Titipan Seikhlas Budi Seindah Kenangan Buatmu Tuan Pengarah

Selingkar kenangan bersama Tuan
Walau sedetik Cuma
Ianya amat mahal untuk dinilai
Ianya amat luas untuk diukur
Bicaramu tuan bak tinta di jiwa kami
Menguntum senyummu tuan, membunga di hati kami
Kau nyalakan kandil hakiki
Menyuluh arah haluan nan murni
Dengan tekad nan suci
Menggunung harapan cita kami
Kau tak lupa kukuhkan tiang seri pusaka
Buat sokong di kala rebah
Permaidani kasih kau hamparkan
Di sepanjang lantai usang
Kelak membunga mekar setaman

Walau sesekali walang terusik
Oleh dengkur dan dengus
Lara wargamu kausirami dengan benih-benih keimanan
Rangsangan jua dorongan kau salurkan
Teguranmu pasti membina kami
Nasihatmu pasti kami tak lupa
Jasamu pasti kami abadikan
Tinta kami ini adalah titipan kasih buat Tuan
Bukan sekadar metafora dalam kuntuman sajak
Yang berbalut kiasan wacana

Semoga Tautan Kasih kami akan kekal utuh menjadi Selingkar Kenangan pada Tuan
Selaut kasih, selangit kasturi, seharum setanggi, sejambak bunga terima kasih,
Titipan seikhlas budi seindah kenangan Buatmu Tuan Pengarah.

Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

Tuan Raisin Saidin,
2 Nov 2015 – 5 Mei 2020

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas,
Daripada Warga SK Pekan II.

Titipan seikhlas budi seindah kenangan Buatmu Tuan Pengarah



Majlis Khatam Al Quran Peringkat JPWPL mengimarahkan Malam 29 Ramadan 1441 Hijrah

Labuan, 21 Mei – Seramai 60 orang pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), guru-guru pendidikan Islam (GPI) dan guru Bahasa Arab (GBA) menghadiri majlis khatam Al-Quran sempena Program Ihya’Ramadan 2020 secara dalam talian dari rumah masing-masing malam tadi.

Majlis Khatam Al-Quran yang diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL bermula jam 9.30 malam. Majlis ini telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Fadzli Bin Sheikh Abdul Rahim  selaku ketua mursyid Labuan.  Manakala bacaan surah bermula daripada surah Ad Dhuha hingga Al Fatehah dibaca secara bergilir-gilir oleh guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Puan Khaziyati Binti Osman, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Hj Abdul Rahman Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Binti Salim, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pegawai-pegawai JPWPL, para Pengetua, Guru Besar juga Guru-Guru di sekitar wilayah ini.

Dalam ucapannya, Puan
Kamariah mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang sama-sama menyertai
kumpulan khatam Al-Quran serta menjayakan majlis ini secara normal baharu iaitu
secara dalam talian.

Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu
berikutan pandemik Covid-19, secara tidak
langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan
yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.

PKP yang terjadi pasti ada hikmahnya. Ianya memberi peluang kepada ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran muafakat dengan meluangkan masa bersama keluarga seperti bertadarus, solat berjemaah, bersolat terawih dan sebagainya di bulan Ramadan ini. Di samping itu, golongan guru dapat  memanfaatkan teknologi untuk mendidik anak murid dalam tempoh waktu ini melalui Pengajaran dan Pemudahcaraan secara maya, dengan platform yang dominan seperti Google Classroom (GC) dan Microsoft Teams, menurutnya lagi.

Program Ihya’ Ramadan merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan di peringkat jabatan dan juga sekolah bagi mengimarahkan Ramadan Al Mubarak.

Pelbagai aktiviti telah disusun antaranya Infaq Ramadan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Pendidikan, Tadarus secara berkumpulan, Kuliah Tiga Minit (KULTIM) di kalangan warga pendidik dan pegawai JPWPL dan Aktiviti Gempak Ramadan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.

Aktiviti KULTIM yang julung kali
diadakan merupakan cetusan idea Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff, Penolong
Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam, Sektor Pendidikan Islam
dan di siarkan dalam saluran youtube.

Menurut Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, aktiviti Gempak Ramadan yang diadakan secara dalam talian ialah Pertandingan Tahfiz Cilik Sekolah Rendah, Pertandingan Kuliah Qiyadi,  Pertandingan Poster Ramadan dan Pertandingan Kuliah Tiga Minit (KULTIM) di kalangan murid-murid.

“Bakat yang terpendam dalam diri para pelajar dapat dicungkil dan dilatih secara maksima. Para pelajar dapat membiasakan diri dalam suasana yang Citra Islam berasaskan Al-Quran malah berpeluang mendapat Sijil Penyertaan di peringkat Negeri”. katanya selepas majlis Khatam Al-Quran.

Seramai 31 murid telah menyertai Gempak Ramadan pada tahun ini. Aktiviti ‘Gempak Ramadan’ ini bertujuan untuk memupuk bakat murid dalam penghayatan Al-Quran serta  melahirkan murid yang boleh menghayati Ramadan dengan penuh tawaduk.  Adalah diharapkan juga aktiviti ini dapat mendidik jiwa nurani murid dalam suasana pengamalan Al-Quran dalam bulan yang mulia ini.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Ustazah Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa majlis tersebut.



Lambaian Kasih dan Sanjungan Budi Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 20 Mei 2020 – Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 6 Mei 2020.

Majlis Lambaian Kasih dan Sanjungan Budi Pengarah Pendidikan JPWPL telah diadakan secara dalam talian sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bertempat di Bilik Mesyuarat Botanikal.

Majlis secara maya ini telah dihadiri oleh hampir 250 orang warga pendidikan WP Labuan.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Warga Pendidikan Labuan yang sentiasa memberi kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Saya bersyukur kerana pernah berjuang bersama tuan/puan yang sangat komited, amanah dan professional dalam memikul tanggungjawab. Semoga kecemerlangan tersebut akan terus dipertingkatkan demi Labuan tercinta ini”.

“Saya sentiasa mendoakan agar tuan/puan sekalian diberikan kekuatan dan petunjuk untuk memimpin sekolah masing-masing seterusnya memacu kemakmuran Labuan”. Encik Raisin Saidin

Sepanjang tempoh 4 tahun 7 bulan menerajui Jabatan Pendidikan WP Labuan, beliau yang sinonim dengan tagline ‘Roh Guru Sentiasa Mendarah Daging’ ini telah banyak membawa perubahan dan kejayaan.

Antaranya ialah pengemblengan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengurusan sekolah dan akademik serta pengurusan pentadbiran yang lebih efektif.

Seluruh warga Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Encik Raisin Saidin di atas pelantikan sebagai  Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Semoga tuan terus maju jaya di bawah kepimpinan baharu ini demi kemenjadian murid-murid di Malaysia.




Kalam Wahyu Semarakkan Sambutan Hari Guru Tahun 2020 Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 15 Mei – Majlis Kalam Wahyu sempena Sambutan Hari Guru 2020 Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan secara dalam talian dengan disertai lebih daripada 100 orang warga pendidik di pejabat dan kediaman masing-masing pagi tadi.

Majlis
Kalam Wahyu Sempena Hari Guru ini diurus setiakan oleh Sektor Pendidikan Islam
(SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bermula jam 8.00 pagi.
Majlis Bacaan surah Yassin telah diketuai oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan manakala
bacaan doa selamat pula diketuai oleh Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Encik Raisin Bin Saidin yang merupakan mantan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir ialah Timbalan- timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah , pegawai-pegawai JPWPL, para pengetua, guru besar juga guru-guru di sekitar wilayah ini.

Majlis Kalam Wahyu secara telesidang yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Syahir menggunakan aplikasi google meet berjalan lancar. 

Dalam ucapan selepas bacaan doa selamat, Encik Raisin Saidin berkata guru yang hebat dan ingin memajukan diri dan anak-anak murid ialah guru yang bersedia menerima amanah dan tanggungjawab.

“Cabaran dan halangan sepanjang menunaikan amanah dan tanggungjawab bukanlah suatu penderaan, meyusahkan apalagi sia-sia. Hasil selepas melalui cabaran dan halangan di dalam tanggungjawab akan menjadikan kita berilmu dan meningkatkan kualiti dan jati diri sebagai guru yang murabbi” katanya di dalam telesidang dalam majlis tersebut.

Katanya lagi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, secara tidak langsung perlu diambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan sibuk dengan tugas masing-masing.

Encik Raisin Saidin menyampaikan amanat kepada warga pendidik di JPWPL semasa Majlis Kalam Wahyu.

PKP adalah inisiatif untuk membantu mendidik anak-anak dirumah terutama dari aspek pembelajaran, kebersihan dan keselamatan diri.

“Segala yang terjadi pasti ada hikmahnya. Mungkin apa yang terjadi ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran muafakat bersama keluarga dengan meluangkan masa bersama seperti bertadarus, solat jemaah, solat terawih dan sebagainya di bulan Ramadan ini”.

“Ia memang satu perubahan drastik, namun kita perlu berlapang dada dan menerima situasi ini kerana ia bukan sahaja membabitkan nyawa seseorang malah kita bertanggungjawab memutuskan semua rantaian Covid-19 dalam semua komuniti,” Encik Raisin Saidin.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di wilayah ini.

“Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu”, tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dalam telesidang tersebut, turut diadakan gimik penyampaian infaq Kasih Ramadan oleh Kelab Pendidikan. Tabung Infaq Kasih Ramadan telah dilancarkan oleh Encik Raisin Saidin pada 24 April 2020 yang lalu.

Menurut Pengerusi Kelab Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma, tabung infaq Kasih Ramadan merupakan idea yang dicetuskan oleh Encik Raisin Saidin untuk menyantuni rakan-rakan anggota kumpulan pelaksana (AKP) gred N19 ke bawah di samping mengeratkan lagi kemesraan di antara ahli.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Pengerusi Kelab Pendidikan, Encik Azeryn Hj Mamma (tengah,kiri) menyampaikan sumbangan Infaq Kasih Ramadan kepada ahli kelab pendidikan.



Edisi 5 : Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan
Selamat Hari Pekerja Tahun 2020

Assalamualaikum
Salam sejahtera
Catatan Pengarah Pendidikan WP Labuan

1 Mei 2020

Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan di semua peringkat pengurusan, di ibu pejabat dan sekolah.

Kita melalui satu pengalaman yang lain daripada kebiasaan dalam tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19. Satu pengalaman yg kita tidak pernah terfikir sebelum ini.

Bekerja dari rumah, mengajar dari rumah, guru berinteraksi dengan anak-anak murid dari rumah dan mengambil kehadiran murid dari rumah bagi setiap sesi PdP.

Semua ini dilakukan secara maya. Tentu saja pelbagai halangan terpaksa ditempuhi. Tetapi ayuh guru-guru Labuan, teruskan usaha murni memikul amanah guru. Bangga dapat mengharungi pengalaman ini. Bakal diceritakan kepada generasi akan datang.

Demikian juga pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan WP Labuan, bermesyuarat dari rumah menggunakan teknologi terkini.

Merancang, melaksana, memantau dan membuat penambahbaikan kepada aktiviti-aktiviti berpusat kepada murid yang dilaksanakan semasa PKP. Semua ini dilaksanakan secara maya. Terima kasih atas dedikasi anda semua.

Jiwa dan roh guru hadir dalam diri saya pada saat ini. Teringat saya akan sambutan Hari Guru yang kita sambut dan rayakan setiap tahun. Tahun ini tidak akan ada sambutan seperti tahun-tahun yang berlalu. Tiadalah sorakan gempita kerana johan sekolah paling ceria kerana keseragaman pakaian Hari Guru, kehadiran paling ramai, sorakan paling ceria dan lain-lain. Ini semua adalah sejarah yg akan disebut sampai bila-bila.

Hari Guru adalah hari kita. Besar maknanya kepada kita. Tinggi nilainya, kerana guru adalah pembina peradaban dan tamadun manusia. Hari Guru lambang kesatuan hati guru-guru.

Saya doakan semua guru WP Labuan diberikan Allah kesihatan yang baik dan meneruskan tugas dengan penuh dedikasi.

Selamat Hari Pekerja tahun 2020.

Salam mesra kepada semua guru di pelbagai peringkat.

Raisin Saidin
Pengarah Pendidikan
JPWP Labuan
1 Mei 2020

Stay at home
Kita boleh menang!!!