“TEAM BUILDING” Mengukuhkan Keharmonian Guru dan Staf SMK Pantai
Labuan, 29 Sept – Program TEAM BUILDING SMK PANTAI 2022 telah diadakan pada 24 September 2022 yang lalu bertempat di pantai Pancur Hitam, Wilayah Persekutuan Labuan.
Program ini disertai oleh 79 orang guru dan 10 orang staf SMK Pantai, bermula jam 8.30 pagi hingga jam 12.30 tengah hari. Program dianjurkan bersama oleh Kelab Guru dan Kebajikan Staf (KGKS) SMK Pantai, Pusat Kokurikulum Negeri WP Labuan dan Encik Kitli Beka yang sedang menjalani program Perantisan program National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) di SMK Pantai.
Pengetua SMK Pantai Ismail Abdullah berkata matlamat utama program ini ialah untuk mewujudkan suasana mesra dan persefahaman yang tinggi dalam kalangan guru dan staf SMK Pantai. Perpaduan dan persefahaman sangat penting untuk memastikan semua guru dan staf SMK Pantai dapat melaksanakan tugas dengan teratur dalam suasana yang harmoni.
Program ini dimulakan dengan sesi senamrobik yang diketuai oleh Cikgu Brolin Peter, seterusnya beberapa acara sukaneka seperti lari berganti-ganti, meniup dan mengikat belon, memecahkan belon di kaki lawan, menendang bola ke sasaran, dan membawa bola ping pong dalam sudu.
Acara yang paling ditunggu-tunggu ialah acara berkayak yang dikendalikan oleh Encik Kitli Beka dan jurulatih Pusat Kokurikulum. Acara ini memberi pengalaman baru yang menarik kepada sebahagian besar guru dan staf yang menyertai acara ini buat kali pertama.
Acara jamuan, memotong kek hari lahir dan cabutan bertuah sebagai acara penutup. Pemenang cabutan bertuah ialah Cikgu Baexi Jakim, Cikgu Nerwani Aslan dan Ustazah Nur Hayati Ismail. Program diakhiri dengan gotong royong membersihkan sekitar kawasan aktiviti.
Berita Oleh : SMK Pantai
Kami GembiraKami BerjayaEncik Ismail menyampaikan cabutan bertuah kepada pemenang
KEMINDA 2022 : Eratkan Hubungan W.P Labuan Dengan Pantai Timur Sabah
Labuan, 5 Sept – Program Kembara Minda GPM dan Pengawas Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha (KEMINDA 2022) yang diadakan di Pantai Timur Sabah telah berlangsung dengan jayanya. Program Kembara Minda ini telah dilaksanakan selama 6 hari 5 malam bermula pada 30 Ogos dan berakhir 4 September 2022.
Program yang berorientasikan ‘ Menjelajah Daerah Membuka Minda’ itu telah disertai oleh 30 orang peserta yang terdiri daripada ketua rombongan Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Encik Awang Marten Datuk Haji Abd Rahman, Puan Suriani Alland Rice Oxley SISC+ Sains Sosial Sektor Pembelajaran, Penolong Pengarah SSTP Puan Norsiah Sulaiman, Penolong Pengarah SSTP Unit Media dan Bahan Pendidikan Encik Mohd Noor Izuan Anuar , Guru Perpustakaan dan Media serta pengawas pusat sumber SMK Rancha-Rancha.
Program ini adalah kolaboratif antara Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri W.P Labuan dan Pertubuhan Guru Perpustakaan dan Media Malaysia cawangan W.P Labuan (PGPMM).
Ahli rombongan KEMINDA 2022 bergambar bersama pentadbir
SK Kg Titingan Tawau Sabah
Tujuan pelaksanaan program ini adalah bagi meningkatkan usaha dan kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan bagi mentransformasi guru serta pelajar ke arah kejayaan dan kelestarian hidup di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara GPM dan pengawas pusat sumber sekolah dengan masyarakat di tempat dilawati.
Selain itu, program ini juga dapat memberi peluang kepada para guru serta pelajar untuk mempelajari teknik perancangan program, aplikasi konsep dan prinsip pengurusan Pusat Sumber Sekolah serta mempelajari budaya dan gaya hidup masyarakat di Pantai Timur Sabah.
Selari dengan konsep ‘Menjelajah Daerah Membuka Minda’ pihak penganjur telah mengadakan lawatan ke beberapa daerah di pantai timur Sabah. Daerah pertama yang dilawati ialah Tawau.
Pengawas Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha bergambar bersama pengawas Pusat Sumber Al Fateh Titingan Tawau Sabah
Rombongan Kembara Minda sampai ke Daerah Tawau pada 1 September 2022. Sekolah pertama yang dilawati ialah SK Kg. Titingan Tawau Sabah. Di sini ahli rombongan telah diraikan oleh pentadbir sekolah yang diketuai oleh Guru Besar Encik Beddu Dollah, Ikon GPM Kebangsaan En Prasad Ridwan, pengawas pusat sumber sekolah serta ahli komuniti setempat.
Rombongan telah dibawa melawat rangkaian PSS SK Kg. Titingan di rumah Puan Jumatia Samsuddin . Apa yang menariknya di rumah puan Jumatia Samsuddin ini hampir semua ruang dan dinding telah disusun dengan buku dan poster bermaklumat. Rangkaian PSS SK Kg. Titingan ini selalu dikunjungi oleh penduduk dan para pelajar. Setelah menandatangani sijil jaringan antara kedua-dua belah pihak, ahli rombongan telah disajikan makanan masyarakat tempatan.
Melawat rangkaian pusat sumber komuniti SK Kg Titingan Tawau
Destinasi Kembara Minda diteruskan lagi dengan dibawa melawat ke sekolah SJK Yuk Chin Tawau. Ahli rombongan telah disambut dengan pukulan gendang Cina oleh pelajar sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran ahli rombongan ke sekolah mereka. Sesi taklimat bersama pentadbir sekolah dengan ahli rombongan telah diadakan di Bilik Mesyuarat utama SJK( C ) Yuk Chin . Guru Besar sekolah Puan Pang Dan Fung memberi penerangan panjang lebar tentang program sekolah dan pusat sumber.
Pada tahun 2021 Pusat Sumber SJK ( C ) Yuk Chin telah mendapat Johan pertandingan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan. Kami berpeluang melawat sekitar Kawasan sekolah dan PSS sekolah ini. Rata-rata ahli rombongan berasa sangat kagum dengan kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah dan PSS.
Pada sebelah petangnya, rombongan telah mengadakan kunjung hormat di Pejabat Unit Sumber Teknologi Pendidikan Daerah Tawau. Ketua Unit Sumber Teknologi Pendidikan PPD Tawau Encik Jumaan Baharun Sashop telah menyambut kunjungan ahli rombongan bersama pegawai yang lainnya. Ahli rombongan telah ditaklimatkan tentang operasi dan sejarah Unit Sumber Teknologi Pendidikan Daerah Tawau. Sepanjang lawatan Kembara Minda di Tawau, Timbalan PPD Sektor Pembelajaran Daerah Tawau Encik Noor Kahal turut mengiringi ahli rombongan.
Ahli rombongan membuat kunjungan hormat di Pejabat Unit Sumber Teknologi Pendidikan Daerah Tawau
Pada 3 September 2022, rombongan Kembara Minda telah melawat di Sekolah Menengah Bugaya Semporna Sabah. Ahli rombongan telah diraikan dengan meriah. Kehadiran ahli rombongan telah disambut oleh Cikgu Zamilah Abidin Guru Perputakaan dan Media bersama barisan pentadbir sekolah. Seperti biasa , ahli rombongan telah diberikan taklimat ringkas oleh pengetua sekolah iaitu Puan Hjh Rozita Anju. Setelah selesai sesi taklimat, ahli rombongan telah dibawa melawat pameran yang diadakan di dewan terbuka sekolah seterusnya ke Pusat Sumber Sekolah.
Ahli Rombongan berada di SMK Bugaya Semporna SabahMajlis menandatangani sijil jaringan antara kedua-dua pihak di SMK Bugaya Semporna, Sabah.
Ketika menjamu selera, pihak sekolah juga telah mengadakan persembahan tarian igal-igal untuk hiburan ahli rombongan. Peserta rombongan daripada Labuan berasa sangat teruja dengan sambutan yang dibuat oleh SMK Bugaya Semporna Sabah.
Ketua Penolong Pengarah SSTP Labuan En Awang Marten dibawa melawat pameran di Dewan Terbuka SMK Bugaya Semporna
Destinasi terakhir Kembara Minda GPM dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah SMK Rancha-Rancha di Pantai Timur Sabah berakhir di Kota Kinabalu Sabah. Pada 4 September 2022 peserta Kembara Minda telah berpeluang melawat Perpustakaan Induk Negeri Sabah.
Ahli rombongan telah diberikan taklimat oleh Pembantu Perpustakaan iaitu Puan Aine Naddia Samin. Taklimat diberikan berkaitan sejarah dan program Perpustakaan Induk Negeri Sabah. Pihak pengurusan juga menyediakan sarapan pagi kepada ahli rombongan Kembara Minda . Di akhir program ahli rombongan telah dibawa melawat ruang dan bilik-bilik khas yang terdapat di Perpustakaan Induk Negeri Sabah.
Ketua Penolong Pengarah SSTP Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Encik Awang Marten Datuk Haji Abdul Rahman berharap melalui program ini, Guru Perpustakaan dan Media Labuan serta pengawas PSS dapat bertukar-tukar idea dalam pengurusan pusat sumber sekolah antara kedua-dua pihak.
Percambahan ilmu ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti kerja dan prestasi dalam menghasilkan kejayaan serta kecemerlangan sekolah. Selain itu, jaringan antara sekolah juga telah dilaksanakan di mana kerjasama yang dimeteri merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan pengurusan pusat sumber sekolah. Kerjasama ini pastinya dapat memberi impak dalam masa jangka panjang.
Kembara Minda GPM Labuan dan Pengawas PSS SMK Rancha-Rancha berada di Perpustakaan Negeri Sabah