandingan yang dilaksanakan ini juga adalah sebahagian daripada langkah untuk menyediakan pasukan golf Labuan untuk bertanding dalam MSSM Golf Peringkat Kebangsaan tahun 2020.

“ Komitmen dan kesungguhan ibubapa merupakan pemangkin kepada para pemain remaja ini untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang ”. Encik Raisin Saidin

Murid-murid yang bertanding dalam kejohanan Edugolf Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kali ini

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Labuan Golf Club kerana memberikan kemudahan dan laluan pertandingan ini.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Polis Labuan, Tuan Muhamad Farid, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid JPWP Labuan , En. Hasbolah Bin Amit, para ibubapa dan penjaga murid yang mengambil bahagian.




Alumni GES 1969 kunjungi semula SMK Labuan

Labuan, 2 Dis – Seramai 33 bekas pelajar Government English School (GES) 1969 hadir untuk melawat SMK Labuan dan melihat kembali bangunan lama dan kelas-kelas yang mereka pernah duduki semasa bersekolah dahulu untuk mengembalikan nostalgia zaman persekolahan mereka, 16 November lalu.

Rombongan GES yang diketuai oleh Tuan Haji Saadun Datuk Haji Fadzil seorang pesara yang kini menetap di Kota Kinabalu berkata, kunjungan ke SMK Labuan adalah sebahagian pengisian acara GES Golden Reunion 50th Celebration.

Katanya, kebanyakan peserta rombongan ini adalah bekas pelajar yang kini adalah pesara yang menetap di dalam dan luar negara.

Antaranya ialah Tan Seck Yeong (pesara di Labuan), Wong Moi Moi (pesara di Labuan), Chong Su Liam (pesara di Birmingham, United Kingdom), John Liew (pesara di Vancouver, Canada) dan Patrick Leong (pesara di Kota Kinabalu).

Selain itu, John Bryant (pesara di Brunei Darussalam), John Han (pesara di Kota Kinabalu), Peter Yong (pesara di St Alban, United Kingdom), Huan Song Ng (pesara di England) dan Robin Medrana (pesara di Perth Australia).

“Tentu sekali banyak kenangan ketika berada di SMK Labuan. Semoga SMK Labuan terus cemerlang dalam bidang akdemik, kokurikulum dan sahsiah,” kata Tuan Haji Saadun yang teruja dapat bertemu semula dengan rakan-rakannya sekali gus dapat kembali semula ke SMK Labuan.

Alumni GES tidak melepaskan peluang mengunjungi bangunan dan kelas lama mereka
Ahli rombongan menandatangi buku pelawat

Rombongan GES disambut oleh Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah, bersama guru-guru iaitu Cikgu Chua Chee Kiat, Cikgu Teo Boon Chian, Cikgu Rubaizah Basir, Cikgu Alex Liew Ten Shung dan Cikgu Wong Kam Kin.

Aktiviti ringkas dimulakan dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati daripada Saadun kepada Ismail seterusnya dibawa ke bangunan lama dan kelas-kelas mereka dahulu.

Sementara itu, Encik Ismail berharap agar jalinan antara generasi senior sekolah ini dengan SMK Labuan akan membawa manfaat dalam pelbagai bentuk sama ada perkongsian pengalaman, bantuan idea, kewangan dan material pada masa hadapan.

Beliau juga mempelawa ahli-ahli rombongan untuk mengunjungi SMK Labuan sekali lagi sempena Sambutan SMK Labuan 100 Tahun pada tahun 2021.

“Saya mempelawa alumni SMK Labuan untuk menghadiri Sambutan SMK Labuan 100 Tahun pada tahun 2021. Saya yakin alumni akan membantu SMK Labuan dalam pelbagai aspek,” Encik Ismail Abdullah

Pada tahun 2017, seramai lima orang bekas murid GES sekitar tahun 1950-an dan 1960-an juga telah melawat SMK Labuan.

Klik sini, berita 2017 : Imbau Nostalgia Government English School (GES) yang kini dikenali sebagai SMK Labuan

Berita Oleh : SMK Labuan

Tuan Haji Saadun memberi cenderamata kepada Encik Ismail
Alumni GES teruja teruja dapat melawat kelas lama mereka