BUKU “MENJAGA KESIHATAN DENGAN PENGAMBILAN UBAT YANG BETUL” DIRASMIKAN DI PESTA BUKU LABUAN 2025

Labuan, 25 Jun 2025 – Pesta Buku Labuan 2025 terus menyinar dengan pelancaran buku informatif bertajuk “Menjaga Kesihatan dengan Pengambilan Ubat yang Betul”, hasil karya Suriani Oxley, SISC+ Unit Sains Sosial, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Buku ini diterbitkan dengan kerjasama Unit Farmasi, Hospital Membidai Labuan dan dilancarkan secara rasmi di Dataran Anggerik, Ujana Kewangan Labuan.
 
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya Ahmad Puteh yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan WP Labuan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan literasi kesihatan dalam kalangan murid dan masyarakat, khususnya berkaitan amalan pengambilan ubat yang betul demi kesejahteraan jangka panjang.
 
Buku ini mengandungi lima cerita pendek yang menggariskan kepentingan pengambilan ubat mengikut konsep 5B, iaitu bentuk ubat, bila diambil, berapa banyak, bagaimana cara mengambil, dan berapa lama perlu diambil. Pendekatan penceritaan yang mudah difahami menjadikan buku ini sumber rujukan bermanfaat kepada warga sekolah dan ibu bapa dalam mendidik anak-anak tentang penjagaan kesihatan secara bertanggungjawab.
 
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Farmasi dari Hospital Membidai Labuan, Puan Farah Ayuni binti Ghazali dan Encik Heriman bin Mahali, yang turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai kempen “Kenali Ubat Anda”.
 
Turut diraikan ialah Duta Kenali Ubat Anda dari empat buah sekolah:
Hasnan Mohd Saad (SK Pantai)
Suhartini Oxley (SM Sains Labuan)
Noorlihan Abdul Alip (SK Sungai Lada)
Sapri Idris (SMK Rancha-Rancha)
 
Kehadiran mereka menandakan komitmen sekolah-sekolah di Labuan dalam menyokong usaha memperkukuh kesedaran tentang kepentingan ubat dan kesihatan secara menyeluruh.
Pelancaran buku ini bukan sahaja mencerminkan sinergi antara sektor pendidikan dan kesihatan, malah membuka ruang kolaborasi baharu dalam memperkasa pendidikan kesihatan dalam komuniti sekolah.




PERTANDINGAN BERBALAS PANTUN MERIAHKAN PELANCARAN BUKU PANTUN KELPEN DI PESTA BUKU LABUAN 2025

Labuan, 26 Jun 2025 – Suasana penuh gemilang dan sarat nilai warisan budaya mewarnai malam pelancaran Buku Pantun KELPEN yang berlangsung di Pentas Anggerik, Ujana Kewangan Labuan sempena Pesta Buku Labuan 2025. Majlis yang bermula jam 7.30 malam ini diserikan dengan Pertandingan Berbalas Pantun Peringkat Negeri yang menampilkan kehebatan seni kata empat pasukan mewakili Rumah Kuning, Biru, Hijau dan Merah.
 
Acara berprestij ini dirasmikan oleh Penasihat Kelab Pendidikan Labuan (KELPEN), Encik Yahya Ahmad Puteh yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas komitmen dan semangat dalam memartabatkan seni warisan Melayu. Turut hadir ialah Pengerusi KELPEN bersama-sama barisan ahli kelab yang memberikan sokongan padu terhadap penganjuran acara tersebut.

Dalam pertandingan penuh semangat dan kreativiti itu, Rumah Merah berjaya memukau para juri sekaligus dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang pingat emas. Tempat kedua diraih oleh Rumah Kuning dengan pingat perak, manakala Rumah Hijau dan Rumah Biru masing-masing meraih gangsa, berkongsi kedudukan tempat ketiga.

Panel hakim yang terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dalam bidang bahasa dan sastera – Puan Siti Zaharah Mohammad, Puan Rodziah Abdul Rahman, Encik Hasnan Md Saad dan Encik Yahya Burhanuddin – telah menilai dengan teliti dari segi penguasaan bahasa, kepetahan berpantun, isi pantun serta gaya persembahan.
 
Pertandingan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan bahasa dan budaya dalam kalangan pelajar dan masyarakat, malah menjadi platform menggalakkan penghayatan seni berpantun dalam konteks pendidikan dan kesusasteraan moden.
 
Majlis pelancaran buku pantun ini sekaligus memperkukuh peranan KELPEN dalam usaha mendokumentasi, menghidup dan menyemai kecintaan terhadap seni kata dalam kalangan generasi muda dan masyarakat umum.
 
“Pantun dijunjung, warisan disanjung; generasi mendatang pasti terpanggil mengangkat budaya yang kian terpinggir.”
 




Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PIBG Kali Ke-24 SMK Taman Perumahan Bedaun : “MENYATU ASPIRASI, MEMPERKASA GENERASI”

Labuan : Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-24 SMK Taman Perumahan Bedaun telah berlangsung dengan jayanya pada pagi Sabtu, 24 Mei 2025 bertempat di Dataran Bedaun, SMK Taman Perumahan Bedaun. Majlis bermula pada jam 8.30 pagi dan dihadiri oleh ibu bapa, guru serta warga sekolah yang komited terhadap pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Majlis telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, Encik Azeryn bin Hj Mamma, Penolong Pengarah Unit Pengurusan Bakat, Sektor Sumber Manusia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, yang juga merupakan Pegawai Angkat sekolah. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada barisan guru dan ibu bapa yang sentiasa komited dalam menyokong pembangunan sahsiah dan akademik murid. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan jalinan kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah demi kecemerlangan pendidikan anak-anak.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua PIBG, Encik Heidar Hussein bin Mohammad Rashid, ahli jawatankuasa PIBG, para guru serta lebih 200 orang ibu bapa yang hadir memberikan sokongan padu terhadap pembangunan sekolah. Yang Dipertua PIBG, Encik Heidar Hussein bin Mohammad Rashid turut menyampaikan ucapan alu-aluan dan mengimbas pencapaian serta sumbangan PIBG sepanjang tahun sebelumnya. Beliau turut menyeru ibu bapa agar terus berganding bahu dalam menyokong program-program pembangunan pelajar dan aktiviti sekolah.

Mesyuarat turut membincangkan beberapa agenda penting meliputi pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat yang lalu, pembentangan laporan aktiviti PIBG sesi 2024/2025, pembentangan penyata kewangan, perbincangan isu-isu semasa berkaitan kebajikan dan pembangunan sekolah serta perancangan aktiviti untuk tahun akan datang.

Sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan ibu bapa, pihak sekolah telah menganjurkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik sebagai usaha mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga sekolah dan ibu bapa.

Secara keseluruhannya, mesyuarat kali ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para ibu bapa dan ini seterusnya membuktikan komitmen dan keprihatinan komuniti sekolah dalam memacu kecemerlangan pendidikan di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Hadiah cabutan bertuah disampaikan kepada ibu bapa sebagai menghargai kehadiran dan sokongan komuniti