Norma Baharu Dalam Pelaksanaan Orientasi Tingkatan 1
25 Januari – Program Orientasi Tingkatan 1 SMK Mutiara WP Labuan, Norma Baharu Melalui Tayangan Video telah dilancarkan pada 25 Januari 2021. Program yang dirasmikan oleh Tuan Pengetua, Encik Yahya Bin Ahmad Puteh merupakan program yang julung-julung kali diadakan secara atas talian. Program yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan Dan Kaunseling ini bermatlamat untuk memberi pengetahuan kepada murid mengenai keperluan murid dalam norma baharu di samping mengenali tentang budaya dan persekitaran persekolahan yang terdapat di SMK Mutiara.
“Walaupun kita masih dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerjaan baru-baru ini namun situasi tersebut tidak menghalang sekolah untuk mengadakan program kepada murid-murid Tingkatan Satu yang baru memulakan persekolahan mereka di sekolah ini”, kata Encik Yahya, Pengetua SMK Mutiara ketika dihubungi. Beliau juga menambah bahawa pada ketika ini , semua murid Tingkatan 1 tidak hadir secara bersemuka dan hanya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah secara atas talian.
Manakala, En Ahmad Radzi bin Ab Halim, selaku urusetia program mengatakan bahawa semua video telah dimuat naik ke Youtube adalah untuk tontonan semua pelajar baharu Tingkatan 1, penjaga/waris dan warga sekolah. Dalam video yang dipaparkan ini, semua murid dan warga sekolah akan dapat mendengar taklimat daripada semua unit yang terlibat melalui rakaman yang disediakan seperti amanat yang disampaikan sendiri oleh Pengetua, En. Yahya bin Ahmad Puteh , En. Masri bin Ayong Penolong iaitu Kanan HEM, En. Hisham bin Abdul Aziz iaitu Penolong Kanan Pentadbiran, En. Jostelen Lamibai iaitu Penolong Kanan Kokurikulum.
Selain itu, rakaman ucapan juga turut melibatkan unit-unit penting di sekolah seperti Unit Bimbingan dan Kaunseling, Skim Pinjaman Buku Teks, Unit Disiplin, Pusat Sumber Sekolah SMK Mutiara dan juga unit-unit yang lain. Dalam pautan video yang dikongsikan juga, pelajar tingkatan 1 juga boleh membuat pertanyaan melalui Google Form yang disediakan dan juga boleh memberikan cadangan penambahbaikan. Secara keseluruhannya, respon yang diperolehi daripada pelajar melalui soal selidik Google Form yang diberikan menunjukkan pelajar menyukai dan bersetuju dengan cara baharu orientasi kali ini dijalankan.
Program Orientasi Tingkatan 1 SMK Mutiara WP Labuan, Norma Baharu Melalui Tayangan Video telah dilancarkan melalui sebaran video dan ditonton di kediaman masing-masing melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=oHS0_y-F_c0. Sasaran program ini adalah untuk semua pelajar baharu Tingkatan 1. Turut hadir dalam gimik pelancaran program ini PK HEM, En Masri Ayong dan kaunselor sekolah iaitu En Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Pn Normaisaraf binti Ab Rashid dengan menggunakan kaedah baharu iaitu menekan butang “send” di youtube bagi melancarkan video yang telah disediakan.