Bengkel Pembangunan Berterusan (CPD) : Bengkel Penggunaan Smartboard Kelas Hibrid SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 23 Mac 2023 (Khamis) – Seramai 33 orang guru SMK Taman Perumahan Bedaun telah menghadiri Bengkel Pembangunan Berterusan (CPD) Penggunaan Smartboard Kelas Hibrid yang diadakan di kelas 1 Alfa, SMK Taman Perumahan Bedaun.

Bengkel CPD ini telah disampaikan oleh Encik Suliman bin Milly. Melalui bengkel ini, Encik Suliman telah memberi taklimat secara terperinci mengenai penggunaan smartboard kelas hibrid bagi memastikan kelancaran sepanjang waktu sesi PdP para guru.

Bengkel ini telah diadakan kerana wujudnya kelas hibrid yang menggunakan smartboard atau papan putih interaktif elektronik menggantikan papan putih dalam sesi PdP di kelas. Oleh itu, objektif utama bengkel ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan para guru mengenai penggunaan smartboard dan fungsi-fungsi yang boleh digunakan yang mana dapat memudahkan dan membantu dalam sesi PdP.

Terdapat beberapa kelas di SMK Taman Perumahan Bedaun telah dijadikan kelas hibrid. Beberapa kelas yang terlibat seperti kelas 1 Alfa, 2 Alfa, 3 Alfa, 4 Alfa dan 5 Alfa. Kelas-kelas hibrid ini telah menggunakan smartboard menggantikan papan putih biasa.

Encik Suliman memberi penerangan mengenai penggunaan Smartboard kepada warga guru SMK Taman Perumahan Bedaun

Smartboard atau papan putih interaktif elektronik ini merupakan teknologi yang mengganbungkan penggunaan telefon pintar, komputer dan juga projector (whiteboard). Oleh itu, memudahkan para guru boleh memaparkan bahan PdP di permukaan smartboard yang sensitif terhadap sentuhan.

Berdasarkan taklimat Encik Suliman, dengan papan putih pada smartboard ini para guru boleh menulis seperti pada papan putih biasa malahan dengan pelbagai fungsi yang lebih canggih dan menarik.

Papan putih tersebut turut didatangkan dengan sokongan multi-touch yang membolehkan para pengguna menggunakannya dengan menyentuh menggunakan dua atau lebih lokasi pada satu masa.

Melalui bengkel penggunaan smartboard kelas hibrid ini pelbagai input dan tips yang berguna telah dikongsi supaya para guru dapat memanfaatkan kemudahan ini sebaik mungkin dan dapat melaksanakan sesi PdP dengan mudah, menarik dan berkesan.

Bukan itu sahaja, diharapkan dengan kewujudan kemudahan teknologi yang canggih ini dapat memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan kepada murid-murid SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Norazita Mohd Nor @ Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Suliman Milly (kanan).



YPM sampaikan sumbangan ‘Back to School’

Labuan, 22 Mac 2023 – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) telah menyampaikan bantuan ‘Back to School’ kepada seramai 150 murid sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan, kelmarin.

Majlis yang telah diadakan di Dewan Mutiara, SMK Labuan dihadiri oleh Pengetua, Guru Besar sekolah-sekolah Wilayah dan wakil-wakil murid penerima.

Menurut penyelaras bantuan yang juga Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Puan Kamilah binti Mohd Saidi, majlis ini diadakan sebagai tanda sokongan komuniti dalam membantu murid-murid yang kurang berkemampuan untuk meringankan beban dalam membuat persiapan awal persekolahan.

Yayasan Pelajaran Mara telah diwakili oleh Encik Mohd Asraf bin Mat Dahari, Pegawai Perhubungan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan.

Beliau berharap para penerima menggunakan bantuan sebaik mungkin mengikut keperluan persekolahan.

“Terima kasih kepada JPWPL yang telah membantu YPM dalam mengagihkan bantuan kepada murid-murid yang layak” Encik Mohd Asraf

Selain bantuan BTS, YPM turut memberi bantuan dalam pelbagai bentuk untuk murid-murid yang memerlukan dalam pembelajaran.

Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran telah hadir mewakili Pengarah Pendidikan W. P. Labuan.

Dalam ucapannya, Encik Yahya mengucapkan terima kasih atas sumbangan YPM membantu meringankan beban keluarga dalam memulakan sesi persekolahan.

“Saya berharap agar bantuan berupa baucar ini dimanfaat sebaik-baiknya untuk pembelajaran oleh 150 murid terpilih”. Encik Yahya

Penebusan baucar boleh dibuat kepada pembekal yang dilantik iaitu Rizqent Niaga.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Awang Marten bin Hj. Abdul Rahman, YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah dan Pengerusi KOPELL, Encik Mazri bin Mohamed Yunus.

Berita Oleh : Sektor Pembangunan Murid




600 Pek Biskut dan Maskot Bumblebee Menyerikan Program First Day Of School SK Bukit Kallam

Labuan, 20 Mac 2023: Program First Day of School SK Bukit Kallam dikelolakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Semua pentadbir, Yang Dipertua PIBG Puan Aida Sandra Liansun dan semua AJK Guru PIBG, Guru Kaunseling dan Guru bertugas bersedia seawal 6.00 pagi untuk menjemput dan meraikan kehadiran murid ke sekolah.

Kehadiran Pegawai Angkat SK Bukit Kallam iaitu Tuan Haji Adam bin Abdul Rahim juga bersama sama meraikan kehadiran murid ke sekolah.

600 pek biskut disediakan untuk murid, guru dan AKP yang terawal. Begitu juga, kehadiran maskot BumbleBee yang menceriakan suasana pada hari pertama persekolahan. Warga sekolah berpeluang untuk bergambar bersama maskot tersebut. Biskut dan maskot ini disumbangkan oleh PIBG SK Bukit Kallam.

Seterusnya, semua warga sekolah berada di GSTB untuk melaksanakan perhimpunan mingguan. Perhimpunan bermula dengan nyanyian lagu, bacaan doa, ikrar dan akhir sekali Ucapan Guru Besar.

Berita Oleh : SK Bukit Kallam

Meraikan kehadiran ke sekolah dengan agihan biskut kepada murid



Bengkel Perkongsian Amalan Baik Pengajaran Jawi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 : Pedagogi Awal Jawi Dalil

Labuan, 11 Mac 2023 – Bengkel ini telah diadakan pada pagi tadi secara dalam talian. Merupakan Program jalinan kerjasama di antara SK Bebuloh, Persatuan Munsyi Dewan (Jawi) DBP dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk memantapkan kemahiran guru-guru Pendidikan Islam dalam mempelbagaikan kaedah, teknik, inovasi bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru dalam kemahiran jawi seterusnya dapat menarik minat murid dalam mencintai jawi.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Tuan Hj Mat Yusof Abdul Rahman. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL ustazah Kamariah Salim, Timbalan Pengerusi Munsyi Jawi DBP merangkap penceramah dalam bengkel ini ustazah Dalilah Desa, munsyi-munsyi DBP, guru- guru, pensyarah, ibu bapa dan murid-murid.

Bengkel yang diadakan semasa cuti sekolah ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 502 peserta mengikutinya sehingga akhir sesi dan begitu aktif mengambil bahagian sepanjang bengkel ini diadakan.

Peserta yang hadir akan diberikan sijil digital manakala kehadiran guru akan dimasukkan dalam SPLKPM.

Semoga usaha yang ini dapat manfaatnya kepada guru dan anak didik kita di sekolah.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam