Pengakap SMK Mutiara Melaksanakan Pembersihan Pantai Sempena World Clean Up Day 2020
Labuan – Sempena World Clean Up Day 2020, Pengakap kumpulan 15 SMK Mutiara telah melaksanakan program rintis ‘Tide Turner Plastics Challenge’ di Pantai Tanjung Kubong pada Sabtu lalu.
Kumpulan ini telah disertai oleh 12 ahli pengakap SMK Mutiara yang dipimpin oleh Cikgu Angela Joseph. Selain itu pasukan ini turut disertai oleh Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Encik Jostelen Lamibai dan Cikgu Mohamad Afzal Hakim bin Azhar sebagai guru pembantu.
Menurut Puan Angela, aktiviti bermula seawal jam 7.00pagi dengan sesi taklimat kepatuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) untuk menjaga keselamatan dalam tempoh PKPP. Taklimat yang diadakan di perkarangan Muzium Chimney turut merekod suhu, pengagihan pelitup separuh muka dan sarung tangan kepada semua peserta bagi memastikan keselamatan mereka.
Seterusnya pasukan ini telah berjalan melalui Chimney Trail sejauh 1.6 km sebelum sampai ke destinasi. Laluan ini sangat terkenal dalam kalangan ‘hikers’ kerana pemandangannya yang indah di samping menyimpan warisan sejarah yang masih dapat dilihat dan disentuh sehingga hari ini.
Setiba di destinasi, ahli-ahli pengakap terus memulakan aktiviti pembersihan. Sampah-sampah telah dikutip dan dikumpul untuk dilupuskan terutamanya yang tidak terurai secara semulajadi seperti plastik dan kaca.
“Program ini bertujuan mendidik ahli-ahli pengakap tentang kesan penggunaan plastik terhadap alam sekitar. Selain itu aktiviti sebegini dapat menimbulkan kesedaran tentang tanggungjawab menjaga alam untuk diwarisi kepada generasi akan datang” kata Puan Angela.
Menurut beliau lagi, para peserta berjaya mengutip dan mengumpul sebanyak 17 plastik besar sampah. Sampah-sampah seterusnya di bawa naik dan dibuang ke dalam tong besar yang disediakan khas oleh pihak Perbadanan Labuan.
“Murid juga telah diajar untuk membuat audit terhadap sampah-sampah yang telah dikutip. Antara dapatan yang diperolehi mendapati bahawa jenis sampah yang paling banyak dibuang dengar cara yang salah ialah penutup botol iaitu sebanyak 1549 unit, kedua ialah botol minuman plastik sebanyak 1494 unit dan alas kaki sebanyak 69 unit. Di samping itu terdapat juga 19 pemetik api plastik, 16 bekas makanan plastik, 26 bekas polisterena, 13 tin minuman, 8 botol kaca dan1 bateri. Audit sampah yang dikutip direkodkan di laman web impactlution.com” tambah beliau lagi.
Menurut salah seorang peserta, Adik Shafiqah Friddin menyifatkan program ini sungguh memberi pengajaran kepada beliau untuk terus menjaga alam sekitar dengan menyokong kempen anti penggunaan plastik dalam kalangan generasi muda.
Aktiviti yang berakhir pada jam 11:00 pagi itu turut disertai oleh dua orang pemimpin Pengakap negeri dan seorang sukarelawan pengakap veteran iaitu En. Han Siew Kwong yang berusia79 tahun dan masih aktif dalam aktiviti pengakap peringkat negeri.
Berita Oleh : SMK Mutiara
Semangat kerjasama yang tinggi ditunjukkan oleh ahli-ahli pengakap
Sampah-sampah diangkat sejauh lebih 1 km untuk dilupuskan.
Pertandingan Kreatif Merdeka Semarakkan Jiwa Patriotisme Warga SMK Taman Perumahan Bedaun
SMK Taman Perumahan Bedaun telah mengadakan Pertandingan Kreatif Merdeka sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-63 Tahun yang bertemakan Malaysia Prihatin. Pertandingan ini diadakan di peringkat sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dengan pematuhan standard prosedur operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Pertandingan Kreatif Merdeka ini terbuka kepada semua warga sekolah dengan melibatkan guru dan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
Pertandingan Kreatif Merdeka ini telah dianjurkan oleh Panitia Sejarah SMKTPB yang diketuai oleh Cikgu Mahani Sapar dan dibantu oleh Cikgu Nurul Faezah Abdullah dengan kerjasama daripada Ketua Panitia Muzik, Cikgu Marcella Micheal dan Ketua Panitia Pendidikan Moral Cikgu Masrah Daiman.
Matlamat utama pertandingan ini diadakan adalah untuk menerapkan jiwa patriotisme yang utuh dalam kalangan warga SMKTPB serta mendidik warga SMKTPB untuk menzahirkan makna kemerdekaan mengikut kreativiti sendiri walaupun dalam situasi pandemik norma baharu ini.
Pertandingan Kreatif Merdeka telah dirasmikan oleh Pengetua SMKTPB Encik Ag Rozlan Hj Manan pada 11 September 2020.
Pertandingan Kreatif Merdeka yang dilaksanakan ini terdiri daripada dua kategori pertandingan iaitu Kategori Guru dan Kategori Murid. Terdapat lima jenis pertandingan yang diadakan antaranya Pertandingan Bercerita Bertemakan “Tokohku” bagi Kategori Murid. Murid perlu membuat rakaman video berdurasi 5 minit dan bercerita mengenai tokoh atau pahlawan negara tanpa melihat teks. Pertandingan ini bukan sahaja dapat menambahkan pengetahuan murid tentang tokoh kemerdekaan negara, malah murid dapat menghayati pengorbanan tokoh dan pahlawan kemerdekaan negara.
JOHAN BERCERITA “TOKOHKU” Nina Sabrina Ejara (5 BETA)
Pertandingan kedua ialah Pertandingan Fesyen Kemerdekaan (Kategori Murid dan Kategori Guru). Murid dan guru bebas memakai pakaian mengikut etnik atau mempunyai warna Jalur Gemilang dan menghantar gambar kepada juri namun perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan iaitu mestilah berpakaian sopan serta tidak menggunakan bendera Malaysia sebagai pakaian.
Pertandingan ketiga ialah Pertandingan Selfie Kreatif (Kategori Guru). Bagi pertandingan ini, guru bebas menghantar gambar selfie kreatif kepada pihak juri dan gambar yang diambil perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan iaitu perlu menepati tema kemerdekaan.
Pertandingan Keempat ialah Pertandingan Nyanyian Kemerdekaan bagi Kategori Murid dan Kategori Guru. Syarat pertandingan ialah peserta pertandingan perlu memilih lagu yang bertemakan kemerdekaan dan menghantar rakaman video yang jelas dan menarik kepada pihak juri. Peserta juga wajib memakai pakaian yang sopan ketika membuat rakaman video.
Pertandingan Kelima ialah Pertandingan Deklamasi Sajak bagi Kategori Murid. Murid perlu membuat rakaman dan bebas memilih sendiri sajak tetapi masih perlu menepati syarat pertandingan iaitu bertemakan semangat cinta akan negara. Melalui pertandingan ini, murid bebas berkarya serta berpeluang untuk mempersembahkan bakat dan keupayaan sendiri.
JOHAN NYANYIAN KEMERDEKAAN DAN JOHAN FESYEN KEMERDEKAAN
(KATEGORI MURID MENENGAH RENDAH)
Siti Annur Qurratu Aina Anuar (dua dari kiri)JOHAN KATEGORI NYANYIAN GURU Cikgu Rosenani Farera Micheal (tengah).
Objektif utama Pertandingan Kreatif Merdeka ialah menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah. Selain itu, objektif pertandingan ini ialah menyuburkan jiwa patriotik dalam kalangan warga sekolah, melatih murid menghayati perjuangan tokoh dan pahlawan negara, mendedahkan pengetahuan murid dengan pelbagai aspek kesenian dan kebudayaan pelbagai etnik dan kaum di negara Malaysia, meningkatkan pengetahuan murid tentang sejarah dan warisan negara serta menambahkan kemahiran interaksi dan komunikasi murid tentang sejarah negara.
Majlis penyampaian hadiah telah dilaksanakan di Anjung Perdana SMKTPB pada 23 September. Acara penyampaian hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Ag Rozlan Bin Hj Manan. Bagi Pertandingan Kreatif Merdeka Kategori Murid, dihakimi oleh Cikgu Mahani Sapar dan Cikgu Nurul Faezah Abdullah. Manakala, Pertandingan Kreatif Merdeka Kategori Guru pula dihakimi oleh Cikgu Marcella Micheal dan Cikgu Masrah Daiman sebagai juri pertandingan.
Dalam pertandingan itu, murid Tingkatan Lima, Nina Sabrina Ejara mendapat Johan Pertandingan Bercerita “Tokohku”. Beliau menyampaikan cerita yang bertajuk “Rosli Dhobi”.
Johan Pertandingan Selfie Kreatif Kategori Guru dimenangi oleh Cikgu Syafiqah Binti Nordin.
JOHAN PERTANDINGAN SELFIE KREATIF KATEGORI GURU Cikgu Syafiqah Binti Nordin (dua dari kiri)
Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan Kategori Murid Menengah Rendah dimenangi oleh Maizura Mazliani Mazlan (3 ALFA) dengan tajuk “Sumpah Anak Merdeka”, manakala Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Kemerdekaan Kategori Murid Menengah Atas dimenangi oleh Mohd Hanif Mohd Jame (5 ALFA) dengan tajuk “www.sibermerdeka.com.my”.
Johan Pertandingan Nyanyian Kategori Murid Menengah Rendah dimenangi oleh Siti Annur Qurratu Aina Anuar (3 ALFA), manakala Johan Pertandingan Nyanyian Kategori Murid Menengah Atas (Nyanyian Duet) dimenangi oleh Ain Nabilah (5 BETA) dan Nur Sofieyani (5 BETA). Johan Pertandingan Nyanyian Kategori Guru dimenangi oleh Cikgu Rosenani Farera Micheal.
Anugerah terakhir ialah Johan Pertandingan Fesyen Kemerdekaan Kategori Murid Menengah Rendah dimenangi oleh Siti Annur Qurratu Aina Anuar (3 ALFA), Johan Pertandingan Fesyen Kemerdekaan Kategori Murid Menengah Atas dimenangi oleh Nur Bazla Batrisya (5 ALFA). Johan Pertandingan Fesyen Kemerdekaan Kategori Guru dimenangi oleh Ustazah Siti Norjamilah, Ustazah Saidatun Nadiah dan Cikgu Faridatul Khairah.
Pemenang Pertandingan Kreatif Kemerdekaan peringkat SMKTPB membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil penyertaan dan hadiah sagu hati. Hadiah bernilai RM30 untuk Johan, RM 25 Naib Johan dan RM20 untuk tempat Ketiga. Hadiah wang tunai dan sijil penyertaan diberikan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga, manakala tempat keempat dan kelima diberikan hadiah sagu hati berserta sijil penyertaan.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun
JOHAN SAJAK KEMERDEKAAN (KATEGORI MURID MENENGAH ATAS)
Mohd Hanif Mohd Jame (5 ALFA) JOHAN FESYEN KEMERDEKAAN (KATEGORI GURU)
Pengetua Ag Rozlan Hj Manan (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Cikgu Faridatul Khairah (dua dari kiri), Ustazah Siti Norjamilah dan Ustazah Saidatun Nadiah .
Kunjung Bantu SPb Ke SMK Mutiara Capai Matlamat
Labuan – SMK Mutiara telah menerima khidmat kunjung bantu daripada Sektor Pembelajaran (SPb), Jabatan Pendidikan W.P Labuan pada Jumaat lalu.
Kunjung bantu melibatkan 7 pegawai SPb telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad.
Dalam sesi kunjung bantu tersebut, pihak sekolah turut mengadakan sesi Dialog Prestasi Akademik dengan membentangkan data-data dan analisis berkaitan pencapaian calon-calon SPM 2020 dalam peperiksaan pertengahan tahun peringkat sekolah.
Pembentangan telah dibuat oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim, pengetua SMK Mutiara. Menurut beliau pencapaian calon-calon SPM 2020 masih rendah dan banyak aspek yang boleh ditambahbaik. Di samping itu, beliau turut membentangkan pelan-pelan intervensi bagi menangani isu-isu termasuk kehadiran murid.
“Pencapaian murid-murid banyak dipengaruhi oleh kehadiran mereka ke sekolah. Oleh demikian kita akan memperkasakan aktiviti-aktiviti PdP oleh guru-guru di dalam bilik darjah supaya kehadiran murid-murid mendapat manfaat maksimum” ujar beliau.
Encik Mohd Nizam turut menegaskan bahawa isu-isu berkaitan kehadiran dan disiplin akan ditangani bersama-sama dengan ibubapa murid supaya setiap tindakan dapat memberi impak terbaik.
Selain itu, keupayaan calon-calon SPM dalam mengolah ayat untuk item berbentuk struktur dan esei juga perlu diberi perhatian sewajarnya oleh guru-guru.
Pengetua sekolah membentangkan data dan analisis pencapaian calon-calon SPM dalam peperiksaan pertengahan tahun.Cikgu Jostelen memberi penerangan tentang pemarkahan bagi kertas Sejarah SPM untuk makluman peserta dialog.
Dalam sesi dialog, Encik Yusup telah mengadakan sesi komunikasi dua hala bersama guru-guru Tingkatan 5. Guru-guru turut mengakui bahawa faktor kehadiran murid yang tidak konsisten adalah penyebab kepada pencapaian yang kurang memberangsangkan dalam kalangan calon-calon SPM 2020 terutamanya dalam dua mata pelajaran wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Guru-guru perlu sensitif dan prihatin terhadap perubahan tingkahlaku murid terutamanya murid-murid yang terkesan dengan pandemik Covid19. Kadang-kadang kita perlu memenuhi keperluan lahiriah mereka terlebih dahulu sebelum pengisian pembelajaran dapat dibuat dan memberi kesan mendalam kepada murid” kata Encik Yusup lagi.
Pegawai-pegawai SPb juga turut memberi idea dan saranan ke arah peningkatan prestasi murid dalam jangkamasa 3 bulan terakhir ini. SISC+ pula akan memberi bimbingan kepada guru dan murid sehingga ke dalam bilik darjah.
Pegawai SPb, Puan Murni turut memberi sumbangan idea dalam sesi dialog tersebut.
Pihak sekolah berasa berbesar hati atas kunjung bantu kali ini dan berharap keputusan dan rumusan daripada dialog ini akan diambil tindakan dalam tempoh segera demi kepentingan murid-murid.
Di akhir sesi kunjung bantu, pihak sekolah menyampaikan sijil penghargaan kepada Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W.P Labuan atas bantuan dan bimbingan yang telah diberikan.
Berita Oleh : SMK Mutiara
Para guru dan Pegawai SPb yang hadir semasa sesi dialog
Dialog Prestasi SMK Taman Perumahan Bedaun Terima Kunjungan Daripada Timbalan Pengarah JPWPL
Labuan, 22 September – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Dialog Prestasi Pra Percubaan SPM 2020 bersama Encik Yusuf bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P Labuan (JPWPL). Turut hadir bersama ialah Pegawai SISC+ Pn. Siti Zaharah Mohamad, Pn. Suriani Oxley dan Cik Juraidah Aman.
Dialog Prestasi pada kali ini memberikan tumpuan kepada isu atau permasalahan yang dikenal pasti daripada hasil keputusan Pra Percubaan SPM baru-baru ini. Selain itu, semua guru mata pelajaran juga telah membuat perkongsian intervensi bagi setiap panitia dalam meningkatkan pencapaian murid.
Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Encik Ag Rozlan A. Manan dalam ucapannya mengharapkan agar semua guru dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan sasaran GPS (Gred Purata Sekolah) 5.00 tercapai untuk tahun ini.
Dalam pada masa yang sama, Encik Ag. Rozlan juga mengharapkan agar semua guru dapat mengenal pasti kelemahan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian bagi setiap murid.
Untuk rekod, seramai 94 orang murid SMKTPB akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.
Dialog bersama guru- guru mata pelajaran pada kali ini lebih bermakna kerana guru-guru dapat mendengar amanat daripada Encik Yusuf.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua guru dan pihak sekolah kerana berjaya memperoleh sijil lulus 100% dalam peperiksaan SPM 2019. Beliau juga amat mengharapkan agar pencapaian ini dapat dikekalkan untuk tahun-tahun akan datang.
Encik Yusuf juga turut menyatakan keyakinannya kepada semua guru kerana percaya bahawa usaha yang berterusan pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan.
Guru-guru perlu yakin dan percaya bahawa setiap murid sememangnya mempunyai potensi diri yang tersendiri. Semoga SMKTPB terus mengorak langkah ke hadapan demi mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum dan juga sahsiah diri.
Encik Yusuf turut menyampaikan sijil pencapaian 100% lulus dalam Peperiksaan Pra Percubaan SPM kepada panitia Fizik dan Geografi. Turut hadir dalam program ini Pn. Chai Yee San Penolong Kanan Pentadbiran dan Pn. Lau Chin Ying Penolong Kanan Ko-kurikulum
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun
Pertandingan Putera Puteri Merdeka dan Sambutan Hari Malaysia 2020 Peringkat SMK Rancha-Rancha
Labuan, 15 Sept – Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan Program sambutan hari Malaysia dengan pengisian utamanya Pertandingan Putera-Puteri Merdeka.
Program ini diadakan secara tertutup dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan. Pertandingan ini disertai oleh 19 orang murid terpilih daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 4 sahaja. Program ini dianjurkan oleh unit Pusat sumber SMKRR dengan kerjasama Kelab Malaysia ku di bawah kelolaan Encik Sapri idris dan Puan Jasmini Daud dan dibantu oleh Puan Zaharah Bt Mat Jali.
Program ini berbentuk pertandingan yang menguji pelbagai kebolehan dan pengetahuan murid mengenai erti kemerdekaan dan rasa kecintaan terhadap negara.
Pertandingan terbahagi kepada 3 segmen iaitu memperagakan pakaian pelbagai kaum dan budaya Malaysia termasuk pakaian tradisi Sabah, Sarawak dan Labuan, murid bukan saja memperagakan pakaian, mereka juga harus tahu serba sedikit mengenai pakaian yang digayakan, segmen ke dua adalah persembahan bakat yang bertemakan cinta akan negara antaranya murid mempersembahkan deklamasi sajak, berpantun, menari, berpidato dan menyanyi. Murid bebas mempersembahkan bakat mereka dengan keupayaan masing-masing, namun mesti mengikut Tema yang ditetapkan iaitu berunsurkan semangat cinta negara. Manakala segmen ketiga pula, murid diminta menjawab kuiz kenegaraan serta diminta untuk memberi pandangan mengenai pelbagai topik yang dikemukankan kepada mereka.
Program ini merupakan program yang bertemakan sayangi Malaysia dan Malaysia perihatin bertepatan dengan tema hari Kemerdekaan Malaysia 2020. Antara objektif utama program ini antaranya memeriahkan perayaan sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia di peringkat sekolah, mendedahkan murid dalam pengetahuan mengenai pelbagai jenis pakaian tradisi yang terdapat di Malaysia, mengetahuai sejarah kemerdekaan Negara dan menambah ilmu pengetahuan murid tentang kaum-kaum yang terdapat di Malaysia serta menguji pengetahuan dan kemahiran komunikasi murid tentang budaya dan semangat cintakan negara.
Pertandingan ini telah di rasmikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMKRR Encik Sahnuddin Bin Arifin yang mewakili Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya Ahmad Puteh. Program ini merupakan program PDPC di luar kelas yang sangat bermanfaat di mana ianya dapat menguji pengetahuan murid tentang erti kemerdekaan, selain itu ianya juga dapat menambah pengetahuan murid terhadap sejarah pakaian tradisi yang diperagakan serta murid berpeluang menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia di sekolah bersama rakan dan juga guru.
Pertandingan ini telah di rasmikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SMKRR En. Sahnuddin Bin Arifin
Encik Yahya mengucapkan terima kasih dan tahniah atas usaha Pusat Sumber Datuk Sri Datin Norsiah Abdullah (PSSDSDN) dan Kelab Malaysiaku serta guru yang telah yang telah bertungkus lumus menganjurkan pertandingan yang sungguh menarik dan bermakna. Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Penerangan Malaysia Cawangan Labuan kerana telah menyalurkan dana kepada Kelab Malaysiaku untuk menjayakan program ini.
Beliau berharap agar pertandingan seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang dan program ini boleh dijadikan sebagai program tahunan. Selain dapat mencungkil bakat murid program ini sangat bermanfaat bagi proses pemupukan semangat cinta negara di kalangan murid.
“Usaha guru dan murid harus dipuji dan diberi sokongan kerana dengan usaha sebegini murid-murid lebih menghayati erti kemerdekaan dan sentiasa menginggati hari Malaysia demi menyuburkan lagi rasa cinta terhadap negara, agama , bangsa dan budaya. “
Beliau juga berharap agar PSSDSDN terus mempunyai idea-idea yang bernas dan kreatif untuk menarik hati murid dalam apa jua program yang dianjurkan. Syabas juga kepada Kelab Malaysiaku yang sentiasa aktif menyemarakan rasa cinta terhadap negara dihati murid SMKRR.
Pemenang puteri merdeka 2020 saudari Nur Iffah Nadiah menerima hadiah dan sijil penyertaanPemenang putera merdeka 2020 saudara Mohammad Zainulakram turut meneria wang tunai dah sijil penyertaan daripada En Sahnuddin
Semoga dengan program ini ianya akan dapat melahirkan lebih ramai murid SMKRR yang berketerampilan dan berwibawa untuk menjadi bakal pemimpin masa hadapan.
Pertandingan ini dihakimi oleh cikgu Jasmini Daud selaku guru Penasihat Kelab Malaysiaku, En Masri Ayong Penolong Kanan HEM dan Pn Fauziah Bt Idris Penolong Kanan Kokurikulum.
Pertandingan ini menyediakan hadiah berbentuk Wang tunai serta sijil penyertaan, Hadiah bernilai RM50 untuk Johan, RM40 naib Johan dan RM30 untuk tempat Ketiga mengikut kategori lelaki dan perempuan. Manakala setiap penyertaan diberikan RM20 sebagai hadiah saguhati beserta sijil penyertaan. Program ini berjalan dengan lancar dan objektif tercapai dengan jayanya.
Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha
Majlis penutupan berlangsung dengan semangat patriotik
Pertandingan Hebat KBAT STEM Pupuk Minat Bidang Aeroangkasa Pelajar Smk Rancha-Ranca
Labuan, 22 Sept , Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha telah mengadakan Program pertandingan KBAT STEM. Program ini diadakan secara tertutup dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan. Pertandingan ini disertai oleh 12 orang pelajar terpilih daripada tingkatan 1 dan 2 sahaja. Program ini dianjurkan bersama oleh Bidang Sains dan Matematik dengan Pusat sumber DSDN SMKRR di bawah kelolaan En Abdul Ghafar Bin Salleh Ketua Bidang sains Matematik dan En Sapri idris serta di bantu oleh Pn Evelyn Brenda, Pn Aizah Nayan dan En Mohd Khairul. Program ini berbentuk pertandingan berkumpulan untuk memasang model. Antara model yang di pasang adalah model Roket Saturn 5, Apollo Luna, Curiosity Rover, voyager space 1 serta membuat pembentangan. Tema pertandingan adalah berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas.
Program ini bertujuan meningkatkan minat murid untuk mempelajari bidang-bidang teknologi dan sains yang mana ini akan membuka minda mereka dengan lebih luas untuk meneroka dalam bidang industri dan sains pada masa akan datang yang merupakan keperluan pada masa kini . En Ghafar selaku ketua bidang berkata, program ini juga sebenarnya membuka mata para pelajar untuk lebih berminat melibatkan diri dalam industri yang berkaitan dengan angkasa lepas. Secara tidak langsung pelajar didedahkan dengan lebih awal mengenai industri aeroangkasa. Program ini juga merupakan program pembelajaran di luar kelas yang berteraskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang menjadi kewajipan pada sekolah ini untuk sentiasa menerapkan nilai KBAT di kalangan pelajar samada Pembelajaran di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah.
Hasil Model-model yang di pasang oleh pelajar telah di pamerkan di Pusat Sumber sabagai satu hasil dan bahan yang menarik untuk dijadikan rujukan kepada pelajar lain. Pertandingan ini telah di rasmikan oleh En Yahya Bin Ahmad Pengetua SMKRR . En Yahya mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah atas usaha Bidang Sains dan Matematik serta Pusat Sumber Datuk Sri Datin Norsiah Abdullah (PSS DSDN) , ketua bidang serta guru-guru dalam Panitia Sains Matematik yang telah yang telah bertungkus lumus menganjurkan pertandingan yang sungguh berimpak tinggi kepada pelajar terutama dalam penerokaan bidang STEM.
Pengetua SMK Rancha-Rancha En. Yahya bin Ahmad Puteh berucap ketika merasmikan pertandingan Hebat KBAT
Beliau juga berbangga kerana Bidang Sains dan Matematik telah berjaya membuat program ini sebagai satu penerapan nilai KBAT yang sangat jelas. Beliau juga berterima kasih kerana prorgram ini terus mengamalkan SOP yang telah di tetapkan. Beliau berharap agar pertandingan seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dan program ini boleh dijadikan sebagai program tahunan. Selain dapat mencungkil bakat pelajar program ini sangat bermanfaat dalam memupuk minat murid dalam bidang aeroangkasa yang sememangnya menjadi keperluan negara pada masa kini dan akan datang. Usaha guru dan pelajar harus dipuji dan diberi sokongan kerana dengan usaha sebegini murid-murid akan lebih seronok untuk belajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Pertandingan ini dihakimi oleh Pn Evelyn Brenda Ketua Panitia Sains, Pn Aizah Nayan Ketua Panitia Biologi dan En Khairul selaku Guru Rekabentuk Teknologi.
Pertandingan ini telah di menangi oleh
Johan
Hidayatul Jazillah Bt Jamal
Nur Aleeya Sofe Binti Mohd AfzalHanif
Nur Saidatul Adwa Bt Mohd Maarof
Nur Syafiah Dhaniyah Bt Junaidi
( semua pelajar Tingkatan 2 abu Rayhan )
Johan Pertandingan Hebat KBAT STEM bergambar penyelaras pusat sumber sekolah En Sapri bin Idris
Naib Johan
Mohd Mukriz Bin Waslih
Mohd NorAzwan bin Jalani
Mohd Hafiz bin Ryzisyaini
Mohd Khairee Anuar Bin Kadir.
(semua pelajar 2 AR)
Naib Johan Pertandingan Hebat KBAT STEM bersama model Apolo Luna yang dibina
Ketiga
Siti Noratorah Binti Aminuddin
Nur Iffah nadrah Bt Affendi
Abdul Hadi Bin Abdul Kahar
Ros anis Adawiyah Binti Roslemin
(semua tingkatan 1 AF)
Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang yang di sampaikan oleh Pengetua SMKRR En Yahya Bin Ahmad Puteh. Hadiah-Hadiah adalah berupa sijil penyertaan dan Piala kemenangan.
PPKI SMK Mutiara sertai Program e-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Negeri WP Labuan Tahun 2020
Labuan – Seramai 15 orang murid PPKI SMK Mutiara telah menyertai Program e-Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Negeri WP Labuan. Program anjuran Jabatan Pendidikan W.P. Labuan ini berlangsung selama 3 hari mulai 14 hingga 17 September 2020.
Puan Roslaniah Zainal, Penolong Kanan PPKI SMK Mutiara merangkap ketua kontingen menyifatkan penyertaan murid-murid PPKI dalam Program e-Mahabbah Pendidikan Khas ini mampu memberi pengalaman berguna kepada murid-murid.
“Program ini melibatkan murid-murid Islam dan bukan Islam khusus untuk murid-murid PPKI. Saya percaya aktiviti seperti ini dapat menanam sifat keberanian dan keyakinan diri murid terutamanya bila berhadapan dengan orang ramai” ujar beliau.
Murid-murid PPKI SMK Mutiara telah mengikuti 5 acara yang dipertandingkan. Adik Mohd. Syukrie Hafiz telah berjaya mendapat naib johan dalam acara e-Tarannum kategori lelaki menakala adik Sharif Izhar mendapat tempat ketiga dalam acara yang sama.
Dalam kategori perempuan pula, Adik Nur Fatirah Suriana juga berjaya menjadi naib johan dan adik Nurul Hidayah mendapat tempat ketiga.
Acara e-Hafazan kategori lelaki turut menyaksikan murid SMK Mutiara mendapat naib johan dan tempat ketiga melalui pencapaian adik Wan Ahmad Nabil dan adik Mohd. Taufiq Iqram. Sementara itu, kategori perempuan juga memperoleh pencapaian yang sama. Naib johan diraih adik Nuralyah dan tempat ketiga disandang oleh adik Hilda Nurul Ain.
Bagi acara e-Syarahan kategori lelaki, peserta SMK Mutiara iaitu Adik Muhamad Affiesz berjaya mendapat tempat ketiga. Kategori perempuan pula menyaksikan Adik Nuralyah mendapat naib johan dan adik Hilda Nurul Ain mendapat tempat ketiga.
Adik Wan Ahmad Nabil mendapat Naib Johan e-Hafazan Kategori Lelaki Sekolah Menengah
Adik Jamalludin mendapat tempat Ketiga acara e-Nyanyian Solo Terbuka Kategori Lelaki
Adik Hilda Nurul Ain gembira dengan hadiah yang diterima.
Acara e-Sajak turut dipertandingkan untuk kategori lelaki dan perempuan. Adik Kelvinson Kho Chun Fatt telah berjaya membawa kegembiraan kepada kontingen SMK Mutiara dengan menjadi Johan manakala adik Adexrom merangkul tempat ketiga. Dalam kategori perempuan pula, Adik Jaclinda Arabella telah berjaya mendapat naib johan.
Acara terakhir yang dipertandingkan ialah acara e-Nyanyian Solo Terbuka di mana peserta SMK Mutiara iaitu adik Jamaluddin berjaya mendapat tempat ketiga.
Majlis Penutupan dan Penyampaian hadiah e-Mahabbah telah disempurnakan oleh Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan W. P Labuan pada 17 September 2020 jam 3.00 petang bertempat GSTB, SK Bukit Kalam.
Pn. Maimoon Bt Matnoh menyampaikan hadiah Naib Johan kepada Adik Nuralyah bagi acara e-Hafazan kategori perempuan Sekolah Menengah.
Semarak Merdeka Di SMK Mutiara
Labuan – Sambutan bulan kemerdekaan tahun ini disambut secara berbeza sesuai dengan amalan normal baharu sempena PKPP yang dilanjutkan sehingga hujung tahun. Namun begitu semangat dan keazaman untuk meraikan bulan keramat tetap bernyala-nyala dalam kalangan warga SMK Mutiara.
Menurut Pengetua SMK Mutiara Encik Mohd Nizam bin Yasim, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dalam skala kecil dan sederhana tetapi tetap meriah.
“Walau dalam tempoh PKPP, warga sekolah tetap tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyemarakkan bulan kemerdekaan. Acara tahunan ini perlu disambut dengan semangat kesedaran tentang peripentingnya erti kemerdekaan terutamanya kepada murid-murid sekolah” katanya lagi.
Antara aktiviti awal yang bermula pada 15 Ogos ialah pemasangan sebanyak 63 bendera kebangsaan di kawasan sekolah yang melambangkan tahun ke-63 kemerdekaan negara.
Pihak sekolah turut menyediakan sudut mini pameran berkaitan kemerdekaan negara di foyer B yang diusahakan oleh guru-guru Pusat Sumber SMK Mutiara. Persembahan dalam bentuk infografik di sudut ini telah memberi banyak maklumat berkaitan kemerdekaan kepada murid-murid.
Salah satu mercu utama sambutan kemerdekaan tahun ini ialah penghasilan replika jalur gemilang daripada bahan-bahan kitar semula sebesar 20 kaki panjang dan 10 kaki tinggi. Replika yang dihasilkan di foyer Blok B adalah menifestasi kerjasama guru-guru dan ibubapa SMK Mutiara dalam kebersamaan menyambut bulan kemerdekaan tahun ini.
Warga SMK Mutiara bertungkus lumus menyiapkan replika Jalur GemilangEncik Mohd Nizam bersama guru-guru SMK MutiaraSudut Mini Pameran Kemerdekaan
Majlis pelancaran sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah telah diadakan pada 28 Ogos 2020 disempurnakan oleh pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam satu majlis ringkas namun penuh semangat.
Dalam majlis tersebut, Encik Jostelen Lamibai, PK Kokurikulum sekolah telah memimpin laungan MERDEKA sebanyak 7 kali sebagai gimik perasmian. Guru-guru dan murid-murid pula telah memperagakan baju bertemakan kemerdekaan dan kebudayaan etnik masing-masing sebagai lambang semangat kecintaan kepada negara Malaysia yang pelbagai budaya dan bangsa.
Selain itu, pengetua sekolah turut menyerahkan bendera Malaysia kepada Pengerusi Kelab Keluarga SMK Mutiara sebagai sokongan kepada aktiviti MERDEKA RIDE.
Laungan Merdeka dipimpin oleh Encik JostelenPenyerahan Bendera
MERDEKA RIDE anjuran Kelab Keluarga SMK Mutiara adalah aktiviti santai yang telah diadakan pada 8 September dan disertai oleh 15 guru dan 8 murid. Menurut Pengerusi kelab, Puan Mizan Adlia binti Mohd Shoib, para peserta telah berjaya mengayuh sejauh 22 kilometer sekitar pulau Labuan dan telah menamatkan kayuhan dalam masa 1 jam.
Selain itu, guru-guru SMK Mutiara turut menyemarakkan sambutan merdeka dengan aktiviti rekreasi menyelam. Mereka telah berjaya mempamerkan bendera sekolah sambil menyelam sekaligus memberi pengertian bahawa tiada apa yang mustahil jika kita bersungguh-sungguh.
Pusat Sumber Sekolah turut menganjurkan beberapa pertandingan berkonsepkan kemerdekaan. Antaranya ialah pertandingan deklamasi sajak merdeka, nyanyian lagu-lagu patriotik, selfie kreatif merdeka dan pertandingan menulis esei berunsurkan kemerdekaan.
Menurut Penyelaras Pusat Sumber Sekolah, Puan Shamsiah Ambo, pameran ini diadakan selama sebulan di Foyer B. Murid-murid turut berpeluang mendapat maklumat kemerdekaan di luar bilik darjah.
Sambutan bulan kemerdekaan tahun ini disambut dalam suasana normal baharu namun tetap meriah di SMK Mutiara. Semangat kerjasama, kesatuan dalam kepelbagaian memancarkan slogan Malaysia Prihatin penuh makna.
Berita Oleh : SMK Mutiara
Aktiviti rekreasi menyelamMERDEKA RIDE anjuran Kelab Keluarga SMK Mutiara
Nur Allya – Juara Kebangsaan
Labuan, 17 September 2020 – Nur Allya Mardiana Jairin, pelajar Tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, dinobatkan johan Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu Patriotik Atas Talian Peringkat Kebangsaan 2020, Kategori Menengah Rendah sempena Sambutan Hari Kemerdekaan.
Mendendangkan lagu berjudul ‘Gemilang’, nyanyian asal Jacklyn Victor, Nur Allya berjaya mengenepikan 11 peserta akhir dari seluruh negara , sekaligus menerima hadiah RM 400.00
Sementara naib johan disandang Nesttra Luin, pelajar dari SMK Mat Salleh Ranau, Sabah.
Manakala Muhammad Hazim Ikhwan Mohd. Asri dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur ditempat ketiga.
Nur Allya semasa rakaman video pertandingan akhir
Nur Allya bersama sijil penghargaan SMK Labuan atas kejayaan yang dicapai
Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berkata, kemenangan ini merupakan kejayaan besar kepada SMK Labuan dan WP Labuan pada tahun ini.
Dalam suasana pandemik Covid 19 di mana tiada pertandingan kokurikulum secara bersemuka diadakan, pihak sekolah tetap memberi peluang murid untuk menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan secara dalam talian sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berbangga atas kejayaan itu dan berterima kasih atas usaha semua pihak yang terlibat terutama guru pembimbing yang juga Guru Muzik SMK Labuan, Cikgu Mary Teng Howe Hui yang telah melatih Nur Allya sehingga memperoleh kemenangan sesuai dengan slogan sekolah itu ‘SMK Labuan Juara : Setiap Murid Bernilai’.
Keputusan pertandingan diumumkan semalam dan ia dianjurkan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.
Berita Oleh : SMK Labuan
Nur Allya bersama Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah
Pusat Sumber DSDN Smk Rancha-Rancha Laksanakan Program Memartabatkan Kerjaya Sebagai Pustakawan
27 OGOS 2020 – W.P Labuan, Pusat Sumber Dato Seri Datin Hajjah Norsiah (PSS DSDN) SMK Rancha-Rancha (SMKRR) telah melaksanakan program Seminar Membina Kerjaya Sebagai Pustakawa secara atas talian. Pihak pengurusan PSS DSDN telah mengambil inisiatif pintar dengan membuat penganjuran secara kolaboratif bersama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Labuan. Program yang dijalankan semasa negara berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan sempena pandemik Coronavirus-19 ini telah sepenuhnya menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara maya seperti mana yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Aplikasi Stream Yard dan Youtube menjadi media utama perkumpulan peserta yang terdiri dari 4000 peserta dari seluruh negara. Peserta seminar terdiri darpadai pelbagai peringkat umur bermula dari pelajar sekolah rendah hinggalah pekerja pustakawan di sektor swasta.
Di dalam ucapan alu-aluannya kepada para peserta, En.Yahya bin Ahmad Puteh selaku Pengetua SMKRR telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan program yang dirancang. Beliau juga turut memberikan pujian kepada pihak pengurusan PSS DSDN SMKRR di bawah pengurusan En Sapri bin Idris selaku Guru Perpustakaan & Media kerana berjaya mendapatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh Malaysia dan beliau juga berharap agar Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha akan menjadi hab tranformasi minda komuniti bukan sahaja di Labuan malahan komuniti di seluruh Malaysia.
En Yahya bin Ahmad Puteh Pengetua SMK Rancha-Rancha
Majlis pada petang itu dirasmikan oleh Tn. Awang Marteen bin Datuk Haji Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Negeri Labuan. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi rasa kagum dan tahniah kepada SMK Rancha-Rancha. Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha berjaya menjadi penganjur bersama di dalam program ilmu yang sangat memberi impak kepada para peserta program. Beliau turut menegaskan bahawa kerjaya sebagai pustawaan sangat dipandang tinggi dan dihormati. Pustakawan adalah tempat rujukan bagi orang-orang yang membuat kajian dan pustakawan ini lah yang akan mencari bahan-bahan rujukan dan menunjukan cara-cara mencari bahan menggunakan Databases.Beliau berharap agar pengawas pusat sumber sekolah membuka minda untuk melihat tanggungjawab yang diamanahkan oleh sekolah membantu pengurusan pusat sumber sekolah sebagai latihan untuk membina kerjaya pada masa hadapan
Tuan Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Pengurusan Teknologi Pendidikan JPN Labuan
Objektif penganjuran program Seminar Membina Kerjaya Sebagai Pustakawan atas talian anjuran bersama Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dan SSTP JPN Labuan adalah untuk menghasilkan para pelajar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pendidikan kerjaya yang jelas matlamat hidup. Selain itu, menimbulkan rasa minat pengawas pusat sumber untuk memilih kerjaya sebagai pustakawan serta memberi pengetahuan kepada pengawas pusat sumber tentang mata pelajaran yang harus diambil untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains perpustakaan dan para peserta seminar atas talian ini juga dapat mengetahui bidang kerjaya sebagai pustakawan dengan lebih luas.
Seminar atas talian anjuran Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah mencatakan rekod penyertaan yang tinggi apabila lebih kurang 4000 peserta berkampung di chanel Youtube E-Didik. Pihak penganjur telah memilih panel profesional yang terdiri daripada latar belakang sebagai pustakawan. Panel pertama merupakan seorang Mahasiswa UITM Rembau Negeri Sembilan jurusan pengurusan perpustakaan iaitu En. Ariez Hazaril bin Ab. Llah. Panel kedua merupakan seorang guru perpustakaan pemenang anugerah Ikon GPM Kebangsaan 2017 iaitu Cikgu Juliawati bin Sakiman dan penal ketiga merupakan Pustakawan kanan Perpustakaan Universiti Malaya iaitu Dr. Mohd Faizal Hamzah. Ketiga-tiga orang panel pada seminar itu telah berjaya mengupas persoalan yang diajukan moderator iaitu Cikgu Jasmini bte Daud. Turut membuat memberi ulasan seminar pada petang itu ialah Ikon GPM negeri Sabah iaitu Cikgu Prasad bin Ridwan serta Ikon GPM negeri Pahang iaitu Cikgu Ishak bin Hasan.
Barisan panel Seminar Membina Kerjaya Sebagai Pustakawan bersama moderator
Sebagai menghargai pengurusan program yang cemerlang, Sektor Sumber Pengurusan Teknologi Jabatan Pendidikan Labuan telah memberikan sijil penghargaan kepada Cikgu Sapri bin Idris. Pada majlis itu juga SSTP JPN Labuan turut memberikan sijil penghargaan kepada SMK Rancha-Rancha atas penganjuran seminar. Cikgu Sapri bin Idris sebagai Ikon GPM & TMK peringkat negeri W.P Labuan menzahirkan rasa kesyukuran kerana seminar yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Beliau turut berharap seminar yang diadakan dapat memberi kesedaran kepada pangawas pusat sumber sekolah bahawa tugas yang mereka pikul merupakan platform untuk mereka mempunyai kerjaya yang menjamin masa hadapan.
Dari kiri Puan Malai Hasnah bin Malai Ahmad Pegawai SSTP , En Sapri bin Idris , Tn. Awang Marten bin Datuk HJ Abdul Rahman KPP SSTP JPN Labuan, En, Yahya bin Ahmad Puteh Pengetua SMK Rancha-Rancha dan Puan Norsiah Sulaiman Penolong Pengarah SSTP JPN Labuan