Lawatan Sambil Belajar Dedah Peluang Kepada Murid Tingkatan 5 SMK Rancha-Rancha

Labuan – Pada 13 hingga 16 April yang lalu, Unit Bimbingan dan Kaunseling, Bidang Kemanusiaan dan Bidang Vokasional Teknik SMK Rancha-Rancha telah bekerjasama menganjurkan Program Lawatan Sambil Belajar untuk murid-murid Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun 2025 ke beberapa tempat di Kota Kinabalu Sabah. 

Antara tujuan lawatan diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada murid yang mengambil subjek elektif Sains Rumahtangga, Pendidikan Seni Visual dan Perniagaan untuk melihat sendiri  peluang-peluang belajar yang ditawarkan di institusi-institusi pengajian yang terdapat di Kota Kinabalu serta memberi pengalaman langsung kepada murid untuk melihat peluang pilihan belajar khususnya dalam Bidang Seni Teknologi Kreatif, Bidang Kulinari dan Pastri ,  Sains Rumahtangga dan Perniagaan.

Lawatan ini melibatkan 30 orang murid dan 4 orang guru. Antara tempat lawatan adalah seperti . Galeri Azman Hashim (GAH) Universiti Malaysia Sabah,  Akademi Seni dan Teknologi Kreatif ( ASTIF ) UMS, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) ,  Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Galeri dan Muzium Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Institut Kemahiran Belia dan Muzium Kesenian Islam.

Guru – guru yang terlibat dalam menjayakan program ini adalah Cikgu Jasmini Daud Guru Kanan Bidang  Kemanusiaan selaku ketua program, Cikgu Roszillah Yahya guru kanan Bidang Votek selaku setiausaha program, Cikgu Rafeeza dan Cikgu Sazali kaunselor Sekolah, Cikgu Rosyidi Bin Bakri Ketua Panitia Subjek Perniagaan dan Cikgu Muhammad Bin Mad Junik Ketua Panitia Sains Rumahtangga.

Lawatan ini sangat bermakna kepada ahli rombongan kerana setiap tempat yang di lawati , kami disambut mesra dan diberi pelbagai input-input berguna terutamanya cara meneruskan pembelajaran ke bidang-bidang yang mereka inginkan berdasarkan elektif-elektif yang mereka pilih.
Program lawatan ini membawa falsafah “ Jauh perjalanan, luas pemandangan,kreatif pemikiran demi kerjaya masa depan.

Pihak sekolah merakamkan penghargaan terima aksih kepada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan atas sokongan dan galakan yang diberikan. Tanpa sokongan dan kerjasama baik pihak jabatan sudah tentunya program berimpak positif ini tidak dapat dijalankan dengan sempurna.Semoga program seperti ini boleh dilaksanakan lagi di masa akan datang demi kepentingan murid-murid.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha 




Pelajar SPM Labuan raih 11A+

LABUAN, 24 APRILMoses Yii Xi Hong, 17, dari SMK Labuan muncul pelajar paling cemerlang di Labuan selepas berjaya memperoleh 11A+ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Pelajar itu merupakan salah seorang daripada 1,133 calon di kepulauan itu yang layak menerima sijil SPM 2024.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Labuan, Yahya Ahmad Puteh, berkata jumlah calon yang layak menerima sijil SPM 2024 di Labuan meningkat kepada 1,133 orang, berbanding 1,041 calon pada 2023.

Beliau yang juga merangkap Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan berkata ini sekali gus mencatat peningkatan sebanyak 72 calon berbanding 1,041 calon pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan ini turut dipengaruhi syarat kelayakan lulus dua mata pelajaran teras, Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Kita bukan sahaja memberi fokus kepada pencapaian akademik, tetapi juga memberi perhatian kepada kehadiran murid ke sekolah.

“Gabungan kedua-dua aspek ini membantu kita menikmati hasil yang positif, apabila berjaya mengurangkan bilangan murid yang gagal dalam semua mata pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Labuan.

Sementara itu, Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) di Labuan mencatat 100 peratus kelayakan menerima sijil.

Antara yang membanggakan ialah Nuralyah Salleh Hussein, pelajar autisme ringan dari SMK Mutiara, yang muncul sebagai calon terbaik dalam kategori CBPK dengan memperoleh 8A dan 1C.

Secara keseluruhan, seramai 1,146 calon sekolah di Labuan mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Sumber : Berita RTM 




SMK Pantai Raih Kejayaan Cemerlang di Kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2025

Labuan, 12 April 2025 – Pasukan merentas desa SMK Pantai sekali lagi membuktikan kehebatan mereka dalam kejohanan Merentas Desa MSSWPL 2025 yang berlangsung di Padang Majal. Dengan semangat juang yang tinggi dan latihan intensif sepanjang persiapan kejohanan, pasukan sekolah berjaya meraih gelaran Naib Johan Keseluruhan, memperbaiki kedudukan daripada tempat ketiga tahun lalu.

Prestasi cemerlang pasukan dapat dilihat melalui pencapaian luar biasa dalam pelbagai kategori. Atlet P18 mencatat kejayaan gemilang dengan menduduki tempat Johan, sementara L18 dan L15 masing-masing beraksi hebat untuk meraih Naib Johan. Tidak ketinggalan, pasukan P15 turut menunjukkan daya saing tinggi dengan berada di tempat keenam dalam kategori mereka.

Dalam kategori PPKI, pasukan SMK Pantai turut mengukir kejayaan membanggakan dengan meraih Naib Johan dalam P15 PPKI dan L15 PPKI, membuktikan semangat dan kegigihan yang tidak mengenal batasan.

Pengetua SMK Pantai, En. Ismail bin Abdullah menzahirkan rasa bangga dan kagum terhadap pencapaian para atlet sekolah, menyatakan bahawa mereka mampu memberi cabaran kepada sekolah-sekolah lain di kejohanan ini. Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Dolores Godon turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua jurulatih, pengurus pasukan, serta murid-murid yang telah berusaha keras untuk mencapai matlamat sekolah – memperbaiki kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

Kejayaan ini menjadi bukti bahawa SMK Pantai memiliki bakat dan ketahanan tinggi dalam arena merentas desa, dan pencapaian ini pastinya menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk terus berusaha dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. Tahniah kepada semua atlet SMK Pantai atas usaha mereka yang luar biasa!




Pelajar SMK Pantai Raih Tempat Ketiga dalam Pertandingan Video Kreatif TVPSS

Labuan, 20 Mac 2025 – Seorang pelajar dari SMK Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan, telah mengharumkan nama sekolahnya dalam bidang kreativiti digital. Nurin Sofeya binti Rinatho, pelajar kelas 5 UPM, berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Video Kreatif TVPSS dengan hasil karya inovatif bertajuk “Bahan Digital Memperkasa Pendidikan Negara.”

Video yang dihasilkan oleh Nurin Sofeya menampilkan perkembangan penggunaan bahan digital dalam sistem pembelajaran di sekolah. Dengan pendekatan yang menarik dan informatif, video tersebut turut memperincikan beberapa kelebihan penggunaan bahan digital dalam kalangan pelajar serta impaknya terhadap proses pembelajaran masa kini. Selain itu, video ini berkongsi peranan pelbagai pihak dalam memastikan penggunaan bahan digital dimanfaatkan sepenuhnya dalam bidang pendidikan.

Karya yang dihasilkan oleh Nurin Sofeya tidak hanya memaparkan kepentingan bahan digital, tetapi juga mengetengahkan mesej utama tentang bagaimana teknologi mampu meningkatkan kemampuan anak muda dalam bidang IT. Kejayaan ini menjadi bukti betapa kreatif dan berwawasan generasi muda dalam mengadaptasi teknologi demi memperkukuh sistem pendidikan negara.

Tahniah kepada Nurin Sofeya atas pencapaiannya! Kejayaan ini pasti akan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pelajar lain untuk terus berkarya dan memberi sumbangan kepada dunia pendidikan digital.