Memperingati Detik-Detik Penurunan Al-Quran Kepada Nabi Muhammad SAW

Labuan, 17 April – Sambutan Nuzul Al-Quran merupakan suatu acara tahunan yang diadakan di seluruh negara pada setiap tanggal 17 Ramadan. Tujuannya adalah bagi mengingati peristiwa Penurunan Al-Quran buat kali pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang disampaikan oleh Malaikat Jibril daripada Allah SWT. Pada tahun ini, SMK Taman Perumahan Bedaun juga turut tidak melepaskan peluang mengadakan sambutan Nuzul Al-Quran. Sambutan ini dianjurkan oleh pihak Panitia Pendidikan Islam dengan menjemput penceramah luar bagi menyampaikan ceramah dan input penting kepada warga sekolah.

Sambutan Nuzul Al-Quran diperingkat SMK Taman Perumahan Bedaun dilaksanakan pada 14 April 2023 bersamaan pada pagi hari Jumaat. Ianya bermula pada pukul 7 pagi dengan bacaan 10 ayat dari Surah Al-Kahfi dan disusuli dengan bacaan Al-Ma’thurat di dataran Bedaun. Pada jam 7.30 pagi pula, bermulalah agenda utama iaitu Ceramah Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fariz Bin Mohd Zaini, Guru pendidikan Islam SK Kerupang. Turut hadir, seramai 32 orang guru dan 350 orang murid beragama Islam.

Antara intipati ceramah yang telah disampaikan adalah berkaitan dengan Sejarah Penurunan Al-Quran yang terdiri dari 3 peringkat Penurunan. Beliau juga berkongsi tentang detik-detik pertama kalinya Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama iaitu ayat 1 hingga 5 dari surah Al-Alaq dan keadaan Baginda yang ketakutan lantas turun dari Gua Hira pulang ke rumah baginda. Diringkaskan cerita, isteri baginda Saidatina Khadijah Al-Kubra telah merujuk kepada saudaranya iaitu Waraqah Bin Naufal akan peristiwa yang telah berlaku kepada suaminya dan telah mendapati bahawa Baginda SAW telah dilantik menjadi Rasul akhir zaman.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fariz Bin Mohd Zaini
Barisan guru yang turut memeriahkan program

Penceramah juga telah berkongsikan tentang kepentingan Al-Quran dalam hidup manusia sebagai petunjuk dan rujukan bagi yang hak dengan yang batil. Pada akhir ceramah beliau telah berkongsi satu hadis Nabi SAW berkaitan perumpamaan kategori orang mukmin yang membaca Al-Quran iaitu hadis daripada Abi Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau”. [Riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)]

Beliau sempat menyelitkan satu lagi peristiwa besar yang juga berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah iaitu peperangan Badar Al-Kubra. Ianya merupakan peristiwa besar yang telah berlaku selepas Baginda berhijrah ke Madinah.

Ceramah Nuzul Al-Quran ini telah usai pada jam 8.30 pagi iaitu telah berlangsung selama 1 jam. Walau ianya tidaklah merupakan suatu tempoh yang lama, namun sarat dengan maklumat dan ilmu baru yang diperolehi bukan sahaja kepada murid-murid bahkan seluruh warga sekolah. Sambutan ini telah menerima maklum balas yang sangat menggalakan dari warga sekolah dan diharapkan akan diadakan lagi pada masa yang akan datang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Suasana semasa ceramah disampaikan
Sesi bergambar bersama warga SMKTPB



Raikan Ramadhan dengan Al-Quran

Seramai 30 orang murid terdiri daripada murid tingkatan 4,5 dan 6 dan 6 orang guru telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran peringkat SMK Labuan pada Jumaat lalu.

Majlis diadakan di Dewan Mutiara sekolah berkenaan turut dihadiri oleh semua guru dan murid sesi pagi seramai lebih 600 orang.

Majlis dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang telah dialunkan oleh Adik Muhammad Daniel Danish bin Atzuwan dari kelas 2 Berkat dan bacaan terjemahannya oleh Adik Muhamad Yunus bin Ganzuan dari kelas 2 Efektif.

Seterusnya peserta khatam Al-Quran telah membacakan surah Ad-Dhuha dan diakhiri dengan Surah An-Nas yang dipimpin oleh khalifah khatam iaitu Ustaz Mohd Sanusi bin Ya.

Majlis diserikan lagi dengan tausiyyah bertajuk “Kemuliaan Ramadhan” yang turut disampaikan oleh Ustaz Mohd Sanusi.

“Ramadhan adalah hadiah istimewa kepada umat Islam kerana kelebihannya melebihi 1000 bulan”

“Adalah satu kerugian jika kita berpuasa namun tidak disertai dengan amalan-amalan yang lain seperti bersedekah, membaca Al-Quran dan berterawih setiap malam” kata beliau.

Menurut penyelaras program, Ustazah Jamaliah binti Mohd Said berkata majlis khatam Al-Quran adalah aktiviti kemuncak program Ihya’ Ramadan yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.

Di akhir majlis, pengetua sekolah telah menyampaikan infaq ramadhan berupa bag makanan kepada penerima-penerima yang layak.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Kanan HEM, Puan Jamaliah Razali, Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Saminan Sabtu dan Penolong Kanan Petang, Encik Abdul Ghafar Sallleh.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun




Kursus Kepimpinan Kokurikulum Lahirkan Pemimpin Masa Hadapan

Labuan, 14 April Unit Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Kokurikulum kali ke-7 bagi tahun 2023. Program ini berlangsung secara bersemuka di Dataran Bedaun SMK Taman Perumahan Bedaun.

Seramai 84 orang murid terlibat dalam program ini yang terdiri daripada AJK Tertinggi kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta persatuan badan beruniform. Objektif program ini adalah untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada murid  yang memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan untuk mengurus sesuatu organisasi yang mereka ceburi di sekolah.

Program yang bermula pada jam 2.00 petang, dimulakan dengan sesi pendaftaran murid yang terlibat yang dikendalikan oleh Encik Yusri dan Encik Yee Choon Hian. Setelah itu, program dilanjutkan dengan pembahagian aktiviti kepada dua slot iaitu slot 1 merupakan penekanan terhadap kepentingan PAJSK kepada setiap murid dan juga kepada sekolah secara umum yang di sampaikan oleh Encik Yee Choon Hian selaku Penolong Kanan Kokurikulum SMKTPB yang juga merupakan pengerusi program kepimpinan.

Aktiviti Team Building yang dikendalikan oleh Encik Mustaffa -Penyelaras Program

Manakala slot 2 pula merupakan aktiviti Team Building “Paper Clips versus Our Minds” yang dikelolakan oleh Penyelaras Program iaitu Encik Mustaffa Bin Mohammad. Program ini diharap dapat membantu guru penasihat dalam mengurus aktiviti kokurikulum di samping melahirkan generasi yang berkepimpinan bukan sahaja semasa berada di sekolah bahkan dapat dipraktikkan setelah tamat persekolahan.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Kokurikulum  SMKTPB, En Yee Choon Hian yang juga dalam ucapannya mengharapkan agar murid-murid yang telah dilantik menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan dapat memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin khususnya di dalam Kelab dan Persatuan.

Tegasnya, kecemerlangan diri seseorang murid dapat dilihat menerusi pelibatan dalam aktiviti kokurikulum yang akan menyumbang kepada aspek pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan kecemerlangan akademik. PK Kokum turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan murid-murid yang telah diberikan kepercayaan untuk menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan.

Sejurus tamat ucapan PK Kokum, program ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama dengan Penolong Kanan Kokurikulum, AJK Induk Unit Kokurikulum dan murid-murid yang terlibat dengan kursus kepimpinan ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Antara aktiviti team building yang dijalankan



MPP Medan Latih Pemimpin Muda

Labuan, 4 April – Seramai 15 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Tingkatan 6, SMK Labuan telah dilantik dalam satu majlis yang telah diadakan pada Jumaat lalu.

Perwakilan MPP bagi kohort 10 ini telah dipilih melalui sistem pemilihan yang dibuat secara dalam talian.

Menurut Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Saminan Sabtu, pemilihan adalah berdasarkan 15 calon yang mendapat peratusan undi tertinggi selepas pengundian ditutup.

Antara yang terpilih untuk menerajui MPP bagi tempoh 2023/2024 ialah Mathew Chew Kah Ming, Fatima Nurulhidayu bt Mohd Hashim, Irdyna Nuraeisya bt Saminan, Avylyn bt Asin, Nur Farah Hanim bt Johari dan Joan Khoo Li Ling.

Selain itu, Mohammad Aiman Nazim bin Bobby, Azib bin Sabdin, Siti Nurafiqah bt Zamri, Muhd Syairul Hazwan bin Hazaimi dan Nur Husnina Farzana bt Serhan turut terpilih.

Turut berjaya menganggotai MPP ialah Riniezathul bt Ramlan, Ruzaimie Nur Sha bin Sroslee, Naaifah Dayana bt Hazmee dan Mohammad Hasifi Solehin bin Supri.

Sesi pembubaran MPP yang lama telah diumumkan oleh adik Nelsey Angeline Josley, YDP MPP Kohort 9.

Majlis penyerahan pelantikan dibuat di dewan sekolah berkenaan telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dalam ucapannya, Encik Mohd Nizam menyeru agar ahli MPP yang terpilih dapat meneruskan kecemerlangan kepimpinan MPP yang terdahulu.

“MPP adalah landasan terbaik kepada para pelajar untuk melatih diri mendalami ilmu kepimpinan. Setiap pelajar mempunyai potensi untuk memimpin” kata beliau lagi.

Turut hadir di dalam majlis berkenaan ialah Penolong Kanan Tingkatan 6, Encik Saminan bin Sabtu dan Penyelaras HEM Tingkatan 6, Encik Mazri bin Mohamed Yunus.

Berita Oleh : SMK Labuan