Dialog Prestasi Negeri Pastikan Sistem Penyampaian Berkualiti

Labuan, 26 Okt – Selaras hasrat memastikan sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan berkualiti, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan Dialog Prestasi Negeri (DPN) Bil. 2, kelmarin.

Program sehari di bawah kelolaan Sektor Perancangan ini adakan di Bilik Raflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Menurut penyelaras sesi dialog, Encik Joe Hellmy bin Jumat yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan, DPN melibatkan semua ahli pengurusan tertinggi jabatan, pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah-sekolah W.P Labuan.

“DPN bilangan 2 membincangkan isu-isu penyampaian perkhidmatan dalam Kluster 2 iaitu Kemenjadian Murid”

“Fokus kali ini ialah kadar pelaksanaan Kandungan Asas Kurikulum (KAK), perancangan catch-up plan dan juga pelaporan PBD terutamanya dalam tempoh pandemik dan PdPR” katanya lagi.

DPN telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam sesi ucapan, beliau menekankan kepentingan perkhidmatan berkualiti kepada golongan sasar terutamanya murid-murid.

“Kita perlu memastikan hasrat Aspirasi Sistem dalam PPPM (2013-2025) tercapai. Ini termasuklah dari aspek akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan” tambah beliau.

Ucapan oleh Encik Yusup Haji Mohamad

Selain itu, beliau turut menegas bahawa tiada murid yang sepatutnya ketinggalan dan tercicir dari aspek pembelajaran walaupun negara masih dalam situasi mencabar.

“Pengetua dan Guru Besar selaku pemimpin instruksional di sekolah perlu mengambil inisiatif bersesuaian untuk memantau sesi PdPR dan PBD supaya tidak berlaku jurang pembelajaran dalam kalangan murid” tegas beliau lagi.

Sesi DPN dibuat dalam kaedah komunikasi dua hala secara aktif berdasarkan data raya yang diperolehi melalui kaji selidik dan Sistem PdPR online.

Ketua Penolong Pengarah, Unit Teknologi Maklumat Sektor Pembelajaran, Puan Siow May Yun telah membentangkan data berkaitan pelaksanaan Kandungan Asas Kurikulum dan pelaporan pelaksanaan PBD semua sekolah di Labuan.

DPN kali ini juga melibatkan sesi perkongsian pengalaman oleh Pengetua SMK Mutiara dan Penolong Kanan SJKC Chung Hwa untuk sesi pembukaan dan pengoperasian sekolah.

Turut menghadiri DPN kali ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Para Pengetua dan Guru Besar yang hadir dalam Dialog Prestasi Negeri



52 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Terima Surat Kenaikan Pangkat

Seramai 52 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) diraikan di dalam Majlis Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Rabu lalu. Majlis kelolaan Sektor Sumber Manusia (SSM), Jabatan Pendidikan W.P Labuan ini telah diadakan di Bilik Raflesia, Kompleks Ujana Kewangan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Manusia, Encik Mohd Khairul Hafiz bin Juni, majlis ini diadakan bagi merai dan mengiktiraf kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Pegawai Kumpulan Pelaksana (PKP) secara Time Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK).

“Majlis penyerahan surat kenaikan pangkat Fasa 1 ini melibatkan 52 penerima Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dalam pelbagai gred jawatan dan 3 penerima dari Pegawai Kumpulan Pelaksana . Majlis kali ini juga diadakan secara bersemuka dengan mengambil kira SOP yang ditetapkan untuk fasa 4 Pelan Pemulihan Negara(PPN)” katanya lagi.

Seramai 24 PPP telah menerima kenaikan pangkat dari DG52 ke DG54, seorang daripada DG48 ke DG52, 11 daripada DG44 ke DG48, 16 Daripada DG41 ke DG44 dan 3 orang PKP menerima kenaikkan pangkat ke gred N22.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, Encik Yusup mengucapkan tahniah kepada semua penerima kerana telah memberi komitmen cemerlang terhadap amanah yang diberikan.

“Ini adalah menifestasi penghargaan kerajaan atas sumbangan dan komitmen guru-guru. Kita seharusnya mensyukuri nikmat ini dengan memberi perkhidmatan pendidikan lebih cemerlang dan berkualiti tinggi”

“Saya menyeru agar kita semua terus istiqamah dan konsisten dalam meningkatkan budaya kecemerlangan dalam organisasi. Bekerjalah bersungguh-sungguh, semoga Allah menerima kerja buat kita hari ini sebagai ibadah di sisiNya” kata beliau lagi.

Ucapan Perasmian oleh Encik Yusup Haji Mohamad

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sektor Sumber Manusia kerana telah berjaya menguruskan kenaikan pangkat ini dengan lancar dan tanpa keciciran.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim memimpin bacaan ikrar perkhidmatan awam dan ikrar integriti perkhidmatan awam.

Majlis turut diserikan oleh persembahan koir oleh guru-guru SKBK.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima kenaikan pangkat



Warga Pendidikan Digesa Untuk Kembali Aktif Beraktiviti.

Labuan, 16 Okt – Sempena pelancaran Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan sempena Hari Sukan Negara 2021, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah melancarkan tiga aktiviti utama secara bersemuka dan hidbrid bersama seluruh warga pendidikannya. Pelancarannya telah dijalankan serentak diseluruh negara oleh YB Dato’ Dr Mah Hang SOON Timbalan Menteri Pendidikan 1.  Program ini telah dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi KPM, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Urus setia program secara bersemuka hibrid. Aktiviti Senamrobik yang diadakan dalam program ini telah disiarkan melalui Webinar,Youtube dan Facebook Live.

Lain pula situasinya di W.P. Labuan di mana penyertaan warga pendidikan dijalankan secara bersemuka memandangkan W.P.Labuan telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Seramai 50 orang warga guru telah mengikuti aktiviti berkayak sejauh 7 km di sepanjang persisiran pantai, 50 orang mengikuti senam robik di Pusat Kokurikulum. Manakala 30 orang lagi yang terdiri dari barisan pengurusan tertinggi dan urus setia serta 100 murid terpilih dalam kalangan murid sekolah menengah telah mengikutinya secara hidbrid di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP).

Peserta SenamrobikDiPusat Kokurikulum Negeri.

Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Yusup bin Hj. Mohamad, menegaskan bahawa sudah tiba masanya bagi semua warga pendidikan untuk kembali cergas bagi mengharungi 3 Peringkat Pembukaan Sekolah bermula pada 4 Okt, 18 Okt dan 1 November 2021. Semua jurulatih sukan dalam kalangan guru-guru sendiri sudah boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dalam merencana periodisasi dalam sukan masing-masing yang meliputi aspek kecergasan, kemahiran teknikal dan taktikal serta psikologi sukan. Perkara ini sudah pun dimesyuaratkan dan tindakan telah pun diambil oleh Sektor Pembangunan Murid yang diterajui oleh Timbalan Pengarahnya En. Abdul Rahman hj Ahmad. Sejak April tahun 2020 para pendidik sentiasa berfikir untuk mengurangkan jurang keciciran dalam aspek pembelajaran. Kini para jurulatih sukan perlu menyusun strategi agar kita juga tidak keciciran dari aspek potensi dan bakat murid.

Menurut En. Samsul bin Mandisin Ketua Penolong Pengarah Unit Bakat Murid, sejak Labuan telah diumumkan selamat dan memasuki fasa 4 Pelan Pemulihan Negara Jabatan Pendidikan W.P. Labuan bersama rakan strategi mereka Jabatan Belia dan Sukan telah merangka pelbagai program dalam mengembalikan gaya hidup sihat warga Labuan. Sehinggakan tawaran hebat telah diberikan oleh JBS terhadap Sekolah Sukan Negeri SMK Mutiara bagi penggunaan kemudahan mereka. Walaupun begitu, pematuhan terhadap SOP masih diperketatkan di mana semua peserta yang terlibat mestilah telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Peserta kayak telah berjaya dilepaskan oleh YB. Senator Datuk Hj. Bashir bin Hj. Alias Ahli Dewan Negara tepat jam 6.45 pagi di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan. Aktiviti berakhir pada 5.00 petang dan semua peserta berjaya mematuhi SOP dengan segera beredar meninggalkan tapak aktiviti sejurus selesainya program.

Yb Senator Datuk Hj. Bashir Bin Hj. AliasMelepaskan Peserta Kayak
Peserta KayakDi Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan
Barisan Guru-Guru Yang Menyertai Aktiviti KayakBerehat sebentar di Pantai Nagalang

Berita oleh : Sektor Pembangunan Murid




SSN SMK MUTIARA Membuat Kunjung Hormat Ke Jabatan Pendidikan

Labuan, 15 Okt – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan hormat dari Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara hari ini di Pejabat Jabatan Pendidikan W.P Labuan hari ini.

Rombongan SMK Mutiara seramai 7 orang diketuai oleh Pengetuanya, Encik Yahya bin Ahmad Puteh. Ketibaan rombongan jam 2.45 petang telah disambut oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapan aluan, Encik Yusup menyatakan hasrat jabatan seiring dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan murid-murid sentiasa mendapat peluang dalam pelbagai bidang termasuk bidang sukan.

“Walaupun negara masih diselubungi oleh pandemik Covid-19, namun tugas kita tidak boleh berhenti menggilap potensi dan bakat mereka dengan sebaik mungkin. Kita tidak mahu ada keciciran bakat murid” ujar beliau lagi.

Rombongan guru-guru SSN SMK Mutiara yang hadir bersama dalam kunjungan hormat ke Jabatan Pendidikan WP Labuan

Dalam ucapan balas, pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya menyatakan semangat dan kesungguhan guru-guru untuk membangunkan potensi bakat sukan murid di Sekolah Sukan Negeri (SSN).

“Dengan komitmen guru dan sokongan JPN, saya yakin SMK Mutiara akan lebih berupaya dalam mengangkat martabat sukan di negeri ini”

“SSN juga berharap agar JPN dapat membantu menyelesaikan isu ketiadaan jurulatih sepenuh masa untuk dua jenis sukan iaitu sepak takraw dan bola jaring”

“Pihak sekolah juga telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pemuafakatan strategik dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Majlis Sukan Labuan dan LAFA” katanya lagi.

Jurulatih bola sepak, Encik Norie Keegan turut membentangkan strategi-strategi latihan dalam membangun bakat dan potensi murid dalam permainan bola sepak.

Selain itu, jurulatih olahraga, Encik Kim Hong Chong Keat juga turut membentang perancangan pembangunan sukan olahraga di peringkat sekolah dan negeri.

Akhir majlis, Encik Yahya telah menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pendidikan sebagai tanda kenang-kenangan.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Unit Bakat, Encik Samsul bin Mandisin.

Berita oleh : Sektor Perancangan




Piagam Pelanggan Jabatan Pendidikan W.P Labuan Mantapkan Sistem Penyampaian

Labuan, 14 Okt – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melaksanakan bengkel pemurnian Piagam Pelanggan pada Selasa lalu di Bangunan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan.

Bengkel yang melibatkan semua ahli pengurusan tertinggi telah dikendalikan oleh Sektor Perancangan.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang juga moderator dalam bengkel tersebut, bengkel ini bertujuan untuk memurnikan Piagam Pelanggan yang dibuat sebelum ini.

“Terdapat perubahan di dalam sistem pengoperasian dan penyampaian jabatan terutama apabila berlaku ledakan teknologi maklumat. Tambahan pula situasi Covid-19 telah banyak mengubah cara kita bekerja”

“Perkara-perkara ini kita telah ambil kira dalam pembinaan Piagam Pelanggan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan kekal relevan” kata beliau.

Bengkel sehari tersebut telah menyenaraikan 35 pernyataan yang merupakan janji perkhidmatan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan kepada pelanggan-pelanggan jabatan.

Piagam jabatan telah dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk pengurusan penempatan dan pertukaran murid, pengurusan fizikal, pengurusan sumber manusia dan pengurusan pelanggan.

Bengkel turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Bengkel Piagam Pelanggan JPWPL diketuai oleh Encik Yusup

Ketika menyampaikan ucap utama, Encik Yusup mengharapkan agar janji-janji perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan dapat disempurnakan sebaik mungkin.

“Apa yang tertulis di dalam Piagam Pelanggan merupakan janji bertulis yang perlu sentiasa dihayati dan dirujuk oleh setiap pegawai supaya perkhidmatan kita memberi impak maksimum kepada pelanggan-pelanggan jabatan” tambah beliau lagi.

Hadir sama di dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad dan pemangku Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Puan Ang Bee Uan.

Turut hadir ialah semua KPP dari sektor-sektor.




Jabatan Pendidikan W.P Labuan adakan lawatan ke Kolej Vokasional Labuan

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengambil inisiatif mengerat silaturrahim dengar warga Kolej Vokasional Labuan dengan mengadakan lawatan rasmi ke kolej itu pada Isnin.

Rombongan seramai 40 orang termasuk Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah di Labuan telah diketuai oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Kehadiran delegasi telah disambut oleh Pengarah Kolej Vokasional Labuan, Puan Siti Musleeha binti Leeudin bersama warga kolej yang lain.

Sesi lawatan bermula seawal jam 6.30 pagi dengan meninjau pergerakan pelajar-pelajar dari asrama ke dewan makan selaras dengan norma baharu menangani penularan Covid-19.

Seterusnya, delegasi lawatan dibahagikan kepada dua kumpulan dan dibawa melawat bengkel-bengkel pembelajaran.

Antaranya ialah bengkel automotif, bengkel kimpalan, bengkel pemesinan dan bengkel pembinaan.

Selain itu delegasi juga turut melawat bengkel elektrik, bengkel elektronik dan blok-blok akademik.

Rombongan jabatan diketuai oleh Encik Yusup ketika melawat bengkel-bengkel Kolej Vokasional

Di akhir sesi lawatan, semua ahli rombongan telah diberi taklimat berkaitan kaedah pembelajaran dan program-program yang ditawarkan di Kolej Vokasional.

Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Kolej Vokasional, Puan Siti Musleeha binti Leeudin.

Menurut beliau, terdapat 4 bidang pengajian di Kolej Vokasional Labuan iaitu Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Teknologi Kejuruteraan Awam dan Perniagaan.

“Pelajar-pelajar Kolej Vokasional dilatih untuk membekalkan tenaga kerja mahir untuk pasaran industri dengan berbekalkan SKM 3. Namun begitu, pelajar-pelajar yang layak boleh menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM)” katanya lagi.

Dalam aspek kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional Labuan, sekitar 75% bekerja dalam industri, 15 % menjadi usahawan dan selebihnya menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Dalam ucapan balas, Pengarah Pendidikan W.P.Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad mengucapkan tahniah atas kesungguhan dan keupayaan warga Kolej Vokasional Labuan mendapatkan kelulusan pentauliahan pusat dan program daripada badan-badan yang mengeluarkan akreditasi.

“Kita mesti sentiasa berusaha untuk merealisasikan visi KPM terutama dalam melahirkan insan terdidik melalui pendidikan berkualiti seterusnya menyumbang kepada Kesejahteraan negara”

“Kekuatan Kolej Vokasional adalah ia mampu mengurangkan kadar keciciran bakat dan potensi dalam kalangan murid-murid. Guru-guru Kaunseling perlu menyampaikan peluang-peluang besar yang ada di Kolej Vokasional kepada murid-murid termasuk kepada Murid-murid Berkeperluan Khas (MBK)” ujar beliau lagi.

Beliau turut berharap agar jalinan kerjasama sekolah-sekolah di Labuan dengan Kolej Vokasional dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah dan YDP MGB, Puan Dayang Saripah A. Mahmud.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




Pengawai KPM Lakukan Lawatan Kerja ke Labuan

Jabatan Pendidikan W.P Labuan menerima kunjungan daripada pegawai-pegawai daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam sesi lawatan kerja selama 2 hari sempena pembukaan sekolah mulai 3 Oktober 2021 lalu.

Rombongan seramai 8 pegawai diketuai oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Tuan Haji Azman bin Adnan. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah para timbalan pengarah dan KPP dari pelbagai unit di BPK.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan telah disambut oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Sejurus ketibaan, pegawai-pegawai KPM telah melakukan pemantauan ke 13 buah sekolah bagi melihat kesiapsiagaan sekolah bagi tujuan pembukaan dan pengoperasian sekolah.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Tuan Haji Azman bin Adnan telah melawat Sekolah Menengah Sains Labuan. Beliau diiringi oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dalam sesi pertemuan bersama-sama pihak pentadbir dan guru-guru SM Sains Labuan pada Isnin, beliau mengucapkan terima kasih atas usaha-usaha pihak sekolah dalam memastikan tahap kebersihan dan keselamatan infrastruktur sekolah berada dalam keadaan baik.

Tuan Haji Azman bertegur sapa dengan guru-guru SM Sains Labuan
Tuan Haji Azman, Encik Yusup, barisan pentadbir sekolah dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan W.P Labuan

“Saya berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam satu pasukan dalam menyediakan persekitaran selamat bagi murid-murid di asrama sesuai dengan konsep” In locu parentis” ujar beliau lagi.

Selain itu, Tuan Haji Azman juga sempat melawat sesi penyuraian murid-murid pra sekolah dan Murid-murid Berkeperluan Khas (MBK) di SK Pantai.

“Secara kesuruhan saya berpuashati dengan tahap kesiapsiagaan sekolah dari aspek infrastruktur dan pematuhan kepada SOP termasuk pengudaraan di dalam bilik darjah”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PDRM, MKN, JKN dan BOMBA atas kerjasama yang telah diberikan dalam memastikan persekitaran sekolah selamat untuk beroperasi.

Tuan Haji Azman sedang beramah mesra dengan murid SK Pantai sambil diperhatikan oleh Encik Yusup
Tuan Haji Azman, Encik Yusup, Pegawai Jabatan bersama warga sekolah SK Pantai

Turut sama dalam sesi lawatan di SM Sains ialah Pegawai Perhubungan Polis, Encik Jumin bin dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Encik Awang Marten bin Haji Abdul Rahman.

Delegasi turut diraikan dalam satu majlis makan malam di sebuah pusat rekreasi di wilayah ini pada malamnya.

Berita Oleh : Sektor Perancangan




SMK Mutiara Menyantuni Warga Emas Dalam Kalangan Veteran ATM

Labuan, 6 Okt – Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang telah digubal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah diluluskan pelaksanaannya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Januari 2011, manakala tarikh 1 Oktober adalah tarikh keramat bagi semua warga emas kerana ianya disambut dan diraikan di seluruh dunia.

Bagi menghargai dan memupuk nilai kasih sayang terhadap warga emas terutamanya dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia, SMK Mutiara di bawah kelolaan Penolong Kanan Pentadbiran serta Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara telah menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Mutiara, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Wilayah Persekutuan Labuan, Pusat Pungutan Zakat WP Labuan, Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA) untuk melaksanakan Ziarah Kasih Perwira Negara pada 1 Oktober 2021 sempena Hari Warga Emas Sedunia yang disambut secara sederhana dalam norma baharu.

Program tahunan SMK Mutiara yang unik ini mula diadakan pada tahun 2020 bagi menyantuni warga emas dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia yang menderita sakit dan terkesan dengan pandemik COVID-19.

Salah seorang veteran yang uzur menerima kunjungan konvoi Ziarah Kasih Perwira Negara

Pihak sekolah telah mengumpul dana dalam kalangan warganya dan orang perseorangan untuk menyediakan bakul makanan serta wang tunai untuk disumbangkan kepada 16 orang veteran ATM di sekitar Labuan. PVATM turut menyumbang bakul makanan sebagai tambahan kepada bakul makanan sedia ada.

Pengetua SMK Mutiara Encik Yahya Ahmad Puteh mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Norhani Jaafar selaku pemangku Yang Dipertua PIBG SMK Mutiara, Encik Bolkiah Aziz selaku pemangku Ketua Cawangan PVATM, Encik Nazri Panjang Abdullah selaku Setiausaha PVATM, Tuan Haji Hamir Zahari selaku Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Encik Abdul Hafiez Sulaiman selaku Timbalan Setiausaha PAMULA atas kesudian mereka untuk turut serta dalam Ziarah Kasih Perwira Negara dan menyantuni veteran ATM.

Beliau turut berkongsi rasa syukur dan bangga kerana SMK Mutiara baru sahaja dianugerahkan Pengurusan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti / Swasta (PIBKS) Cemerlang 2020-2021. Malah beliau sendiri turut dinobatkan selaku Tokoh Pengetua Inspirasi PIBKS 2020-2021. Momentum kejayaan berganda yang masih segar ini telah diteruskan dengan program kemasyarakatan yang bermakna dan berimpak tinggi. Beliau mahu program ini diteruskan di masa hadapan dengan pelibatan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

Salah seorang veteran, Encik Tan Kim Teck yang menetap di Jalan Arsat, Kampung Batu Arang telah menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana masih ada lagi golongan yang sudi menziarahi dan menyantuni mereka di usia emas begini sambil menghulurkan bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan yang berisi keperluan harian kepada para veteran yang memerlukan.

Beliau yang menderita sakit kaki dan tidak mampu berdiri lama apatah lagi berjalan jauh turut berkongsi pengalaman pahit manis beliau semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Beliau pernah mengikuti satu ‘eksesais’ di mana mereka perlu berjalan kaki dari Menumbok ke Beaufort dan seterusnya ke Lok Kawi sebelum berakhir di Kota Belud, Sabah untuk menyertai latihan menembak. Beliau tidak pernah menyesal malah berbangga kerana berpeluang menyarung pakaian seragam tentera dan mencurahkan khidmat bakti kepada negara tercinta.

Menyantuni anggota ATM yang menderita sakit
Encik Salleh Mohd Nor berasa teruja dan bersyukur kerana menerima kunjungan dan sumbangan bakul makanan.

Semua peserta Ziarah Kasih Perwira Negara telah diberi taklimat mengenai perjalanan program oleh Encik Hisham Abdul Aziz yang bertindak selaku penyelaras.

Mereka kemudiannya mengabadikan gambar kenang-kenangan di struktur ikonik SMK Mutiara sebelum konvoi dilepaskan oleh Tuan Pengetua untuk menghantar bantuan dan menyantuni 16 orang veteran ATM pada pukul 8:45 pagi.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Ahli bersekutu 3Y dan para tetamu mengabadikan kenangan di struktur ikonik ‘WE LOVE MUTIARA’
Berkongsi rezeki dengan mereka yang lebih memerlukan
Para peserta mengabadikan kenangan di luar rumah salah seorang veteran ATM



Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Hari Malaysia Peringkat SK Sungai Bedaun Tahun 2021 Penuh Pengisian Bermakna

Pandemik COVID-19 ternyata tidak menghalang warga SK Sungai Bedaun untuk meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, keseluruhan aktiviti peringkat sekolah pada tahun ini dilaksanakan secara atas talian yang telah dilancarkan pada 19 Ogos lalu.

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg. Sarifah A. Mahmod sewaktu majlis pelancaran berkata semoga dengan pelaksanaan program ini dapat menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga SKSB selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Majlis Bacaan Yassin dan Doa Kesyukuran, Pertandingan Deklamasi Sajak Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Cabaran TikTok Pantun Hari Malaysia, Cabaran STEM Bina Mercu Tanda Negaraku, Pertandingan Memperagakan Pakaian Patriotik, Pertandingan Foto Kreatif: Tiru Gaya Pejuang Kemerdekaan, Pertandingan Infografik Identiti Negaraku, Pertandingan Laporan Kajian Kes Sejarah dan Senam Ceria di Hari Malaysia. Kesemua aktiviti yang dirancang menggabung jalinkan nilai patriotik dan elemen STEM yang mampu mengasah daya kreativiti anak-anak SKSB biarpun berada dirumah.

Menurut penyelaras Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 peringkat SK Sungai Bedaun, Encik Mohd Asyraf bin Abd Hamid, program yang dilaksanakan dalam tempoh sebulan ini telah mendapat sokongan padu baik daripada guru-guru mahupun ibu bapa dan murid sekolah tersebut. Ini adalah kunci kepada kejayaan pelaksaan sambutan kali ini.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah (Unit Sekolah Khas) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Puan Rina@Farrina binti Dakim. Beliau yang juga merupakan pegawai angkat sekolah berkenaan merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan pelaksanaan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Dalam pada itu, SKSB turut berjaya menjadi johan dalam Pertandingan Kibar Jalur Gemilang dan Pencahayaan Pada Bangunan Sekolah bagi kategori sekolah rendah sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Jabatan Pendidikan W.P Labuan tahun 2021. Bagi pertandingan Memperagakan Pakaian Patriotik Secara Rakaman Video pula SKSB tidak pulang dengan tangan kosong apabila dua orang murid tahap 1 iaitu Hadi Nashrullah bin Haidi dan Nuraneesa Husna binti Muhadi masing-masing telah mendapat Johan dan tempat Ketiga bagi kategori lelaki dan perempuan.

Puan Dg. Sarifah menyifatkan ini adalah satu kejayaan berganda dan bermakna buat seluruh warga SKSB atas usaha padu yang dicurahkan dalam pertandingan kali ini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun




222 Peranti iPad diagihkan : Murid SMK Mutiara dan SJK(C) Chi Wen terima peranti CERDIK

Labuan, 4 Okt – Murid-murid tingkatan 3 dan tahun 4 di kalangan B40 SMK Mutiara dan SJK(C) Chi Wen sesungguhnya amat bertuah kerana telah menerima bantuan berbentuk peranti iPad di bawah inisiatif CERDIK, baru-baru ini.

Sebanyak 150 unit peranti iPad telah diagihkan kepada murid SMK Mutiara, manakala 72 unit peranti iPad dibekalkan kepada murid SJK(C) Chi Wen. Jumlah peranti iPad yang diberikan kepada kedua-dua sekolah ini ialah sebanyak 222 unit.

Murid juga turut menerima peranti wifi broadband dan simcard langganan internet selama setahun secara percuma.

CERDIK merupakan inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bertujuan untuk menyediakan akses digital yang terdiri daripada komputer riba, tablet, dan sambungan data kepada murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Inisiatif ini melibatkan sumbangan bernilai RM150 juta daripada 31 GLCs/GLICs yang telah diumumkan menerusi Belanjawan tahun 2021.

Agihan peranti iPad untuk SMK Mutiara telah dilaksanakan pada 22 September 2021 dan SJK(C) Chi Wen berlangsung secara pandu lalu pada 24 September 2021 yang dihadiri oleh murid penerima dan para ibu bapa.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan Tuan Haji Minggu bin Amat, pengetua SMK Mutiara Encik Yahya Ahmad Puteh dan Guru Besar SJK(C) Chi Wen Puan Pan Yii Ying serta para guru kedua-dua sekolah.

Untuk rekod, di bawah inisiatif CERDIK 2021, sebanyak 667 unit peranti komputer riba/chrome book/iPad telah diedarkan kepada 5 buah sekolah di Labuan.

Murid SK Pekan II dan SMK Pantai Terima 236 Peranti CERDIK untuk PdPR

219 Peranti diedar kepada murid SMK Labuan dibawah Inisiatif CERDIK

Pengetua SMK Mutiara Encik Yahya Ahmad Puteh menyampaikan peranti iPad dan sambungan data internet kepada murid SMK Mutiara
Wajah ceria murid-murid Tingkatan 3 SMK Mutiara bersama peranti iPad
Murid SJK(C) Chi Wen adik Au Miaw Zhen dan bapa melahirkan rasa gembira dengan bantuan peranti iPad dan sambungan data internet yang diberikan
Guru-guru SMK Mutiara bertungkus lumus membantu mengagihkan peranti kepada murid
Proses pengagihan peranti SJK (C) Chi Wen berjalan lancar