Kunjungan Hormat Majlis Belia Labuan (MBL) Ke Pejabat Pengarah Pendidikan Labuan

Labuan, 19 September 2025 – Majlis Belia Labuan (MBL) yang diketuai oleh Presidennya, Cik Nazera Roslan hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah Pendidikan Labuan. Kunjungan tersebut disambut mesra oleh Yahya Ahmad Puteh, Pengarah Pendidikan Labuan.
 
Pertemuan tersebut bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik antara MBL dan Jabatan Pendidikan Labuan, khususnya dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik anak-anak di Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan penglibatan belia dalam mendokong agenda pendidikan demi melahirkan generasi muda yang lebih cemerlang dan berdaya saing serta berkarekter terpuji dan boleh diteladani.
 
 




Dialog Prestasi Negeri Bilangan 2 Tahun 2025

Labuan, 8 September 2025 – Dialog Prestasi Negeri Bilangan 2 Tahun 2025 telah berlangsung di Dewan Persidangan, Mahkamah Syariah, Labuan. Dialog ini dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, YBrs. En. Yahya bin Ahmad Puteh, dengan kehadiran pegawai kanan pendidikan, pengetua sekolah menengah serta pegawai SIPartners+ dan SISC+.
 
Dialog ini memberi fokus kepada empat kluster utama, iaitu Kemenjadian Murid, Enrolmen Murid, Hal Ehwal Murid, dan Kecemerlangan Organisasi. Antara topik penting yang dibincangkan termasuklah pencapaian Percubaan SPM murid tingkatan 5, data PBD murid peralihan, enrolmen murid STEM, data kehadiran dan salah laku disiplin murid, amalan baik murid serta pelibatan guru Bahasa Melayu, Matematik, Sejarah dan Sains dalam latihan profesional.
 
Melalui sesi pembentangan tersebut, pelbagai dapatan prestasi dan trend pencapaian murid telah dikongsi, di samping perbincangan mengenai usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan pencapaian sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan. Dialog ini menjadi platform penting dalam menilai prestasi semasa serta merancang strategi pendidikan yang lebih berkesan.
 




PROGRAM PAMERAN KERJAYA CAREERS INSIGHT CAREER FAIR (CICF) 2025 PERINGKAT WP LABUAN

Labuan, 11 September 2025 – Program ini merupakan anjuran pihak Financial Industry Collective Outreach (FINCO) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan yang diadakan di Dewan Juara SMK Labuan.Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan dan bimbingan mengenai peluang dan hala tuju pada murid- murid WP Labuan.
 
Pameran PDRM juga memaklumkan kewujudan aplikasi semak mule PDRM, VSP, CCID Infoline, Facebook BSJK Labuan, JSJK Sabah serta Bukit Aman, National Scam Response Center (NSRC-997), QR Code Modus Operandi Jenayah Komersil dan Aplikasi Whoscall yang boleh dimanfaatkan penggunaannya pada masa sekarang.
 
Selain itu pihak PDRM menasihatkan guru dan para pelajar agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan harta benda. Pengedaran risalah berkaitan kes jenayah masa kini, kaedah pencegahan jenayah, lain-lain kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah juga diberitahu semasa program ini.
#polissabah
#PolisDanMasyarakatBerpisahTiada
#polisdaerahlabuan
 
Sumber Berita : FB Polis Daerah Labuan




SESI LAWATAN DARI JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN DAN SABAH KE ASWARA

Kuala Lumpur, 9 September 2025 – Sekitar lawatan dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah ke ASWARA. Sesi lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada pegawai-pegawai dari Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berhubung ekosistem pembelajaran serta kemudahan fasiliti yang disediakan di ASWARA selain usaha bersama dalam memartabatkan sektor pendidikan seni budaya dan warisan.

Antara pengisian utama dalam sesi lawatan ini merangkumi lawatan fasiliti ASWARA. Turut diadakan ialah sesi demonstrasi Wayang Kulit yang dipersembahkan oleh Adiguru ASWARA, Che Mohd Nasir Yusoff, yang membolehkan para pegawai memahami dengan lebih mendalam seni tradisi ini serta keunikan nilai budaya yang dipupuk kepada para pelajar ASWARA. Selain itu, delegasi juga berpeluang mengunjungi Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem (FPKF), yang disertakan dengan tayangan filem pendek di Pawagam Jalan Ampas.
 
 
Sumber Berita : FB ASWARA