Majlis Bicara Wahyu Kementerian Pendidikan Malaysia Siri ke-9/2024

Labuan- Majlis Bicara Wahyu (MBW) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) siri ke-9 tahun 2024 telah diadakan dengan jayanya di Dewan Kompleks Darul Kifayah, Labuan.

Majlis anjuran Bahagian Pendidikan Islam (BPI) KPM ini diadakan setiap bulan secara bergilir-gilir di semua negeri.

Majlis ini diadakan bagi mengukuh dan memantapkan akidah, penghayatan Islam, sahsiah dan nilai murni dalam kalangan warga KPM di samping membuka minda warga pendidikan melalui sesi perbincangan agama yang sihat dalam usaha mempertingkatkan mutu produktiviti kerja cemerlang mereka.

Antara pengisian sepanjang MBW ini diadakan ialah bacaan surah Al Kahfi, surah yaasin dan doa yang dipimpin oleh Ustaz Azhan bin Salleh dan Ustaz Muhammad Fakhrurrazi bin Mohd Najakhi.

Slot bicara hadis 40 Imam Nawawi telah disampaikan oleh ustas Syamun bin Yahaya daripada Kolej Matrikulasi Labuan.

Forum bertajuk Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah telah disampaikan oleh Sahibul Fadhilah Dr. Nik Azlan bin Nik Man (Timbalan Mufti), Ustaz Muhammad Shafie bin Abdul Ghani, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) manakala ustaz Abdul Aziz bin Abdullah selaku Moderator.

Hadir sama dalam majlis ini Tuan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Malaysia Tn Hj Abidin bin Marjan, Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan Encik Mohamad Fazdli bin Md Saad, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Adab dan Nilai Encik Zamri bin Basir, pegawai-pegawai daripada JPWPL, JAWI, MAIWPL, Pejabat Mufti, Pusat Pungutan Zakat, Kolej Matrikulasi, pentadbir sekolah, guru-guru dan anggota kumpulan pelaksana.

Majlis turut diselitkan dengan aktiviti kuiz kahoot yang menyediakan 20 hadiah. 




SMK MUTIARA ANJUR KOLOKIUM INOVASI DAN KAJIAN TINDAKAN

LABUAN: Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara telah menganjurkan Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan Peringkat Negeri 2024 bertempat di Dewan Semarak dan Bilik Mesyuarat SSN SMK Mutiara pada 12 Oktober 2024. Kolokium tersebut telah melibatkan 51 orang guru yang terdiri daripada guru-guru yang mewakili 14 panitia mata pelajaran, Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI), Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) serta 4 orang guru jemputan iaitu Michele Edmund dan Ritah Julai  dari SJKC Chung Hwa, Nuridayu  Shapi dari SJKC Chi Wen dan Rajeswari A/P Perumal dari SK Lubok Temiang.

 

Penyelaras program Junaidah Baharuddin berkata Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan ini diadakan adalah untuk membantu para guru mendalami ilmu inovasi dan kajian tindakan agar dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan seterusnya melahirkan guru-guru yang kreatif dan inovatif dan sentiasa membudayakan inovasi dan kajian tindakan. Selain itu,guru-guru juga dapat berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik menerusi penyertaan dalam kolokium ini.

 

Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan ini telah diadili oleh 4 orang panel hakim berwibawa iaitu Pengerusi Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) Dr Hyginus Lester Junior Lee, Penolong Pengarah Unit Inovasi dan Kajian Tindakan Teknologi , Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Desmond Sandum, Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) WP Labuan  Mohd Saiful Adha Ismail dan guru SK Pekan Dua WP Labuan Nurulhuda Mohd Derus.

Seramai 13 orang guru telah menerima Anugerah Emas manakala Anugerah Perak pula diberikan kepada 20 orang guru dan 14 orang guru pula menerima Anugerah Gangsa. Anugerah Pilihan Juri bagi kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan peringkat negeri ini telah dinobatkan kepada Mizan Adlia  Mohd Shoib dari SMK Mutiara.

Dalam majlis yang sama sijil penghargaan juga diberikan kepada Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) Wilayah Persekutuan Labuan kerana menjadi Rakan Strategik sempena kolokium ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah, Unit Sains dan Matematik Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  Nurul Hidayah Umar yang  mewakili Pengarah Pendidikan JPWPL Abidin Marjan. Turut hadir dalam majlis tersebut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Rohani Tali @Md Ali mewakili pengetua SMK Mutiara Ag.Rozlan Manan.

SSN SMK Mutiara merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kerana telah menyokong menjayakan Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan anjuran SSN SMK Mutiara yang  bertujuan agar guru-guru membudayakan Inovasi dan Kajian Tindakan bagi membantu guru dalam menghadapi cabaran dan masalah berhubung dengan amalan pengajaran dan pembelajaran  serta dapat meningkatkan kemahiran profesional guru.

Berita oleh : SMK Mutiara

PENGHARGAAN : Nurul Hidayah Umar (tengah) menyampaikan sijil Anugerah Pilihan Juri (Kajian Tindakan) kepada guru SMK Mutiara, Mizan Adlia Mohd Shoib (kiri) diperhatikan Rohani Tali @ Md Ali (kanan)

PENGHARGAAN : Nurul Hidayah Umar (tengah) menyampaikan sijil penghargaan Rakan Strategik Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan kepada Dr. Hyginus Lester Junior Lee (kiri), diperhatikan Rohani Tali @ Md Ali (kanan)

Rohani Tali @Md Ali (Tengah) menyampaikan cenderahati kepada Nurul Hidayah Umar (kanan) diperhatikan Junaidah Baharuddin (kiri)




Hari Keusahawanan dan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun Suburkan Budaya Keusahawanan dan Kesukanan

Labuan – Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun 2024 yang berlangsung pada 29 September lalu, telah diadakan di perkarangan sekolah dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya Pertandingan Bola Tampar terbuka, menyediakan gerai jualan bagi kelab sekolah dan peniaga luar, pameran dari agensi luar, rumah hantu, tayangan filem di pusat sumber sekolah,  dan lawatan kemasyarakatan.

Hari Keusahawanan dan Kokurikulum (HKK) SMK Taman Perumahan Bedaun telah menyuburkan budaya keusahawanan dan kesukanan, demikian intipati ucapan perasmian Pengetua, Puan Norazita  binti Md Nor @ Shamsuri. 

Beliau berkata, Hari Keusahawanan dan Kokurikulum menyediakan murid-murid dengan peluang menimba pengalaman dalam bidang perniagaan. Ini secara langsung juga dapat memberi impak kepada pembangunan sifat-sifat positif murid seperti rajin, jujur, bekerjasama dan komited terhadap tanggungjawab yang diberi, pihak sekolah komited dengan peranan pihak sekolah iaitu  membantu membangunkan modal insan yang kompetitif serta berpotensi untuk memperkukuhkan bidang keusahawanan negara.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pertandingan bola tampar yang juga memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun.

AJK PIBG sekolah En. Zolfly bin Ahamd turut membuka gerai jualan makanan sempena Program Hari Keusahawaan dan Kokurikulum

Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun bertambah meriah dengan hasil gabungan kerjasama agensi lain melalui  pameran ‘Kenali Ubat Anda’ bersama Jabatan Kesihatan WP Labuan.

Sebanyak 12 pasukan telah mengikuti pertandingan bola tampar terbuka yang diadakan sempena Hari Keusahawanan dan Kokurikulum Sekolah. Johan pertandingan bola tampar terbuka lelaki telah dimenangi oleh Pasukan Chilun VC, naib johan pasukan TVT VT dan tempat ketiga pasukan Chailuk U21 VC.

Program ini telah mendapat maklum balas orang ramai yang sangat positif terhadap penganjuran Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMKTPB pada tahun ini dan berharap agar aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun berikutnya serta membaiki beberapa aspek yang boleh diperbaiki pada masa akan datang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

 

Penjualan oleh Kelab Doktor Muda
Pertandingan bola tampar terbuka lelaki turut diadakan sempena Hari Keusahawanan dan Kokurikulum Tahun 2024