Bengkel Teknik Menjawab Matematik Skor ‘A’ SPM 2022

LABUAN, 4 Februari : Bengkel Teknik Menjawab Matematik Skor ‘A’ SPM 2022 anjuran Task Force Matematik SPM 2022 Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan di Bilik Rafflesia, Financial Park Labuan pada 4 Februari 2023 yang lalu.

Bengkel ini telah menjemput Cik Juraidah Binti Aman, pegawai SISC+ Matematik Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai penceramah untuk bengkel kali ini.

Bengkel yang telah disertai oleh kira-kira 120 orang pelajar cemerlang terpilih daripada semua sekolah menengah itu dimulakan dengan bacaan doa sebagai memohon keberkatan kelancaran program yang diketuai oleh Aiman Bin Adsman, pelajar Tingkatan 5 dari SMK Taman Perumahan Bedaun.

Peserta Bengkel Teknik Menjawab Matematik Skor ‘A’ SPM 2022 tekun mendengar ‘tips’ yang disampaikan oleh penceramah.

Turut hadir ke program bagi memberikan sokongan ialah Ketua Penolong Pengarah Unit Sains dan Matematik Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Norhayati Binti Yahya, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri serta Guru Kanan Bidang Sains dan Matematik SMK Taman Perumahan Bedaun, Cikgu Gabriel Chin Vui Wen.

Puan Norhayati Binti Yahya dalam ucapan amanatnya turut menzahirkan harapan agar baki hari-hari terakhir sebelum menjelang peperiksaan bertulis SPM, pelajar dapatmembuat ulang kaji latihan menjawab soalan dengan sebaik mungkin.

Amanat oleh Norhayati Binti Yahya, Ketua Penolong Pengarah Unit sains dan Matematik kepada semua peserta bengkel.

Beliau turut mendoakan agar semua calon SPM bagi tahun 2022 ini dapat menaikkan lagi peratus kecemerlangan mata pelajaran Matematik di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bengkel ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada penceramah khas yang telah diundang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Dari kiri: Juraidah Binti Aman, Norhayati Binti Yahya dan Norazita Binti Md Nor@Shamsuri. Penceramah menerima sijil penghargaan dan cenderahati.



KUNJUNG HORMAT DAN JALINAN KERJASAMA ANTARA JABATAN PENDIDIKAN WP LABUAN DAN PANGKALAN UDARA (TUDM) WP LABUAN: SESI MENANDATANGANI SURAT HASRAT UNTUK BEKERJASAMA

02 Februari 2023 –  Sekitar kunjungan hormat Pengarah Pendidikan JPWPL, Tuan Yusup bin Hj Mohamad dan  sesi menandatangani surat hasrat bersama Komander Pangkalan Udara TUDM WP Labuan, Yang Berbahagia Brig. Jen. Hj. Muhammad Taha bin Hamdan. Pertemuan dua hala ini adalah bertujuan untuk mengeratkan jalinan kerjasama dan kolaborasi antara JPWPL dengan PU TUDM WP Labuan khususnya dalam aspek pendidikan yang berkaitan urusan melibatkan sekolah khususnya Sekolah Kebangsaan Membedai.

Selain daripada itu melalui kunjungan ini kedua-dua pihak telah bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman serta membincangkan kerjasama yang boleh diwujudkan bagi meningkatkan tadbir urus, pembangunan, kolaborasi dan perkongsian idea di antara keduanya.

Pengarah Pendidikan JPWPL telah diringi bersama En. Boney (Ketua Penolong Pengarah, Sektor Infrastruktur dan Perolehan), Pn.Zailiana Zainol (Penolong Pengarah, Sektor Perancangan), Pn. Cheng Pau Ching (Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah) dan Pn. Mariati Said (Penolong Kanan HEM, SK Membedai). Manakala Mej Hamka bin Mohd Harith (Pegawai Pendidikan, PU Labuan) turut hadir bersama dan menerangkan fungsi dan peranan ATM dalam Pendidikan.

Semoga kunjungan hormat ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan JPWPL dan PU TUDM WP Labuan demi penambahbaikan dan keberkesanan pendidikan. Jabatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Komander Pangkalan Udara TUDM WP Labuan di atas kesudian menerima kunjungan hormat ini.




Majlis Restu Ilmu Membakar Semangat Calon SPM SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 27 Januari – Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah menjalankan Majlis Restu Ilmu Calon SPM tahun 2022. Majlis Restu Ilmu yang telah dijalankan bertujuan untuk melahirkan murid-murid tingkatan 5 SMK Taman Perumahan Bedaun yang berbudi luhur, berketrampilan, berdaya saing dan cemerlang. Selain itu, Majlis Restu Ilmu Calon SPM bertujuan untuk membimbing dan memupuk nilai hormat menghormati serta sikap menghargai ibu bapa dan guru dalam diri murid.

Majlis Restu Ilmu tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku’, lagu Wilayah Persekutuan “Maju dan Sejahtera” dan lagu Rasmi Sekolah “Berwawasan, Progresif dan Cemerlang”. Bacaan doa khas majlis dan kejayaan para calon SPM tahun 2022 dipimpin oleh Ustad Nik Muhamad Fazli bin Nik Abdul Razak.

Manakala, ucapan wakil murid disampaikan oleh adik Maizura Mazliani binti Mazlan dan ucapan wakil ibu bapa disampaikan oleh YDP PIBG, Encik Heidar Hussein bin Md Rashid.

“Murid-murid calon SPM haruslah sentiasa menjadikan harapan ibu bapa sebagai motivasi menghadapi SPM kerana ibu bapa sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak.” Encik Heidar Hussein.

Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, pengetua, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, guru Penolong Kanan HEM, Encik Awang Adie bin Tuah, guru Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Yee Choon Hian, kaunselor, guru-guru tingkatan 5, 23 orang ibu bapa murid tingkatan 5.

Ketua-ketua panitia mata pelajaran tingkatan 5 turut terlibat dalam sesi penyampaian ‘Hot Tips” SPM. Diakhiri dengan ucapan dan kata-kata semangat oleh pengetua Puan Norazita binti MD Nor @ Shamsuri.

Kemudian, murid-murid calon SPM mohon restu guru-guru dan ibu bapa dengan berpandukan SOP fasa endemik Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Guru Ketua Panitia Mata Pelajaran Tingkatan 5 Menyampaikan “Hot Tips” Kepada Calon SPM

Acara Majlis Restu Ilmu Calon SPM diteruskan dengan sesi bergambar YDP PIBG dan guru-guru bersama wakil ibu bapa murid dan murid tingkatan 5.

Sebanyak 88 set cenderahati sumbangan daripada koperasi sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun diagihkan kepada murid-murid calon SPM sebagai simbolik persiapan murid menghadapi peperiksaan SPM.

Majlis Restu Ilmu Calon SPM tahun 2022 SMK Taman Perumahan Bedaun ditutup dengan acara jamuan ringan ibu bapa dan murid tingkatan 5.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Majlis Makan Malam Jubli Perak 25 Tahun SMK Lajau disambut meriah.

LABUAN: Persatuan Alumni SMK Lajau telah menganjurkan Majlis Makan Malam Jubli Perak 25 Tahun SMK Lajau yang telah disambut dengan begitu meriah. Majlis yang bertemakan ’25 Tahun SMK Lajau: Suatu Naratif  telah dihadiri lebih 100 orang yang terdiri dari mantan guru, anggota pelaksana dan bekas pelajar tahun 1997 hingga 2005.

Turut hadir sama dalam memeriahkan suasana sambutan jubli perak itu ialah Timbalan Pengarah  Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang juga mantan Pengetua pertama SMK Lajau, Haji Abidin Marjan.

Pada majlis itu,  Abidin Marjan turut diberi penghormatan untuk merasmikan dan melancarkan Tabung  Apresiasi Anak Bangsa SMK Lajau. Tabung yang diilhamkan oleh Persatuan Alumni SMK Lajau itu bertujuan untuk menghargai pencapaian serta kejayaan pelajar-pelajar dalam aspek kurikulum dan kokurikulum.

Sambutan Majlis Makan Malam ini merupakan acara kemuncak sambutan Jubli Perak 25 tahun SMK Lajau. Pelbagai acara sambutan telah awal diadakan seperti bermula Jun lepas iaitu Delegasi Menawan Gunung Kinabalu, acara sukan santai seperti futsal, badminton, bola tampar dan berkayak.

Hadir sama pada majlis makan malam itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Yusop Mohamad,  Pengarah Urusan Bakti Property Sdn. Bhd. Datuk Wira Dr Ramli Tahir, Pengetua SMK Lajau, Siti Aminah Zakaria, Penaung Persatuan Alumni SMK Lajau, Dr. Sharinah  Puasa  dan Pengerusi Persatuan Alumni SMK Lajau, Yusmieta Yunos.

CENDERAMATA…. Abidin menerima cenderamata kenangan berupa baju Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sekolah keluaran 1998 daripada Yusmieta (tiga dari kanan). Turut kelihatan Yusop Mohamad, Dr Ramli Tahir (kiri), Siti Aminah (empat kanan) dan Dr. Sharinah (kanan)